Berita Terkini

2 hari yang lalu: Hafizul Hawari yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak di KLIA Terminal 1 pada 14 April lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pagi tadi terhadap 7 pertuduhan 3 hari yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut 1 minggu yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 2 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 2 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok.

IKUTI KAMI


Bolehkah Anwar Tubuh Kabinet Seimbang, Puaskan Hati Semua Pihak?

Politik Dikemaskini 1 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 26 Nov 2022 2:23PM

Anwar Ibrahim perlu mengimbangi tuntutan komponen dalam kerajaan perpaduan agar calon pilihan mereka dilantik, selain jangkaan orang ramai dan kumpulan masyarakat sivil - Gambar oleh Abdul Razak Latif

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

KUALA LUMPUR - Selepas mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Ke-10, cabaran besar pertama Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah jangkaan yang memuncak terhadap komposisi Kabinetnya.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu perlu mengimbangi tuntutan komponen dalam kerajaan perpaduan agar calon pilihan mereka dilantik, selain jangkaan orang ramai dan kumpulan masyarakat sivil bahawa hanya individu bersih yang berkaliber dan cekap dilantik.

Spekulasi sudah kedengaran bahawa Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sedang meminta jawatan menteri kanan, kononnya sebagai sebahagian daripada strategi lebih besar untuk mengukuhkan kedudukannya dalam parti, menjelang pemilihan akan datang yang bakal diadakan selewat-lewatnya Mei tahun depan.

Terdapat juga tuntutan pelbagai parti agar Ahli Parlimen mereka dilantik secukupnya dalam Kabinet yang sepatutnya mencerminkan kesesuaian jumlah kerusi dimenangi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Namun bagi presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Muhammad Mohan, ia tidak sepatutnya menjadi faktor utama dalam pertimbangan Anwar ketika menamakan menteri dan timbalan menteri.

Muhammad Mohan - Gambar Fail
Muhammad Mohan - Gambar Fail

Baginya, Anwar harus melihat melangkaui daripada sekadar memastikan setiap parti mendapat bahagian saksama daripada ‘pai’ (peratusan) Kabinet.

Sebaliknya, Muhammad menekankan kepentingan melantik hanya mereka yang benar-benar berkualiti, walaupun langkah tersebut bermakna sesetengah parti mungkin mempunyai kurang anggota Kabinet, berbanding kerusi dimenangi pada PRU-15.

“Anwar tidak sepatutnya melantik pemimpin tertentu hanya untuk memastikan rakan gabungannya gembira,” kata Muhammad kepada The Vibes semalam.

Paling kritikal, tegasnya, Presiden PKR terbabit harus mengelak daripada memilih Ahli Parlimen dengan pertuduhan mahkamah untuk memupuk keyakinan orang ramai terhadap pentadbirannya serta memastikan Kabinet benar-benar bersih, manakala mereka yang dilantik harus mengisytiharkan harta secara terbuka menerusi semangat ketelusan.

Selain itu, beliau berkata, adalah penting bagi Anwar memilih hanya mereka yang benar-benar layak dalam bidang masing-masing dan berdasarkan latar belakang pendidikan mereka.

Jika perlu, Muhammad berkata, pelantikan golongan profesional sebagai menteri atau timbalan menteri turut akan memberi manfaat kepada Anwar dengan menjadikan mereka senator.

“Malah, pemimpin tertentu yang bertanding pada pilihan raya itu tetapi kalah, jika mereka layak, berkebolehan dan boleh menambah nilai kepada kerajaan, kenapa tidak (dilantik)?” soalnya.

Pengerusi Badan Pemantau Pilihan Raya BERSIH, Thomas Fann juga berkata, kelayakan dan kecekapan harus menjadi kriteria utama ketika Anwar mempertimbangkan pilihan barisan menteri.

Thomas Fann - Gambar Fail
Thomas Fann - Gambar Fail

Bagaimanapun, beliau berkongsi pandangan berbeza dengan Muhammad apabila percaya bahawa perwakilan dalam Kabinet harus mencerminkan kekuatan parti yang mereka wakili.

Menurutnya, langkah tersebut untuk mengelakkan kejadian di mana hampir semua Ahli Parlimen daripada rakan kongsi yang lebih kecil berada di ‘bangku hadapan’ Parlimen, manakala mereka dari parti lebih kuat (memenangi lebih banyak kerusi), di posisi belakang (backbencher).

Di antara komponen Kerajaan Perpaduan, sudah terdapat tuntutan dibuat untuk jawatan penting tertentu.

Satu daripadanya adalah Anwar secara terbuka mengakui bahawa kedua-dua jawatan Timbalan Perdana Menteri, berkemungkinan diberikan kepada Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS), dua gabungan yang mempunyai perwakilan signifikan di Parlimen.

Persoalan kini akan diutarakan adalah mengenai siapa calon yang mungkin dilantik, dengan orang dalam UMNO mengesahkan kepada The Vibes bahawa Ahmad Zahid adalah satu daripada pilihan itu, bersama beberapa nama lain seperti pemimpin nombor dua parti, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Jika Ahmad Zahid benar-benar dilantik, kebimbangan dijangka berlaku dalam kalangan anggota kerajaan, memandangkan perbicaraan kes rasuahnya sedang berlangsung.

Ahmad Zahid Hamidi - Gambar Fail
Ahmad Zahid Hamidi - Gambar Fail

Di Sabah, UPKO juga menggesa Anwar untuk sekurang-kurangnya melantik seorang menteri daripada parti itu untuk mewakili PH Sabah dengan Ahli Parlimen Penampang daripada parti itu, Datuk Ewon Benedick menyatakan harapan berada dalam Kabinet, sekali gus dapat mendesak pelaksanaan janji berkaitan dengan Malaysia Timur ditunai.

Dalam pada itu, Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Mohd Noor dan Presiden Parti Warisan (WARISAN), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, masing-masing memberitahu The Vibes bahawa mereka akan memberi ruang dan kebebasan kepada Anwar untuk membuat keputusan sendiri.

Pengerusi PH berkenaan dijangka membuat sekurang-kurangnya beberapa pelantikan daripada negeri berkenaan untuk mengelakkan sebarang kemungkinan ketidakpuasan hati.

Selain itu, Anwar juga perlu mempertimbangkan sama ada akan melantik pemimpin daripada gabungannya sendiri yang terlibat dalam kes mahkamah, termasuk Pengerusi DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Dengan adanya parti bukan PH yang menyertai kerajaan, bersama-sama dengan janji Kabinet yang lebih bersih, Anwar dilihat terpaksa membelakangkan beberapa Ahli Parlimen gabungan itu sebagai bakal menteri.

Bagaimana ahli PH bertindak balas terhadap perkara tersebut bergantung kepada kemurahan hati dan pemikiran yang luas untuk melihat kerajaan perpaduan terbabit berjaya.

Berdepan kekangan untuk menenangkan semua pihak, termasuk orang awam, pengumuman Kabinet Anwar dijangka akan menghadapi penelitian serius daripada dalam dan luar pentadbirannya. – The Vibes, 26 November 2022

Berita Berkaitan

1

Semasa 11 jam yang lalu

Elak Ketirisan, Perkukuh Tatakelola, Boleh Beri Upah Lumayan Kepada Pekerja - PM

2

Politik 1 hari yang lalu

PRK DUN KKB : Aspek Ekonomi Antara Fokus Kerajaan Perpaduan Sepanjang Kempen

3

Semasa 5 hari yang lalu

Kes Najib: Keputusan Lembaga Pengampunan Adalah Muktamad - PM

4

Politik 5 hari yang lalu

MIC Janji Bantu Kempen PRK Kuala Kubu - PM

Sorotan

1

Anak MB Perlis, 4 Yang Lain Dilepas Dengan Jaminan SPRM

2

Pemilik Stesen Minyak Diminta Lapor KPDN Jika Diancam Sindiket

3

Najib Diberi Peluang Jelaskan Mengenai Dokumen 1MDB Ketika Disoal Siasat - Pegawai SPRM

4

Elak Ketirisan, Perkukuh Tatakelola, Boleh Beri Upah Lumayan Kepada Pekerja - PM

5

5 Laluan Ditutup Sementara Sempena Hari Penamaan Calon PRK KKB Esok

6

Misi Pelayaran Ke Gaza Ditangguhkan Berikutan Tekanan Rejim Zionis - FFC

7

Najib Tak Pernah Arah Pengurusan 1MDB Pindah US$1.03 Bilion Kepada Syarikat Jho Low – Saksi

Disyorkan untuk anda

Semasa 1 hari yang lalu

Pengebumian Joanna Diiringi Tangisan Anaknya

Luar Negara 13 jam yang lalu

Misi Pelayaran Ke Gaza Ditangguhkan Berikutan Tekanan Rejim Zionis - FFC

Semasa 6 jam yang lalu

Anak MB Perlis, 4 Yang Lain Dilepas Dengan Jaminan SPRM

Semasa 1 hari yang lalu

Norjuma Didakwa Cederakan 3 Individu, Berbuat Khianat

oleh Wartawan Getaran