Berita Terkini

38 minit yang lalu: Tenaga kerja pakar asing untuk kerja kritikal, kecemasan boleh masuk ke negara ini guna Pas Lawatan Sosial - KP Imigresen 53 minit yang lalu: Aplikasi MySejahtera akan dijadikan alat pengurusan kesihatan awam negara - Khairy 1 jam yang lalu: Angka kematian letupan bunuh diri Afghanistan meningkat 53: UNAMA 1 jam yang lalu: 12 peratus anak muda suarakan isu politik berkaitan kestabilan, prestasi kerajaan serta kualiti dan kematangan pemimpin menerusi Idea Bina Negara - PM 1 jam yang lalu: Platform digital Idea Bina Negara terima lebih daripada 12,000 idea anak muda seluruh negara - PM

IKUTI KAMI


PAS Mainkan Retorik Agama, Kaum Demi Kuasa, 'Cakap Tak Serupa Bikin'

Politik Dikemaskini 1 minggu yang lalu · Diterbitkan pada 21 Sep 2022 7:04AM

Fakhrurrazi Rashid berkata pendirian Abdul Hadi berhubung konsep ‘Malaysian Malaysia’ dilihat sebagai tindakan atau matlamat politik menjelang PRU-15. - Gambar Bernama

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

KUALA LUMPUR - Memperjuang nilai Islam dan menyubur rasa perpaduan dalam kalangan rakyat bagi memelihara kehidupan politik sihat, menjadi antara matlamat utama di sebalik penubuhan PAS.

Namun, ia didakwa tidak sehaluan dengan tindakan dan kata-kata sering diungkapkan segelintir pemimpinnya, termasuk orang nombor satu parti itu, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang gemar mencetuskan sentimen perkauman serta bersikap rasis.

Lebih melampau, Abdul Hadi baru-baru ini, mengeluarkan kenyataan bahawa majoriti daripada golongan paling besar merosakkan politik dan ekonomi negara adalah dalam kalangan bukan Islam serta bukan Bumiputera.

Abdul Hadi Awang - Gambar Bernama
Abdul Hadi Awang - Gambar Bernama

Kenyataan itu ditempelak pelbagai pihak, termasuk pemimpin Melayu DAP kerana disifatkan cukup rasis, provokasi dan mengguris hati golongan bukan Islam, sekali gus mencetuskan persoalan adakah benar PAS berpegang erat kepada ajaran Islam seperti dilaungkannya kerana agama tidak membenarkan tindakan memburukkan sesuatu kaum.

Malah, hari demi hari, pemimpin PAS didakwa semakin tersasar daripada perjuangan nilai Islam sebenar dan galak mengaitkan agama dengan politik mereka.

Kononnya berpolitik atas dasar Islam, tetapi hakikatnya didakwa menunggang agama demi kepentingan kuasa parti dan ‘indah khabar dari rupa’ apabila tidak menunjukkan erti perjuangan sebenar.

Antara bukti jelas boleh dilihat adalah sebagai kerajaan, PAS sepatutnya sentiasa memperjuang kebajikan, meningkatkan taraf hidup dan sosio ekonomi rakyat seperti dituntut Islam, namun selama 32 tahun mentadbir Kelantan, tiada perubahan dilakukan parti itu di negeri berkenaan, seperti didakwa Presiden Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA), Datuk Dr Ibrahim Ali.

Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid
Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid

Mengulas perkara itu, Pengerusi Majlis Dakwah Negara (MDN), Profesor Emeritus Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid berkata, PAS sememangnya ‘parti ideologi’ kerana itu adalah modal untuk ia terus menempatkan diri dalam politik negara.

Justeru, katanya, PAS akan terus bercakap soal ideologi sampai bila-bila.

“Kita kena tengok keadaan semula jadi parti itu kerana PAS kalau tidak bercakap mengenai ideologi, maka ia tiada (tempat).

“Itu modal dia (PAS)...Macam UMNO, kalau tidak bercakap mengenai pembangunan, ia hendak cakap soal apa? Itulah modalnya,” katanya.

Disebabkan ideologi itu, beliau berpandangan, politik di Malaysia sudah ‘rosak’, justeru perlu dilakukan pembaharuan dalam ekosistemnya.

“Saya melihat secara ‘mata burung’, itulah yang berlaku dalam masyarakat kita. Parti politik sekarang ini sudah berada dalam persekitaran rosak,” katanya.

Gambar fail
Gambar fail

Bagi Pensyarah Sains Politik, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr Ahmad Fauzi Abdul Hamid, retorik kaum dan agama sukar dipisahkan daripada PAS, selagi ia mampu memberi keuntungan terhadap parti tersebut daripada segi meraih undi.

Susulan pegangan itu, katanya, tidak hairan menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), PAS akan terus memainkan retorik sedemikian kerana ia adalah kekuatan teras parti berkenaan dan mereka dilihat ‘cemerlang’ dalam perkara terbabit.

“Isu ini (kaum dan agama) sememangnya paling menguntungkan parti untuk mendapat sokongan, sama ada ia bagus atau tidak kepada keharmonian nasional kerana itu bukan soalnya. Malah, sejauh mana isu itu memberi untung atau tidak kepada Keluarga Malaysia, itu pun soal lain (bukan perkara utama).

“Kita nampak memang ada kenyataan tertentu seperti memecah belahkan sesuatu pihak (kaum), tetapi ia memberi markah kepada parti untuk mencapai matlamat,” katanya ketika dihubungi.

Ditanya sama ada pemimpin PAS yang memegang jawatan dalam kerajaan Persekutuan sedar dengan hakikat bahawa isu utama membelenggu orang Melayu dan rakyat ketika ini, adalah kos sara hidup serta kenaikan harga barang yang masih tidak mampu diselesaikan sebaik mungkin, Ahmad Fauzi percaya mereka mengetahuinya.

“Kekecewaan terhadap politik sebeginilah yang membuatkan tokoh tertentu, seperti Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali (Ahli Parlimen Kuala Nerus), tinggalkan PAS sebab beliau berpengalaman menjadi menteri Kabinet, sudah tentulah berfikir dari kerangka nasional,” katanya.

Beliau berkata, bagi masyarakat Melayu yang menetap di luar kelompok dominan kaum terbabit, iaitu seperti di bandar atau negeri pantai barat yang sudah biasa dengan konteks masyarakat majmuk, retorik PAS itu tidak mampu ‘mengambil hati’ mereka sepenuhnya.

Katanya, retorik PAS itu lebih mengena dalam kalangan penduduk Melayu dominan sehingga mewujudkan mentaliti terkepung, kononnya komuniti mereka sentiasa terancam oleh bukan Melayu, sekali gus seolah-olah bangsa, institusi dan agama berisiko terjejas.

Isu membimbangkan masyarakat Melayu itu, sering ‘dimainkan’ di kedai kopi dan menyebabkan mereka khuatir serta membuat keputusan mendukung parti PAS demi meraih kuasa.

Selain itu, Koordinator Penyelidik Research for Social Advancement (REFSA), Fakhrurrazi Rashid berkata, PAS gagal memaparkan idea bernas dalam menyelesaikan cabaran rakyat yang kian mendesak, khususnya dalam era geopolitik dan krisis ekonomi tidak menentu.

Pada masa sama, beliau berkata, pendirian Abdul Hadi berhubung konsep ‘Malaysian Malaysia’ walaupun secara asasnya semua rakyat Malaysia, terutama orang Melayu sudah menerima hakikat kemajmukan masyarakat, dilihat sebagai tindakan atau matlamat politik menjelang PRU-15.

Abdul Hadi menerusi tulisannya di Facebook baru-baru ini menegaskan, PAS menolak konsep Malaysian Malaysia atau ‘Malaysia milik rakyat Malaysia’ yang menjadi prinsip asas DAP untuk menunjukkan parti pimpinan Anthony Loke, menolak ketuanan terhadap mana-mana kaum.

Menurut Ahli Parlimen Marang itu, PAS membuat keputusan berkenaan kerana konsep terbabit bercanggah dengan ajaran Islam, malah fanatik kaum juga mesti ditolak, sekali gus mengulangi pendirian PAS untuk tidak bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya umum akan datang.

Fakhrurrazi berpandangan, imej keras Abdul Hadi berhubung konsep itu, sukar mendapat sokongan orang Melayu yang lebih cenderung memilih parti sederhana dalam pilihan raya.

“Ini hanya menambahkan peluang lawan, iaitu Barisan Nasional (BN) dan PH untuk mendapat undi atas pagar. Imej PAS akan membawa liabiliti kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan rakan Perikatan Nasional (PN),” katanya. - Getaran, 21 September 2022

Sorotan

1

Wai Ching Cipta Rekod Baharu Di Space Needle, Seattle

2

‘Saya Akan Sekolahkan Kamu, Harap Guan Eng Tak Kecut’ - Saravanan

3

Syarikat Permainan Malaysia Catat Jualan Eksport RM124.67 Juta Di Tokyo Game Show

Disyorkan untuk anda

Politik 1 hari yang lalu

UMNO Kelantan Serah Senarai Calon PRU-15 Esok - Ahmad Jazlan

Semasa 1 hari yang lalu

Menara Telekomunikasi Akan Dibina Di Pulau Sipadan - Mohammad

Politik 1 hari yang lalu

UMNO Tiada Majoriti Untuk Desak Pembubaran Parlimen - Anwar

oleh A. Azim Idris

Semasa 1 hari yang lalu

Kelewatan Projek LCS Jejas Perancangan TLDM – Panglima Tentera Laut