KUALA LUMPUR - Keputusan Kementerian Pendidikan (KPM) memberi pilihan kepada guru untuk merekod dan melaporkan tahap penguasaan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) pelajar secara luar talian (manual) atau hibrid mendapat reaksi berbeza dalam kalangan warga pendidik.
Presiden Kesatuan Guru-Guru Dalam Perkhidmatan Pendidikan Malaysia (KONGRES), Jasni Md Kechik berpendapat, langkah alternatif itu bukan sahaja memberi kebebasan kepada guru tetapi mampu mengurangkan bebanan tugasan mereka dalam melaksanakan kerja pentadbiran.
Menurut beliau, keputusan itu hadir tepat pada masanya memandangkan penggunaan Sistem Pengurusan Pentaksiran Bersepadu (SPPB) sebelum ini menyukarkan guru kerana aplikasi tersebut masih belum stabil.

“Dulu bila sistem tidak stabil, ia akhirnya menyusahkan guru kerana ada di antara mereka tidak boleh melakukan kerja lain. Data wajib dimasukkan menerusi sistem itu yang dibangunkan KPM.
“Suka atau tidak sebagai guru, merekod ataupun melaporkan pencapaian pelajar itu memang kita kena dibuat. Jadi kebebasan yang diberi KPM itu kita sambut baik,” katanya kepada Getaran.
Mengulas lanjut, Jasni bagaimanapun berharap agar keputusan tersebut tidak lagi menimbulkan rungutan dan menambah beban tugas guru ketika merekod dan melaporkan penilaian PBD pelajar.
“Saya harap agar guru boleh menerimanya dengan hati terbuka untuk melaksanakan pengisian markah pencapaian pelajar.
“Kalau dibuat secara luar talian, saya rasa tidak jadi masalah kerana guru sebelum ini pernah melakukannya,” katanya.
Justeru, Jasni yang juga Presiden Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) menegaskan tiada lagi alasan untuk warga pendidik tidak melakukannya, malah mereka boleh kreatif dalam melaporkan tahap penguasaan PBD pelajar.
“Kalau guru nak tulis tangan ataupun isi guna komputer, boleh saja asalkan pentadbir atau pendidik sendiri boleh melihat data penilaian kebolehan pelajar.
“Jadi lepas ini jangan lagi beri alasan disebabkan sistem, kerja tidak boleh buat. KPM sudah memberi pilihan agar kita mampu menjalankan tugas seperti biasa,” katanya.
Kelmarin, KPM memaklumkan guru kini diberi hak memilih sama ada mahu merekod dan melaporkan tahap penguasaan PBD secara luar talian (manual) atau hibrid menggunakan SPPB.
KPM berkata, templat baharu untuk pengisian PBD bagi pelaporan ujian akhir sesi akademik 2022/2023 secara luar talian akan disediakan sebagai alternatif.
Pada masa sama, KPM menegaskan pihaknya komited mengurangkan beban tugas guru dan memastikan kebajikan golongan itu terpelihara.
Sementara itu, Penasihat Pertubuhan Amal Pendidikan dan Pembangunan Insan Malaysia (PERAPIM), Mohamad Nizam Abdul Samar Zammi berkata, keputusan tersebut hanyalah kaedah jangka pendek bagi menangani masalah yang timbul ketika ini.

Susulan itu, beliau menyarankan agar KPM meningkatkan kemudahan akses internet dan kelajuan jalur lebar bagi memastikan SPPB dapat digunakan dengan lebih berkesan.
Katanya, kerajaan terpaksa mengeluarkan kos yang lebih tinggi sekiranya kaedah secara manual digunakan secara meluas oleh guru.
“Seharusnya capaian internet dan sistem itu sendiri perlu dipertingkatkan kerana kaedah online sudah banyak digunakan negara asing. Cara manual pula akan meningkat kos kerajaan kerana melibatkan penggunaan kertas lebih banyak.
“Jadi untuk sementara itu boleh, tetapi kementerian perlu ikut peredaran zaman. Semua perkara dilakukan secara digital, tetapi kita sedia maklum capaian internet di Malaysia masih lemah,” katanya.
Pada masa sama, Mohamad Nizam mencadangkan agar KPM mencipta aplikasi yang boleh memudahkan tugas guru untuk merekod dan melaporkan tahap penguasaan PBD pelajar menggunakan telefon pintar.
Malah beliau yang juga Ketua Eksekutif Pertubuhan Kebajikan Sinar Bakti turut mengesyorkan kerajaan untuk menubuhkan unit khas di setiap sekolah bagi merekodkan penilaian pelajar.
“Bagaimanapun, ia akan melibatkan kos lebih tinggi kerana perlu penambahan pekerja. Cara itu akan meringankan beban guru dan sistem rekod itu juga kita kena lihat kepentingannya.
“Pada saya, sudah tiba masanya satu aplikasi diwujudkan agar guru boleh merekodkan maklumat pelajar secara terus melalui telefon. Jika itu berlaku, semua guru perlu berani menerima perubahan demi kebaikan bersama,” katanya. - Getaran, 17 Februari 2023