MELAKA - Abah ke yang bertanding?
Itu persoalan yang bermain di benak penulis apabila terlalu kerap terserempak dengan poster, kain rentang malah papan iklan memaparkan wajah bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin atau dikenali sebagai ‘Abah’.
Slogan ‘Abah Sayang Melaka’ kini boleh ditemui di hampir seluruh pelusuk bandar raya bersejarah ini, memandangkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka hanya berbaki seminggu sebelum hari pengundian pada 20 November depan.
Sama ada ia satu strategi Perikatan Nasional (PN) atau sebaliknya bukanlah perkara pokok, sebaliknya persoalan sebenar adalah, siapa calon dan mana muka mereka.

Ada juga dengan nada sinis berkata bahawa ‘Abah’ agaknya yang bertanding di seluruh Melaka, tatkala melihat wajah pemimpin itu menghiasi papan iklan dan sebagainya.
Berbeza dengan parti lain, Pakatan Harapan (PH) sedikit pun tidak menggunakan pesona Pengerusinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada mana-mana poster, kain rentang mahu pun papan iklan sebaliknya memperkenalkan calon yang bertanding di sesuatu DUN berkenaan.
Begitu juga Barisan Nasional (BN), tidak pula mereka ‘menjual’ muka bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak atau pun Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk meraih undi, sedangkan ‘Bossku’ sangat berpengaruh di laman Facebook.
Untuk rekod, Najib dan Ahmad Zahid masih berdepan dengan kes mahkamah berkaitan isu 1MDB dan Yayasan Akal Budi.
Merungkai perkara ini, Getaran mendekati beberapa pengundi di Melaka untuk mendengar sendiri pendapat mereka tentang penggunaan Muhyiddin atau Abah sebagai ‘poster boy’ PN.
Pemilik restoran, Ibrahim Alias, 41, berpendapat bahawa ini adalah taktikal PN untuk menggunakan ‘track record’ Muhyiddin sebagai ‘penarik’ untuk meraih undi rakyat Melaka walaupun padanya, bekas Perdana Menteri itu bukanlah yang terbaik.
“Saya rasa walaupun terpalit dengan isu-isu tapi watak Abah (Muhyiddin) itu ada kesan tersendiri, sebab itu PN gunakan.
“Mungkin juga ada track record Abah yang baik jadi mereka harap dapat gunakanlah dalam kempen kali ini,” katanya.
Bagi seorang pesara kerajaan, Ismail Karim, 63, pula, dia sendiri tidak tahu siapa sebenarnya calon PN yang bertanding di kawasannya memandang terlalu banyak poster menggunakan wajah Muhyiddin.
“Kalau tengok poster memang mcm dia (Muhyiddin) yang bertanding tapi calon sebenar, pak cik sendiri pun tak tahu.
“Tapi saya sebagai rakyat Melaka rasa kecewalah sebabkan mereka (ahli politik) yang bergaduh, kita dekat bawah ini yang jadi mangsa,” katanya.
Bagaimanapun, pandangan berbeza dilontarkan pencuci pinggan, Absah Daud, 58, yang merasakan wang digunakan untuk pilihan raya adalah lebih baik disalurkan kepada rakyat termiskin.
“Saya ini dah tua, umur pun dah nak masuk 59 tahun dah, kalau boleh nak bantuanlah (dari kerajaan) umur dah nak masuk warga emas dah.
“Selama empat tahun duduk di sini (Melaka) satu bantuan pun saya tak pernah dapat. Selama PKP (Perintah Kawalan Pergerakan), saya tak dapat apa pun bantuan termasuklah bantuan makanan,” katanya dalam dialek Kelantan. - Getaran, 14 November 2021

