KUALA LUMPUR - Kiasan mantan Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa di Facebook dipercayai ditujukan kepada UMNO selepas beliau dipercayai dipecat parti itu malam tadi, mendapat perhatian Ketua Penerangannya, Isham Jalil.
Isham mendakwa keputusan MKT memecat tiga ketua bahagian UMNO malam tadi sebagai usaha mengeluarkan pemimpin yang bertindak umpama ‘api dalam sekam’ dalam parti itu.
Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil berkata, langkah itu dilakukan memandangkan pihak berkenaan mahu melihat parti itu berada dalam keadaan merempat dan berpaut pada parti lawan.
“Saya juga ada mimpi semalam. Saya mimpi dalam rumah kita ada api dalam sekam. Api itu mahu bakar rumah kita supaya kita merempat dan pergi menumpang rumah orang lain.
“Orang lain itu adalah tuan kepada api ini dan dia sudah lama mahu bakar rumah kita dan halau kita keluar dari rumah sendiri.
“Sebelum rumah kita terbakar, kita perlu keluarkan api dalam sekam ini. Baru rumah kita selamat dan keluarga kita bahagia. Semoga Allah SWT merahmati kita semua,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook, hari ini.
Terdahulu Annuar mendakwa UMNO ibarat sebuah rumah pusara yang sedang terbakar sehingga menyebabkan ramai penghuninya lari, tetapi mereka yang berusaha memadamkan kebakaran itu, ditarik keluar daripada api yang sedang marak.
Dalam mesyuarat MKT malam tadi, selain Annuar, dua lagi pemimpin akar umbi yang dipecat adalah Ketua Wanita UMNO Bahagian Arau, Datuk Seri Shamsiah Yasin, serta Ketua Wanita UMNO Bahagian Maran, Datin Seri Fatimah Kassim.
Shamsiah dan Fatimah bulan lalu digantung sementara seluruh jawatan mereka atas dakwaan terbabit secara langsung atau tidak langsung, menyokong calon parti lawan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Shamsiah adalah isteri kepada Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kasim manakala Fatimah pula isteri kepada Ahli Parlimen Maran, Datuk Seri Ismail Abd Muttalib.
Kedua-dua Ahli Parlimen itu bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) pada PRU-15 baru-baru ini.
Keputusan pemecatan itu diumumkan Ahli MKT, Datuk Mohd Puad Zarkashi ketika ditemui media di Menara Dato’ Onn di sini, selepas selesai mesyuarat dipengerusikan Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Mengulas lanjut, Isham turut menasihatkan Annuar supaya reda dengan segala ketentuan Allah SWT.
“Mungkin Tan Sri impikan nak jadi menteri lagi tapi tidak jadi dan tiada rezeki. Tidak mengapa, reda sahajalah ketentuan Allah SWT, Dia penentu segala.
“Kita hanya manusia yang berusaha, jika Allah tidak izin, maka adalah sebabnya.
“Menang itu penting, namun bagaimana kita menang itu lebih penting, jika sumber kemenangan itu tidak berkat, maka kifarah akan bersemuka,” katanya.
Annuar tidak dinamakan sebagai calon BN untuk bertanding di kerusi Parlimen Ketereh pada PRU-15.
Tempat beliau digantikan Ketua Puteri UMNO Bahagian Ketereh, Marzuani Ardila yang gagal mempertahankan kerusi tersebut selepas hanya mendapat 17, 435 undi.
Kerusi Parlimen Ketereh dimenangi calon PN, Mejar Jeneral (B) Datuk Khlir Mohd Nor (PN) dengan majoriti 23,107 undi. - Getaran, 9 Disember 2022