Berita Terkini

2 hari yang lalu: Hafizul Hawari yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak di KLIA Terminal 1 pada 14 April lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pagi tadi terhadap 7 pertuduhan 3 hari yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut 1 minggu yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 2 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 2 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok.

IKUTI KAMI


“Nak Jadi Jurusolek Selebriti Perlu Ada Ilmu” - El Manda Zuhairy

Kerjaya sebagai jurusolek semakin menjadi pilihan. Namun bukan semua yang bertuah untuk menjadi jurusolek selebriti.

Karier Dikemaskini 2 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 20 Oct 2021 12:53PM

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Wajah yang pucat dan kusam boleh berubah menjadi bermaya dan jelita hanya dengan sentuhan jemari magis jurusolek atau kini lebih dikenali sebagai MUA (Make-up Artist). 

Kerjaya sebagai jurusolek kini semakin menjadi pilihan kerana mampu mendatangkan pendapatan lumayan. Dengan adanya platform media sosial, jurusolek kini juga mampu menjadi popular sebaris selebriti ternama.

Dalam dunia kecantikan, fesyen dan hiburan, khidmat jurusolek sama pentingnya dengan yang lain. Wajah Jennifer Lopez misalannya tidak akan kelihatan jelita dan bercahaya jika tidak ditatarias oleh jurusolek profesional. Begitu juga dengan Kim Kardashian yang memiliki jurusolek peribadinya sendiri untuk sentiasa kelihatan jelita.

Seiring peredaran zaman, jurusolek yang dulunya digelar Mak Andam dan hanya berkhidmat di majlis perkahwinan kini mampu berdiri megah sebagai usahawan bergelar jutawan dek hasil keringat jemari menata rias wajah pelanggan.

Lihat saja bagaimana figura seperti MUA Bella dan Datuk Alha Alfa yang berjaya membina empayar mereka dan mengumpul jutaan pengikut di media sosial biarpun bermula dari rumah pengantin di ceruk kampung sahaja.

MUA Bella dan Datuk Alha Alfa
MUA Bella dan Datuk Alha Alfa

Hari ini, jurusolek baru muncul setiap hari bagaikan cendawan yang tumbuh selepas hujan. Namun tidak semua berpeluang menata rias wajah selebriti dan individu ternama. Hanya yang benar-benar bekerja keras dan mempunyai skil luar biasa, bisa mengoles berus solek mereka di wajah mulus bintang ternama. 

Getaran berpeluang berbicara bersama jurusolek selebriti yang semakin meningkat naik iaitu El Manda Zuhairy untuk mengetahui lebih lanjut tentang perjalanan kerjaya seorang jurusolek yang cuba menapak dalam industri solekan Malaysia. 

El Manda Zuhairy
El Manda Zuhairy

Menurut wanita berusia 34 tahun ini, minatnya untuk menyolek wajah orang lain bermula sewaktu dia sedang melanjutkan pelajaran di peringkat universiti dan sering menyolek wajah rakan-rakannya.

“Dulu sewaktu di universiti, jika ada kawan-kawan yang mahu hadiri sebarang acara, sayalah yang akan menyiapkan mereka. Bermula dari situ saya mempunyai keberanian untuk menata rias wajah orang. Biarpun minat dengan dunia solekan ini bermula dari zaman muda, tetapi ketika itu masih belum berani untuk menyentuh wajah orang lain. 

“Bila mereka puji hasil solekan saya, dalam hati saya berkata ‘eh aku boleh make-up rupanya’. Selama ini saya memang minat seni. Saya pandai melukis dan mewarna. Tapi saya tak sangka saya dapat adaptasi karya seni di atas kertas lukisan kepada wajah seseorang,” kongsinya. 

Namun kata ibu kepada seorang anak lelaki berusia 13 tahun ini, titik tolak kerjayanya sebagai jurusolek bermula apabila suaminya sendiri yang mencadangkan supaya dia menyertai kelas asas solekan bersama seorang jurusolek selebriti. 

“Dari situlah saya belajar teknik asas solekan sehingga ke tahap yang lebih tinggi. Tidak berhenti di situ saya turut menimba ilmu dengan jurusolek selebriti yang lain termasuklah dari luar negara,” ujarnya. 

Selain daripada menuntut ilmu solekan dengan jurusolek profesional, Manda turut mencabar diri dengan menyertai pertandingan solekan yang dianjurkan dalam dan luar negara, antaranya Malaysian Make Up Artist Award 2019.

Antara wajah-wajah popular yang pernah mendapat sentuhannya adalah Sharifah Sakinah, Jasmine Suraya, Daiyan Trisha, Mawar Rashid, Whulandary, Intan Najuwa, Sissy Iman, Izreen Azminda, Azharina, Hafiz Suib, Amir Masdi, Bront Palarae dan ramai lagi.

Insert Photo : Antara selebriti yang pernah disolek Manda
Insert Photo : Antara selebriti yang pernah disolek Manda

Setiap jurusolek terutamanya yang sedang meningkat naik semestinya mempunyai wajah impian mereka untuk disolek. Begitu juga dengan Manda yang mengimpikan untuk menata rias wajah selebriti popular, Scha Al Yahya serta kerabat diraja Malaysia. 

“Teringin juga nak menata rias wajah Tuanku Permaisuri kita dan juga puteri-puteri baginda,” kongsinya yang menjadikan jurusolek terkenal, Khir Khalid sebagai idola.

Bergelar seorang isteri dan ibu, kadangkala waktu yang ada agak terbatas. Namun kata Manda dia perlu bijak membahagikan masa di antara keluarga dan kerjaya yang dicintainya.

Ditanya pernahkah hasil solekannya dicemuh ataupun tidak disukai oleh pelanggan, kata Manda dia belum pernah dicemuh atas hasil tangannya.

“Dicemuh itu tak pernah tetapi ditegur tu ada. Tapi kita belajar daripada kesilapan untuk memperbaiki hasil kerja kita di masa hadapan,” katanya.

Bagaikan menjadi trend, kebanyakan jurusolek selebriti di Malaysia kini semakin rancak mengeluarkan produk kecantikan jenama sendiri. Antara nama-nama terkenal yang berjaya mengeluarkan kosmetik jenama sendiri adalah Alha Alfa, Syed Dewa, Syed Faisal, Sheila Mohamad, Nuex Rosli dan ramai lagi.

Impian itu juga tersemat di hati Manda untuk mempunyai label kosmetiknya sendiri, namun kata Manda semuanya perlukan perancangan rapi serta ilmu dalam bidang perniagaan kosmetik.

Setiap hasil karya seni pasti ada nilainya yang tersendiri. Jika tidak, masakan hasil lukisan pelukis terkenal bisa mencecah harga jutaan ringgit. Begitu juga dengan hasil karya jurusolek. Jika nama sudah kukuh dan punya hasil karya yang mengagumkan, hasil pulangannya juga sudah pasti lumayan. Hal ini turut dipersetujui oleh Manda.

“Dengan hasil kerja yang bagus, karya seni yang bernilai serta berada di saluran yang betul, Insha-Allah pasti boleh meraih pendapatan yang lumayan,” katanya.

Antara kenangan manis yang tidak dapat dilupakan Manda sepanjang bergelar jurusolek selebriti adalah apabila hasil kerja keras dihargai oleh pelanggan. 

“Salah satu kenangan manis adalah apabila berpeluang bekerja bersama penyanyi, Hafiz Suib selama tiga bulan untuk rancangan ‘Mentor’. Habis sahaja projek itu, Hafiz bawa kami yang bekerja dengannya bercuti di luar negara. Saya rasa bersyukur bila ada orang yang menghargai kerja kita. Selain bekerja, kita juga dapat jalinkan hubungan baik dengan pelanggan ibarat sebuah keluarga,” kongsinya.

Manda juga tidak lokek untuk berkongsi ilmu dengan mereka yang menanam impian untuk bergelar jurusolek selebriti dan sering memberikan tip-tip yang berguna.

Kongsi Manda, setiap jurusolek perlu mempunyai ilmu asas solekan termasuklah memahami tentang bentuk muka, jenis kulit dan warna kulit.

“Bukan semua jenis kulit dan bentuk muka boleh menerima sesuatu jenis solekan. Perlu fahami dulu semua ini agar tidak tersalah solek di kemudian hari. 

“Untuk bergelar jurusolek professional juga kita perlu mempunyai peribadi yang baik. Cara kita bertutur dengan pelanggan, tidak boleh terlalu ikut emosi kerana pelanggan ini kadang-kadang kita tidak tahu ragamnya seperti apa. 

“Jika kita rasa permintaan pelanggan itu tidak kena dengan wajahnya, kita perlu terangkan dengan baik kenapa permintaanya itu tidak sesuai.”

Selain itu, ujar Manda, setiap jurusolek perlu mempunyai hubungan yang baik dengan orang sekeliling yang bakal bekerja dengan mereka, seperti penata gaya, pendandan rambut, jurugambar dan model itu sendiri supaya setiap kerja menjadi lebih mudah tanpa ada salah faham. 

“Paling penting, kena ada rasa untuk sentiasa nak belajar dan majukan diri. Kena sentiasa menerima teguran dan memberi pandangan. Kalau ada orang minta tolong ajar, jangan kedekut ilmu. Lagi banyak kita kongsi, lagi banyak yang Allah akan bagi pada kita,” katanya mengakhiri perbualan. - Getaran, 20 Oktober 2021

Gambar: Instagram & Facebook El Manda

Berita Berkaitan

1

Selebriti 6 jam yang lalu

Ruhainies Mohon Maaf Pada Bella Astillah, Ajak Jumpa Untuk Selesai Masalah

2

Seni & Hiburan 1 minggu yang lalu

"Saya Dah Jumpa Pilihan Yang Paling Tepat, Ibu Saya Sayang Dan Anggap Dia Seperti Anak" - Zul Ariffin

3

Selebriti 1 minggu yang lalu

Datuk Red Sedang Usaha Untuk Langsaikan Hutang Sebanyak RM7 Juta, Akui Pernah Jadi ‘Scammer’

4

Selebriti 1 minggu yang lalu

Muatnaik Foto Raya Bersama, Netizen 'Approved' Syed Saddiq Dan Bella Astillah

Sorotan

1

5 Laluan Ditutup Sementara Sempena Hari Penamaan Calon PRK KKB Esok

2

Misi Pelayaran Ke Gaza Ditangguhkan Berikutan Tekanan Rejim Zionis - FFC

3

Pemangku Ketua Bahagian BERSATU  Calon PN Untuk PRK KKB

4

Najib Tak Pernah Arah Pengurusan 1MDB Pindah US$1.03 Bilion Kepada Syarikat Jho Low – Saksi

5

Keperluan Teliti SOP Latihan Udara Bergantung Laporan Siasatan – Khaled

6

Norjuma Didakwa Cederakan 3 Individu, Berbuat Khianat

7

Pengebumian Joanna Diiringi Tangisan Anaknya

Disyorkan untuk anda

Ekonomi 2 jam yang lalu

Tesla Turunkan Harga 2 Model EV Mulai Hari Ini