Muzium Madame Tussauds di Dubai akan menukar jersi yang disarungkan ke patung lilin Cristiano Ronaldo selepas menerima kecaman di media sosial kerana pemain bola sepak berasal dari Portugis itu memakai jersi yang salah.
Ia merupakan cawangan pertama Madame Tussauds di negara Arab namun malangnya patung lilin Ronaldo itu memakai jersi pasukan lamanya iaitu Juventus.
Ronaldo telah kembali ke Manchester United pada Ogos lalu dan mengikat kontrak dua tahun dengan 'pilihan' boleh menyambung perjanjian pada musim akan datang.
''Dengan dunia sukan yang sentiasa berubah dan pantas di mana pemain selalu berpindah pasukan, peminat Cristiano Ronaldo akan teruja apabila mendengar bahawa patung lilinnya akan disarungkan dengan jersi baru Manchester United tidak lama lagi," kata muzium itu dalam satu kenyataan kepada AFP.
Sebelum ini ada peminat Ronaldo di Britain dan Portugis menerusi media sosial memaklumkan bahawa pemain berusia 36 tahun itu memakai jersi yang salah iaitu Juventus, sedangkan Ronaldo telah meninggalkan pasukan itu, tiga musim lalu.
Pemenang anugerah Ballon d'Or itu pertama kali mencipta nama di pentas dunia bersama Manchester United sekitar tahun 2003 hingga 2009. - AFP
.jpg)
