Berita Terkini

1 jam yang lalu: Hafizul Hawari yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak di KLIA Terminal 1 pada 14 April lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pagi tadi terhadap 7 pertuduhan 1 hari yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut 6 hari yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 1 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 2 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok.

IKUTI KAMI


Kita Masih Kontang Filem 'Biopic' Bermutu

Malaysia juga pernah menghasilkan beberapa filem 'biopic' namun sayang sekali hingga kini kita masih belum mampu memfilemkan kisah hidup ikon seni terhebat kita, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.

Kolum Dikemaskini 2 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 02 Oct 2021 4:33PM

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Buckingham Palace ‘bergegar’ lagi. Diana, Charles, William, Harry dan Ratu Elizabeth muncul semula dalam satu lagi penceritaan non-fictional yang penuh dramatik.

Sebuah lagi biopic tentang Puteri Diana telah dihasilkan Hollywood. Ia tidak lain daripada Spencer arahan Pablo Larrain.

Kali ini aktres filem saga Twilight, Kristen Stewart, diserahkan mandat untuk memegang watak Princess of Wales itu.

Sebelum ini beberapa aktres lain pernah ‘menjadi’ puteri ternama itu sama ada ketika zaman anak dara (Lady Diana Spencer) atau sesudah disunting Charles.

Ini termasuklah Emma Corrin bagi siri 'The Crown' untuk Netflix (2016), Naomi Watts (Diana, 2013), Genevieve O’Reilly (Diana: Last Days of a Princess, 2007), Julie Cox (Princess in Love, 1996), Serena Scott Thomas (Diana: Her True Story, 1993), Caroline Bliss (Charles & Diana: A Royal Love Story, 1982) dan Catherine Oxenberg (The Royal Romance of Charles and Diana, 1982 diikuti Charles and Diana: Unhappily Ever After, 1992).

Setiap aktres tadi nyata memberikan terbaik mereka sama ada dari sudut penampilan fesyen, potongan rambut, pertuturan loghat British hinggalah kepada bahasa tubuh yang sehampir Diana.

Terlalu banyak kerja teliti yang perlu dilakukan oleh pelakon mahupun krew terbabit seperti kajian terhadap personaliti Diana yang kemudian diadun dengan penataan seni serta solekan dalam kelas terpuji.

Kesungguhan mereka itu terbukti berbaloi kerana Emma Corrin contohnya meraih trofi Aktres Terbaik dalam Golden Globe Awards ke-78 melalui musim keempat 'The Crown'.

Terbaru, Kristen pula dikatakan bakal menerima pencalonan dalam Oscars akan datang (2022), melalui Spencer.

Sebelum ini, saya turut kagum melihat Helen Mirren menjulang trofi Aktres Terbaik dalam Academy Awards 2007 menerusi lakonan cemerlang dalam The Queen arahan Stephen Frears. Saling tak tumpah raut wajah mahupun gerak tubuhnya persis Ratu England itu.

Tidak dinafikan filem bergenre biopic atau biographical movie begitu seronok ditonton kerana kita seolah-olah menatap ‘the real life’ insan-insan terkenal dari pelbagai latar seperti tokoh sejarah, sukan, hiburan dan kemanusiaan.

Elemen human interest dalam filem sebegitu cukup menebal selain berdaya mencetuskan inspirasi sambil menzahirkan pengajaran.

Melalui artistic license pula, elemen fictional biasanya akan disuntik melalui adegan serta watak sampingan agar lebih memberikan impak kepada sesebuah karya biopic itu.

Terlihat sejak dulu lagi banyak filem biopic yang berkualiti (termasuk yang menerima Oscars) dihasilkan seperti Gandhi lakonan Ben Kingsley, Amadeus (F. Murray Abraham), The King’s Speech (Colin Firth), Ray (Jamie Foxx), Ali (Will Smith), Chaplin (Robert Downey Jr.), Lincoln (Daniel Day-Lewis), The Social Network (Jesse Eisenberg), Iron Lady (Meryl Streep), 127 Hours (James Franco), Bohemian Rhapsody (Rami Malek) dan Edge of the World (Jonathan Rhys Meyers).

Malaysia juga pernah menyaksikan penghasilan beberapa filem biopic, antaranya Leftenan Adnan arahan Aziz M. Osman, Tanda Putera (Datin Paduka Shuhaimi Baba), Kanang Anak Langkau (Bade Hj Azmi), Rise of the Legend: Lee Chong Wei (Teng Bee), supertele Saloma (Melissa Saila) dan terkini yang belum ditayangkan, Mat Kilau (Syamsul Yusof).

Sayang sekali hingga kini kita masih belum mampu memfilemkan kisah hidup ikon seni terhebat kita, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, ke layar perak walaupun kita sudah melihat kejayaan pementasan P. Ramlee The Musical di Istana Budaya dulu.

Malaysia nampaknya masih kontang dengan filem bergenre biopic.

Entah di mana silapnya, tidak ada pun pengarah dan produser kita yang berani ke depan menzahirkan sebuah karya mengenai susur-galur kehidupan P. Ramlee.

Susur-galur yang saya maksudkan adalah dari zaman kecilnya di Pulau Pinang membawa ke detik kegemilangannya di Singapura hinggalah momen akhirnya yang suram di Kuala Lumpur.

Cuma dulu pada 1983 pernah ada usaha menerbitkan filem berjudul P. Ramlee arahan Yusaini Amir yang menggandingkan Daud Yusof (P. Ramlee)  dan Haslina Hashim sebagai Azizah.

Pun begitu sampai sekarang filem terbitan Segugus Filem Productions itu tidak muncul-muncul. Tidak pasti saya apa yang sebenarnya telah terjadi.

Daud Yusof dan Haslina Hashim pernah ditampilkan sebagai P. Ramlee dan Azizah dalam filem 'P. Ramlee' arahan Yusaini Amir pada 1983. Gambar: Koleksi SlenFadzil
Daud Yusof dan Haslina Hashim pernah ditampilkan sebagai P. Ramlee dan Azizah dalam filem 'P. Ramlee' arahan Yusaini Amir pada 1983. Gambar: Koleksi SlenFadzil

Barangkali inilah yang kena dipandang secara serius oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) untuk membantu dari sudut pelaburan dana bersama sokongan badan-badan korporat sebagai penaja agar projek filem P. Ramlee yang benar-benar solid, menjadi satu kenyataan.

FINAS sendiri ada meluahkan hasrat agar Malaysia melahirkan filem-filem yang hebat untuk pasaran antarabangsa selain dapat dicalonkan bagi kategori filem bahasa asing di Academy Awards. Jadi seharusnya filem biopic  P. Ramlee boleh merintis niat serta usaha yang baik itu.  

Dari sudut sejarah pun, P. Ramlee pernah menguasai alam nusantara hingga ke Hong Kong, Taipei dan Jepun, jadi selayaknya kegemilangan P. Ramlee itu dikongsi dengan dunia hari ini hinggalah ke sebelah Barat.

Apa yang utama, aspek penerbitan untuk filem biopic buatan Malaysia mestilah benar-benar berkualiti dan ini pasti membabitkan bajet bertaraf mega.

Bukan kerja seringgit dua untuk merealisasikan kisah manusia-manusia yang istimewa dan itu telahpun difahami semua pembikin filem.

Kita faham kalau ada bajet besar, apa sahaja boleh direalitikan di dalam filem malah kita juga boleh mengundang pelakon antarabangsa untuk membintangi filem tentang kisah hidup P. Ramlee yang sememangnya cukup sensasi, padat dengan momen suka-duka.

Hakikat ini kerana P. Ramlee dulu dikelilingi orang-orang seni yang berbakat dari segala ceruk di nusantara hinggalah ke India, Filipina, Hong Kong dan Jepun.

Di sini sahaja, nilai antarabangsa telah wujud mengelilingi kehidupan sebenar P. Ramlee yang cukup dikenali oleh semua lapisan usia.

P. Ramlee dalam filem 'Seniman Bujang Lapok'
P. Ramlee dalam filem 'Seniman Bujang Lapok'

Lihat sahaja guru-guru perfileman terawal yang membimbing P. Ramlee. Rata-rata mereka adalah dari India seperti Phani Majumdar, B. S. Rajhans dan L. Krishnan.

Manakala produser yang menubuhkan Studio Jalan Ampas atau Malay Film Productions Ltd (MFP) di Singapura itu pula tidak lain daripada Run Run Shaw dan Runme Shaw, peniaga filem dari Hong Kong.

Tidak kiralah kisah P. Ramlee, Saloma, Normadiah atau tokoh mana sekalipun, saya selalu berharap impian melihat lebih banyak karya biopic bermutu buatan Malaysia masuk ke pawagam akan menjadi suatu realiti.

Namun saya faham karya yang berat memang sukar diterima di Malaysia kerana minat orang kita, ditambah pasaran yang semakin mengecil sejak zaman pandemik.

Jadi sokongan pihak kerajaan dan badan-badan korporat diharap boleh membantu penghasilan karya biopic ikon-ikon yang banyak berjasa kepada negara kita.

Seperkara yang harus diingat, sehebat mana pun filem kita, aspek yang lebih penting adalah teknik pemasaran filem itu sendiri ke peringkat global kerana persaingannya begitu sengit selain tertakluk kepada persetujuan atau dasar-dasar yang telah sedia ada di sesebuah negara.

Bukan sekadar menyertai festival antarabangsa semata-mata, kerja memasarkan filem juga memerlukan strategi yang bijak selain pelaburan wang.

Andai mampu membina contact dan cable dengan pihak pengedar antarabangsa atau menjalinkan kolaborasi, tidak mustahil usaha menjual filem kita akan lebih berjaya lagi.

Lihatlah bagaimana Korea Selatan dan karya mereka, Parasite boleh menembusi negara-negara Barat hingga ke Oscars.

Kita juga boleh berguru dengan mereka, menimba ilmu-ilmu perfileman yang baik dari sudut penceritaan, lakonan, aspek teknikal dan pemasaran.

Jangan lupa filem tentang kemanusiaan dari Asia Barat yang low budget pun boleh membuka mata Hollywood. - Getaran, 2 Oktober 2021

Isu Pada

“Saya Mahu Memperisterikan...” – Adam Lee

02 Oct 2021

Berita Berkaitan

1

Sukan 1 minggu yang lalu

Pecahkan Dominasi JDT Musim Ini - Azman Adnan

2

Luar Negara 3 minggu yang lalu

Singapura Rampas 1.5 Tan Produk Segar, Makanan Proses Dari Malaysia

3

Semasa 3 minggu yang lalu

Anwar Terima Kunjungan Menteri Luar India

4

Sukan 4 minggu yang lalu

Beraksi Di Laman Sendiri Gagal Bantu Harimau Malaya Saingi Kehebatan Oman

Sorotan

1

Harimau Muda Tutup Kempen Di Qatar Tanpa Sebarang Kemenangan

2

Lebih 50,000 Kampit Beras Putih Tempatan Diagih Hingga 22 April - LPP

3

Sungai Golok Surut, Tidak Mustahil Wujud Pangkalan Haram Baharu – Kastam

4

Nahas Helikopter TLDM: Semua Mayat Mangsa Telah Dikeluarkan

5

Sultan Selangor Turut Berdukacita Nahas 2 Helikopter TLDM

6

Langkah Kerajaan Laksana Subsidi Bersasar, Skim Baharu Gaji Penjawat Awam Berdasarkan Prinsip - Fahmi