Di lautan yang terbentang luas, kita dapat melihat kapal-kapal terapung di permukaan laut. Namun, tahukah kita di sebalik kapal tersebut ada individu yang membanting tulang di atasnya dan digelar pelaut.
Jelas daripada namanya, pelaut adalah individu yang bertugas di atas laut sama ada sebagai pengemudi kapal, jurutera atau kru kapal mengikut kepakaran masing-masing.
Berbeza dengan tentera laut yang menjaga keselamatan perairan negara, pelaut bertanggungjawab untuk metlancarkan operasi penghantaran barang seperti kargo, gas dan sebagainya ke sesebuah destinasi tertentu di dalam mahupun luar negara melalui jalan laut.
Segmen kerjaya hari ini mendekati Pegawai Navigasi 2 Muhammad Izzat Ramlan, bekas graduan Akademi Laut Malaysia (ALAM) yang sudah menceburi bidang ini selama enam tahun sebagai pelaut.
Kenapa pilih kerjaya sebagai pelaut?
Pada awalnya saya sendiri tidak mengetahui bidang ini sehinggalah saya memohon untuk melanjutkan pelajaran di Akademi Laut Malaysia (ALAM). Dari situ, saya melihat kerjaya pelaut ni memberi jaminan masa depan dan dapat menampung keluarga saya.
Minat pada bidang ini sebenarnya akan terlihat selepas kita memulakan pekerjaan sebagai pelaut itu sendiri. Semasa pelayaran pertama baru saya tahu sama ada saya benar-benar berminat atau sebaliknya.
Setelah enam tahun bergelar pelaut, sudah pasti saya mampu katakan ia pekerjaan yang boleh membantu kita meneruskan kehidupan yang selesa dari segi kewangan. Kini saya berkhidmat di salah sebuah syarikat pengangkutan perkapalan yang bertangungjawab membawa gas untuk dihantar ke Jepun, Singapura, Indonesia, Korea dan beberapa negara lagi.
Apakah cabaran bagi seorang pelaut?
Menjadi seorang pelaut ini memerlukan mental yang kuat kerana kita biasanya berada di lautan selama enam hingga lapan bulan. Ia bukanlah satu perkara yang mudah.
Selain tekanan ketika berada di lautan, meninggalkan keluarga selama itu adalah cabaran yang paling utama. Bagi saya cabaran seorang pelaut itu terdapat tiga fasa. Fasa pertama ketika bujang, kedua ketika kahwin, ketiga adalah fasa yang paling mencabar iatu ketika sudah mempunyai anak-anak.
Bagi saya yang sudah berkahwin dan mempunyai dua anak, meninggalkan keluarga untuk berlayar merupakan cabaran yang paling besar untuk saya hadapi. Kesenangan yang dikurniakan itu dibayar sewaktu bersama keluarga.
Ramai yang melihat saya mempunyai kehidupan yang senang dengan pekerjaan ini tetapi hakikatnya mereka tidak tahu apa yang dilalui. Doa orang sekeliling amat penting bagi saya untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai pelaut dengan tabah dan kuat.
Apakah risiko yang dihadapi?
Ombak besar dan ribut di tengah lautan adalah perkara biasa namun itulah risiko paling kerap saya hadapi. Berlayar di lautan yang luas merupakan sesuatu perkara yang memerlukan kemahiran supaya tiada kemalangan berlaku di tengah laut.
Sekecil skru kapal yang tercabut pun saya perlu ambil perhatian bagi memastikan aspek keselamatan kapal berada di tahap yang tinggi. Malah, ketika berada di pelabuhan. Kemahiran sekali lagi diperlukan untuk memastikan barangan diterima dalam keadaan baik dan selamat.
Apakah skop tugas anda sebagai pelaut?
Selaku pegawai navigasi 2, tugasan saya lebih kepada perancangan laluan laut. Di sini saya ingin berkongsi sedikit, sungguh pun pada masa ini saya menggunakan teknologi yang dipanggil sistem carta paparan elektronik (Electronic Chart Display) ketika membuat laluan laut, saya juga diajar untuk membuat laluan sacara manual menggunakan peta dan alat tulis yang lain.
Kita tidak tahu apa yang boleh terjadi semasa menggunakan alat yang bersumberkan elektrik. Bekalan elektrik boleh terputus sewaktu kemalangan.
-2.jpg)
Apakah sasaran tertinggi anda ingin capai sebagai seorang pelaut?
Sudah pasti saya menyasarkan untuk menjadi ketua atau kapten kapal dagang pada masa akan datang dan selepas itu kembali ke darat untuk mencari cabaran baru atau menjadi pensyarah di ALAM sahaja.
Nasihat kepada yang berminat untuk menjadi seorang pelaut?
Nasihat saya senang sahaja, pelaut ini merupakan satu kerjaya yang bagus, penuh cabaran dan memerlukan kekuatan mental yang kuat. Jangan hanya fikir pendapatan yang diterima sahaja kerana perlu dingatkan, setiap ganjaran ada ‘bayaran’ serta pengorbanannya. - Getaran, 17 November 2021
Gambar: Muhammad Izzat Ramlan