Berita Terkini

18 jam yang lalu: Hafizul Hawari yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak di KLIA Terminal 1 pada 14 April lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pagi tadi terhadap 7 pertuduhan 1 hari yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut 1 minggu yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 1 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 2 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok.

IKUTI KAMI


Mengalah Bukan Pilihan, Terus Bangkit Demi Keluarga

Kisah Kita Dikemaskini 2 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 29 Nov 2021 12:03PM

Mohamad Nazri Ismail kini menjual air nira kelapa di FELDA Bukit Sagu, Kuantan.

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

KUANTAN - Tidak ramai individu memiliki semangat untuk bangkit, khususnya selepas berkali-kali perniagaan diusahakan berakhir dengan kekecewaan.

Namun, bagi Mohamad Nazri Ismail, 42 tahun, dia tidak menjadikan setiap kegagalan sebagai alasan untuk berhenti daripada terus mencuba.

“Saya tidak mempunyai latar pendidikan tinggi, tapi mengalah setiap kali ‘jatuh’ dalam perniagaan bukanlah perkara yang harus wujud dalam kamus hidup.

“Semua yang saya buat adalah untuk isteri, Sanisah Mohamed dan tiga anak kami yang berusia antara 14 hingga 21 tahun, mereka tidak pernah berhenti memberikan sokongan dan membantu saya sejak 25 tahun lalu,” katanya ketika ditemui di FELDA Bukit Sagu, dekat sini.

Berkongsi pengalaman sepanjang bergelar usahawan, Mohamad Nazri berkata, dia pernah memperoleh pendapatan mencecah lima angka sebulan hasil usahasama dengan syarikat menjual pelbagai barangan kelengkapan rumah.

Dia yang kini mengusahakan jualan air nira kelapa bagaimanapun mengambil keputusan untuk berhenti daripada meneruskan kerjasama dengan syarikat terbabit berikutan ingin mencuba perniagaan sendiri.

“Pada awalnya saya cuba memelihara lembu. Daripada enam ekor, bilangan itu terus bertambah hingga lebih 100 dan apabila jumlah lembu dimiliki terlalu banyak hingga sukar untuk saya jaga (pantau) seorang diri, saya minta tolong kawan untuk bantu.

“Namun, ia tidak bertahan lama selepas beberapa ekor lembu dijual tanpa pengetahuan saya oleh individu tertentu. Bagi mengelak daripada berlaku masalah lain, saya buat keputusan untuk menjual semua lembu itu dan hasilnya saya buat modal untuk buka kedai menjual peralatan memancing,” katanya yang masih memiliki tujuh ekor lembu dan dijaga oleh penduduk kawasan tanah rancangan itu.

Sanisah Mohamed sedang mengisi air nira kelapa ke dalam botol sebelum disimpan dalam peti sejuk beku.
Sanisah Mohamed sedang mengisi air nira kelapa ke dalam botol sebelum disimpan dalam peti sejuk beku.

Mohamad Nazri bagaimanapun mengambil keputusan menutup kedai menjual peralatan memancing selepas kira-kira dua tahun beroperasi selepas berdepan beberapa isu dengan pembekal.

“Susah bila ‘supplier’ mula 'bermain harga' dengan kita, dengan kedai lain dia jual pada harga lain, dengan kita dia letak harga tinggi, dan saya tidak dapat memperoleh keuntungan sepatutnya.

“Daripada terus menanggung rugi, baik saya tutup kedai dan fokus dengan perniagaan diusahakan sendiri,” katanya yang menanggung kerugian kira-kira RM100,000 apabila menutup kedai berkenaan. 

Mohamad Nazri memberitahu, dia mula mengusahakan perniagaan air nira kelapa sejak Mac tahun lalu dan bersyukur kerana pendapatan yang diraihnya agak lumayan.

“Saya belajar dari Youtube dan sebelum saya mulakan perniagaan ini, isteri banyak memberi pandangan. Dari situ kami cuba mencari formula bersesuaian bagi memastikan kualiti air nira dihasilkan dapat memberi kepuasan kepada pelanggan.

“Buat masa ini, saya memiliki kira-kira 100 pokok kelapa jenis pandan yang sangat sesuai dijadikan air nira.

“Kesemua nira itu dituai dua kali sehari iaitu pada waktu pagi serta petang dan jumlah diperoleh itu cukup untuk menampung permintaan kedai sekitar Kuantan,” katanya.

Mohamad Nazri berkata, dia menyediakan 25 peti sejuk beku yang ditempatkan di kedai runcit sekitar bandar raya ini dan setiap peti mampu memuatkan 100 botol air nira kelapa.

Katanya, permintaan terhadap air nira juga sangat menggalakkan dan meningkat mendadak setiap kali bulan Ramadan kerana minuman itu memiliki rasa unik, selain dapat menghilangkan dahaga dengan cepat.

“Ada pelanggan dari Jerantut dan Kuala Lumpur yang selalu menempah air nira dari saya, tapi kadang-kala terpaksa ditolak kerana faktor bekalan. Lagipun saya buat seorang diri, panjat pokok dan kutip air nira, sebelum dibotolkan dengan bantuan isteri untuk disimpan dalam peti.

“Saya turut memudahkan peniaga (kedai runcit) menjual air nira yang saya buat, peti ais disediakan dan bil elektrik kedai mereka juga saya tolong bayarkan, jadi kita sama-sama dapat untung,” katanya.

Setiap botol air nira kelapa dijual pada harga RM4 dan selain air nira untuk diminum, Mohamad Nazri turut memproses air nira bagi dijadikan cuka yang turut mendapat permintaan daripada pelanggan setianya. – Getaran, 29 November 2021

Berita Berkaitan

1

Usahawan 1 minggu yang lalu

K-Drama Jadi Inspirasi Hasilkan ‘IdaOn Sos Korea’

2

Semasa 1 bulan yang lalu

Tiada Kegiatan Hidupkan Semula Ajaran Ayah Pin Dikesan Di Pahang

3

Semasa 1 bulan yang lalu

2 Maut Lori Bertembung

4

Semasa 1 bulan yang lalu

Pemandu Lori Balak Maut Digilis Jentera Berat

Sorotan

1

KPU Indonesia Isytihar Prabowo, Gibran Presiden Dan Naib Presiden 2024-2029

2

Amalan Pemakanan Tidak Sihat, Kurang Aktiviti Fizikal Punca Utama Obesiti - Dr Dzulkefly

3

642 Pegawai, Anggota Polis Selangor Bertugas Pastikan Kelancaran PRK Kuala Kubu Baharu

4

Jamaica Secara Rasmi Iktiraf Palestin Sebagai Sebuah Negara

5

Tragedi Helikopter: Kerajaan Perak Akan Bincang Bentuk Bantuan Kepada Waris

6

Prestasi Malaysia Dalam Laporan Amnesty International Buruk

7

Harimau Muda Tutup Kempen Di Qatar Tanpa Sebarang Kemenangan

Disyorkan untuk anda

Kisah Kita 13 jam yang lalu

MH17 Dorong Dr Rabi’ah Adawiyah Sertai Forensik Pergigian