Penyanyi lagu berunsur ketuhanan dan kerohanian, Daqmie telah melancarkan sebuah album digital terbaru sempena sambutan Maulidur Rasul hasil kolaborasi bersama Aura Rezeki.
Album yang mengandungi 10 buah lagu ini hadir dalam sebuah set istimewa iaitu Box Kasih & Rindu Aura Rezeki.
Bercerita lanjut mengenai kolaborasi yang terjalin bersama Aura Rezeki, ujar pengasas Aura Rezeki iaitu Julinda Miswan, dia sudah lama bersahabat dengan Daqmie.

“Sebelum ini, Daqmie tulis lagu korporat untuk syarikat saya. Satu hari saya minta satu lagu darinya tapi dia bagi 10 lagu. Dari situlah tercetusnya idea untuk menghasilkan Box Kasih & Rindu ini”, jelasnya.
Sementara itu Daqmie atau nama sebenarnya Azmee Abdul Manap,50, pula menyifatkan kolaborasi ini sebagai penyatuan yang sangat serasi kerana produk Aura Rezeki berkonsepkan terapi manakala muziknya pula merupakan muzik yang memberi terapi.
“Album ini dihasilkan dalam masa tiga bulan. Saya harap album ini dapat 'tembak' rasa kecintaan terhadap Rasulullah SAW dan boleh tersebar ke seluruh dunia,” kongsinya.
Tambahnya lagi, semua lagu-lagu yang ditampilkan adalah lagu baharu kerana dengan cara ini, ia boleh diguna pakai tanpa perlu minta kebenaran daripada pemilik sebelumnya.
“Lagu baru senang untuk dikendalikan. Yang keduanya antara sebab saya buat ialah, semasa itu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kita semua tiada kerja. Pemuzik tiada kerja dan sangat terkesan.
“Bila kita ada production, kita kongsi-kongsilah dengan rakan-rakan. Sebenarnya rezeki dari projek ini bukan untuk saya seorang sahaja tapi ramai yang dapat.
“Ada lebih kurang lima keluarga yang berjaya menyelesaikan masalah kewangan untuk projek ini. Lima keluarga ini kalau bilangan ahli keluarganya tiga orang, sudah 15 orang yang dibantu,” katanya.
Box Kasih & Rindu Aura Rezeki ini memuatkan garam mandian dengan wangian keluaran khas, risalah dan kod QR di mana pembeli boleh imbas untuk mendapatkan lagu.
Antara lagu yang dimuatkan dalam album Kasih & Rindu ialah 'Doa Pagi Dan Petang', 'Doa Ibu Bapa', 'Kasih Yang Dirindu', 'Keluarga Aura Rezeki', 'Selawat Dan Salam', 'Subhanallah' dan banyak lagi. - Getaran, 19 Oktober 2021
Gambar: Aura Rezeki
