Berita Terkini

7 jam yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut 5 hari yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 1 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 1 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok. 2 minggu yang lalu: Koc wanita bagi MRT laluan Putrajaya akan dilaksanakan bermula Isnin ini - Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail

IKUTI KAMI


Dari Ratu Cantik Ke Dunia Kosmetik, Mourhrna Teroka Pasaran Dunia

Kisah Kita Dikemaskini 3 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 22 Feb 2021 8:22AM

Mourhrna Anetha Reddy

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

KUALA LUMPUR : Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tak siapa tahu dan Mourhrna Anetha Reddy tidak pernah menyangka, perjalanan ke Singapura dengan hanya berbekalkan wang tunai AS$500 (RM2,019) adalah langkah kanan yang bakal menjadikan mimpinya satu kenyataan.

Wanita berjiwa besar berusia 36 tahun itu pada asalnya hanya mahu mencuba nasib, melihat jika minyak kosmetik yang dihasilkannya sendiri mampu menembusi pasaran negara itu atau sebaliknya.

Niatnya ikhlas; ingin berkongsi rahsia kecantikan turun temurun milik keluarga, menggunakan teknik purba Ayurveda yang amat terkenal di India.

Ditipu ketika menjalani penggambaran filem dokumentari di Sri Lanka adalah titik tolak yang membawa Mourhrna bermuhasabah, dan mencari apa sebenarnya perlu dilakukan.

“Saya sedang merenung langit pada satu malam, selepas buntu dengan apa yang mahu dilakukan apabila kerugian kerana ditipu di Sri Lanka.

“Pada ketika itulah saya seolah-olah didatangi ilham, untuk menjadikan minyak kosmetik yang digunakan keluarga turun temurun sebagai satu sumber pendapatan.

“Kedengarannya agak mistik ya, tetapi sebagai hamba, saya menganggap ia petunjuk yang mahu disampaikan oleh Tuhan,” katanya kepada Getaran di sini baru-baru ini.

Enggan membuang masa, anak kelahiran Taiping itu memulakan langkah pertama dan selepas beberapa percubaan, satu set minyak kosmetik khusus untuk penjagaan muka berjaya dihasilkan.

Menjadikan keluarga dan rakan-rakan terdekat sebagai penguji, Mourhrna mengakui berdepan dengan beberapa kegagalan sebelum akhirnya muncul bersama rumusan yang paling sesuai.

“Saya anggap perjalanan ini sememangnya satu hadiah yang mahu disampaikan Tuhan, kerana semuanya berjalan dengan begitu lancar, seolah-olah ia sudah disusun sedari awal.

“Hanya dengan dua atau tiga percubaan, saya berjaya menemui rumusan yang sesuai untuk set minyak kosmetik ini, terdiri daripada penjagaan waktu siang, malam, di bahagian mata dan kulit kepala,” katanya sambil menambah, semua bahan digunakan adalah seratus peratus berasaskan herba tanpa sebarang campuran kimia.

Mengapa minyak?

Bekas peserta beberapa pertandingan ratu cantik itu ketawa kecil ketika ditanya soalan ini, seolah-olah berdepan satu perkara melucukan.

“Mengapa tidak? Sekian lama kita dibayangi kehebatan produk dari Barat sehingga lupa, benua Asia ini menyimpan sejuta khazanah zaman silam yang hanya menunggu waktu untuk digali oleh anak cucunya.

“Ayurveda ini bukan hanya milik rakyat atau kaum India sahaja, ia adalah hadiah untuk semua warga Asia, yang menyimpan sejuta manfaat jika digunakan sebaiknya,” tegasnya.

Menggunakan campuran pati daripada tumbuh-tumbuhan dan buah-buahan, set minyak dikenali menerusi jenama Quetra Oils ini berupaya memberikan kesan dihajati pengguna seawal dua atau tiga bulan, jika digunakan secara teratur.

Mourhrna berkata, meskipun bersaiz kecil, set minyak berkenaan memiliki khasiat yang amat besar dan mampu bertahan lama, kerana tidak perlu digunakan dalam kuantiti banyak.

“Hanya setitik atau dua sudah memadai untuk disapu ke seluruh muka dan anda boleh rasai sendiri perbezaannya.

“Tidak seperti set penjagaan lain yang bersumberkan pelbagai bahan kimia, Quetra Oils merawat muka dari dalam, menjadikan kulit cerah dan lembap secara semulajadi, selain memiliki khasiat anti penuaan serta awet muda,” katanya lagi.

Ditanya mengenai pencapaian Quetra Oils ketika ini, wanita jelita persis pelakon Bollywood itu dengan bangga memberitahu, produk berkenaan berjaya menembusi pasaran antarabangsa sebaik mula dipasarkan.

“Fiji adalah destinasi pertama dan saya tidak malu mengakui, hanya berbekalkan pertolongan rakan-rakan kru pesawat untuk membawa masuk Quetra Oils ke negara luar pada ketika itu.

“Saya tidak memiliki sebarang asas perniagaan, apatah lagi membabitkan jualan produk. Tapi seperti yang dikatakan, tuah sentiasa menyebelahi apabila ditemukan dengan rakan-rakan yang tidak kedekut menghulurkan bantuan,” katanya terharu.

Diibaratkan sebagai pembuka jalan, langkah Quetra Oils tidak terhenti hanya di Fiji, apabila sambutan hangat yang diterima pantas membawa Mourhrna meneroka pasaran lain di dunia.

Hanya setahun selepas dilahirkan, produk seratus peratus buatan tempatan tetapi berpangkalan di Singapura itu semakin dikenali apabila berjaya menembusi pasaran Australia, Serbia, Croatia, Jerman dan London.

Pencapaian cemerlang itu membolehkan Quetra Oils mencatatkan pertumbuhan 100 peratus, tanpa sebarang strategi pemasaran mega, sebaliknya hanya berbekalkan rekomendasi pelanggan, dari mulut ke mulut.

“Ya, saya amat bertuah kerana Quetra Oils menjadi pilihan tanpa sebarang pemasaran berskala gergasi. Hanya berbekalkan khabar dari mulut ke mulut, minyak yang dihasilkan dengan kecintaan terhadap dunia kecantikan ini semakin dikenali,” katanya.

Mourhrna menarik perhatian, pelancaran rasmi Quetra Oils sebenarnya sudah dijadualkan berlangsung di Fiji Mac tahun lalu, namun kehadiran virus COVID-19 memusnahkan semua perancangan dibuat.

“Penangguhan itu walaupun agak mengecewakan, namun saya percaya memiliki hikmah tersendiri dan kesempatan itu saya gunakan sebaiknya untuk mempelajari dengan terperinci jenis dokumen yang perlu ada bagi memasarkan produk di peringkat antarabangsa.

“Percaya atau tidak, saya pernah ditahan pegawai imigresen sebaik mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi, Singapura dan hanya pada ketika itu, baru saya tahu mengenai prosedur yang perlu dipatuhi jika mahu membawa masuk sebarang jenis produk,” katanya sambil ketawa mengenangkan insiden terbabit.

Menjadikan kejadian berkenaan sebagai satu pengajaran, Mourhrna enggan larut dalam kesilapan, sebaliknya bingkas mempersiapkan diri dengan segala pengetahuan kerana beliau sedar, hanya itu senjata yang mampu membawanya menakluk dunia.

“Sehingga sekarang saya amat berterima kasih dengan pegawai itu, kerana beliau memberi saya satu pengetahuan yang cukup berguna, bahawa apa juga perkara, ada tertib dan aturannya sendiri,” katanya.

Enggan bersikap menongkat langit, gadis yang masih belum berpunya ini memutuskan untuk turut sama berbagi rezeki dengan peniaga kecil lain, apatah lagi di zaman serba sukar seperti sekarang.

Mewujudkan segmen khas dikenali sebagai Vocal Local, paparan itu direka khusus untuk peniaga kecil memasarkan produk masing-masing secara percuma, tanpa sebarang yuran atau komisen.

“Quetra Oils terhasil daripada tuah dan rezeki dikurniakan Tuhan kepada saya, justeru wajar jika sedikit kesempatan ini saya kembalikan buat mereka di luar sana, biar sama-sama berpeluang mencicip peluang yang ada,” katanya tulus.

Quetra Oils mungkin berusia terlalu muda, namun berikan sedikit masa, ia pasti menjadi buah mulut serata dunia dan kita seharusnya bangga, ketika dunia kecantikan sebahagian besarnya berkiblatkan barat, ada anak watan yang berani menongkah arus untuk memahat nama Malaysia dan duduk sama rendah, berdiri sama tinggi.

Sekadar info, orang ramai yang berminat untuk menyelami keunikan dan keajaiban rahsia turun temurun Ayurveda menerusi Quetra Oils, boleh melayari laman sesawang www.quetra.co untuk membuat pesanan.

Nikmati kulit halus, semulus bayi dan rasai kebanggaan dilahirkan sebagai penduduk benua Asia, yang kaya dengan sejuta rahsia peradaban silam. – Getaran, 22 Februari 2021

Berita Berkaitan

1

Semasa 3 bulan yang lalu

Kerajaan Promosi Produk Tempatan Di Pasaran Antarabangsa Secara Kolektif, Berstruktur

2

Gaya 2 tahun yang lalu

Oh, Hello! Kenali ‘Truth Serum’ Penyelamat Kulit Wajah Terkini

Sorotan

1

Nahas Helikopter TLDM: Semua Mayat Mangsa Telah Dikeluarkan

2

Sultan Selangor Turut Berdukacita Nahas 2 Helikopter TLDM

3

Langkah Kerajaan Laksana Subsidi Bersasar, Skim Baharu Gaji Penjawat Awam Berdasarkan Prinsip - Fahmi

4

Helikopter TLDM Terbabit Dalam 3 Raptai Sebelum Insiden - Mohamed Khaled

5

Institusi Pendidikan Pondok Perlu Tambah Nilai Kemahiran Vokasional, Teknikal – Mohd Na’im

6

2 Helikopter Bertembung, 10 Anggota, Pegawai TLDM Maut