Berita Terkini

2 hari yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 1 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 1 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok. 1 minggu yang lalu: Koc wanita bagi MRT laluan Putrajaya akan dilaksanakan bermula Isnin ini - Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail 2 minggu yang lalu: Pengerusi Spanco Sdn Bhd, Tan Sri Robert Tan Hua Choon mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menipu hingga mendorong MOF menganugerahkan kontrak urus kenderaan kerajaan bernilai RM3.9b, pada 2019

IKUTI KAMI


Jawapan kepada Soalan yang Dibangkitkan oleh YB Dr Ong Kian Ming pada 7 Februari

Kolum Dikemaskini 2 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 12 Feb 2022 8:46AM

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Tuan,

Pelaksanaan rangka tindakan MyDIGITAL adalah kritikal untuk Malaysia mencapai sasaran Revolusi Industri 4.0 dan juga sasaran yang ditetapkan di dalam Rancangan Malaysia ke 12 untuk memacu ekonomi negara. Pelancaran infrastruktur 5G merupakan tonggak utama ke arah objektif ini dan 5G bukan lagi hanya mengenai telekomunikasi dan operator rangkaian mudah alih seperti 2G, 3G dan 4G, tetapi merupakan utiliti asas seperti elektrik dan air yang penting untuk kualiti kehidupan dan juga untuk mencari rezeki.

Asas utama bagi Kerajaan memilih pendekatan Rangkaian Borong Tunggal 5G (Single Wholesale Network) untuk pelaksanaan 5G ke seluruh negara adalah seperti berikut:

  • Untuk menangani ketersambungan internet yang lemah di Malaysia, terutamanya di kawasan pinggir bandar dan luar bandar di mana liputan dan kualiti 4G adalah tidak memuaskan.
  • Untuk mengelakkan keperluan bagi operator rangkaian mudah alih (MNO) untuk melabur dalam rangkaian 5G dan membolehkan mereka memberi tumpuan kepada peningkatan dan penambahbaikan bagi rangkaian 4G dan gentian sedia ada di bawah pelan JENDELA.
  • Untuk memastikan kesemua peserta industri – yang sedia ada dan yang baru – memperoleh akses kepada rangkaian dan kapasiti 5G yang adil dan sama rata.
  • Untuk meletakkan komunikasi sebagai utiliti dan membolehkan penjimatan kos disampaikan kepada pengguna, sambil memudahkan pengguna untuk memperolehi perkhidmatan 5G. Operator telekomunikasi sedia ada telah menunjukkan bahawa mereka tidak bersedia untuk menerimapakai model pemulihan kos bagi pelaksanaan infrastruktur 5G dan menyampaikan penjimatan kepada pengguna akhir.
  • Untuk mempercepatkan pelaksanaan 5G di Malaysia dan berada di kedudukan yang sama dengan negara-negara jiran, yang telah pun terlebih dahulu melancarkan 5G. Ini bukan sekadar kedudukan Malaysia di kalangan negara serantau, tetapi juga bagi memastikan negara mempunyai infrastruktur yang lebih baik dan kompetitif untuk menarik pelaburan asing.

Sekiranya kesemua yang dinyatakan di atas dianggap sebagai objektif dasar yang penting, maka pelaksanaan 5G tidak boleh diserahkan kepada sektor swasta untuk melaksanakannya sendiri mengikut jadual mereka, dan didorong oleh fokus mereka terhadap keuntungan.

Tidak boleh dilupakan bahawa cadangan pihak Pakatan Harapan, yang pada dasarnya telah diulangi dalam Laporan Pasukan Petugas 5G Kebangsaan dan "Laporan Akhir mengenai Peruntukan Jalur Spektrum untuk Perkhidmatan Jalur Lebar Mudah Alih di Malaysia" daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM). Laporan-laporan ini telah diterbitkan pada penghujung 2019. Walau bagaimanapun, pelaksanaan 5G seperti yang dicadangkan di dalam laporan ini tertangguh akibat daripada sikap ahli konsortium yang dicadangkan. Dalam hal ini, tiada keperluan mendesak untuk MNO melaksanakan rangkaian 5G kerana mereka akan terus memaksimumkan penggunaan rangkaian 4G yang dimiliki mereka, yang telah memberikan pulangan yang besar sekian lama. Malaysia semakin ketinggalan di belakang negara jiran ASEAN dalam pelaksanaan 5G dan ini akan menjejaskan pelaburan langsung asing (FDI) yang bergantung pada infrastruktur telekomunikasi dan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) di Malaysia.

Spektrum 5G yang terhad adalah sama seperti rizab petroleum dan gas Malaysia (sumber negara yang terhad), yang tidak dijual kepada pembida tertinggi tetapi diamanahkan kepada Petronas demi kepentingan negara dan Rakyat. Oleh itu, spektrum 5G adalah sumber negara yang terhad, yang mesti digunakan dengan cara yang paling cekap untuk kepentingan negara dan Rakyat.

Rangkaian 5G memerlukan lebih banyak spektrum dan jalur yang lebih lebar daripada 4G, dan keperluan ini hanya akan meningkat dari semasa ke semasa. Model Multi Operator Core Network (MOCN) yang digunapakai oleh Digital Nasional Berhad (DNB) adalah model yang paling cekap untuk menggunapakai spektrum yang diperuntukkan untuk rangkaian 5G. Perlu dimaklumkan bahawa Kerajaan tidak pernah melaksanakan pendekatan pelelongan spektrum yang digunakan oleh MNO untuk 2G, 3G dan juga 4G, dan kebanyakan MNO hanya membuat pembayaran nominal untuk memperoleh peruntukan spektrum. Walau bagaimanapun, manfaat ini tidak disampaikan kepada pengguna, seperti yang dapat dilihat dengan caj perkhidmatan yang dikenakan di Malaysia, jika dibandingkan dengan caj perkhidmatan yang dikenakan oleh operator telekomunikasi di negara-negara lain di mana spektrum dapat dibeli oleh operator dalam lelongan kerajaan.

Banyak telah diperkatakan mengenai SWN sebagai monopoli dan tidak kondusif untuk persaingan.  Perkara ini timbul akibat salah faham mengenai bagaimana model SWN digunakan. Rangkaian Akses Radio (Radio Access Network atau RAN) yang terdiri daripada peralatan radio untuk rangkaian 5G, digunakan oleh DNB untuk menyediakan kapasiti dan liputan borong kepada semua MNO, MVNO dan operator borong lain. Pihak-pihak ini kemudiannya boleh menawarkan perkhidmatan 5G dalam apa jua cara yang mereka pilih dan oleh itu boleh wujud persaingan sengit dalam penyediaan perkhidmatan 5G kepada pengguna akhir. Keupayaan network slicing dalam rangkaian 5G meningkatkan lagi keupayaan MNO dan MVNO untuk menyediakan tawaran perkhidmatan tersendiri kepada perusahaan, dan akan meningkatkan lagi persaingan. Sebagai contoh, di United Kingdom, inovasi 5G yang terbaik secara konsisten telah dibawa oleh pemain industri yang baru, dan bukannya operator telekomunikasi sedia ada.

DNB, sebagai sebuah SWN,  juga dikatakan memiliki risiko Single Point of Failure. Dalam hal ini, DNB telah menggunapakai "reka bentuk tiada titik kegagalan tunggal" di mana terdapat redundancies yang dibina, mengikut piawaian global. DNB telah mereka-bentuk dan melaksanakan rangkaian 5G yang sesuai dengan rekaan modular dan fleksibel, keselamatan dan daya tahan end to end, serta rangkaian dipantau sepanjang masa. Di samping itu, oleh kerana rangkaian 5G DNB disepadukan dengan rangkaian 4G sedia ada, pelanggan akan dapat beralih kembali kepada rangkaian 4G secara serta-merta dan automatik, seperti yang dapat dilakukan apabila mereka tidak berada dalam kawasan liputan 5G. Oleh itu, tidak timbul isu di mana komunikasi pengguna terjejas sepenuhnya.

Akhir sekali, DNB benar-benar telus dalam penetapan harganya untuk penyediaan kapasiti dan liputan 5G. Pelan perniagaan terperinci untuk DNB yang menggunapakai model pemulihan kos diteliti oleh SKMM dan penetapan harga perlu diluluskan oleh SKMM. DNB perlu menerbitkan terma harga untuk penyediaan perkhidmatan 5G kepada mana-mana pencari akses. Oleh itu, adalah tidak munasabah untuk mendakwa DNB mempunyai peluang untuk mengaut keuntungan monopoli.

Pemilihan model SWN adalah pilihan yang tepat untuk pelaksaan rangkaian 5G. Sama ada ia dimiliki oleh Kerajaan atau konsortium MNO adalah bukan perkara yang utama. Kerajaan memilih untuk entiti neutral melaksanakan SWN bagi mengelakkan konflik kepentingan yang akan menjejaskan tempoh dan tahap pelaksanaan rangkaian 5G, sekiranya ahli konsortium MNO yang memiliki rangkaian borong juga memiliki rangkaian runcit.

Sesetengah pihak mencadangkan bahawa Kerajaan harus mempertimbangkan penyedia infrastruktur pemborong kedua, yang terdiri daripada MNO. DNB ingin menyatakan bahawa adalah penting untuk memahami bahawa akan ada implikasi yang besar sekiranya Kerajaan memutuskan untuk mengadakan dual wholesale network (DWN). Ada kebarangkalian tinggi bahawa DNB tidak akan dapat bertahan sepertimana ianya ditubuhkan, sekiranya terdapat pembekal rangkaian borong yang lain. Dengan kegagalan DNB, pembekal rangkaian borong yang kedua akan akhirnya turut menjadi monopoli SWN persendirian.  Terdapat juga implikasi kewangan, undang-undang dan reputasi kepada negara dan Kerajaan sekiranya DNB dihentikan. Pertama, Kerajaan akan dikenakan bayaran tuntutan dan pampasan yang tinggi, termasuk penalti penamatan awal pelbagai jenis kontrak, untuk keseluruhan operasi DNB. Tambahan pula, pembatalan keputusan SWN akan memberi kesan serius kepada kredibiliti Kerajaan dan aliran masuk FDI terutamanya pelaburan dalam sektor teknologi berimpak tinggi.

DNB juga mengakui bahawa entiti 100% milik Kerajaan mungkin kurang cekap dalam jangka masa panjang. Oleh itu, kami telah mencadangkan, seperti yang diketahui oleh pegawai kanan Kerajaan serta pengurusan MNO, bahawa Kerajaan terbuka untuk mengurangkan kepentingannya dalam masa 3 tahun, selepas 5G dilaksanakan, supaya MNO boleh menjadi pemegang saham DNB. Adalah tidak praktikal untuk membuka pemilikan pada masa sekarang kerana DNB telah menggunakan pendekatan pemulihan kos dan berdasarkan bekalan untuk mempercepatkan pelaksanaan rangkaian 5G pada kos rendah, dengan tumpuan khusus untuk merapatkan jurang digital bandar-luar bandar seperti yang dihasratkan oleh Kerajaan.

DNB telah menyediakan jawapan yang komprehensif kepada semua soalan yang dibangkitkan oleh YB Dr. Ong Kian Ming dalam kenyataan medianya pada 7 Februari. Sila layari digital-nasional.com.my/news untuk kenyataan penuh.

Kami telah menangani isu-isu utama di atas tetapi sertakan di sini jawapan terperinci kepada semua soalan yang dibangkitkan oleh YB Dr Ong Kian Ming:

1. Cadangan awal semasa Pakatan Harapan (PH) berada dalam kerajaan adalah model yang diterajui konsortium di mana syarikat telekomunikasi akan memiliki pegangan majoriti dalam satu entiti yang bertanggungjawab untuk pelancaran 5G dengan Kerajaan hanya memegang pegangan minoriti dalam entiti ini. Mengapakah Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan kini Kerajaan Keluarga Malaysia (KM) menukar model ini kepada model di mana kerajaan memiliki 100% entiti yang bertanggungjawab untuk pelancaran 5G? Bukankah operator telekomunikasi sedia ada di Malaysia, yang telah bertahun-tahun mengurus perbelanjaan modal bagi pelancaran infrastruktur dan perkhidmatan telekomunikasi, termasuk pelancaran 4G, berada dalam kedudukan yang lebih baik untuk bertanggungjawab ke atas pelancaran 5G berbanding DNB?

1. Rasional menggunakan pendekatan SWN untuk pelaksanaan 5G

  • Perbincangan mengenai infrastruktur 5G Malaysia bermula sejak 2018 dengan penubuhan Pasukan Petugas 5G Kebangsaan. Setahun kemudian pada Disember 2019, "Laporan Pasukan Petugas 5G Kebangsaan" diterbitkan. Ini disusuli “Laporan Akhir mengenai Peruntukan Jalur Spektrum untuk Perkhidmatan Jalur Lebar Mudah Alih di Malaysia”, oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) pada Disember 2019, di mana idea “entiti tunggal untuk rangkaian 5G” mula-mula dikemukakan.
  • Laporan SKMM jelas menunjukkan keperluan untuk menyediakan pelaksanaan 5G, untuk memastikan asas yang betul untuk 5G ditetapkan seawal mungkin. SKMM mencadangkan jalur spektrum 5G diperuntukkan kepada satu konsortium entiti, yang dibentuk oleh berbilang operator telekomunikasi, dan bukannya memperuntukkan jalur ini kepada pemegang lesen individu.
  • Selain itu, spektrum ialah sumber negara yang terhad dan berharga. Disebabkan kekurangan spektrum, dan hakikat bahawa rangkaian 5G biasanya memerlukan sekurang-kurangnya 100 MHz spektrum bagi setiap operator telekomunikasi, adalah amat mencabar untuk menyediakan spektrum yang mencukupi untuk membangunkan rangkaian 5G individu di Malaysia.
  • Walau bagaimanapun, terdapat perbezaan kepentingan di kalangan syarikat telekomunikasi menyebabkan usaha untuk berkongsi rangkaian, menjimatkan kos dan melancarkan 5G tidak berlaku seperti yang diharapkan.
  • Sekiranya operator sedia ada yang melaksanakan rangkaian 5G, dan sekiranya Malaysia menunggu pelaksanaan 5G oleh operator telekomunikasi, maka pengenalan perkhidmatan 5G mungkin tertangguh sehingga 2024, dan pastinya bukan seawal 15 Disember 2021, di mana 5G telah tersedia buat kali pertama di Malaysia (bermula di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Cyberjaya), hanya sembilan bulan selepas penubuhan DNB pada Mac 2021.
  • Pihak operator telekomunikasi akan memaksimumkan manfaat daripada aset-aset 4G mereka selama mungkin, sebelum beralih ke 5G. Kelewatan ini akan melewatkan negara dalam melancarkan 5G antara empat hingga lima tahun, lalu meletakkan Malaysia lebih jauh ke belakang negara-negara jiran serantau yang lain seperti Singapura, Vietnam dan Thailand, di mana kesemuanya memperkenalkan 5G sejak tahun 2019.
  • Sejak hari pertama lagi, DNB telah ditubuhkan sebagai sebuah syarikat yang akan diterajui oleh veteran industri dan kakitangan atau individu yang mempunyai pengalaman korporat dan profesional yang luas.

2. Terdapat pihak yang mengatakan bahawa kerajaan Malaysia berpotensi mengumpul berbilion Ringgit jika spektrum 5G dilelong kepada pembida tertinggi dalam kalangan industri telekomunikasi dan pemain baharu yang berminat. Mengapakah model lelongan awam tidak diterokai oleh kerajaan? Apakah implikasi kewangan kepada kerajaan, kepada pemain telco serta kepada pengguna jika spektrum 5G diperuntukkan melalui lelongan awam?

2. Pelelongan spektrum di Malaysia

  • Pelelongan spektrum mungkin dapat memberikan nilai sementara yang tinggi kepada Kerajaan, tetapi kos spektrum yang tinggi akan menyebabkan pelaksanaan yang perlahan, lebih mahal dan 5G menjadi kurang mampu dimiliki. Adalah penting untuk diutarakan di sini bahawa manfaat lelongan spektrum berlaku sekali sahaja, berbanding pertumbuhan ekonomi yang berterusan tanpa lelongan. Kami merujuk kepada keputusan Kerajaan Jerman untuk memperuntukkan spektrum 5G untuk Perusahaan Persendirian berdasarkan kos pentadbiran dan bukannya lelongan. Jerman memilih untuk tidak melelong spektrum tetapi lebih menumpukan kepada faedah keseluruhan kepada ekonomi Jerman secara umum.
  • SKMM tidak pernah mengambil pendekatan lelongan dalam peruntukan spektrum. Ini kerana perang pembidaan (“bidding war”) akan menyebabkan harga spektrum meningkat, di mana syarikat telekomunikasi akan mengenakan caj yang tinggi kepada pelanggan-pelanggan akhir mereka bagi memperoleh semula kos pembelian spektrum.
  • Hasil penyelidikan telah menunjukkan kos spektrum yang tinggi, selain daripada akan meningkatkan caj kepada pelanggan, akan turut melewatkan pelaburan kapital untuk pelaksanaan perkhidmatan telekomunikasi serta akan mendorong kepada pelaburan yang lebih rendah dalam kualiti rangkaian, seterusnya mengakibatkan perkhidmatan mudah alih yang kurang baik kepada pelanggan.
  • Oleh itu, Malaysia telah mengambil pendekatan tender (iaitu “beauty contest”) bagi memperuntukkan spektrum. Pendekatan ini dilaksanakan untuk frekuensi 2100 MHz untuk 3G (yang kini telah ditamatkan). Ini juga berlaku untuk frekuensi 2300 MHz, yang pada masa itu digunakan untuk perkhidmatan WiMAX. Untuk 3G, kadar caj spektrum ditetapkan pada hanya RM50 juta bagi setiap penerima spektrum.

3. Satu-satunya negara lain di dunia yang menggunakan model SWN untuk pelancaran 5G ialah Mexico, melalui entiti penuh milik Kerajaan yang dipanggil Altan Redes, yang diberi tanggungjawab untuk melaksanakan infrastruktur rangkaian 4.5G sebagai pemulaan ke arah pelaksanaan 5G. Pada Julai 2021, syarikat ini memfailkan kebankrapan kerana tidak dapat memenuhi sasaran pelaksanaannya dan menjamin pelanggan yang mencukupi. Mengapa kerajaan yakin bahawa DNB tidak akan mengalami nasib yang sama seperti entiti SWN milik kerajaan 100% Mexico?

3.  Altan bukanlah sebuah SWN, dan juga bukan dimiliki Kerajaan

  • Altan Redes ialah sebuah syarikat swasta, dan bukannya dimiliki oleh kerajaan Mexico. Ini adalah fakta yang penting kerana soalan ini membuat kesilapan kritikal kerana Altan Redes tidak pernah menjadi entiti kerajaan. Soalan ini jelas mendedahkan salah faham yang ketara tentang fakta asas.
  • Tambahan pula, Red Compartida di Mexico bukanlah berdasarkan model SWN. EY, yang telah menjalankan kajian terhadap pengalaman Mexico bagi memastikan kita tidak mengulangi kesilapan yang sama, telah mendapati:
  • Altan dimiliki oleh konsortium dengan struktur kompleks yang terdiri daripada operator rangkaian, dana persaraan dan institusi kewangan pelaburan. Oleh itu, Altan didorong oleh objektif untuk mencapai keuntungan dan pulangan maksimum, justeru model perniagaannya juga adalah berasaskan permintaan (demand-led);
  • Altan bersaing dalam menawarkan perkhidmatan rangkaian 4G dengan syarikat telekomunikasi sedia ada yang sudah sekian lama beroperasi dalam pasaran. Altan digalakkan untuk memasuki pasaran baru dalam kalangan Mobile Virtual Network Operator (MVNO);
  • Altan membangunkan infrastruktur baharu berbanding menggunakan infrastruktur sedia ada, mengakibatkan kos yang ditawarkan tidak ekonomik kepada syarikat-syarikat telekomunikasi sedia ada; dan
  • syarikat telekomunikasi sedia ada mempunyai pilihan untuk menggunapakai rangkaian masing-masing atau rangkaian Altan.
  • Secara ringkas, model syarikat telekomunikasi Altan adalah berbeza berbanding model SWN di Malaysia, yang merupakan rangkaian borong tunggal yang membekalkan kapasiti 5G serta tidak bersaing dengan syarikat telekomunikasi lain. Justeru, kegagalan syarikat telekomunikasi Altan tidak boleh dijadikan kayu ukur bagi menilai kebolehlaksanaan SWN.
  • Sebaliknya, Kerajaan Brunei Darussalam pula telah menubuhkan sebuah Single Wholesale Network (SWN), dengan menggabungkan kesemua rangkaian telekomunikasi sedia ada ke dalam sebuah syarikat rangkaian tunggal yang dikenali sebagai Unified National Networks (UNN).
  • UNN ditubuhkan untuk memiliki dan mengendali keseluruhan rangkaian nasional, termasuklah semua teknologi mudah alih, rangkaian jalur lebar tetap, rangkaian pengangkutan nasional dan aset kabel kapal selam di Brunei Darussalam menjelang akhir Ogos 2019. UNN tertakluk kepada syarat kawal selia yang ketat oleh Authority for Info-communications Technology Industry of Brunei Darussalam (AITI) dan dimiliki sepenuhnya oleh Darussalam Assets di bawah Ministry of Finance Corporation (MOFC).
  • UNN, sebagai SWN, membekalkan akses rangkaian borong kepada syarikat telekomunikasi runcit atas terma berorientasikan kos, telus dan tanpa diskriminasi. Ini menggalakkan lebih banyak persaingan di dalam sektor runcit untuk meningkatkan inovasi dan perkhidmatan yang pantas kepada pelanggan. UNN telah meningkatkan paras liputan, penggunaan dan kadar mampu milik perkhidmatan jalur lebar. Dengan pengenalan UNN, syarikat telekomunikasi telah mengurangkan tarif dan menyediakan pelan dengan kelajuan yang lebih pantas dan kapasiti data yang lebih tinggi. UNN menyasarkan pelancaran 5G menjelang pertengahan tahun 2022.

4. Apakah asas keyakinan kukuh kerajaan bahawa model SWN boleh memberikan pelaksanaan 5G dan kos operasi yang paling rendah berbanding model dengan berbilang pemain telekomunikasi yang memiliki spektrum 5G dengan tanggungjawab untuk menggunakan infrastruktur 5G mereka sendiri? Jika kerajaan mahu pemain telekomunikasi sedia ada berkongsi kos infrastruktur 5G, mengapa ia tidak bersedia untuk duduk berunding dengan pemain telco untuk menghasilkan model perkongsian kos di kalangan pemain telco sedia ada di negara ini?

4.  Rasional pelaksanaan SWN melalui entiti neutral

  • SWN ialah satu-satunya model yang dicadangkan (dan telah dilaksanakan) berdasarkan “Laporan Akhir mengenai Peruntukan Jalur Spektrum untuk Perkhidmatan Jalur Lebar Mudah Alih di Malaysia” oleh SKMM pada Disember 2019. Model ini telah lama dikenal pasti sebagai model pilihan pemilikan rangkaian 5G Malaysia.
  • Isu yang dibangkitkan di sini adalah mengenai pemilikan SWN ini; secara umumnya,  baik DNB mahupun Kerajaan tidak menentang sektor swasta mengambil peranan yang lebih aktif dalam DNB. Walau bagaimanapun, pada tahun-tahun awal pelaksanaan 5G, sektor swasta tidak digalakkan untuk memiliki kepentingan dalam DNB, memandangkan kepentingan mereka yang bercanggah mengenai pelaksanaan 5G.
  • Memandangkan pelaburan besar yang telah dibuat oleh industri telekomunikasi ke dalam rangkaian 4G yang sedia ada sejak beberapa tahun kebelakangan ini, terdapat jangkaan bahawa mereka mahu memaksimumkan penggunaan rangkaian 4G.
  • Walaupun demikian, DNB akan sentiasa berpandukan keputusan yang dibuat oleh Kerajaan Malaysia.

Berkenaan soalan tentang keupayaan "melaksanakan 5G dan kos operasi terendah berbanding model dengan berbilang pemain telekomunikasi yang memiliki spektrum 5G dengan tanggungjawab untuk menggunakan infrastruktur 5G mereka sendiri":

  • Secara umum, Laporan Pasukan Petugas 5G Kebangsaan Disember 2019 telah pun menganalisa kos syarikat telekomunikasi menggunakan infrastruktur 5G mereka sendiri iaitu RM7.5 bilion anggaran kos untuk menaik taraf “satu rangkaian 4G yang besar dan matang di Malaysia untuk mencapai 90% populasi liputan...” Anggaran ini hanya merangkumi rangkaian liputan, dan tidak mempertimbangkan pelaburan berterusan dalam kapasiti. Ia boleh menelan belanja lebih ~RM30 bilion jika syarikat telekomunikasi membangunkan infrastruktur 5G mereka sendiri.
  • Sebaliknya, DNB komited untuk melancarkan rangkaian dan infrastruktur 5G pada kos RM16.5 bilion dalam tempoh 10 tahun, tanpa pembiayaan atau jaminan kerajaan. Kerajaan hanya akan menyuntik sehingga RM500 juta sebagai ekuiti syarikat untuk DNB.
  • Dalam kes DNB, kami telah menyediakan 5G dengan lebih murah dan cepat berbanding pelaksanaan yang dapat dilakukan oleh syarikat telekomunikasi. Ini dibolehkan dengan rekaan asas rangkaian 5G Malaysia iaitu Multi Operator Core Network (MOCN).
  • Model MOCN adalah standard telekomunikasi global yang berdasarkan piawaian telekomunikasi antarabangsa 3GPP, yang membolehkan rangkaian infrastruktur tunggal atau Radio Access Network (RAN) (dalam hal ini, yang merupakan DNB), untuk dikongsi dan disambung dengan berbilang rangkaian teras MNO. Pada tahun-tahun sebelum ini, setiap MNO akan menggunakan infrastruktur individunya sendiri berdasarkan spektrum yang diperuntukan oleh SKMM. Sebagai analogi, Kerajaan pada masa lalu telah memperuntukkan laluan individu (spektrum) kepada setiap MNO. Berdasarkan laluan yang diperuntukkan oleh Kerajaan, MNO kemudiannya akan membina lebuh raya mereka sendiri (rangkaian dan infrastruktur) yang berasingan untuk pengguna mereka.
  • Walau bagaimanapun, dengan permintaan data yang semakin meningkat dalam negara sejak beberapa tahun kebelakangan ini, lebuh raya individu ini terdedah kepada kesesakan. Sementara itu, pengguna di satu lebuh raya tidak boleh menggunakan lebuh raya lain yang kurang sesak.
  • Dalam kes 5G, SKMM telah menyediakan semua lorong (spektrum 5G) kepada DNB bagi membolehkan DNB membina satu "lebuh raya besar" yang lancar, selamat dan boleh disesuaikan di mana waktu puncaknya boleh diuruskan merentasi semua pelanggan DNB.
  • Lebuh raya 5G ini memerlukan pelaksanaan infrastruktur tunggal yang lancar – yang terdiri daripada unit radio, kuasa dan ketersambungan gentian – yang akan memberi perkhidmatan kepada semua MNO secara sama rata, secara borong. Oleh kerana penggabungan spektrum 5G dengan DNB ini, serta keperluan yang berkurangan untuk tapak dan infrastruktur duplikasi, DNB telah berjaya melaksanakan rangkaian 5G pada 15 Disember 2021, iaitu hanya lima bulan selepas pelantikan Ericsson pada 1 Julai 2021.

5. Terdapat tuduhan bahawa pemenang kontrak 5G yang diberikan oleh DNB bukanlah bidaan “terbaik” dalam senarai pembida. Adakah DNB bersedia dan mampu untuk mengeluarkan butiran penuh semua tawaran yang diterimanya dan menerangkan kelebihan kos dan teknologi untuk memilih pemenang akhirnya?

5.  Proses Perolehan yang Terbaik Digunapakai

  • Andaian bahawa pemenang kontrak (Ericsson) "bukan bidaan terbaik" adalah salah.
  • Ericsson ialah peneraju global yang sudah lama berada dalam ruang rangkaian capaian radio (RAN) dan baru-baru ini menjadi penyedia RAN global terkemuka mengikut bahagian pasaran.
  • Malaysia memilih vendor RAN terbaik dan telah berunding untuk harga yang sangat kompetitif. Kos peralatan rangkaian Ericsson bernilai RM4 bilion adalah yang paling rendah antara semua syarikat yang mengemukakan bidaan.
  • DNB melaksanakan proses penilaian 4 peringkat yang ketat, dengan Ericsson mendapat markah tertinggi dalam semua kriteria.
  • DNB telah mengambil langkah untuk melaksanakan amalan tadbir urus perolehan terbaik dan memastikan ketelusan dalam penilaian, cadangan dan keseluruhan proses tender.
  • Proses tender DNB distruktur oleh firma perkhidmatan profesional bebas, Ernst & Young Consulting Sdn. Bhd. (EY Consulting), mengikut piawaian global dan melibatkan empat (4) panel, yang terdiri daripada kira-kira 50 pakar tempatan dan antarabangsa daripada lebih 10 negara, yang memiliki pengalaman melaksanakan rangkaian 5G masa kini.
  • Proses tender bermula dengan penilaian awal terhadap empat belas (14) syarikat pembekal perkakasan rangkaian (“network equipment provider” atau NEP), di mana seterusnya, lapan (8) syarikat disenarai pendek dan dijemput untuk membida dalam tender ini. Kriteria yang digunapakai ketika menyenarai pendek syarikat-syarikat ini adalah:
  1. Pencapaian yang terbukti dalam menjayakan pelaksanaan 5G dan perkhidmatan teknologi keseluruhan (“end-to-end technology solutions”);
  2. Ketersediaan keselamatan yang dipertingkatkan untuk melindungi pengguna dan platform;
  3. Kehadiran dalam ekosistem Malaysia serta pemahaman yang kukuh tentang persekitaran perniagaan termasuk rangkaian vendor sedia ada;
  4. Tenaga kerja tempatan untuk pelaksanaan segera; dan
  5. Pelan yang efektif untuk memindahkan pengetahuan kepada syarikat-syarikat tempatan.
  • Daripada lapan (8) syarikat yang dijemput, hanya empat (4) syarikat yang mengemukakan tawaran dalam proses tender ini.
  • Pasukan penilaian tender ini terdiri daripada pakar industri bebas dari dalam dan luar negara dan juga golongan profesional yang berpengalaman. Keputusan tender kemudiannya dibincangkan secara mendalam oleh Jawatankuasa Tender dan Lembaga Pengarah DNB. Seperti yang dinasihatkan dan dimudahcara oleh EY Consulting, piawaian tadbir urus yang paling ketat telah digunakan sepanjang proses tender.
  • Keperluan tender adalah berdasarkan kriteria yang dikenalpasti dan diperhalusi melalui proses yang ketat dengan maklum balas industri mengenai keperluan rangkaian 5G dan dikongsikan dengan semua NEP yang dijemput untuk mengemukakan tawaran bidaan.
  • Ericsson menduduki tempat teratas dalam ketiga-tiga komponen utama kriteria penilaian tender seperti berikut:
  1. Teknikal: meliputi keseluruhan kemampuan teknologi 5G, kemampuan pelaksanaan 5G, pendekatan integrasi, keselamatan siber dan rangkaian, dan operasi dan penyelenggaraan
  2. Komersial: meliputi cadangan pembiayaan dan jumlah kos keseluruhan pemilikan
  3. Sosio-ekonomi: meliputi pembangunan tempatan dan kesan sosio-ekonomi

6. Dalam taklimat melalui aplikasi Zoom bersama Ahli Parlimen terpilih yang dijalankan oleh DNB pada Julai 2021, jumlah kos pelaksanaan 5G ialah RM18.9 bilion. Dalam taklimat yang diberikan kepada semua Backbenchers pada Disember 2021, jumlah kos telah dikurangkan kepada RM16.5 bilion tetapi dengan pecahan berbeza (RM12.0 bilion dalam kos infrastruktur dan RM4.5 bilion dalam kos korporat). Bolehkah DNB menerangkan perubahan dalam anggaran kos ini dan memberikan pecahan yang lebih terperinci mengenai anggaran infrastruktur serta kos korporat demi kepentingan ketelusan?

6.  Kos Pelaksanaan DNB dan pembabitan Syarikat Bumiputera dan Malaysia

  • DNB memulakan pelaksanaan mengikut jadual yang sangat pantas; dan telah memperoleh perincian mengenai kos pelaksanaan dari masa ke semasa serta mengambil peluang untuk mengoptimumkan kos dan mengurangkan kos korporat DNB.
  • Seperti yang diumumkan pada 1 Julai 2021, anggaran awal kos adalah berjumlah RM11 bilion untuk 10 tahun akan datang, di mana RM 4 bilion diperuntukkan untuk pembelian perkakasan rangkaian. RM 7 bilion lagi adalah dianggarkan untuk infrastruktur rangkaian (fiber; tapak lokasi dan “infracos”; tenaga; dan fi Penguntukan Radas SKMM).
  • Walau bagaimanapun, kini telah menjadi jelas di mana sebanyak RM1.5 billion lagi diperlukan untuk fiber tambahan bagi sepuluh tahun akan datang, justeru kos rangkaian infrastuktur ini dianggarkan bernilai RM 8.5 bilion.   Ini menjadikan kos keseluruhan rangkaian liputan pekakasan dan infrastruktur berjumlah RM 12.5 bilion untuk tempoh sepuluh tahun akan datang. Daripada jumlah ini, sebahagian besar (RM 10.7 bilion) akan dibelanjakan dalam ekosistem telco domestik, dengan penerima utama ialah syarikat telco, fiber, pembekal infrastruktur dan tenaga, termasuklah anggaran RM 1 bilion bagi TNB dan SKMM masing-masing.
  • Selain daripada pelaburan RM12.5 billion ini, perbelanjaan korporat dan operasi untuk menyelengarakan rangkaian 5G selama 10 tahun adalah dianggarkan berjumlah RM4 billion, termasuk kos pekerja sebanyak RM2.1 billion, untuk sehingga 750 kakitangan, di mana lebih separuh akan merupakan kakitangan Bumiputera.

7. Salah satu isu yang diketengahkan DNB dalam pembentangan mereka kepada Ahli Parlimen ialah pelaksanaan liputan 4G yang tidak sekata di kawasan bandar dan juga luar bandar. Bagaimanakah model SWN akan memastikan bahawa terdapat liputan 5G  di kawasan bandar dalam masa yang paling pantas dan bagaimanakah penggunaan 5G akan dilaksanakan ke kawasan luar bandar dengan cara yang lebih baik daripada pelaksanaan 4G sekarang?

7.  Pendekatan yang diambil DNB untuk merapatkan jurang digital

  • Melalui pelaksanaan rangkaian 4G berdasarkan bekalan, syarikat telekomunikasi mengambil masa 8 tahun untuk mencapai paras liputan 94% pada masa kini. Liputan tertumpu pada kawasan yang menguntungkan dahulu, dengan kawasan terpencil dan luar bandar menikmati ketersediaan perkhidmatan lebih lama kemudian. Ini telah merugikan Rakyat dan perusahaan di kawasan tersebut.
  • DNB ditubuhkan untuk melaksanakan rangkaian dan infrastruktur 5G pada kadar yang dipercepatkan, dengan tumpuan khusus untuk merapatkan jurang digital bandar-luar bandar. DNB akan melaksanakan rangkaian 5G lebih daripada 80% kawasan berpenduduk menjelang 2024.
  • DNB telah berfungsi sebagai operator 5G SWN berdasarkan model pemulihan kos dan berdasarkan bekalan. Model ini diguna pakai untuk mempercepatkan pelaksanaan rangkaian 5G pada kos rendah seperti yang dihasratkan oleh Kerajaan.
  • Melalui pelaksanaan 5G yang berdasarkan bekalan oleh DNB, syarikat telekomunikasi akan dapat memperkenalkan perkhidmatan 5G lebih awal daripada yang mereka dapat lakukan sekiranya mereka melaksanakan rangkaian 5G sendiri, dan tanpa kos modal yang tinggi. Ini akan membawa manfaat yang besar kepada Rakyat, perusahaan dan Kerajaan.
  • Satu rangkaian borong boleh dikendalikan secara berdaya maju di kawasan luar bandar di mana tiga atau empat rangkaian tradisional semuanya akan mengalami kerugian kerana kos membina satu rangkaian lebih murah daripada tiga atau empat rangkaian, tetapi jumlah trafik di kawasan luar bandar adalah terhad berdasarkan kepadatan penduduk.

8. Memandangkan terdapat pembangunan serentak liputan 4G di bawah program JENDELA serta pelaksanaan 5G di bawah DNB, apakah langkah yang sedang diambil oleh kerajaan untuk memastikan penyelarasan yang lancar antara pembangunan 4G dan pelaksanaan 5G di kawasan bandar dan juga luar bandar?

8.  4G dan 5G saling melengkapi

  • Kedua-dua 4G dan 5G saling melengkapi. 4G akan menggantikan 3G yang telah ditamatkan perkhidmatannya.
  • Di kawasan bandar dengan pengembangan pesat penggunaan data oleh pelanggan (daripada kira-kira 25 GB bagi setiap pelanggan kepada 60 GB setiap pelanggan dan seterusnya), infrastruktur 4G akan memerlukan perbelanjaan modal tambahan yang ketara untuk memenuhi jangkaan pertumbuhan permintaan untuk data. 5G boleh membantu dan mengurangkan kesan pertumbuhan data yang begitu pesat.

9. Pemain telco sedia ada bimbang kerana akses kepada 5G SWN adalah di bawah kawalan DNB sepenuhnya, dan bahawa mereka akan dikenakan bayaran “tidak adil” untuk akses kepada rangkaian ini supaya DNB boleh memperoleh keuntungan yang berlebihan termasuk penggunaan sebahagian daripada keuntungan ini untuk melaksanakan 5G di kawasan luar bandar yang kurang berkepadatan penduduk. Apakah jawapan DNB terhadap kebimbangan khusus ini yang dinyatakan oleh syarikat telekomunikasi?

9.  Harga yang dikenakan oleh DNB kepada MNO adalah berdasarkan model pemulihan kos dan diluluskan oleh SKMM

  • Harga borong 5G akan ditetapkan dan diluluskan oleh SKMM selepas rundingan dengan DNB dan syarikat telekomunikasi selesai.
  •  Reference Access Offer (RAO) daripada DNB mempunyai harga, terma dan syarat serta katalog perkhidmatan.
  • Ia kini bersama SKMM untuk kelulusan, manakala draf telah dikongsi dengan syarikat telekomunikasi.
  • RAO akan diterbitkan kepada umum sebaik sahaja kelulusan diperolehi. DNB adalah sangat telus dalam hal ini.

10. Jika rangkaian 5G dikawal dan dikendalikan oleh DNB, adakah ini bermakna lebih sukar bagi syarikat telekomunikasi untuk bersaing berdasarkan kelajuan dan kualiti penghantaran data dalam spektrum 5G, memandangkan DNB menjanjikan akses yang adil dan sama rata kepada semua pemain telco?

10.  SWN akan menggalakkan persaingan bagi manfaat pengguna akhir

  • DNB akan bekerjasama dengan syarikat telekomunikasi dan penyedia infrastruktur untuk membangunkan rangkaian 5G dan menggunakan infrastruktur sedia ada sebanyak mungkin, bagi mengelakkan pertindihan dan mengurangkan kos.
  • Jauh daripada mengurangkan persaingan dalam industri, kedudukan DNB sebagai entiti neutral tunggal untuk penyediaan perkhidmatan 5G borong akan menggalakkan lebih banyak persaingan berasaskan perkhidmatan dalam jangka masa panjang.
  • Dengan DNB yang bertanggungjawab untuk melaksanakan rangkaian 5G (dan dibiayai oleh sektor swasta), industri akan bebas untuk melabur dan bersaing dalam penyediaan perkhidmatan 5G yang inovatif dan bernilai tambah tinggi untuk manfaat pengguna akhir mereka. Ini akan membolehkan aliran pendapatan baharu dan peluang untuk pertumbuhan industri.

11. Ada pihak yang meminta pembekal infrastruktur rangkaian lain untuk bekerjasama dengan pembekal semasa bagi mengurangkan risiko kegagalan pelaksanaan dan meningkatkan kelajuan pembangunan 5G. Adakah cadangan ini sesuatu yang DNB dan kerajaan Malaysia sanggup pertimbangkan?

11.  Mengubah model SWN sekarang akan mengakibatkan kewujudan pembekal berdasarkan permintaan yang lain

  • Adalah tidak wajar bagi industri untuk mempunyai pembekal infrastruktur lain pada ketika ini, kerana industri tidak mempunyai sebab untuk mempromosikan pelancaran 5G yang dipercepatkan.
  • Cadangan ini juga akan menambah ketidakjelasan yang ketara kepada pasaran dan seterusnya mewujudkan kekeliruan tambahan yang tidak diperlukan.
  • Cara ini akan menyebabkan pelaksanaan 5G menjadi model yang berdasarkan permintaan, mengakibatkan kelewatan pelaksanaan dan menghalang usaha untuk menutup jurang digital kerana hanya kawasan yang menguntungkan akan diutamakan untuk ketersediaan perkhidmatan 5G.

12. DNB telah menetapkan sasaran pelaksanaan 5G tersendiri termasuk sasaran menjelang akhir 2021. Adakah DNB akan melaporkan kemajuan pelancaran 5G secara terbuka, secara bulanan atau suku tahunan seperti yang Jendela.my lakukan melalui laporan suku tahunannya?

12.  Prestasi kemajuan DNB dan status pelaksanaan dipantau oleh SKMM

  • DNB menerbitkan kemajuan pelaksanaan 5G di laman webnya. Pengguna boleh melawati peta liputan yang dikemas kini secara berterusan apabila liputan berkembang ke seluruh negara.
  • Sebagai sebuah syarikat milik penuh Kementerian Kewangan, DNB melaporkan kepada Kementerian mengenai operasi dan prestasi kewangannya.
  • Memandangkan ia dilesenkan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, DNB dikawal selia oleh SKMM. DNB melaporkan kepada SKMM secara dwi-mingguan.

13. Jika Kerajaan Malaysia menukar model SWN milik penuh Kerajaan kepada model lain (sama ada model konsortium tunggal atau model dengan berbilang pemegang lesen melaksanakan 5G sendiri), apakah yang akan berlaku kepada kontrak sedia ada yang telah ditandatangani dengan pembekal? Adakah ini akan memberi kesan kepada keyakinan pelabur asing terutamanya visa-a-vis kesahihan kontrak yang ditandatangani oleh kerajaan dengan sektor swasta, terutamanya yang melibatkan Multinational Companies (MNC)?

13.  Pembatalan SWN ketika proses pelaksanaan sekarang akan mengakibatkan kos yang besar kepada Negara

  • Pembatalan pelaksanaan rangkaian 5G oleh DNB untuk melaksanakan rangkaian liputan 5G melalui model SWN akan mengakibatkan obligasi dan liabiliti kewangan yang besar bagi pihak DNB dan Kerajaan.  Selain implikasi dari sudut kewangan, perundangan dan menjejaskan reputasi negara, pembatalan ini akan melewatkan lagi pelaksanaan 5G ke seluruh negara dan akan menjejaskan rakyat dan industri.
  • Selain itu, daya saing negara dan perniagaan tempatan serta pemilihan Malaysia sebagai destinasi pelaburan asing turut akan terjejas. Malah, pelaksanaan 5G yang lewat akan membawa risiko bagi Malaysia mencapai sasaran yang ditetapkan dalam RMKe-12 dan inisiatif MyDIGITAL.
  • Berikut adalah implikasi-implikasi dari sudut kewangan, perundangan serta reputasi negara dan Kerajaan sekiranya pelaksanaan rangkaian liputan 5G oleh pihak DNB dibatalkan:
  1. DNB akan tertakluk untuk membayar sejumlah besar tuntutan dan pampasan, termasuklah penalti penamatan awal pelbagai jenis kontrak (melebihi 100 kontrak yang telah ditandatangani), untuk keseluruhan operasi DNB. Sejumlah besar pembayaran adalah untuk kontrak pelaksanaan Fasa 1 bersama Ericsson;
  2. Jumlah pembiayaan daripada bank tempatan dan pembayaran tertunda Ericsson yang berjumlah RM1.2 bilion bagi kos pelaksanaan Fasa 1 perlu diselesaikan;
  3. Kehilangan pekerjaan seramai 257 orang kakitangan DNB;
  4. Kos penamatan bagi perjanjian pajakan bagi penyewaan bangunan pejabat DNB dan infrastruktur rangkaian (tapak lokasi, gentian dan utiliti); dan
  5. Implikasi perundangan ekoran penamatan kontrak secara pramatang (penalti penamatan) dan sebagainya.
  • Secara keseluruhan, keputusan penamatan pramatang akan memberi kesan serius kepada negara, serta boleh menjejaskan kredibiliti Kerajaan dan aliran masuk FDI terutamanya pelaburan dalam sektor teknologi berimpak tinggi.
  • Selain itu, pengenalan model DWN, seperti yang dicadangkan oleh operator mudah alih, akan menghasilkan perkara berikut:

(i)  Kelewatan dalam pelaksanaan rangkaian 5G

Trafik yang rendah (bagi salah sebuah konsortium dalam DWN) akan menyebabkan pulangan hasil yang rendah, memberi kesan kepada kemampanan kewangan dan pembiayaan oleh bank, dan meningkatkan risiko pelaksanaan rangkaian di masa hadapan serta menjejaskan pelaksanaan secara dipercepat dan inklusif;

Proses peruntukan semula spektrum (melalui proses bidaan/ “beauty contest”) akan mengambil masa yang lama lalu menyebabkan kelewatan dalam melaksanakan rangkaian;

Kajian semula kontrak gentian juga akan melambatkan pencapaian agenda gentian nasional;

Kerumitan dalam proses penubuhan konsortium dan rundingan bagi mencapai persetujuan akan mengambil masa yang lama, dan memerlukan sekurang-kurangnya 12-18 bulan, seterusnya akan meningkatkan risiko pelaksanaan.

(ii)         Pelebaran jurang digital di antara kawasan bandar dan desa

Terdapat perbezaan dalam penyediaan perkhidmatan dan layanan kepada pengguna di kawasan bandar dan desa, yang seterusnya akan melebarkan lagi jurang digital.

(iii)         Peningkatan cost to serve

Skala ekonomi yang lebih rendah, yang akan meningkatkan kos setiap GB, lalu mengakibatkan kos yang lebih tinggi kepada pengguna.

(iv)         Penggunaan sumber yang kurang berkesan dan cekap

Kecekapan spektrum yang lebih rendah dengan pembahagian spektrum 5G kepada 2 konsortium (berbanding dengan SWN).

(v)          Persaingan yang berkurangan

Konsortium mungkin tidak mempunyai pemisahan yang jelas di antara operator borong dan runcit, lalu akan mengurangkan persaingan.

(vi)    Kesan negatif terhadap kepentingan nasional dan manfaat kewangan Kerajaan

Kajian dan rundingan semula kontrak-kontrak yang telah ditandatangani (yang berjumlah lebih daripada RM6 bilion setakat ini),  akan mengambil masa yang lama. Selain itu, Kerajaan mungkin akan kehilangan syarat perjanjian yang menguntungkan dengan Ericsson. Tambahan lagi, reputasi negara mungkin terjejas dan tumpuan terhadap agenda Bumiputera akan berkurangan.

14. Jika model SWN digantikan dengan model di mana syarikat telekomunikasi akan bertanggungjawab untuk pelaksanaan infrastruktur 5G, bagaimanakah pemilikan spektrum 5G akan diperuntukkan di kalangan pemain telekomunikasi?

14.  Peruntukan spektrum akan ditetapkan oleh Kerajaan

  • Soalan ini merupakan keputusan Kerajaan Malaysia, dan bukannya DNB.

15. Akhir sekali, jika model SWN akan diubah dan pembekal infrastruktur lain/tambahan dipilih untuk pelaksanaan 5G, bagaimanakah kebimbangan keselamatan sedia ada pada infrastruktur 5G akan ditangani terutamanya daripada perspektif penggodaman dan network slicing untuk stand-alone (SA) dan non-standalone (NSA) sistem 5G?

15.  Keselamatan dan daya tahan rangkaian adalah termasuk dalam falsafah reka bentuk DNB

  • KPI dan struktur tadbir urus yang jelas perlu ada dalam mengurus dan melaporkan keselamatan rangkaian dalam persekitaran mod campuran (NSA dan SA) merentasi berbilang vendor dan pembekal.
  • Ini bermula dengan rangka kerja keselamatan maklumat yang mengikut piawaian industri dan jadual berkala dalam melaporkan tahap pematuhannya.
  • GSMA dan 3GPP telah mentakrifkan piawaian untuk keselamatan 5G dan pematuhan adalah DIMESTIKAN bersama dengan pematuhan kawalan ISO27001 am untuk kefungsian operasi (pengesanan dan tindak balas).
  1. Sekiranya pembekal 5G adalah berbilang vendor dan disambungkan kepada teras 5G berbilang vendor, landskap keselamatan akan menjadi rumit dan penyepaduan akan menjadi perkara penting yang perlu dihadapi. (Ini ditunjukkan apabila penyepaduan dilakukan untuk encrypt data control planedaripada 6 MNO ke persekitaran DNB sebagai sebahagian daripada kesediaan pelancaran untuk melindungi keselamatan pada satu rangkaian borong sebagai sebahagian daripada piawaian 3GPP).
  2. Pelaporan dan perkongsian maklumat secara terbuka tentang risiko dan ancaman perlu tersedia secara operasi bagi membolehkan badan tadbir urus teknikal pusat mengemukakan cadangan.
  • Industri ini berpandukan pelbagai profil risiko yang boleh memberi kesan kepada pelbagai vendor dan pembekal. Ini menyebabkan kerumitan dalam mengesan, menilai dan menangani ancaman dengan berkesan.
  1. Untuk menangani perkara ini, perlu ada satu pihak berkuasa, yang akan melihat secara saksama terhadap ancaman dan risiko serta membuat keputusan mengenai tindakan yang perlu serta-merta dengan keperluan negara sebagai keutamaan.
  2. Mesti ada sistem pendaftaran risiko bersama di mana semua pihak bekerjasama dan berkembang dari semasa ke semasa.
  • Tindak balas sekuriti yang cekap diperlukan untuk menangani potensi ancaman siber. (Infrastruktur 5G adalah penting kepada negara untuk mengendali dan mengekalkan ekonomi digital masa hadapan). Oleh itu, langkah-langkah berikut perlu disediakan untuk mewujudkan pihak berkuasa siber untuk mengurus persekitaran mod campuran.
  • Keselamatan siber MESTI diberi mandat sebagai komponen penyampaian teras perkhidmatan keseluruhan dan dilaporkan secara bebas kepada eksekutif.
  • MESTI mengguna pakai prinsip reka bentuk utama:
  1. Selamat berdasarkan reka bentuk
  2. Dihos, dipantau dan diambil tindakan secara tempatan beserta sokongan global
  3. Zero trust atau pengutamaan akses paling kurang penting terlebih dahulu
  4. Mengelakkan kompromi
  5. Mengelakkan disruption
  6. Mempermudahkan pengesanan kompromi
  7. Menahan impak jika terjejas

Ralph Marshall

Ketua Pegawai Eksekutif

Digital Nasional Berhad

Berita Berkaitan

1

Semasa 3 bulan yang lalu

DNB, CSM Bawah Kementerian Digital - Fahmi

2

Semasa 9 bulan yang lalu

5G: Syarikat Telekomunikasi Bakal Umum Berita Gembira Hujung Bulan Ini - Fahmi

3

Semasa 11 bulan yang lalu

Rangkaian 5G DNB Akan Terus Digunakan Meskipun Negara Beralih Kepada Dwirangkaian 5G - Fahmi

4

Semasa 11 bulan yang lalu

TM Keluar Notis Penamatan Berhubung Perolehan SSA Ke Atas Kepentingan Dalam DNB

Sorotan

1

Pemain Badminton Negara Pamer Kekuatan Mental Menjelang Piasa Thomas, Uber

2

Pelajar Sekolah Meninggal Dunia Ketika Acara Larian Rentas Desa

3

Lelaki Israel Miliki Senjata: 10 Individu Ditahan Bawah SOSMA

4

PM, Kerajaan Enggan Terlibat Keputusan Lembaga Pengampunan Berhubung Kes Najib

5

AS Guna Veto Halang Usul Iktiraf Keahlian Palestin Dalam PBB

6

Jangan Abai Peruntukan Untuk Pembangunan Sukan - Hannah