Berita Terkini

14 jam yang lalu: Tokoh Wartawan Negara 2014 Datuk Ahmad Rejal Arbee meninggal dunia awal pagi hari ini - isteri Allahyarham, Datin Noraini Shariff. 3 hari yang lalu: Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Supermart & Superstore Sdn Bhd, Datuk Seri Dr Chai Kee Kan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam terhadap tuduhan sengaja melukakan perasaan orang Islam 6 hari yang lalu: KKM nasihatkan semua aktiviti di luar bilik darjah ditangguhkan sementara di semua lokasi yang merekodkan cuaca panas antara 35 hingga 37 darjah celsius 1 minggu yang lalu: Pihak Ocean Infinity akan bentang kawasan pencarian baharu MH370 kepada MOT awal Mei - Loke 1 minggu yang lalu: MAVCOM tambah 342 penerbangan domestik di seluruh negara untuk perjalanan antara 3 hingga 18 April - Loke

IKUTI KAMI


Imej Dan Persaingan Kijang Dengan Singa

Ad Samad mengingatkan kita tentang kepentingan imej dan betapa hebatnya tipu muslihat manusia.

Kolum Dikemaskini 2 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 26 May 2021 9:00AM

Gambar Laura Plumbeck dari Unsplash

oleh

Ad Samad

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

"The secret of life is honesty and fair dealing. If you can fake that, you've got it made." — Groucho Marx

Suatu ketika dahulu, adalah lebih mudah untuk membezakan orang UMNO dengan orang PAS.

Imej mereka berbeza, seperti siang dengan malam, teh dengan kopi, Liverpool dengan Manchester United.

Orang UMNO pakai songkok hitam, manakala orang PAS pula memakai kopiah putih.

Kini kita sukar untuk membezakan siapa orang UMNO dan siapa pula orang PAS. Para pemimpin UMNO pun sudah kelihatan berkopiah di khalayak ramai dan di sidang-sidang media.

Para pemimpin PAS pula telah ramai yang memakai blazer penuh bergaya dan berketerampilan, sosok seorang gentleman barat.

Apabila maklumat adalah terhad dan mengelirukan, kita akan bergantung kepada naluri dengan bersandarkan maklumat-maklumat visual yang diperolehi. Kerana itulah setiap kumpulan atau organisasi mempunyai warna rasmi, simbol, malah isyarat-isyarat tangan sebagai pengenalan diri mereka.

Imej penting bukan hanya untuk menjadi indikasi terhadap ideologi perjuangan, malah menjadi garis pertempuran yang memisahkan kedudukan pihak-pihak yang berseteru.

Kini garisan pemisah di antara UMNO dengan PAS telah menjadi terlalu pudar dan samar, sehingga mewujudkan kekeliruan  yang berpusar-pusar di kalangan ahli dan penyokong mereka. Kepada ahli Umno; adakah PAS kawan atau lawan? Dan di kalangan ahli PAS; adakah UMNO bukan lagi parti asabiyyah? Atau adakah masih lagi kafir seperti yang pernah digelar suatu masa dahulu oleh orang yang kini menjadi Presiden PAS?

Mungkin kekeliruan imej yang sedang berlaku hari ini adalah bertitik tolak daripada kekeliruan dan kecelaruan ideologi dan matlamat perjuangan di dalam parti masing-masing.

UMNO suatu masa dahulu adalah parti yang bersifat nasionalistik dan sekular, justeru membawa simbol atau perlambangan yang menonjolkan kemelayuan dengan bersulamkan ciri-ciri kebaratan bagi menunjukan sifat-sifat kemodenan. Justeru mereka  memakai baju melayu, coat atau bush jacket dengan songkok hitam ketika di acara kepartian.

Manakala PAS adalah parti Islam yang membawa perlambangan Islamik dan ke-araban, justeru berjubah, berkopiah dan serban, serta mengguna istilah-istilah Arab di dalam pertuturan.

Dahulu, orang UMNO akan bercakap mengenai pembangunan kebendaan dan patriotisme,  manakala orang PAS akan bercakap mengenai negara Islam, hudud, dan nilai-nilai Islamik.

Kini kelihatannya orang UMNO telah kurang bercakap mengenai pembangunan kebendaan dan orang PAS telah kurang bercakap mengenai negara Islam dan Hudud.

Mungkin setelah berabad abad menjadi seteru, mereka telah saling meminjam pakai  pemikiran  masing-masing melalui satu proses asimilasi atau osmosis yang mengakibatkan UMNO mahu kelihatan lebih Islamik dan PAS lebih progresif.

Di dalam dunia muzik pula, genre muzik tertentu akan membawa bersama imej-imej tertentu. rock, dangdut, atau hip hop mempunyai imejnya tersendiri.

Di zaman kebangkitan rock di tahun 80-an, pemuzik rock dipanggil kutu, dianggap ganas, dan tidak bermoral. Kita gagal memerhati bahawa di sebalik paras rupa yang sebegitu 'ganas' tersembunyinya sebuah taman bunga yang sangat mekar di dalam hati para rockers.

Kerana beranggapan bahawa lelaki berambut panjang dan berjeans lusuh adalah tidak bermoral dan jahat, Menteri Penerangan pada ketika itu mengharamkan penampilan lelaki yang sebegitu di kaca TV. Malah, Menteri Belia Dan Sukan ketika itu turut mengharamkan konsert rock heavymetal yang didakwanya akan mempengaruhi akhlak muda-mudi menjadi buruk sehingga akan menjadi penyembah syaitan.

Hanya lelaki berambut pendek sikat-tepi dan berseluar slack ber-pleat yang dibenarkan muncul di kaca TV dan mengadakan konsert.

Sangat menarik perkembangan sejarah kita setelah dua - tiga dekad berlalu. Menteri Belia Dan Sukan itu telah menjadi Perdana Menteri. Namun sedih sekali, beliau kemudiannya telah di dakwa dan disabitkan kesalahan pecah amanah dan pengubahan wang haram bernilai jutaan Ringgit, meskipun beliau tidak pernah kelihatan berambut panjang, berjeans lusuh, dan beraksi dengan gitar Flying-V di atas pentas sambil membakar lilin dan memakan kelawar.

Dunia ini adalah pentas persaingan, pertempuran, malah peperangan untuk mendapatkan makan minum, tempat tinggal, dan seks.

Demi perjuangan dan kesinambungan hidup, persaingan senjata atau arms race senantiasa rancak berlaku.

Persaingan senjata bukan sahaja di antara negara kuasa-kuasa besar, malah di antara kijang dengan singa turut berlumba untuk mempunyai senjata yang lebih maju. Iaitu kebolehan untuk berlari lebih laju.

Sekiranya kijang tidak ada kemampuan untuk berlari lebih laju daripada singa, maka kijang akan mati diterkam singa. Sebaliknya, jika singa tiada kebolehan untuk berlari lebih laju daripada kijang, maka singa akan mati kelaparan. Justeru, akan wujud desakan  dan tekanan dalaman di antara kedua-dua spesis ini untuk mempunyai kebolehan berlari dengan lebih pantas. Seleksi alamiah atau natural selection akan menghasilkan generasi baru yang akan berlari lebih laju daripada generasi sebelumnya.

Tipu daya juga adalah satu senjata.

Dan ia sangat penting bagi umat manusia.

Kita menggunakan tipu daya bukan sahaja untuk menangkap dan menguasai haiwan, malah untuk menawan dan menguasai kawan dan lawan.

Satu persaingan untuk mempertingkatkan kehandalan 'bermuslihat' sentiasa giat berlaku.

Kebolehan untuk menipu atau bermuslihat mewujudkan tindak balas pencegahan; iaitu kebolehan untuk membaca atau mengesan muslihat dan penipuan dari pihak yang bertentangan.

Para penjenayah akan cuba mengaburi pandangan dan perhatian pihak polis  dan pihak polis pula akan cuba membaca dan mengesan penipuan para penjenayah, lalu mengakibatkan para penjenayah terus mempertingkatkan lagi muslihat mereka untuk mengelak daripada ditangkap oleh pihak polis yang berterusan meningkatkan kebolehan mereka menangkap penjenayah. Begitulah berterusan proses ini sehingga ke akhir masa.

Di antara lelaki dan perempuan pula, para lelaki akan cuba 'mengiklankan' diri mereka sebagai baik, hebat dan menarik, manakala para wanita pula memerlukan kebolehan untuk mengesan 'pengiklanan palsu' agar tidak terpedaya dan mengandung zuriat lelaki penipu (menerusi pernikahan atau tidak). Para lelaki akan cuba meningkatkan mutu 'pengiklanan' mereka agar semakin kelihatan meyakinkan demi mencapai kejayaan memikat wanita, manakala para wanita akan terus memperbaiki apparatus 'pengesanan penipuan' mereka, sehingga kiamat tiba.

Dunia yang kompleks ini dipenuhi kepalsuan, dan tipu helah yang mengelirukan.

Apa yang terselindung di sebalik imej yang dipamerkan adakalanya sesuatu yang berlawanan sifatnya.  Sesuatu yang di luarnya kelihatan baik dan cantik, adakalanya di dalamnya buruk malah merbahaya seperti ular berbisa yang berwarna warni, atau harimau yang corak belangnya memukau. Sesuatu yang kelihatan buruk dan merbahaya pula, adakalanya baik dan lazat di dalamnya, seperti durian dan ikan monkfish.

Setiap seniman, agamawan, politikus,  malah ramai di kalangan perompak menyedari bahawa untuk berjaya di dalam bidang yang diceburi, asasnya adalah untuk membina reputasi yang cemerlang. 

Maka sentiasalah  mempamerkan imej yang baik agar mempunyai reputasi yang bagus.

Nanti, apabila ada waktu yang memerlukan untuk kita bermuslihat atau curang; kita tidak ditangkap. Malah lepas dengan habuan yang bermanfaat.

Mengungkap kata-kata Mark Twain, “Give a man a reputation as an early riser and he can sleep 'til noon.”.

Nah!

Kita perlu lebih mahir di dalam mengenali manusia.

Mungkin, kita perlu lebih giat melabel manusia.

Ia bukan kerja mudah. Oleh itu juga, jangan mudah melabel.

Kemahiran melabel memerlukan pengetahuan mendalam di dalam pelbagai cabang ilmu kemanusiaan serta latihan yang berpanjangan.

Berbalik kepada topik UMNO dan PAS, malah PKR, DAP, Bersatu, dan sebagainya, Pilihan Raya Umum yang ke - 15 boleh berlaku pada bila-bila masa sahaja.

Semoga di kala itu, kita tidak menjadi mangsa pengiklanan palsu para munafik yang mempamerkan imej yang hebat-hebat.

Dan semoga dijauhkan juga waima seorang Mat Rock pun dari menjadi penyembah syaitan yang direjam. - Getaran, 26 Mei 2021.

*Keratan akhbar milik penulis

Berita Berkaitan

1

Semasa 1 bulan yang lalu

Jangan Jadikan Kelemahan Ringgit Senjata Politik - Anwar

2

Muzik 3 bulan yang lalu

Tiket Konsert Siti Nurhaliza Licin Dijual Dalam Masa 2 Jam

3

Muzik 3 bulan yang lalu

Akhirnya Hindia Mendarat, Bawa Representasi Anak Muda

4

Muzik 4 bulan yang lalu

Noah Tidak Pernah Mengecewakan, Lebih 5,000 Peminat Terpukau Saksikan Konsert ‘Terakhir’

Sorotan

1

Hampir 20,000 Buah Mangga Malaysia Dilupuskan Di Riau

2

Stoking Kalimah Allah: Jangan Ambil Tindakan Sendiri - KPN

3

PM Ziarah Menteri Agama Terima Rawatan Di Hospital Putrajaya

4

Penggunaan Nombor Bil Sebagai Rujukan Bayaran CAPL Bermula 1 April - LHDN

5

PM Ucap Selamat Raikan Good Friday, Easter Sunday Kepada Penganut Kristian

6

Singapura Rampas 1.5 Tan Produk Segar, Makanan Proses Dari Malaysia

7

Tular Titah Lama Sultan Nazrin, Dewan Negara Perak Buat Laporan Polis

Disyorkan untuk anda

Kolum 45 minit yang lalu

Meredah Cabaran Peralihan Tanpa Subsidi Minyak di Malaysia

oleh Nasser Ismail