Berita Terkini

2 hari yang lalu: Hafizul Hawari yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak di KLIA Terminal 1 pada 14 April lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pagi tadi terhadap 7 pertuduhan 3 hari yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut 1 minggu yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 2 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 2 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok.

IKUTI KAMI


‘Selamat Pagi Cikgu!’, Kenangan Abadi Terpahat Di Hati

Kolum Dikemaskini 1 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 19 May 2022 8:18PM

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

SELAMAT pagi cikgu! Terima kasih cikgu!” Ungkapan ini menerjah kembali minda penulis sempena sambutan Hari Guru 16 Mei lalu, bertema ‘Guru Tunjang Sekolah Sejahtera’.

“Selamat pagi atau selamat tengah hari” diungkap ketika guru masuk ke dalam kelas untuk mengajar. “Terima kasih” ketika guru meninggalkan kelas sebaik tamat sesi pengajaran dan pembelajaran (P&P).

Sudah menjadi rutin sebutan ini diungkap setiap hari. Sebenarnya ucapan ini terlalu kecil nilainya dibandingkan dengan jasa pengorbanan guru mendidik pelajar menjadi insan berguna.

Siapa juga kita hari ini, baik peguam, doktor, jurutera, akauntan, saintis, arkitek, polis, tentera, atau guru, semua kerana jasa insan yang bernama guru. Mereka ibarat lilin membakar diri, komited mengajar mengenal huruf, membaca dan menulis serta menyemai pelbagai ilmu pengetahuan. 

Jasa guru amat besar. Tiada apa yang lebih menggembirakan mereka melainkan melihat pelajar berjaya dalam hidup, demi keluarga, masyarakat dan negara.

Dalam memori penulis masih teringat guru-guru yang pernah menabur jasa ketika belajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Haji Mohamad, Bagan Datuk, Perak; Lower Secondary School (LSS), Selekoh, Perak dan High School Setapak, Kuala Lumpur.

Penulis belajar di SK Sungai Haji Mohamad dari Darjah Satu hingga Darjah Enam (1962-1967); di LSS Selekoh dari Remove Class hingga Form Three (1968-1971) serta High School Setapak dari Form Four hingga Upper Six (1972-1975).

Mula memasuki sekolah rendah adalah momen paling menyeronokkan. Sangat teruja untuk ke sekolah. Pada era itu belum ada tadika yang menyediakan pendidikan asas sebelum masuk sekolah.

Kerana itu tugas berat menanti guru Darjah Satu mengajar murid mengenal huruf, mengeja, membaca dan menulis. Biasanya setelah tamat Darjah Satu, murid-murid sudah memiliki kemahiran asas ini.

Ketika itu guru darjah mengajar semua mata pelajaran. Misalnya jika guru darjah enam, dia yang mengajar Ilmu Alam (Geografi), Ilmu Kejadian (Sains), Tawarikh (Sejarah), Kira-Kira (Matematik), Pengetahuan Am dan Sivik, Lukisan serta Senaman. Begitu juga guru darjah lain.

Guru besar ialah Cikgu Maasom Abdul. Guru Darjah Satu penulis ialah Cikgu Idris, Darjah Dua tidak ingat, Darjah Tiga Cikgu Nordin Jipin. Darjah Empat Cikgu Zaharah Said, Darjah Lima Cikgu Mohamad Saidi dan Darjah Enam Cikgu Ahmad Md Jelah.

Pendek kata guru sekolah kebangsaan penulis dahulu ibarat ‘Jack of all trades and master of all’. Mereka memiliki pengetahuan dalam semua subjek dan pintar dalam setiap subjek. Memang hebat.

Hanya bagi subjek Bahasa Inggeris (BI) dan Agama Islam sahaja ada guru khusus. Nama guru BI ialah Mr Harbajan Singh. Guru agama pula ustazah Zahrah.  

Kerana itu dahulu guru di sekolah kebangsaan tidak ramai. Guru besar, enam guru darjah satu hingga enam, serta guru BI dan agama. Jumlahnya hanya sembilan orang.

Sementara sekolah rendah di bandar muridnya ramai, senario sebaliknya di sekolah luar bandar kini. Sekolah tempat penulis belajar dahulu jumlah keseluruhan murid kini dalam lingkungan 30 hingga 35 orang sahaja. Dahulu jumlah ini adalah bagi satu darjah! 

Belajar di sekolah menengah di LSS Selekoh, memberi perspektif baharu kepada penulis. Proses ‘mengalihkan’ Bahasa Melayu ke bahasa inggeris dirasai sukar. Maklum selama ini belajar dan bertutur dalam bahasa Melayu.

Setahun dalam Kelas Peralihan atau Remove Class tidak cukup untuk menguasai bahasa Inggeris. Cuma perbendaharaan kata atau vocabulary bertambah sedikit. Sehingga masuk Form Two baru penulis mampu menguasai bahasa Inggeris dengan lebih baik, memahami nahu dan tata bahasa.

Penulisan juga bertambah baik. Malah guru bahasa Inggeris sewaktu di Form Three, Mr Goh Cheng Chai, pernah memaparkan essay tulisan penulis di papan kenyataan kelas untuk dibaca oleh rakan-rakan lain. Seronok hati tidak terkira!

Di sekolah menengah juga penulis menemui guru pelbagai bangsa. Setiap subjek diajar oleh guru berlainan, berteras pengkhususan masing-masing, berbeza daripada sekolah rendah dahulu.

Guru Matematik Form Three, Mr Yap sangat mesra ketika mengajar membuatkan pelajar mudah faham. Begitu juga guru Sains, Mr Liew. Guru Bahasa Melayu ialah Cikgu Rahman dan guru agama ustaz Yassin.

Lulus peperiksaan Lower Certificate of Education (LCE) tahun 1971, penulis pindah ke High School, Setapak, memasuki Form Four. Tamat Malaysia Certificate of Education (MCE) tahun 1973 dan Higher School Certificate (HSC) pada 1975.

Persekitaran sekolah di bandar pada mulanya agak asing kerana selama ini belajar dalam persekitaran kampung. Namun lama kelamaan dapat menyesuaikan diri. Bertemu dengan guru-guru sekolah bandar juga pengalaman baharu. Ada yang tegas dan serius, ada yang mesra.  

Penulis teringat guru Matematik Form Five, Mr Philip. Raut mukanya garang, jarang senyum. Apabila dia masuk kelas, murid-murid senyap. Sentiasa serius sewaktu mengajar. Jika gagal menjawab soalan, hukuman kegemarannya ialah ‘forty times’. Ia bermaksud 40 kali ketuk ketampi!

Guru Sains, Mr Pillay, pula lembut tutur kata, persis seorang bapa. Kerana itu pelajar selesa. Begitu juga guru Sejarah, Amar Singh, yang mengajar gaya pensyarah memberi lecture. Pelajar perlu mencatat apa yang beliau sampaikan dalam buku nota.

Di Tingkatan Enam Atas, guru kelas ialah Puan Yong Moh Lim. Dia juga mengajar subjek Geografi. Tetapi penulis tidak mengambil subjek ini, sebaliknya mengambil Sejarah diajar oleh Mr Bhagwan Singh. Subjek Bahasa Melayu pula diajar oleh Cikgu Khalili Murshid.

Ketika itu boleh mengambil empat atau sekurang-kurangnya tiga subjek pada peringkat Principal. Subjek aliran Sastera ialah Sejarah, Geografi, Ekonomi, Bahasa Melayu. Kertas Am subjek wajib. Untuk mendapat Sijil Penuh, mesti memperoleh tiga Principal dan lulus Kertas Am.

Setiap sambutan Hari Guru mengimbau banyak kenangan zaman persekolahan penulis. Walau bagaimana pendekatan seseorang guru ketika mengajar, matlamatnya adalah sama, untuk mendidik. Cuma kaedah pengajaran masing-masing berlainan.

Ramai guru yang menabur bakti kepada penulis kini sudah tiada. Yang tinggal hanya memori yang akan terus tersimpan dalam kenangan. Kepada guru beragama Islam semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh mereka dan diampuni dosa. Jasamu guru akan terpahat dalam hati. - Getaran, 19 Mei 2022

Bekas Penolong Ketua Pengarang Kumpulan akhbar keramat Melayu, Utusan Malaysia. Masih sarat dengan jiwa dan naluri kewartawanan, menulis tanpa jemu, berkarya tanpa ragu. Graduan Sarjana Sains (Kewartawanan) Universiti Boston, lewat 1984.

Berita Berkaitan

1

Pendidikan 1 minggu yang lalu

6,034 Guru Lantikan Kontrak Ditempatkan Di Sekolah KPM

2

Semasa 3 minggu yang lalu

Guru PASTI Dakwa Ditindas: ‘Berikan Hak Kami!’

3

Semasa 1 bulan yang lalu

Cuaca Panas: Tangguh Dahulu Aktiviti Luar Bilik Darjah - KKM

4

Pendidikan 1 bulan yang lalu

Kantin Sekolah Dibuka Untuk Pelajar Bukan Islam - Fadhlina

Sorotan

1

Anak MB Perlis, 4 Yang Lain Dilepas Dengan Jaminan SPRM

2

Pemilik Stesen Minyak Diminta Lapor KPDN Jika Diancam Sindiket

3

Najib Diberi Peluang Jelaskan Mengenai Dokumen 1MDB Ketika Disoal Siasat - Pegawai SPRM

4

Elak Ketirisan, Perkukuh Tatakelola, Boleh Beri Upah Lumayan Kepada Pekerja - PM

5

5 Laluan Ditutup Sementara Sempena Hari Penamaan Calon PRK KKB Esok

6

Misi Pelayaran Ke Gaza Ditangguhkan Berikutan Tekanan Rejim Zionis - FFC

7

Najib Tak Pernah Arah Pengurusan 1MDB Pindah US$1.03 Bilion Kepada Syarikat Jho Low – Saksi