JOHOR BAHRU - Biarpun berbeza negara, usaha dilaksanakan dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Malaysia dan Singapura harus dipuji, apabila berganding bahu membantu proses pengundian rakyat negara ini yang berada di republik itu untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Sukarelawan UNDI18 dan 1 Third Media itu akan membantu ribuan rakyat Johor di sana membawa masuk kertas undi pos dari seberang tambak ke negeri berkenaan.

Menurut wakil Sukarelawan UNDI18, Mandeep Singh, pihaknya mengadakan perbincangan dengan 1Third Media di Singapura bagi melaksanakan usaha mengumpulkan kertas undi pos itu secara maya, sebelum kedua-dua pihak memulakan gerak kerja sejak 1 Mac lalu.
Menurutnya, mereka mengambil peluang daripada insiatif kerajaan melaksanakan Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) laluan darat memandangkan sempadan negara belum dibuka.
Katanya, usaha itu dibuat bagi membolehkan semua kertas undi pos rakyat Johor di Singapura tiba sebelum Sabtu ini dan dikira sebagai undi sah.
“Hari ini adalah penyerahan kertas undi pos daripada rakyat Johor di Singapura yang mendaftar sebagai pengundi pos untuk PRN kali ini.
“Disebabkan sempadan negara masih tutup dan bagi mengelakkan kertas undi sampai lewat ke pusat pengundian, maka satu inisiatif dijalankan sukarelawan di Semenanjung Malaysia dan sukarelawan rakyat Malaysia yang berada di Singapura untuk membawa masuk kertas undi pos dari republik itu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menerima bagasi berisi 1,021 kertas undi pos daripada wakil 1Third Media, Mohd Hafeez A Jaz di Larkin Sentral di sini, hari ini.
Difahamkan, seramai 7,814 rakyat Johor di Singapura layak mengundi pos.
Mandeep berkata, setakat ini kira-kira 5,000 kertas undi sudah diterima pihaknya dari Singapura menerusi dua perjalanan, iaitu hari ini dan Ahad lalu.
Jelasnya, baki kertas undi itu akan diterima pihaknya esok sebelum membuat penyusunan mengikut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk diserahkan kepada Pegawai Pengurus (RO) Pilihan Raya di setiap pusat pengundian.

Mohd Hafeez berkata, seramai 39 sukarelawan di Singapura mengambil peluang melaksanakan usaha itu sebagai satu tanggungjawab dan berasa bangga kerana ia pertama kali berlaku dalam sejarah pilihan raya negara ini.
“Alhamdulillah. Kami tidak merasakan ini satu beban, tetapi menganggap ia tanggungjawab daripada kami sebagai wakil rakyat Malaysia yang berada di Singapura untuk memudahkan urusan pengundian rakyat Johor,” katanya.
Sementara itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerusi kenyataan memaklumkan adalah menjadi tanggungjawab pengundi pos untuk menghantar semula kertas undi dengan apa jua cara supaya diterima RO sebelum jam 5 petang, Sabtu ini.
Bagaimanapun, SPR menyeru agar pengundi pos menghantar undi mereka menggunakan saluran kurier sah dan dijamin keselamatannya.
Ia bagi mengelakkan undi pos lewat, tidak sampai atau disalahgunakan pihak tidak bertanggungjawab. - Getaran, 10 Mac 2022

