Lanjutan daripada catatan throwback saya minggu lepas tentang Arwah Pak Ibrahim Pendek dan Dato’ Seri Maria Menado yang masing-masing menjadi pelakon Malaya pertama membintangi filem Hollywood dan Bollywood, muncul pula satu cerita yang lebih besar lagi.
Sarawak Bumi Kenyalang bersama sejarah Sir James Brooke serta masyarakat pribuminya bakal menjadi tatapan dunia apabila filem epik, Edge of the World arahan Michael Haussman akan ditayangkan di persada antarabangsa khususnya Amerika Syarikat dan Britain menjelang Jun 2021 ini.

Bagi saya, inilah satu perkembangan yang sangat memberangsangkan kerana Sarawak telah dizahirkan sebagai Sarawak dalam erti kata sebenar - bukannya Perak atau Kedah yang dipinjam menjadi ‘Thailand’ seperti mana untuk Anna and The King arahan Andy Tennant pada 1999.
Awal pagi Khamis lalu, saya menerima panggilan daripada produser Edge of the World, Rob Allyn yang bercakap dari Santa Barbara, California. Allyn adalah penulis skrip filem ini selain menjadi pemilik syarikat produksinya, Margate House Films.

Dalam perbualan kami yang rancak itu, Allyn berkata, Samuel Goldwyn Films telah mendapat hak tayangan filem berkenaan di Amerika Syarikat bermula 4 Jun nanti sementara tayangan di Britain pula menyusul pada 21 Jun.
Filem ini katanya akan ditayangkan di pawagam serta streaming berbayar melalui pelbagai platform digital memandangkan ia suatu mekanisme terbaik yang tersedia setakat ini gara-gara dunia masih dicengkam wabak COVID-19.
“Sekalipun pawagam telah dibuka di Amerika Syarikat dan beberapa negara lain, ia masih menjadi tanda soal sama ada penonton akan keluar menonton filem atau tidak. Namun saya berharap, menjelang pertengahan tahun ini, keadaan (wabak) akan semakin pulih. Pun begitu pemasaran melalui platform digital menjadi satu pilihan alternatif baru buat kami pembikin filem,” ujar Allyn.

Selain keindahan muka bumi Sarawak bersama budaya uniknya, Edge of the World sangat relevan dengan Malaysia kerana menampilkan beberapa pelakon handalan kita seperti Bront Palarae, Shaheizy Sam dan Wan Hanafi Su yang digandingkan dengan bintang terkenal Hollywood iaitu Jonathan Rhys Meyers (The Tudors), Dominic Monaghan (Lord of the Rings), Hannah New serta Ralph Ineson.
Turut membintangi filem sejarah ini adalah pelakon Hong Kong, Josie Ho, Atiqah Hasiholan (dari Indonesia) serta pelakon tempatan Sarawak, John Jaban dan Kahar Jimi.

Lebih membanggakan, buat pertama kali dalam sejarah penerbitan filem Hollywood, pereka busana Malaysia, Akma Suriati Awang, dilantik menjadi Pereka Kostum sepenuhnya bagi Edge of the World. Akma berjaya mengemudi pasukan busananya yang seramai 40 petugas dengan dibantu tenaga kreatif seperti Johinah Johari, Wahab Radzi, Mahassin Norman, Jane Seow dan Faiz Omar.
Nama Akma sendiri bukanlah asing dalam reel perfileman tempatan dan antarabangsa kerana sebelum ini pernah mengutip pengalaman melalui filem Paloh, Jogho, Interchange, Dendam Pontianak, Hanyut, Showtime 1958, Anna and the King (Andy Tennant), Skyfire (arahan Simon West) serta siri Netflix, Marco Polo (arahan Jon Amiel). Namun inilah pencapaian terbaiknya.

Saya difahamkan, Akma membuat persiapan dua bulan lebih awal sebelum penggambaran bermula pada September 2019. Seterusnya selama dua bulan lagi, penggambaran berlangsung di sekitar Santubong, Bako, Bau dan Siniawan. Apa yang penting, rekaan busananya mesti selari dengan kisah filem ini yang berlaku pada abad ke-19.
Kata Allyn lagi: “Sentuhan busana daripada Akma memang hebat dan mempesonakan. Ia menyuntik jiwa kepada filem ini. Saya juga bangga dan berpuas hati dengan semua tenaga kreatif dan krew dari Malaysia. Ini peluang terbaik mereka untuk menimba pengalaman. Pembikinan filem memang mencabar kerana ia dibuat di dalam belantara, rumah panjang, sungai, laut, gua, bukit-bukau malah juga dalam cuaca jerebu yang pekat.“

Saya bertanya Allyn lagi, kenapa judul filem ini, Rajah ditukar kepada Edge of the World? Dia menjawab, perkara ini disebabkan judul Edge of the World lebih relevan dan mudah difahami penonton Barat. Dia khuatir juga kalau judul Rajah dipakai, mungkin ada menyangka kisahnya berlaku di India.
Menarik disebut, filem ini turut menjalani proses pos-produksinya di Basecamp Studio, Kuala Lumpur sementara penerbitannya pula disokong Lembaga Pelancongan Sarawak, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan The Brooke Heritage Trust.

Pengarah Michael Haussman pula sebelum ini terkenal sebagai pengarah muzik video dan filem cereka. Antara muzik video sentuhannya adalah Madonna ('Take A Bow' dan 'You’ll See'), Justin Timberlake ('SexyBack'), Britney Spears ('Someday – I Will Understand') dan Selena Gomez ('Same Old Love'). Filem arahan beliau termasuklah Blind Horizon, The Last Serious Thing dan The Audition.
Bagi Allyn, Haussman telah menyelesaikan tugasnya dengan cemerlang dan hasilnya, Edge of the World menjadi sebuah filem yang tampak gah.
Ia mengisahkan susur galur James Brooke yang berlayar ke Sarawak pada 1839 dan menempuh pelbagai pengembaraan dan cabaran sehingga berjaya membantu Sultan Brunei menewaskan serangan lanun.
Sebagai membalas jasanya, Brooke dilantik menjadi White Rajah pertama di Sarawak dan dinastinya bertahan memerintah sehingga 100 tahun lamanya.

Sebagai penulis, Allyn akui dia mengambil masa hampir 10 tahun untuk menyiapkan kisah filem ini. Selama ini kehebatan Brooke dilaporkan turut memberi sumber inspirasi kepada penulis legenda, Rudyard Kipling menghasilkan The Man Who Would Be King dan serta Joseph Conrad bagi novel Lord Jim.
Bagi menambahkan keunikan, filem ini, dia menonjolkan lima bahasa iaitu Inggeris, Dayak, Melayu, Arab dan Kantonis.
Jadi sama-sama kita tunggu bagaimana hasilnya Edge of the World di layar lebar dan sejauh mana hebatnya lakonan serta mutu kerja anak-anak seni Malaysia.
Syabas in advance! - Getaran, 20 Mac 2021
Semua gambar: Ihsan Margate House Films