web statsweb stats

Berita Terkini

5 bulan yang lalu: Najib Razak dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.4 bilion untuk kesemua 25 pertuduhan 6 bulan yang lalu: Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin disahkan meninggal dunia 7 bulan yang lalu: Ismanira Abdul Manaf, ibu kepada kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan didapati bersalah atas tuduhan pengabaian anak hari ini 7 bulan yang lalu: PRN Sabah: Penamaan calon ialah pada 15 November manakala mengundi awal pada 25 November - SPR 8 bulan yang lalu: Semua kapal yang menyertai misi FFCxTMTGM telah dipintas tentera Israel dalam lingkungan 120 batu nautika dari Gaza - MyCARE

IKUTI KAMI


Melaka Bakal Bertukar Kerajaan Lagi

Politik Dikemaskini 4 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 05 Oct 2021 7:50AM

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali (duduk, tengah) bersama ADUN yang turut hadir pada sidang media mengenai kemelut politik semasa, semalam. - Gambar Bernama

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

KUALA LUMPUR - Selepas seminggu desas-desus mengenai pergolakan dalam  kerajaan Melaka, akhirnya terjawab dengan tindakan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengumumkan hilang kepercayaan serta menarik sokongan terhadap kepimpinan kerajaan negeri itu.

Melaka yang baharu sahaja memasuki Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi mengawal pandemik COVID-19 ‘digegarkan’ dengan sidang media pada tengah hari oleh Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas) yang menyatakan hilang sokongan terhadap kepimpinan Datuk Seri Sulaiman Md Ali sebagai Ketua Menteri ke-12.

Berdasarkan pengumuman itu, secara teknikal menyaksikan kerajaan Melaka tumbang.

Bercakap pada sidang media yang diadakan di sebuah hotel, Idris yang mewakili keempat-empat ADUN berkenaan berkata kesemua mereka telah menghantar surat menarik sokongan itu kepada pejabat Ketua Menteri semalam.

Alasan yang diberikan Idris mengenai tindakan mereka itu ialah kerana beberapa keputusan kerajaan negeri yang tidak terlaksana, sekali gus meletakkan Melaka sebagai negeri yang 'flip flop’ atau sering berubah-ubah dalam membuat keputusan.

"Seolah-olah ada dua singa di atas satu gunung dan ini menimbulkan keresahan rakyat,” katanya.

Ia kemudian disusuli sidang media oleh Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka Adly Zahari yang menyatakan pakatan itu akan mengadakan pertemuan dengan Yang Dipertua Negeri Tun Mohd Ali Rustam dalam tempoh terdekat bagi menghantar surat memaklumkan bahawa kerajaan negeri telah hilang majoriti.

Ia selaras dengan Perkara 7(4) Perlembagaan Negeri Melaka yang mengatakan: ‘Jika Ketua Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan sebilangan besar Ahli Dewan Undangan Negeri,  maka hendaklah meletakkan jawatan Majlis Mesyuarat’.

Istana Melaka kemudian memaklumkan belum menerima surat daripada mana-mana parti politik untuk mengadakan pertemuan dengan Mohd Ali.

Perkara itu disahkan Setiausaha Khas Yang Dipertua Negeri Melaka Datuk Nur Azmi Ahmad yang memaklumkan buat masa ini,  Mohd Ali sedang menjalani kuarantin kendiri selama dua minggu bermula 30 Sept lepas kerana menjadi kontak rapat kepada individu positif COVID-19.

Perkembangan itu menarik perhatian Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mencadangkan supaya Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dibubarkan dan diadakan pilihan raya negeri (PRN).

"Kita beri mandat semula kepada rakyat untuk pilih mana kerajaan terbaik mentadbir negeri dan negara kita, insya-Allah," katanya ketika membahaskan usul Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat.

Kemelut politik yang berlaku selepas itu menyaksikan sidang media oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh disertai Sulaiman dan barisan Exco lain di rumahnya di Masjid Tanah.

Dalam sidang media itu Ab Rauf berkata demi meneruskan kelestarian memulihkan negeri daripada pandemik COVID-19, UMNO negeri menyerahkan kebijaksanaan Mohd Ali meleraikan kemelut politik negeri itu.

Sambil menyatakan bahawa UMNO Melaka bersedia jika PRN diadakan, Ab Rauf yang juga Speaker DUN menjelaskan menurut Perkara 19(2) Perlembagaan Negeri (Melaka), Mohd Ali boleh memprorog (menggantung) atau membubarkan DUN.

Mengulas mengenai keahlian Idris dan Azman di dalam UMNO, Ab Rauf berkata keahlian mereka tergugur secara automatik selepas mengadakan sidang akhbar bersama pembangkang.

Menzahirkan rasa kecewa dengan tindakan empat ADUN berkenaan, Ab Rauf menganggap kerajaan negeri yang telah dibentuk selama 19 bulan itu digugat kerana kepentingan dan cita-cita individu tertentu.

Dalam sidang media itu Sulaiman pula  berkata hubungannya dengan empat ADUN itu adalah baik malah dalam setiap Mesyuarat Exco, apa yang diperlukan wakil rakyat berkenaan sentiasa diberi perhatian. 

“Mereka (ADUN yang menarik sokongan) juga membuat kerja yang sama, tapi akhirnya mereka meruntuhkan, pada saat kita baharu beralih ke Fasa Tiga (PPN)," katanya dan menyerahkan kepada Ab Rauf  untuk menentukan hala tuju politik Melaka berikutan pengumuman empat ADUN itu.

Sementara itu, Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mahdzir Khalid yakin terdapat usaha dilakukan untuk menyelesaikan kemelut politik yang melanda kerajaan Melaka itu.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka mempunyai 28 kerusi dengan 14 kerusi Barisan Nasional (BN), Bersatu (2), DAP (7), PKR (2) , Amanah (2) dan Bebas (1). - Bernama

Sorotan

1

Hanya Belajar Di Media Sosial, Anak Kampung Kini Hasilkan 6,000 Ikan Angelfish

2

Bekas Timbalan Speaker DUN Kedah Ditemukan Lemas Di Sungai

3

Sesat 14 Hari, Jaslinda Kongsi Pengalaman Getir Bertahan Untuk Hidup

4

MPL MY: Team Vamos Mara Ke Grand Final, Tempah Tiket Ke MSC

5

‘PRN Johor Bukan Keutamaan Saya, Pemulihan Ekonomi Masih Fokus Kerajaan Persekutuan’ – Anwar

6

Nahas 2 Kenderaan, Kanak-Kanak 9 Tahun Maut Kereta Dipandu Ibu Bertembung 

Disyorkan untuk anda

Semasa 4 jam yang lalu

Dikurung Dalam Stor Beberapa Minggu, Polis Selamatkan Kanak-Kanak Mangsa Dera Ibu Angkat

oleh Sophia Ahmad

Semasa 4 jam yang lalu

PM Puji Keberkesanan Kementerian Komunikasi Perjelas Pelaksanaan BUDI95

Luar Negara 4 jam yang lalu

Gempa Bumi 8.2 Landa Mindanao, Pihak Berkuasa Keluarkan Amaran Tsunami

oleh Wartawan Getaran

Semasa 19 jam yang lalu

Padah Pasport Diconteng Anak, Wanita Terpaksa Tunda Penerbangan 

oleh Sophia Ahmad