KUALA LUMPUR - Kerjaya sebagai pereka grafik ketika ini banyak dipandang enteng segelintir masyarakat Malaysia, yang menganggap pekerjaan terbabit tidak memberi sebarang manfaat atau menjamin masa depan.
Malah, kita juga sudah terbiasa memberi bayaran murah kepada pereka, kerana dipengaruhi persepsi bahawa menghasilkan sesuatu rekaan itu adalah perkara yang mudah.
“Jangan ingat kerja ini senang kerana hasil rekaan perlu mempunyai nilai estetik, dekoratif dan nilai komersial.”
Mengakui perkara itu, Pereka Grafik Bebas, Ahmad Adib Akmal Ahmad Najib, 29, berkata, tugas dan fungsi pereka grafik amat luas kerana semua rekaan dihasilkan melalui pelbagai peringkat, malah mereka bertanggungjawab dalam menentukan kelancaran perjalanan proses rekaan (design process) mengikut kehendak pelanggan.
Menurut beliau, proses rekaan akan bermula dari peringkat kajian atau pengumpulan data, lakaran perkembangan idea, rekaan digital dan percetakan atau penerbitan yang memerlukan sentuhan kreativiti serta nilai artistik untuk menghasilkan rekaan berkenaan.
“Kerja rekaan ni bukan perkara mudah dan bukan untuk nampak cantik sahaja. Malah, ia merupakan sebuah struktur keseluruhan sesuatu bisnes yang ingin dibina.
“Dari logo, produk, laman web dan sebagainya, tugasan kami adalah untuk mereka bentuk kesemua ini dari idea atas kertas sehingga menjadi realiti dan digunakan oleh orang ramai.
“Jangan ingat kerja ini senang kerana hasil rekaan perlu mempunyai nilai estetik, dekoratif dan nilai komersial.
“Nak buat website yang betul-betul berkesan kena mula dari rekaan konsep dahulu, tak boleh terus buat. Nak buat produk atau logo perlukan reka bentuk juga sebelum ia boleh dihasilkan,” katanya ketika ditemui Getaran di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Adib menegaskan, harga rekaan menjadi mahal disebabkan pereka grafik terlibat secara langsung dalam menghasilkan visual yang sesuai sama ada ilustrasi, gambar, logo dan sebagainya untuk menyampaikan mesej dalam bahan komunikasi seperti pengiklanan, laman web, serta pembungkusan produk.
Selain dari menghasilkan konsep rekaan mengikut kehendak pelanggan, beliau juga menegaskan, pereka turut bertanggungjawab dalam susun atur serta format setiap rekaan yang dihasilkan, di samping berperanan sebagai penasihat rekaan bagi menjadikan ia berkualiti dan menepati spesifikasi seperti dipersetujui.
“Persepsi orang Malaysia, rekaan kita cantik, jualan kita cantik. Rekaan bukan untuk dijual kerana kalau dari segi rekaan produk cantik namun pemasaran tak bagus, tetap tidak menjadi juga. Rekaan ini ibarat sebuah baju namun perlu dicorakkan sehingga orang mengenali baju kita itu.
“Justeru, hasil kerja pereka grafik serta tugas mereka perlu dihargai kerana mereka yang design semua bahan komunikasi bermutu tinggi yang ada pada sekeliling anda.
“Tanpa semua bahan tersebut, keadaan akan makin susah kerana tiada mesej disampaikan untuk pengetahuan umum,” katanya.
Berkongsi detik bermulanya minat dalam kerjaya itu, Ahmad Adib berkata, ia timbul ketika di bangku sekolah dan dia menjadikan kartunis legenda, Datuk Mohammad Nor Khalid atau lebih dikenali sebagai Datuk Lat sebagai idola.
“Datuk Lat membuka mata saya bagaimana grafik itu boleh dijadikan sebagai idola dan saya juga banyak belajar menerusi laman web The Futur, untuk menjual hasil seni dan belajar bahawa sesuatu rekaan itu bukan hanya sekadar untuk cantik sahaja.
Lebih membanggakan, beliau kini sudah menerima banyak tempahan daripada pelanggan luar negara yang menghargai kualiti rekaan dihasilkan.

“Untuk dapatkan pelanggan dari luar, saya menggunakan Upwork atau Fiver, yang pernah diketengahkan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) melalui Program Global Online Workforce (GLOW) untuk mengajar pekerja bebas atau freelancer, dan membantu saya menjana pendapatan bagi mendapatkan pelanggan di peringkat antarabangsa,” katanya.
Ahmad Adib menegaskan, pereka grafik perlu membuka mata untuk belajar dan tidak malu mendalami industri rekaan, di samping sentiasa merujuk kepada individu yang telah menempa nama dalam bidang berkenaan bagi mendapatkan bayaran lumayan.
Pada masa sama beliau berkata, mereka juga perlu bertegas bagi menetapkan harga yang tidak terlalu rendah kepada pelanggan demi menjaga kualiti rekaan dan nama baik pereka grafik.
“Bila murah itulah membunuh harga pasaran pereka sendiri. Saya memahami kita buat apa sahaja untuk hidup namun kena tetapkan harga, jangan rendah sangat supaya pelanggan boleh faham betapa kompleks proses mereka itu dan kita sudah pasti tidak akan buat kerja separuh jalan.
“Saya nasihatkan khususnya buat mereka yang mahu menceburi bidang ini, jangan pernah berhenti buat kajian, adakah mereka nak berada di paras selamat atau boleh ceburi pelbagai jenis bidang rekaan kerana industri ini sangat luas,” katanya. - Getaran, 10 November 2021.