Berita Terkini

3 hari yang lalu: Hafizul Hawari yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak di KLIA Terminal 1 pada 14 April lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pagi tadi terhadap 7 pertuduhan 4 hari yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut 1 minggu yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 2 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 2 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok.

IKUTI KAMI


Tiket Wayang Dulu Cuma 65 Sen

"Ketika itu belum ada Dolby Stereo, jauh sekali panggung secanggih IMAX. Pawagamnya ada yang berhawa dingin dan ada yang menggunakan kipas siling atau dinding."

Kolum Dikemaskini 2 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 26 Jun 2021 10:20AM

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Sekitar awal 1970-an lagi saya telah pun dibawa ke panggung wayang. Saya telah didedahkan dengan bermacam filem daripada tayangan gambar Melayu, Inggeris, Indonesia, Hindustan dan Hong Kong yang ditonton di Alor Setar.

Ketika itu belum ada Dolby Stereo, jauh sekali panggung secanggih IMAX. Pawagamnya ada yang berhawa dingin dan ada yang menggunakan kipas siling atau dinding. Merokok juga dibolehkan, jadi hembuslah asap tembakau itu sepuas-puasnya sambil menonton.

Masih jelas terngiang di cuping telinga saya bunyi orang menggigit kuaci hitam yang kulitnya hanya dibuang ke lantai.

Sisa chewing gum pun boleh dibuang begitu sahaja. Boleh nampak nanti orang menyumpah kalau terpijak. Jika kurang bernasib baik, bau jering semerbak boleh menerpa ke hidung mereka yang duduk berhampiran pintu tandas. 

Di pintu masuk utama, kain baldu hitam atau merah tergantung megah, tampak elegan. Saya memang rindukan aksi selak-menyelak kain baldu itu kerana itu feel pertama kalau kita hendak melangkah masuk ke dalam panggung.

Makanan atau kudapan wajib pada dekad 1970-an selain kuaci hitam dan kuaci belang adalah kacang putih, kacang tanah rebus, kacang poi, sagon, asam ko, buah kana, asam Haw Flakes, coklat Smarties, keropok udang, asam katok, gula-gula, Tic Tac, Chiclets, wafer Apollo dan coklat Kandos.

Seperti juga bandar dan pekan lain di Malaysia, rata-rata panggung ketika itu adalah milik dua gergasi perfilemen Shaw Brothers dan Cathay Organisation. 

Di Alor Setar, pawagam utama adalah Cathay, Rex dan Empire. Ketiga-tiga panggung ini setinggi dua tingkat. Di tingkat bawah, ia berkerusi papan manakala tingkat atas pula berkusyen. Panggung Empire memang klasik kerana binaan tingkat atasnya melengkung persis panggung teater di Paris.

Panggung Empire Alor Setar
Panggung Empire Alor Setar

Tentunya Kelas Khas (tingkat atas) tiketnya lebih mahal, antara RM2.50 hingga seorang. Tingkat bawah pula ada dua kategori iaitu RM1.25 (belakang, Kelas Satu) dan 65 sen depan (melangut, Kelas Tiga).

Kalau filem box-office, semua tidak kisah duduk di depan sekali asalkan dapat menonton. Selepas tayangan, barulah masing-masing mengurut tengkuk.

Pawagam lain di Alor Setar pada zaman saya adalah Panggung Putra, Royal (Royal Theatre), Deluxe dan Seri Intan.

Ketika mula kenal wayang, saya belum lagi melangkah ke sekolah rendah. Saya didedahkan kepada filem oleh arwah nenek (maktok) dan ibu bapa. Mereka memang kaki wayang, jadi saya dan kakak pun terseret sama.

Sekalipun saya tidak ingat semua babak, sekurang-kurangnya saya masih ingat kelibat posternya, pelakon utamanya, genre serta jus cerita. Elemen yang lain yang boleh menyegarkan ingatan saya terhadap sesebuah filem adalah lagu tema serta skor muziknya.

Lagu filem Love Story lakonan Ryan O’Neal dan Ali MacGraw sungguh menangkap halwa telinga. 'Where Do I Begin?' nyanyian Andy Williams itu sudah saya hafal sejak darjah satu.

Andy Williams kemudian sekali meminjamkan suaranya untuk lagu tema filem The Godfather iaitu 'Speak Softly Love.' 

Panggung wayang jelas menjadi tempat bagi kami sekeluarga mendapatkan hiburan terbaru selain radio dan TV. Sesekali, akan ada pesta hiburan funfair yang besar seperti di Tapak Pesta Kanchut.

Di tapak pesta ini ramai artis popular muncul seperti Uji Rashid, Hail Amir dan DJ Dave. Maka bertimpalah manusia ke sana walaupun terpaksa meranduk debu tanah kering musim kemarau.

Setiap bulan kami sekeluarga akan pasti keluar menonton wayang kerana banyak aktiviti santai sampingan boleh dibuat sebelum masuk panggung. Antaranya makan Mee Abu, Mee Tonggek, pasembor dan ais kacang (ABC).

Keluarga kami tidak mempunyai kereta jadi beca roda tiga menjadi kenderaan utama kalau pergi menonton. Lucu juga, apabila terlebih muatan sampai empat orang, beca itu kadangkala senget!

Kalau pergi menonton di Panggung Rex atau Panggung Sky, saya lebih teruja kerana boleh sekali gus menaiki carousel sambil menjilat cotton candy. Ia memang macam mini BB Park.

Bertuah rasanya kerana saya sempat menonton tiga filem P. Ramlee yang terakhir di panggung wayang pada awal 1970-an. Filem itu tidak lain daripada Putus Sudah Kasih Sayang, Jangan Tinggal Daku dan Laksamana Do Re Mi.

Ketika itu saya belum mengerti kemelut P. Ramlee yang semakin dikatakan menurun kemasyhurannya. Ia tidak lagi mencetuskan fenomena seperti orang menyerbu ke panggung sebagaimana filem terdahulu di Jalan Ampas. 

Pada 1973 muncul dua filem yang sangat besar. Hollywood mempertaruhkan The Exorcist lakonan Linda Blair manakala Bollywood pula Bobby yang dibintangi Rishi Kapoor dan Dimple Kapadia. Kedua-dua filem ini telah mencetuskan fenomena yang abnormal.

The Exorcist arahan William Friedkin telah menyebabkan ramai penonton di Amerika Syarikat pengsan di luar pawagam kerana berdepan gangguan emosi dan ketakutan. Lalu, apabila ia mula ditayangkan di Malaysia, ribuan peminat menyerbu ke panggung kerana mahu berkongsi ‘ketakutan’ itu.

Sewaktu menonton di Rex, saya lihat ramai mencekup muka. Di tengah tayangan, tiba-tba sekumpulan gadis menjerit lalu berlari keluar daripada panggung itu. Mereka nampaknya tidak masuk semula. Saya sendiri sampai berbulan-bulan teringatkan wajah buruk Regan (Blair) dan takut tidur malam. 

Hingga ke hari ini pun, saya tetap meletakkan The Exorcist sebagai filem horror terbaik pernah dihasilkan Hollywood selain The Omen, The Shining dan The Sixth Sense.

Biarpun dibuat tanpa CGI dan hanya bersandarkan special effects secara konvensional serta solekan semata-mata, keunggulan The Exorcist dari aspek horror memang sukar digugat.

Bagi saya, kerasukan secara perlahan-lahan terhadap Regan dan perubahan wajahnya yang semakin hari semakin teruk itu membuatkan filem itu sangat menakutkan.

Lain pula ceritanya dengan Bobby kerana ia mencipta sejarah keindahan tersendiri di India. Ia kini terlorek sebagai salah satu filem box-office paling lama bertahan di pawagam India dan menjadi kegilaan sampai ke Russia. 

Sebelum filem arahan Raj Kapoor ini muncul di Alor Setar, saya sudah pun menghafal kebanyakan lagu-lagunya kerana jiran di sebelah rumah setiap hari asyik memutarkan piring hitamnya. Memang kami sekampung boleh dikatakan kaki filem Hindustan.

Apabila Bobby ditayangkan di panggung, ramai sudah menghafal lagu-lagunya malah ada yang turut menyanyi bersama-sama ketika menonton. Tiga kali saya ulang tonton Bobby dan seterusnya melihat ramai kakak dan abang pada waktu itu mula meniru fesyen-fesyen Rishi Kapoor dan Dimple Kapadia.

Yang pasti sekarang, semua itu telah hilang dari pandangan. Cathay, Rex mahupun Empire masih-masing telah menjadi restoran KFC, pusat snuker dan arked pakaian.

Malah yang lain-lain juga menerima nasib serupa. Yang wujud kini hanyalah sebuah cineplex moden dan itu pun masih ditutup operasinya gara-gara wabak. 

One Flew Over The Cuckoo’s Nest, Kramer vs Kramer, Jaws, Star Wars, Grease, Poltergeist, Aliens, Tootsie, Raiders of the Lost Ark, The Fly, Yaadon Ki Baaraat, Apna Desh, Khabie Khabie, Qurbani, Naseeb merupakan antara filem Inggeris dan Hindi yang saya layan sejak zaman persekolahan.

Tidak ketinggalan karya Malaysia dan Indonesia seperti Permintaan Terakhir, Sayang Anakku Sayang, Menanti Hari Esok, Adik Manja, Abang, Dia Ibuku, Langit Petang, Ranjau Sepanjang Jalan, Sumber Ilhamku, Jasmin, Potret Maria, Akhir Sebuah Impian, Pengemis Dan Tukang Becak, Budak Nafsu, Badai Pasti Berlalu, Kabut Sutra Ungu, Ponirah Terpidana, Gadis Hitam Putih dan November 1828 yang membuatkan saya berbaris membeli tiket.

Bilakah agaknya keseronokan dulu akan kembali? - Getaran, 26 Jun 2021

Isu Pada

Nurul Shamsul - Citra Perempuan Melawan

26 Jun 2021

Berita Berkaitan

1

Semasa 4 hari yang lalu

Jurutera Awam Dituduh Bersubahat, Babitkan Penipuan Pembayaran Hampir RM20,000

2

Semasa 5 hari yang lalu

Pesta Songkran: ‘Dulu Haram, Sekarang Halal Pulak?’ - Netizen

3

Politik 3 minggu yang lalu

"Buat Kerjalah Sanusi, Tak Perlu Sarkastik Sangat" - Mahdzir 

4

Jelajah 4 minggu yang lalu

Wau LED Hiasi Langit Malam Kampung Panchor 

Sorotan

1

Anak MB Perlis, 4 Yang Lain Dilepas Dengan Jaminan SPRM

2

Pemilik Stesen Minyak Diminta Lapor KPDN Jika Diancam Sindiket

3

Najib Diberi Peluang Jelaskan Mengenai Dokumen 1MDB Ketika Disoal Siasat - Pegawai SPRM

4

Elak Ketirisan, Perkukuh Tatakelola, Boleh Beri Upah Lumayan Kepada Pekerja - PM

5

5 Laluan Ditutup Sementara Sempena Hari Penamaan Calon PRK KKB Esok

6

Misi Pelayaran Ke Gaza Ditangguhkan Berikutan Tekanan Rejim Zionis - FFC

7

Najib Tak Pernah Arah Pengurusan 1MDB Pindah US$1.03 Bilion Kepada Syarikat Jho Low – Saksi