Berita Terkini

2 hari yang lalu: Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Supermart & Superstore Sdn Bhd, Datuk Seri Dr Chai Kee Kan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam terhadap tuduhan sengaja melukakan perasaan orang Islam 5 hari yang lalu: KKM nasihatkan semua aktiviti di luar bilik darjah ditangguhkan sementara di semua lokasi yang merekodkan cuaca panas antara 35 hingga 37 darjah celsius 6 hari yang lalu: Pihak Ocean Infinity akan bentang kawasan pencarian baharu MH370 kepada MOT awal Mei - Loke 6 hari yang lalu: MAVCOM tambah 342 penerbangan domestik di seluruh negara untuk perjalanan antara 3 hingga 18 April - Loke 6 hari yang lalu: Tiket tambahan ETS dan perkhidmatan tren khas mula dijual hari ini bermula 5 petang - Loke

IKUTI KAMI


Rosnan Rahman Terus Giat Mengangkat Mak Yong

Impian Rosnan Rahman melihat mak yong kembali dipentaskan semula di Kelantan menjadi realiti apabila kerajaan negeri menarik balik pengharaman seni persembahan tradisional tersebut.

Kisah Kita Dikemaskini 1 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 27 Feb 2022 1:44PM

oleh

Ellyna Ali

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Minat dan kecintaannya yang mendalam pada bidang seni persembahan tradisional mak yong mendorong Rosnan Abdul Rahman atau nama pentasnya, Rosnan Rahman melupakan terus cita-citanya menjadi seorang arkitek, biarpun berkelulusan dalam bidang Senibina (Architecture) dari Universiti Sains Malaysia (USM). 

Bahkan demi minat dan kecintaan yang mendalam terhadap seni persembahan yang berasal dari Kelantan itu, dia juga sanggup berguru dengan Fatimah Abdullah (Kak Asmah atau Mama As) sejak tahun 2004. 

Kak Asmah yang kini masih bertugas sebagai guru mak yong di ASWARA adalah bekas adik ipar kepada tokoh primadona mak yong, Allahyarham Khatijah Awang dan mereka sama-sama pernah berjuang demi menghidupkan semula seni persembahan mak yong yang semakin pupus.

Rosnan Abdul Rahman
Rosnan Abdul Rahman

Hasil didikan dan ilmu yang diterima daripada Kak Asmah selama bertahun-tahun, Rosnan giat menjayakan persembahan tradisional mak yong dan merupakan satu-satunya Pak Yong lelaki dalam persembahan teater tradisional tersebut. 

Sewaktu diwawancara Getaran baru-baru ini, Rosnan berkata, dia sendiri tidak tahu bagaimana dia mampu tertarik dengan seni persembahan tradisional mak yong. 

“Tapi waktu belajar di USM dulu, saya memang pernah terlibat dalam kumpulan seni kebudayaan yang ketika itu diketuai Prof. Mohamad Ghous Nasarudin untuk tarian-tarian tradisional yang biasa sahaja seperti joget, inang dan zapin. 

“Satu lagi kumpulan pula sering berlatih mak yong dan saya tidak tahu kenapa, ada semacam satu kuasa yang menarik saya untuk singgah menyaksikan persembahan mereka selepas saya habis kuliah jam 5 petang. 

“Kemudian ada satu babak itu, belum ada pelakonnya. Akhirnya Prof. Ghous menawarkan saya untuk mengisi kekosongan tersebut dan saya juga tidak sangka saya boleh menari sambil menyanyi. Bahkan, saya juga mengikut mereka membuat persembahan di merata tempat. 

“Dari situlah saya mengenal mak yong dan apabila membuat kajian tentang susur galur keluarga saya, rupa-rupanya arwah nenek saya adalah pemain mak yong dan arwah datuk saya pula adalah pemain muzik mak yong dan wayang kulit (gendang). 

“Dari Pattani, mereka berhijrah ke Kedah, namun tidak pernah menyambung atau menurunkan seni warisan seni mak yong itu kepada anak cucu. Tapi, mungkin darah seni mak yong dalam diri mereka itulah yang sebenarnya masih mengalir dalam diri saya,” katanya membuka cerita. 

Apabila selesai pengajian di USM, sangka Rosnan, dia akan melupakan terus bidang seni persembahan yang amat diminatinya itu. 

“Waktu itu saya mendapat tawaran menjadi pensyarah, mengajar reka bentuk dan seni binaan untuk pelajar-pelajar diploma di sebuah kolej swasta di Negeri Sembilan.  

“Tapi, hanya setahun saya sahaja saya sempat mengajar kerana pada awal 2001 saya dapat tawaran menjadi pegawai kebudayaan. 

“Saya sendiri terkejut. Saya bertanya dalam hati, apakah erti semua ini? Tawaran ini seolah-olah seperti ingin membawa saya kembali ke dunia seni persembahan. 

“Saya juga masih ingat sewaktu saya pertama kali ditemu duga Rosminah Tahir yang juga seorang pegawai kebudayaan yang telah melakar nama sebagai pengarah teater ketika itu. 

“Katanya, jika saya mahu menjadi seorang pegawai kebudayaan yang bagus saya harus mempunyai satu kekuatan dan kelebihan yang mampu meninggalkan impak di dalam kerjaya ini. Dalam hati saya terdetik, 'mak yong'.

“Bertitik-tolak dari situ, saya tanamkan azam untuk mencari guru dan menimba ilmu mak yong ini dengan lebih mendalam lagi. Saya kena belajar menari, berlakon dan menyanyi. 

‘Saya kena belajar dialek Kelantan sebab ia bukan bahasa ibunda saya. Saya orang Kedah. Saya juga perlu hafal bahasa sastera mak yong,” katanya penuh semangat. 

 

Mula Berguru Mak Yong 

Sewaktu Norzizi Zulkifli mengarahkan pementasan MakYong Tangkai Hati pada 2003, Rosnan bertindak sebagai pengarah projek.  

“Saya akan duduk di tepi birai dan mencuri-curi tengok untuk melihat dan mempelajari seni mak yong ini dan saya juga ambil peluang untuk mendekati Kak Asmah yang turut terlibat di dalam projek pementasan itu. 

“Untuk berguru dengan Kak Asmah tidak mudah. Saya terpaksa ambil masa untuk meyakinkan dia dan memujuk dia untuk menjadikan saya anak muridnya, sehinggalah dia bersetuju,” katanya bercerita dengan penuh semangat. 

Kegigihan Rosnan untuk mempelajari dan mendalami mak yong membuahkan hasil kerana pada 2005, dia telah ditawarkan Kak Asmah untuk membawakan watak Pak Yong dalam pementasan Mak Yong Dewa Indera Indera Dewa di Istana Budaya. 

“Beliau mendapatkan izin daripada Ketua Pengarah Istana Budaya untuk membenarkan saya beraksi di pentas tersebut. 

“Saya ambil peluang itu untuk membuat persembahan secara bersungguh-sungguh. Kebetulan, saya mempunyai ramai kawan media. Mereka memberikan liputan yang meluas tentang saya. 

“Timbul juga polemik kerana ada pihak mempersoalkan kenapa watak Pak Yong ini dipegang orang lelaki dan bukan perempuan dan isu itu tentulah merujuk kepada saya. 

“Tapi apa yang mereka tidak tahu, mak yong pada asalnya dipersembahkan oleh golongan lelaki sahaja di dalam istana pada zaman dulu-dulu dan ia membuatkan raja atau sultan berasa susah hati. 

“Kerana ramai gundik, puteri termasuk permaisuri yang mengggilai pelakon-pelakon lelaki mak yong ini. Akhirnya digantikan dengan perempuan.

“Jadi, tidak salah pun kalau lelaki yang bawakan watak Pak Yong. Sebab watak itu memang watak lelaki. Kalau dulu Juhara Ayob sering bawakan watak Pak Yong, dia sebenarnya bawakan watak lelaki dalam pementasan teater mak yong ini,” katanya. 

 

Jadi Penggiat Seni Mak Yong Secara Serius 

Penglibatan seriusnya di dalam seni persembahan mak yong membawa Rosnan ke merata tempat, bahkan dia turut diundang mengadakan persembahan di luar negara iaitu di New York untuk persidangan United Nation, Frankfurt (acara Pesta Buku) serta ibu pejabat UNESCO di kota Paris (sewaktu penamaan Pulau Pinang dan Melaka sebagai bandar warisan). 

“Saya turut dipilih oleh pihak kedutaan Malaysia di Korea Selatan untuk menjadi wakil Malaysia dalam Korean Communication Forum di negara itu untuk mempelajari bagaimana Korea mempromosikan negara menerusi imej dan budaya. 

“Pada 2019, saya berpeluang untuk mengarahkan pementasan Mak Yong pertama saya iaitu Raja Besar Maha Gading. Dari situ, saya tahu, Kak Asmah sudah berani melepaskan saya tapi sehingga saat ini masih banyak yang saya perlu pelajari daripada beliau,” katanya. 

Dalam sibuk membahagikan masa di antara kerjaya sebagai pegawai kebudayaan dan penggiat seni, Rosnan kini memegang jawatan sebagai Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian (JKKN) Negara Kelantan sejak Februari 2020 hingga sekarang.

Sejak memegang jawatan tersebut, siapa sangka Mak Yong sudah kembali hidup dan dipentaskan semula di negeri asal kelahiran seni warisan tersebut, selepas ia diharamkan selama 31 tahun. 

“Mak Yong telah diharamkan di Kelantan sejak 1991. Untuk mengembalikan semula Mak Yong di Kelantan bagi saya, ia adalah pencapaian besar. Namun, usaha ini telah mula dilaksanakan sejak pengarah JKKN Kelantan yang terdahulu lagi serta semua pihak yang terlibat termasuk kerajaan negeri dan kerajaan pusat. 

“Saya kemudian meneruskan usaha ini dan akhirnya Mak Yong kembali ke Kelantan semula pada 2022 dan saya cuba tubuhkan dua kumpulan mak yong. Satu kumpulan Mak Yong patuh syariah yang hanya menampilkan pelakon lelaki sahaja dan sebuah lagu kumpulan mak yong adalah campuran lelaki dan perempuan. 

“Kumpulan Mak Yong patuh syariah adalah untuk memenuhi persembahan mak yong di Kelantan yang mengikut garis panduan, manakala kumpulan mak yong campuran untuk persembahan secara dokumentari atau di luar Kelantan. 

“Walaupun ada di antara mereka yang sudah berguru dengan guru Mak Yong lain tetapi saya juga turut mencurahkan ilmu saya kepada mereka khususnya kepada yang ingin mempelajari seni warisan tradisional Mak Yong agar ia kembali bernafas dan tidak pupus ditelan zaman,” katanya mengakhiri perbualan. - Getaran, 27 Februari 2022

Gambar:  Rosnan Rahman 

Isu Pada

Mengulit Mimpi, Terapi Diri

26 Feb 2022

Berita Berkaitan

1

Filem & TV 1 tahun yang lalu

Kerana Mak Yong Dalam Duan Nogho Bogho, Sangeetha Krishnasamy Akui Hampir ‘Give Up’ Dan Tarik Diri 

2

Filem & TV 2 tahun yang lalu

Seni Warisan Mak Yong Diangkat Dalam 'Hantu Mok Joh'

Sorotan

1

PNB Umum Pengagihan Pendapatan 5.25 Sen Bagi ASB 2 Dan 4.75 Sen Bagi ASM 

2

Mohd Na'im Jalani Pembedahan Kecil Buang Kelenjar Air Liur

3

Polis Tahan Lelaki Disyaki Abai Kanak-kanak  

4

Padang Bukan Faktor Penentu Kekalahan Malaysia Kepada Oman - Darren

5

Dasar Buku Negara Diteliti Semula - Fadhlina

6

Perdana Menteri Dijangka Hadir Majlis Iftar MADANI Anjuran JAKIM Esok

Disyorkan untuk anda

Kisah Kita 1 hari yang lalu

'Parang Tantari' Popular Dalam Kalangan Pendaki Luar Negara