Berita Terkini

4 hari yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 1 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok. 1 minggu yang lalu: Koc wanita bagi MRT laluan Putrajaya akan dilaksanakan bermula Isnin ini - Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail 1 minggu yang lalu: Pengerusi Spanco Sdn Bhd, Tan Sri Robert Tan Hua Choon mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menipu hingga mendorong MOF menganugerahkan kontrak urus kenderaan kerajaan bernilai RM3.9b, pada 2019 2 minggu yang lalu: Tokoh Wartawan Negara 2014 Datuk Ahmad Rejal Arbee meninggal dunia awal pagi hari ini - isteri Allahyarham, Datin Noraini Shariff.

IKUTI KAMI


Rumusan Pencapaian Ismail Sabri Menerusi 'Surat Terbuka Untuk PM' – Yusuf Hashim

Kolum Dikemaskini 1 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 31 Aug 2022 9:03AM

Ismail Sabri Yaakob - Gambar Bernama

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Kehadapan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob,

Tahun lalu, saya menulis sepucuk surat terbuka untuk memohon Perdana Menteri memberi perhatian kepada beberapa isu utama yang membuatkan ramai rakyat Malaysia, termasuk saya bimbang.

Hari ini ialah ulang tahun kemerdekaan negara kita yang ke-65 dan tidak lama lagi, kita akan keluar mengundi untuk memilih kerajaan serta Perdana Menteri baharu.

Bagi pihak seluruh rakyat Malaysia, pada hari ini saya merumuskan apa yang kami minta anda laksanakan sepanjang tahun lalu.

Saya juga memberikan markah kepada prestasi anda berdasarkan kepada Petunjuk Prestasi Utama (Key Performance Indicators) yang kami tetapkan untuk anda.

Saya juga sudah menghitung markah anda agar rakyat Malaysia boleh memutuskan sama ada kami patut memilih anda dan parti anda atau individu dan kumpulan lain untuk memimpin negara ini, bagi membawa ia keluar dari kebobrokan serta huru-hara dialami kami sepanjang 61 tahun UMNO dan Barisan Nasional (BN) memerintah.

Dalam surat terbuka saya sebelum ini, saya mohon anda memberi perhatian kepada isu dan tugasan seperti dimaklumkan di bawah. Berserta setiap tugasan, saya memberikan skor markah bagi prestasi anda pada skala 1 hingga 10.

Markah untuk lulus secara keseluruhan ialah 75 peratus. Anda dikira ‘gagal’ atau ‘failed (F)’ jika pencapaian anda kurang daripada markah ini. Saya juga memberikan ulasan bagi menjelaskan mengapa anda memperoleh markah itu.

1. Rakyat Malaysia menaruh harapan kepada anda supaya mengambil tindakan tegas untuk menghentikan kerosakan diakibatkan oleh amalan korupsi yang sangat ‘rancak’ di peringkat dan kedudukan tinggi dalam kerajaan.

Markah? 6/10.

Komen: Prestasi anda baik di sini. Anda tidak campur tangan dalam proses kehakiman dengan membiarkan ia berfungsi secara bebas ketika perbicaraan ke atas kleptokrat tersohor dunia di mahkamah. Pencuri tersebut sudahpun dipenjarakan. Dia berada di tempat selayaknya untuk dirinya. Kami berharap anda akan terus mengambil sikap tidak campur tangan dalam proses penghakiman.

Jika anda ingin mendapat markah penuh bagi tugasan ini, anda perlu mengarah agensi-agensi penguatkuasaan supaya bertindak secara tegas tanpa pilih kasih terhadap mana-mana pegawai korup.

Bahkan pada masa sama, ambil tindakan terhadap pihak yang memberi rasuah kerana amalan jahat ini berlaku secara dua hala melibatkan pemberi dan penerima.

Oh, kami akan beri markah tambahan kepada anda jika anda memecat Duta Khas bertaraf Menteri dari PAS yang menganggotai kerajaan anda atas sikap prejudis dan kenyataannya yang tidak munasabah bahawa amalan rasuah serta korupsi yang semakin menjadi-jadi di negara ini adalah angkara kaum bukan Bumiputra.

2. Tetapkan semula komposisi Perkhidmatan Awam dengan menjadikannya sejajar komposisi kaum negara ini. Anda juga perlu berusaha dengan gigih untuk mengecilkan saiz Perkhidmatan Awam kerana jika ini tidak dilakukan, komitmen pembayaran pencen negara akan menjadi semakin besar setiap tahun. Kerajaan perlu menukar sistem pencen sedia ada ini kepada satu bentuk sumbangan untuk persaraan yang dilakukan secara persendirian, seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi kakitangan sektor swasta.

Markah? 0/10.

Komen: Anda tidak melakukan apa-apa bagi tugasan ini. Malah, kini kami tahu bahawa mantan Perdana Menteri sedang dipenjarakan itu sudah membayar seorang mantan KSN yang pernah menduduki jawatan perkhidmatan awam tertinggi negara ini sebanyak RM20,000 setiap bulan, tanpa perlu menjalankan apa-apa tugas ketika dia dilantik menjadi seorang ahli penasihat lembaga pengarah sebuah syarikat milik kerajaan.

3. Swastakan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC: Government Linked Companies) dan Syarikat Milik Kerajaan (GOC: Government Owned Companies) supaya mereka diurus serta dikendalikan teknokrat dan ahli perniagaan profesional, bukannya penjawat awam yang sudah pencen atau ahli politik terlajak tarikh luput mereka.

Tugas kerajaan sepatutnya ditumpukan kepada usaha mentadbir urusan kenegaraan dengan efisien. Justeru, serahkan sahaja urusan mengurus dan mengendalikan perniagaan kepada ahli perniagaan serta profesional yang berintegriti tinggi. Lagipun, syarikat GLC dan GOC sering disalahguna kerajaan sebagai alat rasuah politik supaya penjawat awam pencen serta ahli politik dijadikan macai Perdana Menteri bagi melaksanakan dan memelihara agenda politiknya.

Bahkan lebih teruk dari ini, dana daripada syarikat GLC dan GOC kerapkali disedut ahli politik korup untuk kepentingan serta keuntungan peribadi mereka dan kroni. Kesalahan amat besar seperti ini mesti dihentikan.

Markah? 0/10

Komen: Anda tidak melakukan apa-apa terhadap isu ini. Hampir 60 tahun Dasar Ekonomi Baru (DEB) dilaksanakan dan sepatutnya ini sudah cukup. Saya percaya ramai orang Melayu sudah mampu berjaya dan meraih kekayaan tanpa bantuan secara langsung dari kerajaan. Pada hakikatnya, DEB sudah dieksploitasi ahli politik dan golongan kelas bangsawan yang terdiri daripada kroni untuk mewujudkan sistem memperkayakan diri tanpa usaha wajar dan betul.

Ia amat dibenci rakyat marhaen yang semakin dimiskinkan oleh dasar teruk dieksploitasikan ini. Sudah tiba masanya DEB diganti dengan Dasar Pembangunan Berasaskan Keperluan (DPBK) di mana setiap rakyat yang memerlukan bantuan layak menerimanya tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik.

4. Rombak sistem Pendidikan Negara. Beri keutamaan kepada meritokrasi dan peluang adil kepada setiap rakyat Malaysia yang berkelayakan untuk memasuki universiti awam, berdasarkan kepada pencapaian akademik tanpa mengira latar belakang bangsa serta kaum.

Sediakan biasiswa dan bantuan kewangan kepada mereka yang memerlukan. Kepada pelajar kurang menyerlah dalam bidang akademik, sediakan latihan supaya mereka boleh berkecimpung di bidang perniagaan kecil atau bidang teknikal dan sektor perkhidmatan.

Markah? 1/10

Komen: Anda tidak melakukan apa-apa terhadap isu ini.

5. Laksanakan semula kemahiran dwi-bahasa di sekolah kebangsaaan kita. Bahkan, adalah lebih baik jika usaha bagi menguasai tiga bahasa dapat perkenalkan. Bahasa Malaysia tetap dikekalkan sebagai bahasa kebangsaan kita, tetapi Bahasa Inggeris patut dijadikan bahasa wajib dikuasai setiap pelajar kerana ia adalah bahasa perantaraan dunia yang akan membolehkan generasi akan datang berinteraksi dengan lancar dan berkeyakinan tinggi di peringkat global.

Markah? 5/10

Komen: Anda gagal teruk di sini. Bukan sahaja anda tidak mengendahkan manfaat penguasaan tiga bahasa, malah anda memberi arahan supaya bahasa pengantar bagi semua jabatan dan agensi kerajaan di peringkat domestik serta antarabangsa hendaklah menggunakan Bahasa Malaysia sahaja. Maaf saya katakan bahawa ini adalah satu tindakan tidak bertanggungjawab yang sangat melampau.

Saya mengesyaki bahawa anda mengambil tindakan ini semata-mata atas tujuan politik untuk menarik perhatian dan sokongan orang Melayu di kawasan pedalaman bagi meraih undi mereka. Saya berpendirian bahawa adalah amat tidak wajar dan salah mengorbankan kepentingan serta prospek masa depan negara yang lebih besar demi mengejar cita-cita politik sempit untuk meraih keuntungan segera.

Kebolehan berkomunikasi secara fasih dalam Bahasa Inggeris akan membolehkan rakyat Malaysia mendapat akses langsung dan segera dalam bidang saintifik serta teknologi yang cangggih, termasuk dalam bidang kemajuan insan tanpa memerlukan atau menunggu apa-apa usaha penterjemahan bahasa. Selain itu, negara China juga akan mengambil alih kedudukan Amerika Syarikat sebagai kuasa ekonomi terbesar di dunia tidak lama lagi.

Rakyat Malaysia yang boleh membaca, menulis dan berkomunikasi dalam bahasa Mandarin akan menjadi aset sangat bernilai kepada negara ini. Ramai dari golongan muda rakyat Malaysia berbangsa Cina sudah pun menguasai tiga bahasa. Jika anda ingin orang Melayu mempunyai kemampuan untuk bersaing dengan orang Cina di negara pada kedudukan sama rata dalam suasana Order Ekonomi Dunia Baharu yang semakin kuat persaingannya, jadikan orang Melayu fasih menguasai bahasa Mandarin dan Inggeris, di samping bahasa kebangsaan.

6. Kurangkan penekanan berlebihan terhadap pengajian agama yang sedang dilakukan di sekolah kebangsaan. Sebaliknya, beri tumpuan dan fokus yang lebih utama kepada pendidikan berkaitan dengan nilai asas murni dan moral serta kesedaran sivik yang dikongsi bersama semua agama.

Didik anak kita untuk berkasih sayang dan saling menghormati sesama insan tanpa mengira latar belakang agama, bangsa serta bahasa ibunda. Beri keutamaan juga kepada pendidikan Sains dan Matematik, berbanding pengajian agama di sekolah.

Markah? 0/10

Komen: Kawal keghairahan golongan pelampau agama dari PAS yang berlagak suci dan melantik diri mereka sendiri sebagai penguatkuasa moral, padahal mereka sendiri bergelumang dengan berbagai-bagai masalah moral. Kebisuan mereka terhadap isu rasuah dan korupsi sangat ketara.

Bahkan sikap dan kelakuan mereka menyokong serta menunjukkan kesetiaan kepada pengamal rasuah dan pencuri duit rakyat sangat dikesali. Orang begini tidak layak bercakap mengenai agama, bahkan merekalah sebenarnya penghina agama yang sudah merosakkan kesucian Islam.

7. Hapuskan skim pencen, pakej percutian tahunan dan elaun serta segala faedah keterlaluan dinikmati Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), menteri dan timbalannya, selain penjawat lain yang mendapat taraf menteri. Tugas berkhidmat untuk rakyat bukan jawatan atau karier. Sebaliknya, ia adalah tanggungjawab wajib ditunaikan dalam apa jua keadaan kerana mereka dipilih rakyat untuk mewakili, menjaga kepentingan dan kebajikan rakyat dalam tempoh penggal pelantikan mereka.

Tempoh maksimum bagi wakil rakyat juga harus dihadkan kepada dua penggal sahaja. Selain itu, umur maksima patut dibenarkan ialah 60 tahun sahaja kerana pada usia melebihinya, wakil rakyat mungkin berhadapan masalah untuk melaksanakan tugas dengan berkesan atas faktor kesihatan, kecerdasan dan tenaga berkurangan.

Markah? 7/10

Komen: Saya ambil maklum bahawa ada langkah sedang diusahakan untuk mengehadkan tempoh memegang jawatan sebagai Perdana Menteri kepada dua penggal sahaja. Disebabkan ini, anda mendapat dua markah di sini. Anda juga mendapat lima markah bonus kerana anda menyokong undang-undang menurunkan umur kelayakan pengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun. Oleh itu, anda mendapat tujuh markah di sini. Syabas!

8. Kurangkan pengurniaan gelaran Dato’ dan gelaran lain di peringkat negeri serta kebangsaan.

Markah? 0/10

Komen: Saya percaya ratusan gelaran Dato’ yang baharu dikurniakan sejak surat pertama saya kepada anda. Oleh itu, anda gagal teruk dalam hal ini. Tetapi saya ingin merakam rasa gembira di sini bahawa Negeri Sembilan sudah menarik kembali pingat gelaran dikurniakan kepada mantan Perdana Menteri yang kini sedang menjalani hukuman penjara.

Anda patut perkenalkan undang-undang yang secara automatiknya akan membatalkan dan menarik balik semua pingat gelaran kepada sesiapa sahaja yang didapati bersalah oleh mahkamah, tidak kira apa kesalahan dilakukan. Langkah ini akan dapat memelihara nilai pingat tersebut dan nama baik, reputasi serta penghormatan pihak yang menerima pengurniaan ini selayaknya.

Berikut adalah hitungan markah anda, Perdana Menteri:

1. 6/10

2. 0/10

3. 0/10

4. 1/10

5. 5/10

6. 0/10

7. 7/10

8. 0/10

Jumlah = 9/80 (11 peratus)

Nampaknya anda gagal dalam penilaian ini, Perdana Menteri. Disebabkan kegagalan ini, saya tidak boleh menyeru rakyat Malaysia supaya mengundi anda pada PRU akan datang tidak lama lagi. Secara peribadi saya rasa anda berjaya memberi sedikit kesan walaupun dalam tempoh singkat anda memegang jawatan Perdana Menteri.

Pemenjaraan ke atas mantan Perdana Menteri ‘penyangak’ itu yang berlaku di bawah pentadbiran anda kerana anda tidak campur tangan dalam urusan badan kehakiman ialah suatu perkara baik yang akan membuat anda sentiasa diingati rakyat Malaysia.

Selain itu, kelulusan undang-undang bagi kelayakan pengundi berumur 18 tahun juga adalah satu mata tambahan utama kepada anda. Saya percaya jika anda boleh memainkan peranan untuk mengehadkan penggal maksima bagi jawatan Perdana Menteri kepada hanya dua penggal, ia akan membuat anda dikenang dengan rasa hormat dalam kalangan cerdik pandai negara ini.

Tetapi realitinya ialah jika anda adalah seorang Perdana Menteri dari UMNO, ramai rakyat Malaysia yang liberal, terutamanya dari golongan muda, tidak mungkin akan mengundi anda.

Cadangan jujur saya kepada anda ialah abaikan dan jangan beri perhatian terhadap tekanan dari kluster mahkamah dalam UMNO yang sedang mendesak anda supaya mengadakan PRU-15 segera. Keangkuhan dan kebiadapan ditunjukkan ahli UMNO dalam isu pemenjaraan Najib amat membimbangkan kerana mereka jelas tidak menghormati kedaulatan undang-undang, malah mencabarnya secara terang-terangan.

Anda harus berpendirian tegas tanpa gentar untuk terus membenarkan institusi badan kehakiman berfungsi secara bebas dan melakukan apa yang betul walaupun diasak serta diugut kluster mahkamah.

Bertahanlah sebagai Perdana Menteri hingga akhir penggal dan berundinglah dengan Pakatan Harapan (PH), BERSATU dan PAS untuk mendapat sokongan bagi mengekalkan jawatan anda jika anda dipecat UMNO dari kedudukan sebagai Naib Presiden dan mungkin juga hilang keahlian parti.

Dalam tempoh 10 bulan akan datang, cuba perbaiki apa-apa kebobrokan yang dilakukan UMNO dan BN ke atas negara ini sepanjang pemerintahannya selama 60 tahun lalu. Cuba perbetulkan kembali pengubahan sempadan kawasan pilihan raya tidak adil dan harmonikan hubungan perkauman. Berusahalah elakkan penyangak yang sedang menjalani hukuman penjara itu diberi pengampunan agar negara ini selamat dari menjadi bahan lawak seluruh dunia. Mana tahu, mungkin anda akan menjadi Perdana Menteri terbaik yang dimiliki negara.

Yusuf Hashim ialah rakyat Malaysia yang prihatin dan berusia 77 tahun

Sorotan

1

Beberapa Kawasan Di Subang, Sungai Buloh Dilanda Banjir

2

Lee Akan Dilantik Sebagai Menteri Kanan Dalam Kabinet Baharu - Wong

3

Gangguan Kuasa Jejas Kekerapan Perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya

4

KPWKM Bantu Wanita Didakwa Diberi Layanan Buruk Pegawai JKM - Nancy

5

Tiada Halangan MMC Jual Saham MMC Port, Namun Perlu Patuhi Dasar - Menteri

6

Rasionalisasi Subsidi Mampu Tangani Isu Ketirisan, Seludup Diesel - Pakar Ekonomi

7

Kolam Selam Tempur Kem Iskandar, Mersing Siap Jun - Onn Hafiz