Berita Terkini

1 hari yang lalu: Hafizul Hawari yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak di KLIA Terminal 1 pada 14 April lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pagi tadi terhadap 7 pertuduhan 2 hari yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut 1 minggu yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 1 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 2 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok.

IKUTI KAMI


Memori Cikgu Akob Dan Kelas Dewasa Di Sungai Haji Mohamad

Kolum Dikemaskini 2 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 16 Dec 2021 5:22PM

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

JAM tiga petang Cikgu Akob sudah berada di dalam Dewan Orang Ramai Kampung Sungai Haji Mohamad, Bagan Datuk, Perak, menunggu anak muridnya sampai. Ada separuh sudah sampai. Sambil menunggu, Cikgu Akob berbual dengan yang sudah berada di dalam dewan.

Tidak ada denda atau amaran jika lewat sampai. Cikgu Akob juga tidak marah. Maklum ini bukan kelas sekolah biasa, tetapi adalah kelas dewasa untuk mengajar asas membaca dan menulis kepada pakcik dan atuk.  

Kesemua anak murid Cikgu Akob, atau nama penuhnya Mohd Yaacob Haji Mohamed, dalam lingkungan umur antara 40-an hingga 60-an. Semuanya lelaki. Kisah ini adalah pada pertengahan 60-an ketika penulis masih bersekolah rendah.

Cikgu Akob sendiri dalam lingkungan pertengahan 40-an. Berkaca mata dan tidak lekang songkok hitam. Murid-muridnya ada yang memanggil Pak Akob. Beliau seorang yang lembut, baik hati dan suka senyum. Anak murid beliau antara 15 hingga 20 orang. Salah seorang daripadanya ialah bapa penulis sendiri.

Kelas ini sehingga pukul lima petang pada beberapa hari tertentu dalam seminggu. Namun penulis tidak ingat harinya. Ia diadakan pada sebelah petang setelah orang kampung selesai bekerja. Macam-macam kerja yang orang kampung buat.

Ketika itu kelapa adalah tanaman utama di Bagan Datuk, yang merupakan kawasan tanaman kelapa terbesar Perak dan Malaysia. Kerana itu ramai orang kampung bekerja di kebun kelapa seperti mengait, mengimpun atau mengopek kelapa, termasuk bapa penulis. Selain itu ada yang membuat kerja rencam seperti menebas kebun, mencangkul membuat perparitan, menangkap ikan dan berkebun.

Namun kini pokok kelapa sudah jauh berkurang. Tempatnya diambil alih oleh kelapa sawit. Pokok kelapa milik pekebun kecil atau estet besar ditebang diganti dengan sawit.

Kelas dewasa kendalian Cikgu Akob adalah antara inisiatif program pembangunan luar bandar ketika itu bertujuan mendidik penduduk kampung yang buta huruf menjadi celik huruf. Ia membimbing golongan otai belajar setelah pada usia muda mereka tidak berpeluang ke sekolah.

Mungkin ketika zaman kanak-kanak itu pendidikan tidak diberi penekanan. Kebanyakannya sekadar mewarisi kerja kampung. Yang perempuan lagilah tersangat sedikit yang belajar hingga ke peringkat tinggi. Ibu bapa masih berpegang kepada kata-kata setinggi mana pun perempuan belajar akhirnya akan ke dapur.

Tentu sahaja ini sudah tidak boleh diguna pakai sekarang. Ramai perempuan yang berjaya dalam pelajaran dan karier masing-masing. Ramai pula yang juga ‘cemerlang’ di dapur.

Dugaan dan cabaran besar Pak Akob ialah mengajar otai yang langsung tidak kenal huruf. Sangat sabar dan teliti beliau mengajar anak-anak muridnya. Daripada mengenal huruf hinggalah kepada mengenal suku kata dan kemudian membentuk ejaan mudah.

Pak Akob lebih kurang seperti Cikgu Rose (Roseyatimah) yang mengajar kelas dewasa dalam ‘Pendekar Bujang Lapok’. Anak muridnya begitu liat diajar. Maklum sudah tua dan buta huruf.

Mereka termasuk Ramlee (P Ramlee), Aziz (Aziz Sattar) dan Shamsuddin (S Shamsudddin). Ketiga-tiga mereka menjadi bahan ejekan rakan sekelas apabila berbuat silap. Tetapi yang lain pun semuanya dua kali lima juga.

Tetapi dalam kelas Cikgu Akob tiada ejek mengejek. Semuanya sama. Cuma bila ada salah sebutan huruf atau suku kata, mereka sama-sama ketawa. Cikgu Akob pun ketawa sama. Suasana sungguh santai dan mesra. Lagi pun Cikgu Akob kenal dengan semua anak muridnya kerana beliau juga orang kampung sama.

Berkat kental semangat dan rajin belajar, ditambah komitmen dan dedikasi Cikgu Akob, ada di antara murid dewasa ini pandai menulis dan membaca asas. Bukan mudah di usia senja untuk mencapai tahap ini.

Bagi yang lain, sekurang-kurangnya mampu mengenal huruf atau suku kata mudah. Penulis pernah menguji bapa membaca A hingga Z. Dia mampu walau pun tidak lancar. Apabila penulis meminta eja ‘api’, dia dengan bangga mengeja ‘pi’ api! Ada jugalah bunyi!

Namun penulis dan adik beradik bersyukur dan bangga kerana sekali pun ibu bapa tidak pandai membaca dan menulis, mereka menghantar anak-anak ke sekolah sehingga mencapai tahap tertinggi mungkin. Inilah jasa yang tetap dikenang sekalipun mereka sudah lama pergi menyahut seruan Ilahi.

Kelas dewasa kini sudah tiada. Sistem pendidikan negara semakin maju. Semua berpeluang ke sekolah dari peringkat rendah, menengah sehingga ke menara gading, menimba ilmu untuk bekalan hari tua. Dengan itu kelas dewasa tidak perlu lagi.

Cikgu Akob sendiri kemudian bergerak cergas dalam politik. Beliau menjadi Ketua UMNO Bahagian Bagan Datuk dan bertanding pada pilihan raya umum (PRU) 1974. Beliau menang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak kawasan Rungkup, satu daripada dua kerusi DUN dalam parlimen Bagan Datuk. Satu lagi ialah Hutan Melintang.

Pada PRU 1978, Cikgu Akob berjaya mempertahankan kerusi Rungkup. Pada pilihan raya 1982 beliau sekali lagi mengekalkan kerusi tersebut tetapi meninggal dunia pada 29 Oktober 1983 pada usia 62 tahun. Ekoran itu pilihan raya kecil diadakan pada 3 Disember 1983. Barisan Nasional mengekalkan kerusi DUN itu melalui calonnya, Datuk Mohamed Jamrah.

Sekalipun sudah menjadi Yang Berhormat, Cikgu Akob tetap mesra dengan bekas muridnya yang tumpang bangga kerana cikgu mereka menjadi wakil rakyat.

Cikgu Akob sudah lama tiada. Tetapi jasanya sebagai cikgu dan wakil rakyat tidak dilupa. Dewan Orang Ramai tempat kelas dewasa dahulu masih berdiri, tetapi dengan peredaran masa bangunan kini lebih cantik.

Kenangan Cikgu Akob dan kelas dewasa tetap segar di ingatan penulis. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh aruah dan juga murid-muridnya yang juga telah pergi buat selama-lamanya, termasuk bapa penulis. - Getaran, 16 Disember 2021

Bekas Penolong Ketua Pengarang Kumpulan akhbar keramat Melayu, Utusan Malaysia. Masih sarat dengan jiwa dan naluri kewartawanan, menulis tanpa jemu, berkarya tanpa ragu. Graduan Sarjana Sains (Kewartawanan) Universiti Boston, lewat 1984.

Berita Berkaitan

1

Kolum 1 bulan yang lalu

Apabila AI Menjadi Peguam, Akauntan Dan Pemandu

2

Kolum 1 bulan yang lalu

Ruang Kecil, Impian Besar: Bagaimana Ruang Simpan Sendiri Buka Peluang, Potensi Untuk PKS

3

Kolum 1 bulan yang lalu

5G: Keperluan Atau Sekadar Gimik Pemasaran?

4

Kolum 2 bulan yang lalu

Mendalamkan Makna ‘Agenda Bumiputera Sebagai Agenda Nasional’

Sorotan

1

Tragedi Helikopter TLDM : Jasad Mendiang Joanna Felicia Dikebumikan Di Serian Pagi Ini

2

PRK DUN KKB : Aspek Ekonomi Antara Fokus Kerajaan Perpaduan Sepanjang Kempen

3

Lebih 14,000 Aduan Diterima Menerusi Aplikasi MYJalan Setakat Ini - Ahmad Maslan

4

Pang Sock Tao Calon Kerajaan Perpaduan Bagi PRK Kuala Kubu Baharu

5

KPU Indonesia Isytihar Prabowo, Gibran Presiden Dan Naib Presiden 2024-2029

6

Amalan Pemakanan Tidak Sihat, Kurang Aktiviti Fizikal Punca Utama Obesiti - Dr Dzulkefly

7

642 Pegawai, Anggota Polis Selangor Bertugas Pastikan Kelancaran PRK Kuala Kubu Baharu

Disyorkan untuk anda

Kolum 22 jam yang lalu

Tun M, Bertenanglah, Tak Perlu Takut Dengan Siasatan