Berita Terkini

1 hari yang lalu: Hafizul Hawari yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak di KLIA Terminal 1 pada 14 April lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pagi tadi terhadap 7 pertuduhan 2 hari yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut 1 minggu yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 1 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 2 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok.

IKUTI KAMI


Unit Integriti, Amalan Baik Dunia Dalam Pencegahan Rasuah

Kolum Dikemaskini 1 tahun yang lalu ยท Diterbitkan pada 05 Sep 2022 2:48PM

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Kegagalan mengekang rasuah boleh menyebabkan keruntuhan sesebuah kerajaan.

Paling terkini, rasuah menjadi salah satu faktor kebankrapan negara Sri Lanka. Pada 30 Jun 2022, International Monetary Fund (IMF) menasihatkan kerajaan Sri Lanka untuk menangani masalah rasuah dan menaikkan cukai bagi menyelamatkan ekonomi negara itu.

Kejayaan pencegahan rasuah dalam pentadbiran kerajaan tidak bermaksud menghapuskan rasuah secara keseluruhan. Perkara tersebut adalah amat mustahil.

Pencegahan rasuah bertujuan mengekang amalan keji itu kepada tahap yang paling minimum. Tindakan penguatkuasaan dan punitif adalah amat penting untuk memberi isyarat keseriusan perbuatan rasuah. Bagaimanapun, langkah awal pencegahan dan pendidikan adalah lebih penting bagi mengelakkan amalan rasuah daripada berlaku.

Penubuhan Unit Integriti (UI) di setiap agensi kerajaan adalah langkah proaktif bagi menangani isu rasuah, salah laku dan kelemahan tadbir urus dalam perkhidmatan awam. Usaha ini adalah amat signifikan kerana strategi pencegahan rasuah yang paling berkesan adalah melalui pembudayaan integriti dalam kalangan pegawai serta kakitangan agensi itu sendiri.

Penubuhan UI merupakan salah satu daripada 15 amalan baik yang dikenal pasti oleh United Nations Office on Drugs and Crime (UNODC) berhubung pematuhan Malaysia bagi Bab II dan Bab V United Nations Convention Against Corruption (UNCAC). Bab II merujuk kepada ‘langkah-langkah pencegahan’ dan Bab V pula berkaitan ‘pemerolehan semula harta jenayah’. Penilaian terhadap Malaysia bagi kedua-dua bab ini dibuat pada 2016 dan 2017.

Untuk rekod, UNCAC ialah konvensyen antarabangsa di bawah UNODC yang mewajibkan negara-negara anggota melaksanakan langkah-langkah pencegahan rasuah secara komprehensif. Malaysia menandatangani UNCAC pada 9 Disember 2003 dan diratifikasi pada 24 September 2008.

Dalam laporan penilaiannya, UNODC menyatakan, “Usaha meningkatkan integriti dalam agensi awam dan syarikat berkaitan kerajaan dengan mewajibkan penubuhan Unit Integriti yang dikategorikan mengikut tahap risiko rasuah, adalah contoh amalan baik.”

Perkara ini selaras dengan Artikel 5(2) UNCAC iaitu setiap negara anggota mesti berusaha untuk mewujudkan dan mempromosikan amalan yang berkesan bagi mencegah rasuah. UI bertindak sebagai focal point di agensi awam dalam pengurusan integriti, pencegahan rasuah dan menggalakkan tadbir urus baik. Arahan kerajaan berkaitan penubuhan UI di semua agensi awam dikuatkuasakan melalui Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 6 Tahun 2013 yang dikeluarkan pada 1 Ogos 2013.

Sehingga kini, sebanyak 331 agensi awam telah menubuhkan UI, manakala 502 agensi melantik Pegawai Perhubungan Integriti bagi melaksanakan fungsi UI. Bagi syarikat berkaitan kerajaan (SBK), kerajaan mengarahkan agar ditubuhkan Unit Integriti dan Governans (IGU) selaras dengan Arahan YAB Perdana Menteri No.1 Tahun 2018, Siri 1 No.1 Tahun 2018 yang dikeluarkan pada 5 Oktober 2018.

Sebanyak 232 SBK telah menubuhkan IGU, manakala 422 SBK telah melantik Pegawai Perhubungan Integriti untuk melaksanakan fungsi IGU. UI agensi awam melaksanakan fungsinya berdasarkan enam terma rujukan iaitu tadbir urus; pengukuhan integriti; pengesanan dan pengesahan; pengurusan aduan; pematuhan; dan keurusetiaan tatatertib. Selain bertanggungjawab kepada ketua agensi masing-masing, semua UI dikawal selia dan diselaraskan oleh Bahagian Pengurusan Integriti Agensi, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Struktur UI ditentukan berdasarkan kajian penarafan risiko rasuah yang dilaksanakan oleh SPRM dari semasa ke semasa. Agensi diberi penarafan sama ada risiko tinggi, risiko sederhana atau risiko rendah.

Berdasarkan kajian penarafan SPRM yang terbaharu, 168 agensi awam ditarafkan sebagai risiko tinggi, 673 agensi awam ditarafkan sebagai risiko sederhana, dan 100 agensi awam ditarafkan sebagai risiko rendah.

SPRM turut menempatkan pegawai-pegawainya di agensi awam dan SBK, terutamanya yang ditarafkan sebagai risiko tinggi dan sederhana. Secara keseluruhannya, 90 pegawai SPRM ditempatkan di 74 organisasi.

Satu contoh pelaksanaan UI adalah di Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM). SPRM menarafkan JKDM sebagai risiko tinggi sesuai dengan skop tugasannya sebagai agensi penguatkuasaan dan pemungut hasil utama negara. Tambahan pula, warga kerja JKDM seramai lebih kurang 14,000 orang di seluruh negara. UI JKDM dikenali sebagai Cawangan Integriti yang melapor terus kepada Ketua Pengarah Kastam Malaysia.

Komitmen pengurusan tertinggi JKDM dizahirkan dengan agenda pemerkasaan Cawangan Integriti dari segi bilangan perjawatan dan bajet. Cawangan Integriti JKDM mempunyai 31 perjawatan dan diketuai pegawai kanan SPRM bergred P54.

Di setiap pejabat JKDM peringkat negeri dan zon mempunyai Pegawai Integriti Negeri yang tersendiri.

Akhir sekali, usaha menginstitusikan integriti, tadbir urus baik dan pencegahan rasuah bukan satu tugas mudah dan semestinya memerlukan masa. Usaha yang dilaksanakan hari ini, hasilnya mungkin akan dirasai dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang.

Walaupun dunia mengiktiraf UI sebagai satu amalan baik, keberkesanannya amat bergantung kepada komitmen pengurusan tertinggi sesebuah agensi. Dua aspek penting bagi memastikan keberkesanan UI adalah sumber manusia dan peruntukan kewangan. Agensi yang komited pasti akan menempatkan sumber manusia yang mencukupi dan individu yang berkelayakan untuk menjalankan fungsi-fungsi UI.

Melaksanakan usaha bagi meningkatkan integriti, tadbir urus baik dan pencegahan rasuah sudah tentu memerlukan sumber kewangan. Oleh itu, agensi mesti sanggup memperuntukkan belanjawan yang sewajarnya untuk usaha tersebut. Jangan lokek, kerana pelaburan bagi menginstitusikan integriti pasti menjanjikan pulangan yang berbaloi kepada agensi. - Getaran, 5 September 2022

Mohamad Tarmize Abdul Manaf ialah Ketua Cawangan Integriti SPRM di Jabatan Kastam Diraja Malaysia

Berita Berkaitan

1

Semasa 2 minggu yang lalu

SPRM Mula Siasatan FAM, Ambil Fail Tertentu

2

Semasa 2 minggu yang lalu

PM Titip Pesanan Kepada Anggota JKDM, JIM Supaya Sentiasa Jaga Disiplin, Integriti

3

Semasa 3 minggu yang lalu

Ops Samba 2.0: Ketirisan Akibat Penyeludupan Di Kargo, KLIA Cecah RM2 Bilion - SPRM

4

Semasa 1 bulan yang lalu

Pegawai Kanan Polis Disyaki Lindungi Kegiatan Haram Dicekup

Sorotan

1

Tragedi Helikopter TLDM : Jasad Mendiang Joanna Felicia Dikebumikan Di Serian Pagi Ini

2

PRK DUN KKB : Aspek Ekonomi Antara Fokus Kerajaan Perpaduan Sepanjang Kempen

3

Lebih 14,000 Aduan Diterima Menerusi Aplikasi MYJalan Setakat Ini - Ahmad Maslan

4

Pang Sock Tao Calon Kerajaan Perpaduan Bagi PRK Kuala Kubu Baharu

5

KPU Indonesia Isytihar Prabowo, Gibran Presiden Dan Naib Presiden 2024-2029

6

Amalan Pemakanan Tidak Sihat, Kurang Aktiviti Fizikal Punca Utama Obesiti - Dr Dzulkefly

7

642 Pegawai, Anggota Polis Selangor Bertugas Pastikan Kelancaran PRK Kuala Kubu Baharu

Disyorkan untuk anda

Kolum 21 jam yang lalu

Tun M, Bertenanglah, Tak Perlu Takut Dengan Siasatan