Berita Terkini

1 hari yang lalu: Hafizul Hawari yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak di KLIA Terminal 1 pada 14 April lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pagi tadi terhadap 7 pertuduhan 2 hari yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut 1 minggu yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 1 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 2 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok.

IKUTI KAMI


AJL 35, Biarpun ‘Gila’ Namun Terpaksa Diteruskan…

Editor Gaya Hidup dan Hiburan Getaran berkongsi pendapatnya tentang penganjuran Anugerah Juara Lagu yang ke-35 Ahad lalu.

Muzik Dikemaskini 3 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 20 Mar 2021 9:08AM

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Setelah 34 kali dikelolakan, acara anugerah hiburan paling berprestij di Malaysia iaitu Anugerah Juara Lagu (AJL) akhirnya bersiaran Ahad lalu untuk kali yang ke-35 selepas beberapa kali ditangguhkan gara-gara Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan peningkatan kes pandemik COVID-19.

Menyaksikan kemenangan lagu ‘Gila’ dendangan Kaka Azraff, Noki serta Loca B yang berentak R&B hip hop membuktikan evolusi muzik yang terus bergerak ubah sejak pertama kali acara ini dianjurkan pada tahun 1986.

Buat penonton umum yang hanya mengikutinya sebagai sebuah acara muzik tahunan di TV untuk mengetahui lagu Melayu mana yang mendominasi arus perdana pop negara, ia mungkin dilihat sebagai sebuah acara biasa.

Namun jika anda peminat tegar dunia seni suara tempatan dan pencinta muzik Malaysia sejati (seperti saya), AJL adalah lebih daripada itu.

Sejak pertama kali lagi dilangsungkan 35 tahun yang lampau, acara ini telah sedikit sebanyak membentuk serta mempengaruhi citarasa muzik penduduk Malaysia, khasnya yang berbangsa Melayu.

Sungguhpun begitu, harus diingati bahawa orang bukan Melayulah yang menjadi penyanyi untuk tiga lagu pertama yang pernah memenangi acara Juara Lagu pada tahun 1986, dan yang ironik lagi, komposer bukan Melayu yang menerajui penciptaan lagu-lagu pemenang sebelum ini, dan tahun ini juga.

Di situ sahaja kita sudah dapat melihat perubahan ketara arena seni muzik tempatan. Namun dalam kita meraikan susur galur muzik yang lahir dari tanah air kita sendiri, penganjuran acara ini kerap menjadi tumpuan ramai kerana persembahan dan penerbitannya.

Sekiranya anda sempat menonton acara AJL yang pertama dahulu secara langsung (saat itu dinamakan Juara Lagu Muzik Muzik) seperti saya yang tika itu seorang anak hingusan berumur lapan tahun, anda pasti akan dapat merasakan perbezaan yang besar apakala menonton AJL35 malam tadi.

Lebih-lebih lagi jika anda pengikut setia yang kemudian berkerjaya di bidang hiburan serta media dan kerap kali terbabit dalam acara tersebut, baik secara langsung ataupun tidak. 

Dan Ahad lalu banyak yang telah diperkatakan tentang penganjurannya. Di media sosial (khasnya di laman Twitter), tanda pagar #AJL35 serta beberapa perkataan lain menjadi sohor kini. Trending worldwide. 

Tetapi adakah ia trending atas sebab-sebab positif atau sebaliknya?

Dulu sebelum adanya media sosial, mungkin mereka yang terbabit tidak begitu terkesan dan hanya perlu menantikan ulasan media massa secara umum. Namun media sosial merumitkan dunia hiburan masa kini. Ia mampu menaikkan malah menjatuhkan sesebuah produk ataupun seseorang individu.

Rata-rata media sosial malam itu dibanjiri komen tentang kehadiran sarat jenama-jenama iklan yang menaja acara tersebut selain kritikan serta pujian terhadap perkara yang biasanya suka dibahaskan penonton seperti kualiti persembahan, gaya dan fesyen artis serta hidangan visual yang disajikan.

Yang melaungkan komentar pula sudah tentulah orang awam dan semestinya seniman profesional sendiri di kalangan selebriti Malaysia.

Harus diingati, dengan senario media massa dewasa kini, kebergantungan terhadap penaja adalah sesuatu yang sangat penting dan tidak dapat dielakkan. Khasnya buat media tradisional seperti media elektronik (televisyen dan radio) serta media cetak (yang kita ketahui semakin hari semakin hilang taringnya).

Sesebuah acara anugerah semestinya memerlukan belanjawan yang besar, apatah lagi acara seperti AJL35 ini. Tekanan pasti memuncak buat pihak penerbitan untuk sentiasa memberikan yang terbaik kerana tahu perbandingan pasti akan dilakukan oleh para penonton.

Walau bagaimanapun, pihak penerbitan harus akur dengan tuntutan masa kini. Tanpa penaja tiadalah acara. Jadi mahu atau tidak, mereka terpaksa mengikut telunjuk para pengiklan. Ini kerana jumlah yang dilaburkan jenama-jenama besar untuk media tradisional semakin mengecil dan tidak semua orang memahami perkara ini.

Kami yang bergelut dalam arena media sedar akan hakikat itu dan terpaksa bijak meniti kondisi tersebut. Namun, apa yang terjadi malam tadi terasa sedikit keterlaluan. Lumrah yang sudah ditelah tetapi terpaksa ditelan. 

Persembahan lagu bertanding pertama sahaja harus menunggu sekitar 25 minit dengan selingan iklan dan acara pembukaan di samping seloroh para pengacara. Untungnya, pengacara yang dipilih mengendali program malam tadi memang bijak berceloteh dan sudah biasa dengan acara-acara besar.

Lantas pemilihan Awal Ashaari, Sherry Alhadad serta Haziq tidak mengecewakan. Mereka memikul tugasan yang dipertanggungjawabkan dengan baik sekali. 

Sayangnya perjalanan acara dicalitkan dengan terlalu banyak segmen penaja. Selain segmen yang sudah dirakam, ada juga lagu penaja yang dijadikan persembahan oleh bekas juara AJL seperti Faizal Tahir dan juga Jaclyn Victor. Sesuatu yang kita tidak sangka akan dipersembahkan di AJL, tapi itulah kenyataan dunia media masa kini. 

Memang tiada solusi untuk dominasi iklan di media kecuali jika ada syarikat media yang berani mencuba idea ‘Gila’ seperti membuat crowdfunding yakni meminta sumbangan orang awam untuk menanggung sesuatu perbelanjaan. Kedengaran aneh tapi tidak mustahil.

Siapa tahu di masa hadapan ada stesen atau badan media yang berani melakukannya? Zaman sekarang segalanya mungkin.

Bayangkan sahaja. Anda mahu acara yang hebat untuk ditonton. Seperti menonton wayang di pawagam, anda sebenarnya membayar kos penerbitan filem yang ditonton dengan membeli tiket. Jadi tidak mustahil jika acara-acara anugerah yang anda sukai ditanggung begitu juga, bukan? Fikirkan sejenak.

Mungkin harga tiket akan dinaikkan untuk menganjurkan AJL satu hari nanti. Atau barangkali lebih banyak wang yang dikumpul dari peminat akan menjadikan AJL lebih gah acaranya tanpa kehadiran iklan. Segalanya boleh berlaku!

Selain isu iklan yang sarat, yang menarik perhatian juga sudah pasti limitasi norma baharu gara-gara pandemik COVID-19 yang terpaksa diikuti oleh stesen TV.

Siapalah sangka selepas 35 tahun bersiaran, AJL berlangsung tanpa penonton di dewan besar dan hanya membolehkan enam orang secara maksimum berada di atas pentas pada waktu yang sama. Semuanya demi mengurangkan risiko jangkitan wabak COVID-19.

Walaupun begitu, the show must go on. Sungguhpun ketiadaan penonton fizikal di dewan acara dikatakan tidak dapat menghidupkan suasana AJL35 dan memberikan semangat kepada para finalis, namun ada sisi positif yang lain. 

Buat pertama kali orkestra dan pemuzik iringan malam itu dapat memainkan muzik di depan pentas sambil menyaksikan semua peserta beraksi. Tidak pernah berlaku di mana-mana acara anugerah TV di Malaysia sebelum ini. Sekali lagi, there is always a first time for everything.

Soal pilihan lagu yang tercalon pula memang tidak dapat dielakkan. Muzik yang dipaparkan semalam memang jauh berbeza bak langit dan bumi dengan lagu-lagu yang bertanding 30 tahun yang lalu. Kehadiran lagu-lagu bergenre hip hop malam tadi begitu terasa dan meninggalkan kesan.

Seperti ciapan penyanyi rap tersohor Altimet di laman Twitter malam itu, lagu-lagu hip hoplah yang akhirnya mengangkat martabat irama tradisional biarpun ia aliran muzik yang moden. Ini jelas kelihatan lewat persembahan lagu 'Eh' oleh Zizi Kirana, 7 Nasihat oleh Shiha Zikir, Luca Sickta serta Kmy Kmo dan sudah tentunya lagu 'Gila' dendangan Kaka Azraff, Loca B dan Noki.

Santapan visual juga tidak kurang hebatnya dengan permainan hologram sewaktu persembahan beberapa finalis. Sebagai mengganti kehadiran penari fizikal, kemunculan penari maya turut merancakkan suasana anugerah.

Dan biarpun pelik tapi benar, ramai yang lebih terhibur menyaksikan persembahan selingan sebelum pengumuman pemenang kerana penonton disajikan dengan persembahan daripada bekas-bekas peserta AJL yang lebih senior dan pernah memenangi anugerah tersebut.

Persembahan lagu-lagu mash-up yang didendangkan oleh Misha Omar dan Akim and The Majistret membuahkan satu karya muzik yang unik berkat senandung lagu ‘Sampai Bila’ dan ‘Potret.’

Ini diikuti dengan persembahan gah Ziana Zain serta Hazama dan Penglipur Lara melalui lagu ‘Madah Berhelah’ serta ‘Ku Relakan Jiwa’ dan akhir sekali alunan vokal bersahaja Hujan bersama Dayang Nurfaizah lewat lagu ‘Aku Skandal’ serta ‘Dayang Sayang Kamu.’

Ya, susah diragui, persembahan dari mereka yang lebih berpengalaman memang sukar ditandingi. Sungguhpun begitu, ini tidak bermakna lagu-lagu yang terpilih tidak berkualiti, cuma peredaran masa melahirkan rencah-rencah yang baru.

Apapun kami ucapkan tahniah kepada semua pemenang, dan paling penting syabas kepada pasukan penerbitan di bawah Puan Huda Khalid kerana berjaya menerbitkan acara ini. Kami yakin memang sukar untuk memuaskan hati semua pihak namun mungkin inilah yang terbaik buat masa ini.

Semoga AJL yang ke-40 nanti jauh lebih gah dan hebat dan dapat menutup suara-suara sumbang di luar sana.

Semoga gambar: Ihsan TV3

Isu Pada

Transisi Tiz Zaqyah

20 Mar 2021

Sorotan

1

Tragedi Helikopter TLDM : Jasad Mendiang Joanna Felicia Dikebumikan Di Serian Pagi Ini

2

PRK DUN KKB : Aspek Ekonomi Antara Fokus Kerajaan Perpaduan Sepanjang Kempen

3

Lebih 14,000 Aduan Diterima Menerusi Aplikasi MYJalan Setakat Ini - Ahmad Maslan

4

Pang Sock Tao Calon Kerajaan Perpaduan Bagi PRK Kuala Kubu Baharu

5

KPU Indonesia Isytihar Prabowo, Gibran Presiden Dan Naib Presiden 2024-2029

6

Amalan Pemakanan Tidak Sihat, Kurang Aktiviti Fizikal Punca Utama Obesiti - Dr Dzulkefly

7

642 Pegawai, Anggota Polis Selangor Bertugas Pastikan Kelancaran PRK Kuala Kubu Baharu

Disyorkan untuk anda

Selebriti 1 hari yang lalu

Adira Sah Bercerai

oleh Wartawan Hiburan Getaran

Selebriti 1 hari yang lalu

Siti Saleha Berjaya Takluki Puncak Gunung Kinabalu

Pelakon jelita berkenaan berkongsi kejayaannya itu di akaun media sosial miliknya

oleh Wartawan Hiburan Getaran

Budaya 3 jam yang lalu

Temui Personaliti Anime Kegemaran Anda Di Anime Fest Plus 2024  

Pesta yang berlangsung mulai esok hingga 28 April ini di Pusat Konvensyen Tropicana Gardens Mall, Petaling Jaya adalah hasil kerjasama Tonton dan Animax + GEM

oleh Wartawan Hiburan Getaran

Selebriti 19 jam yang lalu

Bella Astillah Akui Bertemu Sarah Jasmine, Baca Mesej Ruhainies Desak Aliff Buka Aibnya

oleh Helmi Anuar