BANDAR HILIR - Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka membuka tirainya tepat jam 9 pagi hari ini dengan 28 pusat penamaan penamaan calon dibuka di seluruh negeri.
Proses penyerahan kertas penamaan calon akan ditutup sejam selepas itu.
Melaka mempunyai 495,196 pengundi dengan240,530 adalah lelaki manakala 254,666 adalah wanita.
Dari segi pecahan kaum pula, pengundi Melayu adalah seramai 61 peratus, diikuti dengan pengundi Cina (31.23 peratus), India (6.32 peratus) dan lain-lain sebanyak 1.41 peratus.
Ini adalah PRN kedua sejak Malaysia dibelenggu pandemik COVID-19 pada Januari 2020. Ia bakal dilaksanakan dalam normal baharu dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Sama seperti Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, senario PRN Melaka dijangka menyaksikan pertembungan sekurang-kurangnya tiga penjuru di setiap kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Situasi ini terjadi akibat ketidaksefahaman antara parti gabungan kerajaan persekutuan iaitu UMNO dan Perikatan Nasional (PN), yang dianggotai oleh PAS, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan juga Gerakan.
Menerusi panji Barisan Nasional (BN), UMNO dijangka bertanding di 20 kerusi DUN manakala PAS dan Bersatu pula masing-masing bertanding di lapan dan 15 kerusi DUN.
Manakala parti komponen BN yang lain iaitu, MCA dan MIC pula masing- masing mempertaruhkan tujuh dan seorang calon.
Seteru mereka di blok pembangkang pula, iaitu Pakatan Harapan (PH) PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (AMANAH) pula masing-masing bertanding pertandingan di 11 kerusi, lapan dan sembilan kerusi DUN.



Antara kerusi-kerusi DUN yang menjadi tumpuan adalah:
(1) Tanjung Bidara yang menyaksikan pertembungan antara pengerusi badan perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dengan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Parlimen), Datuk Mas Ermieyati Samsudin.
(2) Asahan menjadi medan percaturan bekas ketua menteri, Datuk Seri Idris Haron yang merupakan pencetus keruntuhan kerajaan negeri akibat penarikan sokongannya, serta tiga lagi ADUN, sekali gus menjadi punca PRN kali ini terpaksa diadakan.
(3) Bukit Katil pula adalah kerusi bekas Ketua Menteri, Adly Zahari semasa Melaka diperintah oleh PH susulan kekalahan BN pada PRU ke-14 pada Mei 9, 2018. - Getaran, 8 November 2021.

