web statsweb stats

Berita Terkini

5 bulan yang lalu: Najib Razak dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.4 bilion untuk kesemua 25 pertuduhan 6 bulan yang lalu: Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin disahkan meninggal dunia 7 bulan yang lalu: Ismanira Abdul Manaf, ibu kepada kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan didapati bersalah atas tuduhan pengabaian anak hari ini 7 bulan yang lalu: PRN Sabah: Penamaan calon ialah pada 15 November manakala mengundi awal pada 25 November - SPR 8 bulan yang lalu: Semua kapal yang menyertai misi FFCxTMTGM telah dipintas tentera Israel dalam lingkungan 120 batu nautika dari Gaza - MyCARE

IKUTI KAMI


Jika Tok Mat Bertanding Di Rembau, Adakah KJ Berpeluang Tanding Kerusi Lain?

Politik Dikemaskini 3 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 13 Sep 2022 7:00AM

Kesediaan Khairy Jamaluddin memberi laluan kepada Mohamad Hasan di Parlimen Rembau menimbulkan pelbagai reaksi daripada kalangan penganalisis politik. - Gambar fail

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

KUALA LUMPUR - Kesediaan Khairy Jamaluddin memberi laluan kepada Datuk Seri Mohamad Hasan di Parlimen Rembau sedangkan keputusan mengenainya belum dibuat Timbalan Presiden UMNO itu menimbulkan pelbagai reaksi daripada kalangan penganalisis politik.

Ada penganalisis berpendapat, Khairy yang juga Menteri Kesihatan berkemungkinan berasa terancam apabila Mohamad yang lebih dikenali sebagai Tok Mat menyatakan hasratnya untuk bertanding kerusi Parlimen di Negeri Sembilan.

Ini memandangkan Tok Mat merupakan Ketua UMNO Bahagian Rembau sedangkan Khairy ialah timbalannya.

Justeru, Geostrategis, Dr Azmi Hassan berpandangan, Khairy dikatakan membuat satu strategi awal ke arah itu.

"Tetapi saya melihat strategi tersebut memakan diri sendiri. Ia seolah-olah beliau tidak begitu yakin (kerusi) selain Rembau, apakah beliau mampu diberi peluang bertanding di kerusi Parlimen Negeri Sembilan yang lain, umpamanya.

"Bagi saya, kerusi yang dimiliki oleh Barisan Nasional (BN) sekarang seperti Kuala Pilah umpamanya, sukar untuk diberi kepada Khairy kerana sudah pasti ketua bahagian atau pemegang kemenangan mahu mempertahankan kawasan miliknya," katanya ketika dihubungi Getaran.

Khairy baru-baru ini mengesahkan beliau tidak akan mempertahankan kerusi Parlimen Rembau pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Katanya, ia berikutan beliau telah diminta untuk memberikan laluan kepada Tok Mat yang berhasrat untuk bertanding di kerusi berkenaan.

Namun begitu, Mohamad baru-baru ini menegaskan, beliau tidak pernah menyuarakan secara spesifik hasrat untuk bertanding di Parlimen Rembau dalam PRU15.

Beliau berkata, apa yang disuarakan hanyalah hasratnya untuk bertanding pada peringkat Parlimen selepas memegang kerusi Dewan Undangan Negeri sejak 2004. 

Azmi menambah, Khairy seharusnya diberi peluang untuk bertanding di kawasan parlimen lain yang gagal dimenangi BN, kecuali Seremban atau Rasah kerana kedua-dua kawasan itu merupakan kubu kuat DAP.

"Tetapi di Port Dickson ada kemungkinan, begitu juga di Tampin. Peluang seharusnya diberikan kepada Khairy kerana pada saya, beliau membawa manifestasi UMNO iaitu mahukan ahli politik yang boleh bekerja dan Khairy telah membuktikan bahawa beliau sebagai Menteri Kesihatan telah melaksanakan tanggungjawabnya dengan baik," katanya.

Sehubungan itu, Azmi memberitahu, UMNO memperoleh lebih banyak manfaat jika memberi peluang kepada Khairy untuk terus bertanding, berbanding menyekatnya daripada berbuat demikian. 

Dalam perkembangan berkaitan, penganalisis politik Universiti Malaya, Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berpendapat, isu di kerusi Rembau dilihat berkisar tentang hakikat bahawa jawatan Ketua Bahagian UMNO disandang Mohamad manakala Khairy ialah timbalannya.

Beliau berkata, lama-kelamaan apabila tiba masanya, sudah pasti Mohamad akan bertanding sebagai Ahli Parlimen, lebih-lebih lagi beliau memegang jawatan kedua tertinggi dalam hierarki UMNO.

"Isu kerusi Rembau adalah siapa nombor satu di Rembau. Ia adalah perkara asas untuk difahami dalam hierarki peringkat bahagian," katanya.

Awang Azman menjelaskan, Khairy wajar bertanding di kawasan campuran seperti di Seremban dan Port Dickson kerana imejnya sebagai Menteri Kesihatan dikaitkan dengan penerimaan pelbagai etnik dan suara anak muda.

Sehubungan itu, tambahnya, mantan Ketua Pemuda UMNO tersebut sepatutnya meletakkan diri sebagai 'giant killer' di Seremban dan Port Dickson.

"Jika menang di kawasan tersebut, beliau akan disegani dalam dan luar UMNO, sekali gus membuktikan beliau mampu menggalas mandat sebagai calon Perdana Menteri pada masa akan datang, tanpa bergantung kepada undi Melayu semata-mata seperti pemimpin konservatif UMNO yang lain.  

"Dengan ini beliau mampu meletakkan penanda aras tersendiri dalam UMNO," katanya.

Sementara itu, seorang lagi penganalisis, Profesor Dr James Chin berpandangan, sekiranya Tok Mat dapat mencari kerusi yang lebih selamat daripada Rembau pada saat-saat akhir, sudah tentu Khairy akan diberi peluang untuk terus mempertahankan Parlimen terbabit.

Jelasnya, bagi kerusi pedalaman, masih terdapat masa yang mencukupi  untuk, penukaran calon pada saat akhir memandangkan Tok Mat dikenali secara mendalam oleh rakyat Negeri Sembilan.

"Sudah tentu Khairy mahu kekal di Negeri Sembilan, beliau telah membina 'base' politik di negeri itu bertahun lamanya.

"Ini bukan perselisihan dalaman UMNO, tetapi hanya melibatkan Tok Mat yang mencari kerusi Persekutuan kerana mahu meletakkan kedudukannya sebagai calon kompromi (compromised candidate) dimiliki UMNO sebagai Perdana Menteri pada masa depan.

"Tok Mat tahu jika kluster mahkamah dan kluster kerajaan tidak dapat bersetuju, beliau boleh dijadikan calon kompromi dan secara rasmi beliau boleh meminta tempat tersebut kerana jika UMNO menang PRU15, beliau adalah pemimpin nombor dua," katanya.

Ditanya kawasan wajar ditandingi Khairy, James memberitahu, Menteri Kesihatan itu secara jelas sesuai bertanding di kawasan bandar.

“Khairy memiliki persona sebagai seorang profesional bandar (urban professional),” katanya. - Getaran, 13 September 2022

Berita Berkaitan

1

Politik 2 minggu yang lalu

Sokong Bubar DUN Negeri Sembilan, PRN Johor Mungkin Dalam Masa Terdekat - Tok Mat

2

Semasa 1 bulan yang lalu

‘Laksanakan Semula GST, Guna Nama Lain Pun Tak Apa’ - KJ

3

Semasa 2 bulan yang lalu

Evakuasi Rakyat Malaysia Di Asia Barat Masuki Fasa Akhir 

4

Semasa 3 bulan yang lalu

RUU Hadkan Tempoh Perkhidmatan PM Gagal Diluluskan, Hanya Terima Sokongan 146 Ahli Parlimen 

Sorotan

1

Lelaki Guna Pembesar Suara Cetus Kebimbangan, Dakwa Kononnya COVID-19 Kembali Menular

2

Kanak-Kanak Perempuan Maut, Abang Kritikal Jatuh Dari Pangsapuri

3

PM Puji Keberkesanan Kementerian Komunikasi Perjelas Pelaksanaan BUDI95

4

Gempa Bumi 8.2 Landa Mindanao, Pihak Berkuasa Keluarkan Amaran Tsunami

5

Dikurung Dalam Stor Beberapa Minggu, Polis Selamatkan Kanak-Kanak Mangsa Dera Ibu Angkat

6

Sebuah Kerajaan Bukan Hadiah Untuk Dirampas

Disyorkan untuk anda

Semasa 1 hari yang lalu

Kanak-Kanak Perempuan Maut, Abang Kritikal Jatuh Dari Pangsapuri

oleh Wartawan Getaran

Politik 7 jam yang lalu

Kerjasama Dengan BERSATU Tamat Demi Perpaduan Dan Kestabilan Politik - PAS

oleh Sophia Ahmad

Semasa 1 hari yang lalu

Warga SPRM Wajib Isytihar Harta Dalam Tempoh Sebulan - KP SPRM

Luar Negara 6 jam yang lalu

Gempa Bumi Selatan Filipina: Angka  Korban Meningkat 37, Ribuan Gempa Susulan Menanti Penyelamat

oleh Wartawan Getaran