KUALA LUMPUR - Keputusan kerajaan membenarkan guru dan petugas Jabatan Kebajikan Masyarakat (KEMAS) kembali berpolitik bukan satu perkara aneh.
Pensyarah Kanan Program Sains Politik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Jamaie Hamil berkata, penglibatan guru khususnya dalam aktiviti politik memang dibenarkan sekitar tahun 50-an, selepas negara mencapai kemerdekaan.
Namun katanya, ketika itu guru lebih memihak kepada UMNO dan tindakan akan diambil sekiranya ada dalam kalangan mereka menyokong parti lain.
“Secara realitinya keterlibatan guru dalam politik ini sama ada dibenarkan atau tidak, mereka sebenarnya banyak terlibat dalam politik terutamanya untuk parti pemerintah UMNO dan Barisan Nasional (BN).
“Dan nampaknya tak ada tindakan diambil kerana UMNO dan BN adalah kerajaan ketika itu, jadi mereka selamatlah.
“Cuma guru terlibat parti PAS, mereka akan dikenakan tindakan misalnya ditukar perkhidmatan mereka ke tempat lain,” katanya kepada Getaran, hari ini.
Malah beliau berkata, petugas KEMAS suatu ketika dahulu sering kali digunakan UMNO dan BN sebagai salah satu jentera politik mereka secara tidak langsung.

Katanya, walaupun KEMAS sebuah agensi kerajaan, ia sebenarnya satu alat digunakan untuk menarik sokongan rakyat bagi membantu kerajaan memenangi Pilihan Raya Umum (PRU).
“Sejak dahulu lagi, realitinya KEMAS adalah satu agensi yang digunakan kerajaan dahulu untuk kepentingan politik mereka. Melalui KEMAS inilah dasar UMNO dan BN disampaikan kepada rakyat.
“Petugas KEMAS merupakan penyokong parti pemerintah suatu ketika dulu. Jadi ini bermakna keputusan membenarkan petugas KEMAS terlibat dalam politik bukan perkara baru dan pelik,” katanya.
Walaupun menyambut baik keputusan itu, Jamaie melihat langkah tersebut sebagai satu strategi jangka masa panjang BN dan UMNO untuk memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang akan datang.
“Saya bimbang mereka mungkin menggunakan perkhidmatan guru dan petugas KEMAS untuk tujuan kepentingan politik jangka panjang mereka. Ini satu strategi politik mereka sebenarnya.
“Selok-eloknya benarkan guru bebas berpolitik untuk semua parti tak kira PAS, DAP, PKR, AMANAH, BERSATU atau apa sahaja. Kena ada keseimbangan, tapi saya tidak lihat perkara itu akan berlaku jika kerajaan hari ini terus memerintah,” katanya.
Tatkala ramai membantah langkah tersebut, Jamaie berpendapat, hanya sebilangan kecil sahaja guru yang akan terlibat dalam politik.
“Saya fikir begini, bukan bermaksud semua guru akan terlibat, hanya segelintir guru barangkali berminat dalam politik dan menjadi seorang aktivis yang sebenar.
“Jadi maksudnya bila dia menjadi guru, pada masa sama dia juga aktivis politik tapi jumlahnya itu tidak terlalu besar,” katanya.
Namun katanya, apa yang menjadi kebimbangan ramai ketika ini adalah langkah itu boleh menjejaskan prestasi pengajaran guru terbabit.
Justeru beliau menasihati golongan itu supaya bijak mengagihkan masa, sesuai dengan tanggungjawab mereka sebagai pendidik di sekolah.
“Dalam keadaan sekarang, guru perlu fokus pada tanggungjawab mereka pada waktu kerja. Penglibatan mereka dalam politik itu hanya sampingan.
“Saya juga khuatir jika nanti akan ada satu arahan dari pihak atasan untuk benarkan semua guru ini bercuti dan dapat pelepasan untuk tujuan politik. Bagi saya ini satu perkara yang tak baiklah,” katanya.
Sementara itu, Penganalisis Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Kartini Aboo Talib berpendapat, penglibatan guru dalam berpolitik tidak menjejaskan tugas hakiki selagi mereka menjalankan amanah sebaik mungkin.

“Guru juga adalah pengundi yang cukup umur dan layak mengundi. Istilah politik selain dari negara, institusi, hubungan kuasa, hierarki sosial ialah penyertaan.
“Maka bermakna guru boleh mengambil bahagian. Penglibatan dalam politik tidak bermakna guru hilang kemahiran dan tidak bersikap profesional. Mereka boleh menyertai politik selagi tidak mengabaikan tugas hakiki,” katanya.
Malah katanya, penglibatan guru dalam politik ternyata memberi banyak manfaat kepada negara dan rakyat pada masa lalu.
“Pada awal gerakan kemerdekaan di Tanah Melayu, guru, wartawan dan peguam adalah mereka yang aktif berpolitik, berdemonstrasi jalanan menentang Malayan Union pada 1946.
“Maka penglibatan golongan itu terbukti memberi banyak kebaikan,” katanya.
Begitu pun beliau berkata, kerajaan seharusnya mengeluarkan pekeliling yang jelas mengenai perkara itu bagi mengelak tafsir orang ramai.
“Perlu ada kod dan etika sebagai panduan bagi guru yang minat berpolitik atau aktiviti komuniti melalui saluran politik agar lebih terarah dan tepat sasarannya.
“Misalnya, KEMAS adalah agensi kerajaan. Jika membantu kerajaan yang memerintah, mungkin sudah jadi kebiasaan. Jika dia bantu berkempen di luar waktu pejabat atas kapasiti sebagai ahli parti yang sah, tidak menjadi kesalahan di sisi undang-undang,” katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan, guru sekolah di seluruh negara dan petugas KEMAS dibenarkan berpolitik, berkuat kuasa serta-merta.
Beliau berkata, keputusan itu dibuat bagi menghormati prinsip demokrasi, memandangkan sebelum ini mereka dilarang untuk berpolitik. - Getaran, 25 Januari 2022