Berita Terkini

2 hari yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 1 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 1 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok. 2 minggu yang lalu: Koc wanita bagi MRT laluan Putrajaya akan dilaksanakan bermula Isnin ini - Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail 2 minggu yang lalu: Pengerusi Spanco Sdn Bhd, Tan Sri Robert Tan Hua Choon mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menipu hingga mendorong MOF menganugerahkan kontrak urus kenderaan kerajaan bernilai RM3.9b, pada 2019

IKUTI KAMI


Lata Mangeshkar Dalam Kenangan: Padamnya Kilauan Sebutir Bintang

Kolum Dikemaskini 2 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 10 Feb 2022 9:53PM

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

TUJUH dekad mendiang mewarnai dunia seni. Lebih 30,000 ribu lagu dalam 36 bahasa telah dirakam, terutama lagu Hindi. Lata Mangeshkar adalah artis legenda, ratu lagu-lagu Bollywood yang agung tiada bandingan.

Kini mendiang sudah tiada. Pemergiannya ke alam abadi pada pagi Ahad 6 Februari 2022 bagai padamnya kilauan sebutir bintang yang sukar dicari ganti. Kehilangannya diratapi oleh pemimpin dan peminatnya di India serta seluruh dunia. 

Lagu ‘Na Ja Mere Hamdam’ nyanyian mendiang dan ‘Ni Sultana Re’, duet mendiang dengan Allahyarham Mohamad Rafi dalam filem ‘Pyar Ka Mausam’, bagai masih teriang-iang di telinga penulis apabila mendapat berita kematian Lata Mangeshkar.  

Filem Pyar Ka Mausam (Musim Bercinta) lakonan mendiang Shashi Kapoor dan Asha Parekh, serta lagu-lagunya sangat penulis ingat. Ini kerana itulah filem Hindi pertama yang penulis tonton, ditayangkan di pawagam Rex Teluk Anson (Teluk Intan), Perak sekitar tahun 1971.  

Teluk Anson, yang kembali kepada nama asal Teluk Intan pada 1982, ialah bandar ketiga terbesar di Perak, kira-kira 40 kilometer dari kampung penulis di Bagan Datuk. Itulah bandar paling hampir yang mempunyai pawagam.

Menonton Pyar Ka Mausam, pengalaman pertama penulis menghayati lagu Hindi, khususnya nyanyian Lata Mangeshkar dan Mohamad Rafi. Kesemua lagu latar filem dinyanyikan oleh Rafi dan Lata, kecuali satu oleh Kishore Kumar. Gubahan muzik oleh Rahul Dev Burman, lirik oleh Majrooh Sultanpuri. Pengarah dan produser filem ialah Nasir Hussain.

Keindahan melodi dendangan Lata dan Rafi menyebabkan penulis terus jatuh cinta dan menjadi peminat setia filem serta lagu Hindi. Setiap filem Hindi yang sampai ke Teluk Anson selepas itu penulis pasti menonton. Rafi dan Lata menjadi penyanyi kesukaan penulis.

Kini Lata pergi. Mendiang menghembuskan nafas terakhir di Hospital Breach Candy, Mumbai pada usia 92 tahun. Mendiang menuruti Mohamad Rafi yang menghadap Ilahi pada 1980. Kishore Kumar pula meninggal pada 1987.

Lata Mangeshkar
Lata Mangeshkar

Lata, yang membujang hingga akhir hayat, dimasukkan ke hospital berkenaan pada 8 Januari 2022 kerana positif COVID-19. Untuk beberapa minggu, mendiang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Walau pun menunjukkan tanda-tanda pemulihan, kesihatannya kemudian merosot dan pergi selama-lamanya pagi Ahad lalu.

Pemergian Lata adalah kehilangan besar kepada India dan dunia perfileman Hindi khususnya. Perdana Menteri India, Narenda Modi, kehilangan kata-kata apabila menerima berita kematiannya.

Baginya, pemergian Lata meninggalkan ruang kekosongan yang tidak mungkin dapat diisi. Mendiang telah meninggalkan warisan seni tidak ternilai yang bakal dikenang sehingga beberapa generasi akan datang.

Sebagai menghormati pemergian tokoh seni agung itu, kerajaan India mengumumkan seluruh negara berkabung dua hari. Bendera dikibar separuh tiang dan semua acara hiburan ditangguh.

Pemergian Lata juga meninggalkan kesan mendalam kepada jutaan peminat di seluruh dunia. Sejak tujuh dekad lalu peminat menikmati gemersik suara Lata mengalunkan suaranya sesuai dengan jalan cerita filem di mana mendiang menyumbang suara latar. Lagu bernada gembira, romantik, atau sedih disampaikan dengan penuh mendayu-dayu menyentuh kalbu.

Terlalu panjang jika hendak diimbau dan ditulis mengenai penglibatan Lata dalam dunia seni. Dilahirkan pada 1929 di Indore, India, Lata mula menyanyi pada usia 13 tahun pada 1942. Mendiang meniti karier sebagai penyanyi dengan cemerlang.

Sehingga hari kematiannya, lebih 30,000 buah lagu dalam 36 bahasa dirakam, serta menyanyi latar untuk lebih 1,000 filem Hindi, satu rekod yang belum mampu ditandingi oleh mana-mana penyanyi.

Kehebatannya diakui dengan pengurniaan beberapa anugerah berprestij seperti Bharat Ratna pada 2001, anugerah tertinggi kerajaan India untuk orang awam. Mendiang juga menerima anugerah lain seperti Padma Vibhushan, Padma Bushan dan Dadasaheb Palka.  

Penguasaan mendiang sebagai penyanyi latar filem Hindi tiada tandingnya, walau pun adiknya, Asha Bhosle, 88, adalah juga penyanyi latar popular. Penyanyi latar lain seperti Sharda dan Suman Kalyanpur juga tidak sehebat Lata.

Dalam lagu-lagu duet, gandingan Lata ialah Mohamad Rafi dan Kishore Kumar. Mendiang jarang berduet dengan penyanyi lain seperti Mukesh atau Mahendra Kapoor. Gandingannya dengan Rafi dianggap paling mantap.

Lata, anak sulung mempunyai empat adik, Meena, Asha, Usha dan Hridaynath. Karier Lata bermula dengan merakam lagu untuk sebuah filem Marathi, <‘Kiti Hassal’>. Bapanya, Deenanath Mangeshkar, adalah guru pertama dalam muzik.

Terlalu banyak lagu Lata melatari filem Hindi untuk disenaraikan satu persatu. Antaranya filem Mughal El-Azam, Dil Apna Aur Preet Parai, Mere Hamdam Mere Dost, Jab Jab Phool Khile, Raja Saab, Haseena Maan Jayegi, Prem Pujari, Do Kaliyaan, Sharmelee, Pyar Ka Mausam, Kati Patang, Abhiman, Intaqam, Caravan dan ratusan lagi.  

Mendiang menyanyi untuk beberapa pengarah muzik handalan filem Hindi, seperti SB Burman, RD Burman, Laxmikant Pyarelal, Kalyanji Anandji dan Naushad antara lain. Selain bahasa Marathi, Lata juga menyanyi dalam bahasa Benggali.

Suara Lata merentas zaman daripada era Waheeda Rehman dan Meena Kumari hingga kepada era Dimple Kapadia, Preiti Zinta dan Madhuri Dixit. Suaranya ‘dipinjam’ ramai bintang ternama seperti Asha Parekh, Hema Malini, Sharmila Tagore, Mala Sinha, Mumtaz, Saira Banu, Babita, Nanda, Sadhana dan Vyjayanth imala.

Benarlah kata Narenda Modi, pemergian Lata adalah kehilangan yang sukar dicari ganti. Belum ada di kalangan penyanyi lain yang mampu menandingi kegemilangan Lata.

Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama. Nama Lata Mangeshkar akan tetap terpahat abadi dalam lipatan sejarah. Lagu-lagunya akan tetap bersemarak dalam jiwa peminat dan tidak akan pupus ditelan zaman. - Getaran, 10 Februari 2022

Bekas Penolong Ketua Pengarang Kumpulan akhbar keramat Melayu, Utusan Malaysia. Masih sarat dengan jiwa dan naluri kewartawanan, menulis tanpa jemu, berkarya tanpa ragu. Graduan Sarjana Sains (Kewartawanan) Universiti Boston, lewat 1984.

Berita Berkaitan

1

Selebriti 2 tahun yang lalu

India Berduka Kehilangan 'Ratu Melodi' Lata Mangeshkar

2

Selebriti 2 tahun yang lalu

Legenda Bollywood Lata Mangeshkar Meninggal, India Kibar Bendera Separuh Tiang

Sorotan

1

Anwar Beri Penghormatan Terakhir Kepada Mendiang Joseph Kurup

2

DNB Telus Dalam Jalankan Operasi

3

Malaysia, Thailand Tingkatkan Kerjasama Perangi Jenayah Rentas Sempadan

4

Lelaki Sindrom Down Melecur Disimbah Air Panas Dalam Lif

5

8 Aksi Pramusim Digunakan Untuk Uji Sistem VAR - Stuart

6

Misi Hantar Bantuan Kemanusiaan Ke Gaza Dengan Kapal Tetap Diteruskan - Ann Wright