KUALA LUMPUR – Klip video yang ‘melayang-layang’ di media sosial hanya berdurasi 35 saat namun cukup kuat untuk ramai pihak mempersoalkan pendirian Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sama ada akan menyertai Perikatan Nasional (PN) atau kekal solo sebagai blok ketiga.
Turut dipersoalkan pendirian parti yang diwakilinya, MUDA, sama ada akan menyokong PN atau sebaliknya.
Perasaan tidak berpuas hati ramai penyokong Pakatan Harapan (PH) dan MUDA jelas meributkan aplikasi X terutama bawah hantaran beberapa pemimpin dan ahlinya yang aktif menggunakan platform itu.
Seorang pemimpin akar umbinya, yang menggunakan handle @HishamHamzah jelas menyatakan pendiriannya untuk tidak serta jika Presiden partinya mahu berjuang bersama-sama PN.
“Anda mahu bersama-sama PH. Kami ikut. Anda minta kita bergerak sendiri. Kami ikut. Anda tarik kami keluar dari kerajaan. Kami ikut. Tuan Presiden, jika anda bawa kami ke sebelah sana… Kami tidak akan ikut,” katanya dalam hantaran dalam Bahasa Inggeris itu.

Menjawab soalan seorang pengguna X mengenai pemilihan parti, Hisham berkata, ia akan berlangsung tidak lama lagi tetapi ada banyak perkara yang perlu diuruskan.
Pendiriannya terhadap kerjasama dengan PN juga jelas melalui ciapan terdahulu serta turut senada dengan pemimpin MUDA di peringkat pusat seperti Bendahari Agung MUDA Shairy Hanapiah dan Ketua Biro Teknologi MUDA Khairi Zulfadhli Abu Bakar.
Shairy dalam ciapannya malam tadi, jelas menyatakan pendiriannya untuk tidak bersama-sama dengan PN.
Katanya, beliau banyak menerima mesej berhubung perkara itu.
“Banyak mesej yang aku terima. Mulanya aku diam sebab memang jelas aku setuju 3rd block.
“Tapi kalau parti aku ni decide bersama PN, itu alasan cukup untuk aku tinggalkan politik sepenuhnya. Aku jalan dengan hidup sendiri, as before,” katanya.

Khairi Zulfadhli yang sebelum ini tidak gentar mengkritik tindakan Syed Saddiq yang menggelarkan DAP sebagai lapdog UMNO, turut tidak teragak-agak menyatakan pendiriannya.
Beliau yang mempersoalkan tindakan Syed Saddiq bergambar bersama-sama Ahli Parlimen dari PN, berpendapat tindakan presidennya sebagai tidak bijak dalam menangani soal persepsi masyarakat terhadap imej yang tersebar itu.
“Memang bagus sangatlah. Seluruh netizen Twitter tengah menyampah dengan Syed Saddiq, dia siram lagi minyak ke api yang marak.
“Bukan baru semalam dalam politik. Dah jadi Menteri, dah menang PRU 2 kali. Apa yang dia bebal sangat tak faham pasal persepsi?” katanya.


Khairi Zulfadhli turut mengantar ciapan bahawa beliau selama ini beria-ia melawan PN, namun kecewa kerana presidennya sendiri minum kopi bersama-sama dengan pemimpin dan Ahli Parlimen PN.
Katanya, beliau juga sudah berkali-kali menegur presidennya sendiri, tetapi kali ini biarlah teguran dibuat secara terbuka selain mengutuskan serangkap pantun.
Klip video berkenaan yang diulang kongsi beberapa kali melalui Twitter memaparkan Syed Saddiq yang duduk Bersama dengan pemimpin PN termasuk Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Tan Sri Muhyiddin Yassin, Naib Presidennya, Datuk Dr Mohd Radzi Jidin dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin. – Getaran, 14 September 2023
