KUALA LUMPUR - Kenyataan Mursyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin agar hubungan UMNO dan parti itu yang ‘terputus’ sebelum ini dirapatkan menerusi program berlandaskan Islam melangkaui perbezaan parti, disifatkan sebagai perkara positif untuk kedua-dua parti.
Ahli Majlis Ulama UMNO, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, ini kerana kedua-dua parti itu seharusnya perlu sentiasa bekerjasama dalam memperkukuhkan Islam di negara ini, termasuk membina perpaduan umat dan rakyat.
“Secara peribadi saya ucapkan jutaan terima kasih kepada Mursyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin yang mengalu-alukan penubuhan Majlis Ulama UMNO.
“Harapan beliau agar UMNO dan PAS dapat dirapatkan hubungan menerusi program berlandaskan Islam yang melangkaui perbezaan parti amat wajar,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Khairuddin yang juga mantan Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS berkata, Majlis Perundingan Islam (MPI) turut akan disemarakkan kembali.
Jelas beliau, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut meminta Majlis Ulama parti itu untuk memainkan peranan utama dalam menjayakan MPI.
“Sebelum ini MPI yang menghimpunkan 83 tokoh Islam digerakkan dan dipengerusikan Ahmad Zahid selaku Timbalan Perdana Menteri pada 2016, turut disertai pimpinan PAS. Malah Mursyidul Am PAS ketika itu, Datuk Dr Harun Din dilantik mengetuai Kluster Dakwah, MPI.
“Sebanyak tujuh program dalam bentuk Multaqa dan Ijtimak menghimpunkan lebih ramai lagi tokoh Islam dalam masyarakat, termasuk daripada PAS berjaya dilaksanakan antara 2016 hingga 2018. Resolusi Multaqa dan Ijtimah berjaya dilaksanakan sebahagiannya ketika itu,” katanya.
Semalam, Hashim amat mengalu-alukan penubuhan Majlis Ulama UMNO kerana ia mampu merapatkan hubungan parti itu dengan PAS.
Ujarnya, hubungan kedua-dua parti itu boleh dirapatkan melalui program berlandaskan Islam yang melangkaui perbezaan politik.
“Kalau dia buat program apa pun, sama ada untuk parti atau rakyat, program itu akan berlandaskan agama contohnya sambutan Maulidur Rasul. Saya rasa tak ada sebab kalau tak undang PAS.
“Saya mengalu-alukan kerana kita fikir ke arah perpaduan,” katanya.
Kelmarin, Ahmad Zahid mengumumkan Khairuddin menyertai Majlis Ulama UMNO.
Beliau memaklumkan perkara itu menerusi hantaran Facebook mengenai pertemuannya dengan Pengerusi Majlis Ulama UMNO, Datuk Dusuki Ahmad, hari ini.
“Insya-Allah beliau (Dusuki) juga akan dibantu oleh Datuk Dr Khairuddin Aman Razali yang pernah menjadi Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS,” katanya.
Pertemuan itu adalah yang pertama sejak Majlis Ulama UMNO diumum ditubuhkan pada Perhimpunan Agung UMNO 2022 berakhir Sabtu lalu. – Getaran, 19 Januari 2023