Berita Terkini

1 jam yang lalu: Hafizul Hawari yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak di KLIA Terminal 1 pada 14 April lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pagi tadi terhadap 7 pertuduhan 1 hari yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut 6 hari yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 1 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 2 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok.

IKUTI KAMI


Penubuhan Perbadanan Industri Muzik Malaysia (Bahagian I)

Kolum Dikemaskini 2 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 04 Aug 2021 3:56PM

oleh

Ad Samad

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Dalam tempoh dua tiga minggu lalu, perhatian kita terarah kepada peningkatan jumlah kes COVID-19 yang mencecah 17,000 kes sehari, Persidangan Khas Parlimen yang menyaksikan pergolakan politik dan pergelutan kuasa yang semakin sengit di antara para politikus serta pertelingkahan epik di media sosial di antara Caprice dan Ebit Lew membabitkan isu beribu batu jauh dari tanah air tercinta ini.

Secara tidak langsung ia melibatkan kepentingan rakyat yang semakin tertekan dari segi emosi dan ekonomi akibat pelaksanaan PKP.

Seperkara lagi yang menarik bagi aku sebagai penggiat muzik adalah pengumuman Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah mengenai kelulusan yang diberikan oleh Kabinet untuk menubuhkan Perbadanan Industri Muzik Malaysia (PIMM).

Saifullah Abdullah - Gambar Bernama
Saifullah Abdullah - Gambar Bernama

Penubuhan perbadanan ini adalah sesuatu yang dinanti-nantikan sebahagian besar penggiat muzik yang berharap nasib mereka akan terpelihara dan dilindungi.

Untuk lebih jelas, yang aku maksudkan sebagai penggiat muzik adalah terdiri daripada pencipta iaitu pencipta lagu dan penulis lirik serta pelaku  (penyanyi dan pemuzik) yang menjadikan royalti dan hasil daripada muzik sebagai punca pendapatan utama mereka

Manakala pelabur, pemilik syarikat rakaman dan syarikat penerbitan muzik (publisher) serta para pekerja mereka yang bekerja sebagai akauntan, pegawai pemasaran, pegawai perhubungan awam atau sebagainya tidak dimaksudkan sebagai para penggiat muzik.

Malah guru muzik, para busker, dan penyanyi atau pemuzik kelab malam yang menerima gaji bulanan yang tetap daripada majikan mereka juga tidak  tergolong dalam kategori penggiat muzik yang aku maksudkan.

Di ruangan mendatang, aku akan terangkan mengapa klasifikasi ini penting dan membawa kesan-kesan langsung dan praktikal. Pendek kata, ia membabitkan isu-isu perundangan pelbagai akta, terutamanya Akta Hak Cipta, Akta Buruh,  Akta Syarikat, dan lain lain lagi.

Berbalik kepada kenyataan Menteri seperti yang disiarkan Berita Harian pada 20hb Julai, 2021, beliau telah menyatakan bahawa penubuhan PIMM mampu memperkasakan ekosistem muzik tempatan, yang mana akan memberi tumpuan kepada tiga bahagian utama iaitu penghasilan, persembahan dan pendidikan.

Tiga tumpuan tersebut adalah tepat.

Penghasilan 

Muzik adalah satu usaha kolektif atau berkumpulan. Seorang diri sahaja tidak mungkin dapat menghasilkan sebuah muzik yang dapat mencapai penghasilan yang baik lagi tinggi mutunya. Untuk menghasilkan sebuah lagu memerlukan pencipta lagu, penyanyi, pemuzik, jurutera bunyi di studio rakaman dan sebagainya.

Satu-satunya cara untuk mempertahankan dan memperkasakan muzik adalah dengan menghasilkan lebih banyak penghasilan.Hanya dengan kuantiti akan datangnya kualiti.

Kualiti tidak akan datang dengan nasib atau secara tidak sengaja. Ia juga tidak akan hadir dengan melakukan sesuatu perkara itu sekali-sekala, bagaikan bulan purnama. Inikan pula bagaikan gerhana.

Kualiti dan kemahiran akan hadir hanya apabila seseorang pelaku, malah sekelompok pelaku telah melakukan latihan dan penghasilan sesuatu kerja atau perkara dengan berulang kali serta menghabiskan masa beribu-ribu jam terhadapnya.

Seringkali latihan dijalankan secara formal seperti di sekolah, kolej atau universiti. Tetapi, selalu juga terjadi apabila latihan berlaku ketika kerja-kerja di lapangan. Seperti mana sering terjadi dalam bidang muzik.

Ramai penggiat muzik memperolehi kemahiran mereka menerusi kerja-kerja di studio rakaman dan persediaan atau latihan bermain di pentas.

Datuk M. Nasir misalnya, tidak pernah mempelajari ilmu muzik secara formal. Tetapi bakat semulajadinya dan digandingkan dengan jumlah masa yang panjang di studio rakaman membuat beliau akhirnya digelar ‘Sifu’ dalam kalangan ahli muzik.

Bagi sesiapa yang berpeluang mendengar album pertama beliau akan menyedari kelemahan mutu penerbitan album tersebut. Namun, berkat ketekunan mempelajari ilmu dan memperbaiki dirinya dalam studio rakaman, serta peluang bersama para pemuzik hebat, M. Nasir akhirnya menjadi seorang 'Master' atau ‘Tok Guru’ malah ‘Doktor Kehormat’ dalam lapangan muzik.

Seorang lagi contoh adalah Saari Amri. Walaupun tidak memiliki latihan formal, masa yang beliau luangkan di studio rakaman bersama para pemuzik hebat menjadikan beliau tokoh gergasi dalam industri muzik tanah air.

Persembahan 

Penghasilan muzik yang hebat hanya dapat dibuktikan menerusi persembahan muzik yang hebat.  Terdapat dua jenis persembahan iaitu persembahan rakaman dan persembahan pentas.

Begitupun, untuk menghasilkan persembahan muzik rakaman memerlukan kemahiran yang lebih tinggi dan khusus.

Seorang pemuzik pentas tidak semestinya mampu menjadi pemuzik rakaman yang baik.

Pemuzik rakaman bukan sahaja memerlukan daya kreativiti bagi tujuan penciptaan, malah mereka memerlukan precision atau ketepatan di dalam permainan mereka. Setiap nota yang sumbang, malah tempo yang setengah detik terlari akan jelas merosakkan rakaman dan setiap rakaman adalah bersifat 'abadi' iaitu akan didengari untuk berdekad-dekad lamanya lalu menjadi sejarah.

Ini menunjukan kepentingan para pelaku dan kemahiran yang perlu mereka miliki bagi menyerlahkan keindahan sesebuah lagu yang dihasilkan dalam rakaman.

Semangat Akta Hak Cipta 

Meskipun muzik adalah satu usaha berkelompok, keutamaan mestilah diberikan kepada golongan pencipta. Kerana tanpa pencipta, tiada lagu.

Tanpa lagu bermakna tiada apa yang dapat dinyanyikan atau dipersembahkan oleh para pelaku iaitu penyanyi dan pemuzik.

Oleh itu para pencipta mempunyai hak paling utama dalam Akta Hak Cipta, manakala para pelaku (dan pemilik bunyi rakaman atau syarikat rakaman) hanya memiliki hak-hak yang terbatas dalam muzik.

Akta Hak Cipta Malaysia memberi perlindungan seumur hidup kepada para pencipta bagi menikmati imbuhan kewangan atau pembayaran royalti setiap kali hasil ciptaannya dimainkan dan menjana pendapatan. Bukan itu sahaja, perlindungan tersebut turut bersambung selama 50 tahun lagi setelah kematian seorang pencipta untuk dinikmati oleh pewaris atau zuriatnya.

Allahyarham Loloq antara penulis lirik yang menerima royalti tertinggi. Gambar: astroawani.com
Allahyarham Loloq antara penulis lirik yang menerima royalti tertinggi. Gambar: astroawani.com

Memahami dan menyedari akan hierarki yang meletakkan para Pencipta di kedudukan teratas adalah semangat yang terkandung dalam Akta Hak Cipta.

Andainya akta tersebut mengutamakan para pelaku akta tersebut akan dinamakan Akta Pelaku. Akta Pelabur pula adalah nama yang akan diberikan sekiranya ia mengutamakan para pelabur atau pemilik syarikat rakaman malah penerbitan (publisher).

Ekosistem 

Memahami ekosistem industri muzik adalah sama pentingnya dengan menghormati hierarki dalam industri muzik.

Para pencipta, mencipta lagu. Para pelaku, iaitu penyanyi dan pemuzik menghasilkan rakaman dan membuat persembahan. Para pelabur iaitu syarikat rakaman melaburkan modal bagi membiayai proses rakaman dan pengedaran lagu dan album.

Inilah aturan hidup industri muzik. Semuanya saling perlu memerlukan.

Pencipta. Pelaku. Pelabur.

Apabila aturan ini berjalan dengan lancar dan teratur, setiap pihak akan menikmati keuntungan berterusan.

Sebaliknya apabila berlaku kepincangan dalam sistem aturan tersebut, maka akan berlakunya kezaliman dan penindasan sesuatu pihak ke atas satu pihak yang lain. Industri muzik akan tidak lagi harmoni.

Kita sering mendengar berita berlakunya penindasan dan kezaliman ke atas para pencipta dan pelaku muzik oleh syarikat-syarikat rakaman dan penerbitan (publisher) dengan kontrak yang berat sebelah lagi menganiayakan, royalti yang tidak dibayar dan pelbagai lagi permasalahan serta kepincangan dalam bab Harta Intelek.

Banyak daripada tohmahan terhadap syarikat rakaman dan publisher adalah benar tetapi tidak pernah ditangani dengan sempurna, baik dari segi perundangan mahu pun pendedahan meluas daripada pihak media.

Perkara ini juga akan aku perjelaskan lagi di keluaran akan datang.

Sebelum menutup penulisan kali ini, aku ingin kembali kepada pertelingkahan epik di antara Caprice dan Ebit Lew berikutan isu di Gaza.

Aku sebenarnya tidak mengenali Ebit Lew. Mungkin kerana dia bukan orang muzik.

Aku juga sebenarnya tidak mengenali Caprice walaupun dikatakan dia adalah orang muzik.

Hanya menerusi Google dan YouTube dapat aku mencari dan mengetahui hasil kerja beliau. Barangkali kerana aku sudah tua dan otai.

Atau mungkin kerana hakikatnya Caprice tidak banyak menghasilkan lagu-lagu popular di arus perdana. Tidak seperti Aman Ra, Altimet atau jauh sekali Joe Flizzow dan Malique.

Aku percaya bahawa kewujudan Perbadanan Industri Muzik Malaysia tidak memberi sebarang kesan ketara atau bermakna kepada Caprice, seperti mana juga pembabitan beliau dalam muzik tidak memberi sebarang kesan ketara dan makna kepada industri muzik.

Jadi, maafkan aku sekiranya aku tidak peduli sekiranya beliau pulang ke tanah air atau terus cuba memasuki Gaza dan menetap buat selama-lamanya di sana.

Aku ucapkan, Selamat maju jaya! Semoga terus privileged dan entitled di luar negara.

Tetapi aku amat peduli dan berhati-hati terhadap penubuhan Perbadanan Industri Muzik Malaysia.

Kerana aku amat risau dan berhati-hati apabila melihat wakil-wakil syarikat rakaman yang lebih beriya-iya terhadap penubuhannya.

Seperti mana suasana para gorila dan chimpanzee beriya-iya hendak menjaga pisang. - Getaran, 4 Ogos 2021.

Berita Berkaitan

1

Kisah Kita 3 bulan yang lalu

Kisah Bendera Putih, Cebisan Bukti Keluhuran Hati Al-Sultan Abdullah

2

Semasa 3 bulan yang lalu

COVID-19: Pemakaian Pelitup Muka Masih Digalakkan Di Sekolah - Wong

3

Semasa 3 bulan yang lalu

20 Kes Baharu COVID-19 Dikesan Libatkan Mangsa Di PPS Terengganu, Kelantan - Dr Dzulkefly

4

Semasa 3 bulan yang lalu

Peningkatan Kes COVID-19, Amalkan Semula SOP Kesihatan - Pakar

Sorotan

1

Harimau Muda Tutup Kempen Di Qatar Tanpa Sebarang Kemenangan

2

Lebih 50,000 Kampit Beras Putih Tempatan Diagih Hingga 22 April - LPP

3

Sungai Golok Surut, Tidak Mustahil Wujud Pangkalan Haram Baharu – Kastam

4

Nahas Helikopter TLDM: Semua Mayat Mangsa Telah Dikeluarkan

5

Sultan Selangor Turut Berdukacita Nahas 2 Helikopter TLDM

6

Langkah Kerajaan Laksana Subsidi Bersasar, Skim Baharu Gaji Penjawat Awam Berdasarkan Prinsip - Fahmi