Berita Terkini

1 hari yang lalu: Hafizul Hawari yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak di KLIA Terminal 1 pada 14 April lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pagi tadi terhadap 7 pertuduhan 2 hari yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut 1 minggu yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 1 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 2 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok.

IKUTI KAMI


Dunia Digital Menguasai, Maka Era Majalah Pun Berakhir

Majalah sebagai salah satu cabang media massa paling unggul suatu masa dulu, kini sedang melalui zaman gelap. Cuba tanya diri sendiri, bilakah kali terakhir anda membeli majalah?

Kolum Dikemaskini 2 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 01 Aug 2021 2:37PM

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Lama sungguh rasanya tidak mengikuti perkembangan semasa industri penerbitan walaupun saya baharu sahaja meninggalkan dunia majalah lebih setahun yang lepas. Terfikir juga, apa khabar mereka di kala musim COVID ini?

Bila saya menyebut majalah, saya maksudkan naskah fizikal. Kerana saya tahu sebilangan kedai buku dan newsstand sudah enggan menjual majalah akibat bilangan pembelinya yang teramat sedikit.

Majalah sebagai salah satu cabang media massa paling unggul suatu masa dulu, kini sedang melalui zaman gelap.

Cuba tanya diri sendiri. Bilakah kali terakhir anda membeli majalah? Saya percaya kalau ditanya soalan ini kepada 10 orang, sembilan daripadanya hampir pasti akan menjawab sudah terlalu lama.

Mungkin tiga tahun lepas, lima tahun lepas atau mungkin lebih dari itu. Walaupun saya sendiri asalnya orang majalah, sampai suatu ketika saya sendiri pun sudah tidak lagi membaca majalah apatah lagi membelinya.

Jangan salah faham. Memang cukup enak membaca majalah suatu masa dahulu - sewaktu ianya masih memiliki ‘suara’, sebelum dikuasai pengiklan, sebelum dipenuhi dengan ulasan semula press release.

Saya rasa agak bertuah kerana berpengalaman bergelumang di dalam industri majalah sewaktu ianya melalui kemuncak era kegemilangannya.

Majalah khususnya yang berteraskan fesyen dan gaya hidup, seolah-olah medium penanda aras kepada segala apa yang in dan out suatu ketika dulu. Apa sahaja yang kami tulis, pembaca hadam bulat-bulat kerana saat itu belum ada lagi media sosial.

Zaman itu, editorlah yang menduduki hirarki tertinggi dalam memandu cita rasa umum. Pembaca disuapkan dengan segala macam laporan trend berdasarkan apa yang diputuskan oleh sang editor. Kalau cantik kata editor, diiyakan jugalah oleh pembaca.

Lebih-lebih lagi apabila filem Devil Wears Prada masuk pawagam, kehidupan editorial mula menjadi dambaan ramai anak muda. Begitu ramai graduan yang mencuba nasib untuk menjadi sebahagaian daripada kami.

Memang secara zahirnya tampak glamor tetapi hakikatnya kerja keras round the clock, tidak hanya guna akal tetapi kederat juga.

Sebagaimana dialog popular dari filem berkenaan, a million girls would kill for this job, mungkin pernyataan ini benar buat masa itu.

Berbanding dengan hari ini, keadaan adalah yang disebaliknya. Sekarang ini segalanya tidak lagi semudah itu.

Influencer lebih berpengaruh daripada editor. Kapsyen pendek di media sosial lebih mudah menjadi bahan bualan berbanding tulisan kritis berjela yang tidak lagi dihiraukan.

Kedudukan majalah hari ini ibarat novelty. Orang sekarang beli majalah bukan untuk mendapatkan maklumat tetapi lebih sebagai apresiasi kepada visualnya selain mungkin ada tulisan mengenai diri mereka atau review mengenai produk jualan mereka.

Dan kebetulan minggu lepas saya terbaca sebuah artikel yang membincangkan mengenai trend terkini di mana editor-editor ternama dunia mulai meninggalkan arena majalah untuk menyertai platform-platform digital gergasi seperti Netflix, TikTok, Google, Pinterest dan sebagainya.

Meminjam terma yang digunakan di dalam artikel tersebut, editorial majalah kini dikatakan sedang melalui fasa ‘media brain drain’. Persaingan di era digital sungguh kompetitif, orang majalah seakan sudah kering idea dan putus asa.

Walaupun setiap majalah hari ini memiliki laman sesawang sendiri, pengaruh majalah walau bagaimanapun mulai haus lebih-lebih lagi dengan lambakan influencer yang menyediakan kandungan secara terus tanpa mengharapkan sebarang kebergantungan terhadap mana-mana media.

Generasi kini juga seakan menjadi pemerhati rambang kepada jutaan sumber informasi yang disuakan tanpa henti. Mereka lebih well-informed, mampu menilai sendiri sesuatu berita atau laporan itu tanpa memerlukan pengaruh daripada sebarang editor majalah.

Benar sekali, isi kandungan majalah tidak mampu untuk 100 peratus telus dengan pembaca. Kepentingan klien perlu dijaga berdasarkan jumlah pelaburan mereka membeli ruang iklan. Kerana menerusi hasil jualan iklanlah majalah mampu untuk terus bertahan dan diterbitkan saban bulan.

Inilah dilema dunia penerbitan majalah yang kian pupus. Apabila internet sudah di hujung jari, maka konsep majalah sebagai sumber maklumat jelas sekali langsung tidak relevan. 

Di sini jugalah terletaknya peranan penting sidang redaksi dalam mencari jalan mempelbagaikan kandungan selain mengembangkan peranan medium digital yang sedia ada. Ubah modul perniagaan dengan drastik agar boleh sama bersaing dengan platform-platform digital lain.

Sebagai contoh, saya agak kagum dengan arah tuju media penyiaran kini yang begitu berani mengambil risiko.

Perhatikan bagaimana stesen-stesen televisyen mula mencambahkan konsep penyiarannya selari dengan permintaan semasa yang berat kepada digital.

Sekarang ini banyak isi rumah yang sudah langsung tidak menonton siaran televisyen tradisional, maka mereka menyediakan pilihan menerusi kaedah penstriman berbayar. 

Dalam pada itu, saya masih percaya yang keberadaan majalah itu masih mustahak sebagai medan berkarya eksklusif buat para pencinta seni dan fesyen.

Di kala pembaca masa kini yang lebih visual-driven, majalah seharusnya menjadi gelanggang yang mencetus sumber inspirasi melalui fotografi berserta penataan gaya yang jauh berani dan mencetus revolusi.

Kebetulan majalah sekarang sudah tidak lagi diterbitkan saban bulan, maka ada bagusnya sidang editorial menghidang sesuatu yang memiliki shock factor. Kerana ini bukan lagi masanya untuk terus duduk di dalam zon selesa.

Mahu shoot gambar personaliti sekadar muka cantik? Semua orang di dalam media sosial nampak cantik. Dengan inovasi aplikasi beraneka filter, silap hari bulan, muka personaliti yang dirakam jauh lagi cantik di Instagram berbanding di dalam majalah. Sesuatu untuk difikirkan.

Saya juga berasakan amat wajar bagi satu-satu majalah itu melalui semula fasa rebranding serta menggubal strategi baru apabila sampai waktunya. Sekadar revamp kandungan tidak cukup.

Majalah di era digital perlu ada think tank sendiri yang terdiri di kalangan mereka yang berpengetahuan dalam bidang tertentu selain bersifat objektif.

Sidang redaksi mesti berani ambil risiko, berani melakukan perubahan, berani membuat pelaburan, berani mengguna pakai idea baru.

Mahu kekal relevan? Dengar suara generasi yang sedang naik dan ambil kira pendapat mereka. Bukan sekadar dengar pendapat kawan sekeliling.

Satu lagi, jangan culas memuat naik kandungan di setiap cabang digital sedia ada setiap hari.

Bagi mereka yang pernah menjadi sebahagian daripada sidang redaksi majalah termasuklah diri saya, kita semua pasti pernah cuba meyakinkan umum yang majalah tetap relevan.

Kita mahu percaya yang orang ramai masih lagi setia menanti satu hari bulan untuk ke kedai buku bagi memiliki majalah edisi terbaru. Walaupun kenyataannya, orang majalah sendiri pun sudah tidak lagi membeli majalah. 

Dengan generasi hari ini yang semakin kurang membaca, mungkin ada benarnya era majalah sudah benar-benar berakhir. - Getaran, 1 Ogos 2021 

Semua gambar hiasan: Pexels

Isu Pada

Jeritan Ezah Hashim

31 Jul 2021

Berita Berkaitan

1

Semasa 1 bulan yang lalu

27 Tapak Projek JENDELA Di Negeri Sembilan Siap Dibina

2

Kolum 1 bulan yang lalu

5G: Keperluan Atau Sekadar Gimik Pemasaran?

3

Semasa 1 bulan yang lalu

PEDi Dikenali Sebagai Nadi, Mulai 1 Mac - Fahmi

4

Semasa 6 bulan yang lalu

‘Pre Wedding Photoshoot’ Ke? Penampilan Syed Saddiq Untuk Majalah Mewah Dipertikai 

Sorotan

1

Tragedi Helikopter TLDM : Jasad Mendiang Joanna Felicia Dikebumikan Di Serian Pagi Ini

2

PRK DUN KKB : Aspek Ekonomi Antara Fokus Kerajaan Perpaduan Sepanjang Kempen

3

Lebih 14,000 Aduan Diterima Menerusi Aplikasi MYJalan Setakat Ini - Ahmad Maslan

4

Pang Sock Tao Calon Kerajaan Perpaduan Bagi PRK Kuala Kubu Baharu

5

KPU Indonesia Isytihar Prabowo, Gibran Presiden Dan Naib Presiden 2024-2029

6

Amalan Pemakanan Tidak Sihat, Kurang Aktiviti Fizikal Punca Utama Obesiti - Dr Dzulkefly

7

642 Pegawai, Anggota Polis Selangor Bertugas Pastikan Kelancaran PRK Kuala Kubu Baharu

Disyorkan untuk anda

Kolum 20 jam yang lalu

Tun M, Bertenanglah, Tak Perlu Takut Dengan Siasatan