KUALA LUMPUR - Jangan sibuk dalam hal yang tidak berkaitan dan membiarkan diri menjadi perkakas politik, kata Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi satu ingatan terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Beliau yang dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman untuk memberikan keterangan berkata, kuasa dimiliki pihak berkaitan seharusnya digunakan pada landasan sepatutnya.
Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson hadir bagi memberi keterangan berhubung rakaman audio perbualan, yang didakwa membabitkan beliau dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Katanya, beliau dipanggil sebagai saksi dan memberikan kerjasama penuh kepada pihak polis.
“Polis gunakan peruntukan Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan (kerana mendatangkan khianat awam dengan niat hendak menyebabkan ketakutan kepada orang awam) tapi sebagai saksi.
“Soalnya, saya tak tahu kes rasuah mana, kes ugutan mana, kes jenayah mana… tapi saya beri kerjasama. Malah saya beritahu kalau ada pendakwaan, saya akan beri keterangan lengkap,” katanya ketika ditemui selepas memberi keterangan, di sini, hari ini.
Awal April ini, satu audio berdurasi 4 minit 17 saat mirip suara Anwar dan Ahmad Zahid tular di media sosial berkaitan Perhimpunan Agong UMNO.
Anwar memberitahu, beliau turut membangkitkan kewajaran terhadap siasatan berhubung isu ini yang disifatkannya sebagai berunsurkan politik.
“Kerajaan (Perikatan Nasional) nampak sangat terdesak sekarang, apa kaitannya dengan kemelesetan ekonomi, kegawatan politik dan penyalahgunaan kuasa yang berlaku sekarang.
“Keduanya, saya sebut juga, ada penyebaran meluas dalam media sosial mengenai audio rakaman yang didakwa Tan Sri Muhyiddin (Yassin), Perdana Menteri mengenai scheme of things melibatkan ugutan dan rasuah,” katanya.
Anwar berkata, beliau turut mempersoalkan kewujudan siasatan berkenaan yang bersifat antara dua darjat.
“Terkini, ada penyebaran audio didakwa suara Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin mengenai susun atur pegawai kanan dan tertinggi dalam PDRM.
“Jadi saya tanya sekali lagi, adakah ada siasatan dalam kes seperti ini yang jauh lebih serius kerana melanggar beberapa peraturan dan jaminan bahawa beliau (Hamzah) tidak campur tangan dalam urusan ini,” katanya.
Anwar turut membangkitkan isu penularan audio pemimpin yang dianggapnya semakin serius dan menjadi-jadi sejak kebelakangan ini.
“Macam mana rakyat nak yakin dengan sistem dalam negara ini? Dulu ada rakaman mantan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) dan isteri (Datin Seri Rosmah Mansor), sekarang ada rakaman Menteri Dalam Negeri (Hamzah).
“Jadi siapa yang boleh dianggap selamat dalam negara ini? Ini mesti dijawab oleh pihak polis,” katanya. - Getaran, 27 April 2021

