Berita Terkini

1 minggu yang lalu: Hafizul Hawari yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak di KLIA Terminal 1 pada 14 April lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pagi tadi terhadap 7 pertuduhan 1 minggu yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut 2 minggu yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 3 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 3 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok.

IKUTI KAMI


Sudah Setahun, Ke Mana Selepas Ini, Kerajaan Perpaduan?

Politik Dikemaskini 5 bulan yang lalu · Diterbitkan pada 24 Nov 2023 2:17PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Majlis Kesyukuran Sempena Setahun Pentadbiran Kerajaan MADANI. di Putrajaya, malam tadi. - gambar Pejabat Perdana Menteri

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

KUALA LUMPUR - Ketika negara berdepan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) 19 November tahun lalu, boleh dikatakan nasib Malaysia waktu itu bagai telur di hujung tanduk.

Segalanya nampak berantakan - di hujung sana kem Perikatan Nasional (PN), dicabar garang oleh gerombolan Pakatan Harapan (PH), ada juga kabilah Barisan Nasional (BN) yang mahu mencuba nasib dan suara halus MUDA serta PEJUANG.

Berbanding PEJUANG yang kalah di semua kerusi, nasib MUDA jauh lebih baik apabila Presiden parti itu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berjaya mengekalkan kerusi Parlimen Muar yang dimenanginya pada PRU-14.

Usai PRU-15, negara sekali lagi berdepan situasi genting apabila tidak ada gabungan yang berjaya memperoleh jumlah mencukupi untuk menubuhkan kerajaan, setidak-tidaknya dengan majoriti mudah.

Melihat situasi itu, Yang di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah menitahkan supaya pembentukan kerajaan dibuat berlandaskan gabungan parti yang ada.

Titah baginda itu bagaimanapun ditolak PN yang tidak mahu bergerak seiring sejalan bersama PH. Ironinya, satu daripada komponen mereka iaitu PAS pernah tidur sebantal dengan PH untuk menentang BN.

Kerajaan Perpaduan Dan Kontroversi

Titah Yang di-Pertuan Agong akhirnya membawa kepada satu lakaran sejarah apabila buat pertama kali sejak PH dibentuk, BN menghulurkan salam perdamaian untuk bersama mentadbir negara dan hasilnya pada tarikh hari ini setahun lalu, Kerajaan Perpaduan ditubuhkan secara rasmi.

Keputusan terbabit bagaimanapun tidak sunyi daripada kontroversi, apabila ia sedikit sebanyak menyumbang kepada konflik dalaman, khususnya UMNO.

Pendirian Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang tegas menolak sebarang bentuk kerjasama dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP sebelum ini bagai ‘memakan diri’ kerana akhirnya prinsip tersebut terpaksa diketepikan.

Rentetan keputusan, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu menjadi mangsa tohmahan ramai, termasuk daripada kalangan pemimpin UMNO sendiri yang menyifatkan beliau ‘cakap tak serupa bikin’.

Walau sudah dijelaskan keputusan berkenaan bukan kerana ‘lapar kuasa’, mereka enggan mendengar malah mendesak agar Ahmad Zahid segera berundur.

Konflik dalaman ‘parti keramat Melayu’ itu boleh dianggap mencapai kemuncak dengan tindakan memecat serta menggantung keahlian beberapa figura ternama UMNO pada Januari lalu, iaitu dua bulan selepas Kerajaan Perpaduan dibentuk.

Pencapaian Dan Kejayaan

Dikepalai barisan Kabinet yang terdiri daripada pemimpin pelbagai parti, buat pertama kali juga Malaysia memiliki dua Timbalan Perdana Menteri, dengan satu portfolio dikhususkan buat masyarakat Borneo.

Sinergi ini selepas setahun, ternyata berhasil apabila semakin banyak isu dan permasalahan yang melatari kehidupan rakyat di Malaysia Timur berjaya diketengah dan diselesaikan.

Dengan keupayaan Datuk Seri Fadillah Yusof menjembatani simbiosis antara Borneo dan Semenanjung Malaysia, hubungan kedua bahagian negara ini semakin utuh.

Fadilllah selaku anak watan Bumi Kenyalang dilihat berupaya memainkan peranan sebagai penyatu hubungan Borneo dan Semenanjung, yang selama ini agak ‘terasing’ dek kekangan jarak.

Selain Fadillah, ada beberapa nama lain yang akhirnya diterima rakyat, susulan prestasi cemerlang masing-masing dalam menjalankan tugas diamanahkan.

Mendahului senarai pastilah Menteri Pengangkutan, Anthony Loke yang kembali menerajui kementerian tersebut selepas kali pertama berbuat demikian pada 2018.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke pada Mesyuarat Menteri Pengangkutan ASEAN ke-29 di Luang Prabang, Laos, baru-baru ini. - gambar media sosial Anthony Loke
Menteri Pengangkutan Anthony Loke pada Mesyuarat Menteri Pengangkutan ASEAN ke-29 di Luang Prabang, Laos, baru-baru ini. - gambar media sosial Anthony Loke

Bukan hanya berjaya menyelesaikan isu berbangkit pada kadar segera, Loke sebaik ‘mendaftar masuk’ terus agresif menjalankan pemeriksaan mengejut, termasuk ke atas beberapa sistem pengangkutan awam yang sering menjadi rungutan ramai.

‘Sempoi’ tanpa sebarang kerlipan ‘flash’ kamera, beliau gigih turun padang bagi melihat sendiri kelemahan yang perlu diperbaiki.

Kesannya? Banyak perubahan mula dirasai, termasuk kekerapan perjalanan kenderaan awam yang tidak lagi ‘terbabas’ dari waktu dan keadaan prasarana di beberapa stesen LRT/MRT.

Turut dianggap berjaya ialah Fadhlina Sidek selaku Menteri Pendidikan.

Menteri Pendidikan, Fahdlina Sidek ketika sambutan Hari Kanak-kanak peringkat sekolah di SK Putrajaya Presint 11 (1) pada 21 November. - gambar media sosial Fadhlina Sidek
Menteri Pendidikan, Fahdlina Sidek ketika sambutan Hari Kanak-kanak peringkat sekolah di SK Putrajaya Presint 11 (1) pada 21 November. - gambar media sosial Fadhlina Sidek

Seorang ibu dan pendidik, beliau pantas menyelami setiap inci masalah dihadapi golongan murid dan tenaga pengajar.

Berusaha turun sendiri dan hadir di setiap sekolah bermasalah, Fadhlina antara menteri yang tidak tunggu lama untuk bertugas.

Beliau aktif menghadiri pelbagai acara yang disusun pasukannya, tetapi pada masa sama tidak mengabaikan tanggungjawab sebagai Ahli Parlimen di Nibong Tebal.

Siapa Yang Gagal?

Membuka topik ini, pasti ramai bersetuju jika Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa dimasukkan dalam senarai.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Padang Terap di Sesi Kamar Khas, di Parlimen baru-baru ini. - gambar media sosial Dr Zaliha Mustafa
Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Padang Terap di Sesi Kamar Khas, di Parlimen baru-baru ini. - gambar media sosial Dr Zaliha Mustafa

Pelbagai rungutan diterima sejak beliau menyandang portfolio tersebut, khususnya atas kegagalan kementerian menyelesaikan beberapa isu berbangkit.

Paling riuh tentulah Hartal Doktor Kontrak yang masih menagih janji Kementerian Kesihatan (MOH) demi kelansungan hidup petugas sektor kesihatan.

Nasib Dr Zaliha sebenarnya agak ‘malang’ kerana beliau dibayangi mantan penyandang, Khairy Jamaluddin yang khabarnya amat disayangi warga kesihatan.

Pelbagai isu yang melingkari MOH memburukkan suasana, apatah lagi tatkala beliau dilihat gagal membela nasib warga kesihatan secara langsung atau tidak langsung.

Turut menjadi perhatian ialah Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil kerana Ahli Parlimen Lembah Pantai itu disifatkan ‘terlalu berlembut’ dalam menangani dakyah dan propaganda disebarkan pembangkang, sehingga adakalanya memakan diri sendiri.

Bukan sedikit suara yang meminta Ketua Penerangan PKR itu tampil lebih agresif dalam menangkis ‘peluru’ dilepaskan pihak lawan, agar rakyat tidak terus terpengaruh dengan anasir jahat mereka tetapi setakat ini, beliau masih seorang 'gentleman'.

Aura PMX

Kendatipun, segala lompong yang wujud itu nampaknya berjaya ditangani dengan baik oleh Anwar selaku Perdana Menteri.

Sosok yang satu ini sememangnya tidak pernah tewas dek puji, tak pernah tumbang dek keji.

Buatlah apa pun, beliau pada akhirnya tetap gagah bagai ‘phoenix bangkit dari abu’, garang dan terus berkepak megah.

Pembawakannya sebagai Teraju Negara jelas amat berbeza dengan perawakan sebagai Ketua Pembangkang yang disandang selama lebih 20 tahun.

Hadirnya beliau kali ini seolah membawa semangat luar biasa, dan ia diterjemahkan melalui gerak kerja yang cukup agresif.

Tak padan dengan usia yang mencecah 76 tahun (Anwar dilahirkan pada 10 Ogos 1947), pergerakannya cukup aktif, malah penat atau lelah seolah tidak pernah wujud dalam kosa katanya.

Karisma dimiliki jelas kelihatan dan ketika rakyat negara sendiri mencemuh (penyokong pembangkang pastinya), Ahli Parlimen Tambun itu menjadi sanjungan di luar negara.

Selamba menempelak Presiden Amerika, Joe Biden di Mesyuarat Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di San Francisco baru-baru ini, Perdana Menteri bagaikan hilang rasa takut.

Gila, ini memang kerja gila. Siapa sahaja yang berani bersuara di hadapan sekutu rapat Israel itu? Mau cari matikah?

Itulah Anwar. Bukanlah menghairankan sebenarnya kerana segala sepak terajang politik sudah beliau hadapi sebelum akhirnya berada di kerusi diduduki ketika ini.

Apapun, Malaysia needs more than just one Anwar to progress. This is not a one-man show. Seorang Anwar sahaja tidak akan mampu mengukuhkan seisi negara. Perlu ada jaringan yang konkrit dan dukungan daripada semua.

Perlu bangun semua menteri ini. Bukan hanya kutip gaji dan elaun setiap bulan, atau ke hulu ke hilir dengan polis pengiring. Mereka harus sedar, gelaran YB itu bukan Yang Berhormat sebenarnya, tetapi Yang Berkhidmat! Berkhidmat untuk siapa? Berkhidmat untuk negara dan rakyatlah! - Getaran, 24 November 2023

Berita Berkaitan

1

Politik 1 minggu yang lalu

PRK DUN KKB : Aspek Ekonomi Antara Fokus Kerajaan Perpaduan Sepanjang Kempen

2

Politik 2 minggu yang lalu

PRK Kuala Kubu Baharu: Kerajaan Perpaduan Ada Kaedah Pastikan Calon Menang

3

Politik 2 minggu yang lalu

PRK DUN Kuala Kubu Baharu: Calon Atas Nama Kerajaan Perpaduan, Bukan Parti - Zamry

4

Politik 2 minggu yang lalu

Kerajaan Setuju Salur Peruntukan Kepada Pembangkang - Fadillah

Sorotan

1

Kabinet Belum Bincang Kenaikan Harga Petrol Dan Diesel, Laporan Media Asing Tidak Betul – Fahmi

2

Pemohon Rayuan Haji Sudah Mula Terima Jawapan

3

TPM Ingatkan Sanusi Jangan Melalut Malam Ini

4

El Nino: Bekalan Lembu, Kambung Korban Mencukupi – Mohamad

5

Mangsa Skim Pelaburan Penipuan Berisiko Hilang Hak Untuk Pulih Kerugian – JSJK

6

SPRM Terima Beribu-ribu Dokumen Semasa Siasatan Kes 1MDB – Pegawai Penyiasat

Disyorkan untuk anda

Semasa 1 hari yang lalu

Mahkamah Tolak Saman Pegawai Khas Bekas AG Terhadap Rewcastle-Brown

Sukan 1 hari yang lalu

Sze Fei-Nur Izzuddin Bawa Malaysia Ke Separuh Akhir Piala Thomas Selepas 8 Tahun

Semasa 3 jam yang lalu

Polis Buru 2 Suspek Kes Tembak Di Pasir Mas

Semasa 3 jam yang lalu

Kabinet Belum Bincang Kenaikan Harga Petrol Dan Diesel, Laporan Media Asing Tidak Betul – Fahmi