web statsweb stats

Berita Terkini

3 hari yang lalu: PRN Negeri Sembilan: Hari pencalonan 18 Julai, undi awal 28 Julai dan hari mengundi 1 Ogos - SPR 3 hari yang lalu: PRN Johor: Hari pencalonan 27 Jun, undi awal 7 Julai dan hari mengundi 11 Julai - SPR 5 bulan yang lalu: Najib Razak dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.4 bilion untuk kesemua 25 pertuduhan 6 bulan yang lalu: Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin disahkan meninggal dunia 7 bulan yang lalu: Ismanira Abdul Manaf, ibu kepada kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan didapati bersalah atas tuduhan pengabaian anak hari ini

IKUTI KAMI


Menakutkan? Apakah Ini Hukuman Buat Kita?

Seluruh negara dikejutkan dengan angka kes COVID-19 semalam. 8,290 kes. Adakah ini sebenarnya hukuman untuk kita? Adakah ia cukup menakutkan untuk kita akhirnya mempercayai kewujudan virus ini?

Kolum Dikemaskini 5 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 29 May 2021 9:55AM

Gambar hiasan

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Hidup sebagaimana mati, adalah benar. COVID-19 juga benar. Ada manusia masih belum percaya wabak ini wujud dan amat merbahaya. Bagi mereka, ia sekadar penyakit yang biasa-biasa dan tidak teruk menular di Malaysia. 

Hakikat ini juga disebabkan individu terbabit melihat ramai pesakit COVID-19 telah sembuh dan wabak yang lebih menjangkiti warga emas. Penderitaan dan kesan buruk penyakit itu tidak sampai sepenuhnya kepada pancaindera mereka, mungkin kerana ia fenomena baharu yang tidak didedahkan dengan cara menggerunkan.

Namun apabila situasi di India menjadi semakin parah dengan ratusan ribu mati, ditambah penularan varian terbaru yang lebih pantas merebak, kesedaran terhadap wabak ini mula menakutkan orang Malaysia.

Situasi di India. Gambar fail/AFP
Situasi di India. Gambar fail/AFP

Terima kasih program TV seperti Majalah 3 kerana menampilkan laporan khas tentang COVID-19, baru-baru ini. Ia membuatkan ramai tersentuh dan berasa takut.

Bukan sahaja memaparkan perkembangan di pusat kuarantin MAEPS Serdang, laporannya juga menyelitkan keadaan pesakit yang sedang bertarung dengan nyawa di wad-wad ICU. 

Rakaman visual bagaimana ahli keluarga hanya mampu menatap serta meluahkan tangisan kepada pesakit yang sedang nazak, membuat jutaan penonton insaf.

Ini diperkuatkan lagi dengan temu bual dengan pesakit sendiri serta juga beberapa jururawat yang turut menitiskan air mata. Pengisian laporan itu juga menunjukkan visual mangsa wabak dibawa ke liang lahad dengan penuh sepi.

Gambar: Sairien Nafis
Gambar: Sairien Nafis

COVID-19 adalah benar. Minggu lalu adalah momen cukup menyedihkan bagi saya dan keluarga. Kami sendiri telah kehilangan dua warga emas di kalangan sanak-saudara, akibat wabak ini,  masing-masing di Yan dan Alor Setar, Kedah.

Kedua mereka kebetulan menghidap penyakit kronik lalu akhirnya telah sampai seru takdir untuk kembali kepada Allah SWT. Al-Fatihah buat arwah Mak Som dan Pak Hassan.

Jadi kita yang masih hidup ini, bagaimana? Apakah tanggungjawab yang perlu kita lakukan mengikut tuntutan agama?

Ingatlah, usah kita mencampakkan diri ke dalam kemusnahan. Wajib kita memelihara diri sendiri, keluarga, sahabat handai, saudara-mara, jiran tetangga, komuniti dan negara ini daripada sebarang anasir kehancuran.

Patuhilah SOP. Gambar: Sadiq Asyraf Mohd. Yusof
Patuhilah SOP. Gambar: Sadiq Asyraf Mohd. Yusof

Sudah berbuih mulut, kita bercakap tentang SOP. Memang ramai yang mengikut SOP namun tidak kurang pula yang masih degil, ‘in denial’ dan mengambil mudah terhadap apa yang telah dipesan oleh kerajaan serta  pakar kesihatan.

Bagi golongan degil serta tidak berilmu ini, mereka beranggapan orang lain yang akan lebih terjangkiti dan negara lain yang bakal musnah. Diri mereka tetap kebal dengan virus itu yang saiznya adalah sehalus sehelai rambut dibelah seribu.

Kalau kita tidak mahu keadaan menjadi lebih kronik, kita tiada pilihan lain. Kita mesti betul-betul nekad duduk di rumah dan menahan diri daripada membuat perkara yang biasa kita buat sebelum ini. Ini hukuman buat kita.

Virus ini sebenarnya amat menguji tahap kesabaran manusia, kawalan nafsu, disiplin serta kebersihan. Itu semua ibarat vaksin kepada jiwa kita manakala vaksin secara lahirah datang dalam bentuk cecair suntikan.

Sudahkah anda mendaftar untuk mendapatkan vaksin? Gambar: Sadiq Asyraf Mohd. Yusof
Sudahkah anda mendaftar untuk mendapatkan vaksin? Gambar: Sadiq Asyraf Mohd. Yusof

Botol-botol vaksin tidak kita apa jenamanya kini sedang tersebar di seluruh dunia. Tidak pernah dalam sejarah, begitu banyak sekali vaksin anti-wabak disuntik serentak kepada umat manusia selain penggunaan pelitup muka serta pembasmi kuman yang tidak terhad jumlahnya.

Peliknya manusia. Apabila wabak diturunkan, mereka berdoa dan memohon agar penawarnya juga diturunkan. Namun apabila penawar telah wujud dan sedang diberikan oleh pemerintah setiap negara, mereka pula menolaknya selepas mendengar pelbagai dakwaan negatif yang tersebar.

Vaksin diragui dan dipersalahkan. Mereka lebih memandang kepada kes-kes terpencil yang tidak diketahui kebenarannya dan tidak melihat kepada majoriti manusia yang telah pun selamat disuntik di negara ini dan negara-negara lain yang lebih dulu dapat memerangi penularan wabak ini.

Secara mudahnya, apabila telah disuntik dengan dua dos, kita sekurang-kurangnya telah berusaha melindungi diri kita daripada kemudaratan yang kronik apabila dijangkiti virus ini termasuk di kalangan varian yang telah bemutasi.

Gambar: Mohd. Azim Abd. Rahman
Gambar: Mohd. Azim Abd. Rahman

Saya juga berharap pihak berkuasa tempatan mahupun badan korporat akan membantu proses sanitasi serta disinfeksi termasuk penyemburan bahan pembunuh kuman di tempat awam serta sesak seperti mana yang dibuat pada PKP1.0 lalu.

Memang agak sukar memantau sikap warga-warga asing serta petempatan mereka yang sesak kerana ia mampu mewujudkan banyak kluster baharu di tempat kerja mahupun kediaman masyarakat.

Namun kita tiada pilihan dan ia mesti dibuat secara besar-besaran selain memberikan mereka vaksin yang setara kerana mereka telah pun berada di sekeliling kita. 

Tidak guna lagi menuding pada kesilapan pemerintah-pemerintah terdahulu  kerana virus COVID-19 tidak lagi menunggu.

Ia telah menyerang dan akan terus menyerang tanpa mengira siapa kita sama ada kerabat diraja, anggota kerajaan, alim ulama, artis, buruh kasar, pendatang asing, nelayan, petani, pakar ekonomi, tentera, doktor, atlet sukan, murid sekolah malah sesiapa sahaja.

Gambar: Sairien Nafis
Gambar: Sairien Nafis

Dalam dunia hiburan pun, telah ramai selebriti serantau dijangkiti wabak ini.

Antara mereka di Malaysia adalah Ashraf Muslim, Alif Satar, Laila Nasir, Aeril Zafrel, Nabila Huda, Emma Maembong dan Sweet Qismina sementara di Indonesia pula termasuklah Ari Lasso, Dewi Perssik, Nirina Zubir, Elvy Sukaesih, Roy Marten, Iis Sugianto, Melaney Ricardo serta Ridho Slank.

Saya berharap golongan selebriti yang berpengaruh, melalui akaun sosial media mereka, akan cuba membantu kerajaan dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi menyedarkan masyarakat serta peminat tentangnya perlunya mematuhi SOP, mengambil vaksin dan bersikap lebih prihatin 24/7.

Biarlah kita lekas menjadi seperti Singapura, Laos, Macau dan New Zealand.

Kasihanilah golongan berusia yang tidak berdaya menolak ancaman wabak ini daripada mereka-mereka yang degil dan bersikap sambil lewa. Kasihani jugalah ribuan petugas perubatan yang telah memasuki fasa terlalu penat.

Kalau mereka terus merawat pesakit yang bertali arus setiap hari dan seterusnya dijangkiti pula, maka situasi negara kita pasti akan menjadi lebih panik. So, let’s fight this enemy seriously together! - Getaran, 29 Mei 2021

Isu Pada

Syafiq Kyle – Tentang Maskulin Toksik

29 May 2021

Berita Berkaitan

1

Semasa 2 minggu yang lalu

Malaysia Kekalkan Prinsip, Selesaikan Semua Konflik Dengan Diplomasi - PM

2

Semasa 2 bulan yang lalu

Anwar Ucap Tahniah Kepada Anutin, Sasar Perkukuh Hubungan Malaysia-Thailand

3

Luar Negara 3 bulan yang lalu

Suspek Kes Pornografi Kanak-Kanak Diekstradisi Ke AS

4

Rencana 5 bulan yang lalu

Detik Malaysia Mendunia Telah Tiba, Kita Mampu Lakukan!

Sorotan

1

Klinik Kesihatan Bergerak KKM Bawa Perkhidmatan Percuma Terus Kepada Rakyat

2

Video Belasah Pembantu Rumah Tular, 2 Pasangan Suami Isteri Ditahan

3

Asid Tumpah Dari Lori: Tiada Pencemaran Asid Di Sungai Cherating - JAS

4

Motosikal Ditunggang Langgar Belakang Kereta, Pelajar Maut Digilis Lori

5

PRN Johor Dijangka Sengit, 10 Kerusi Panas Jadi Tumpuan

6

Malaysia Destinasi Akhir Pendatang Tanpa Izin Kerana Jaringan Keluarga