Berita Terkini

2 hari yang lalu: Hafizul Hawari yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak di KLIA Terminal 1 pada 14 April lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pagi tadi terhadap 7 pertuduhan 3 hari yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut 1 minggu yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 2 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 2 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok.

IKUTI KAMI


Kerjaya Pilihan: Komposer Atau Pencipta Lagu

Kami mendekati komposer terkenal Sharon Paul untuk mengetahui apa sebenarnya pekerjaan mereka yang bergelar komposer atau pencipta lagu.

Karier Dikemaskini 2 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 06 Oct 2021 2:40PM

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Tanpa mereka sesebuah lagu tidak mungkin terhasil kerana merekalah asas paling penting dalam penciptaan sesebuah karya muzik.

Kini dipanggil komposer, mereka juga kerap disapa sebagai pencipta atau penggubah lagu. Menyulam melodi dan irama sebelum dilagukan oleh para penyanyi  atau sebelum dimainkan dalam iklan TV dan karya filem, merupakan sebahagian pekerjaan mereka yang paling utama. 

Namun di sebalik proses mencipta sesebuah lagu atau karya muzik, pasti ramai tidak tahu lingkungan cara mereka bekerja. Adakah ia suatu kerjaya yang stabil dan bagaimana pula dengan jumlah pendapatan diraih hasil daripada mencipta lagu? Adakah ia benar-benar seglamor seperti yang ramai sangkakan?

Untuk menjawab segala kemusykilan ini, kami tampilkan Sharon Paul, salah seorang komposer tersohor industri muzik Malaysia. Beliau pernah memenangi tempat ketiga dalam pertandingan Anugerah Juara Lagu ke-33 pada 2019, lewat karya ciptaannya yang berjudul ‘Sampai Bila’ nyanyian Misha Omar.

Sudah berapa lama anda menjadi pencipta atau komposer lagu? 

Kalau secara tidak rasmi dari muda lagi. Menurut ayah, saya sudah mencipta lagu sejak kecil. Kalau secara rasmi selepas selesai pengajian di kolej semasa berumur 21 atau 22 tahun. Lebih tepat selepas saya pulang ke Malaysia (selesai pengajian di Amerika Syarikat) sekitar 1999 atau 2000.  

Apakah kriteria yg diperlukan untuk menjadi seorang komposer atau pencipta lagu?

Terdapat pelbagai jenis komposer atau pencipta lagu. Ada komposer yang menghasilkan skor filem ada yang membuat lagu iklan dan ada yang mencipta lagu untuk penyanyi. Secara umum pada saya (secara peribadi) seseorang komposer sekurang-kurangnya harus mempunyai gred 3 dalam pengajian teori muzik, boleh bermain instrumen seperti piano atau gitar (salah satu dari instrumen harmoni) dan satu lagi mempunyai cita rasa muzik. Bagaimanapun ini perlu disemai sepanjang waktu. Ia hanya boleh dikecapi dengan mendengar muzik dari era lama hingga sekarang (seawal era 50-an dan sebagainya). Perlu juga mengetahui sedikit sejarah muzik untuk mengembangkan cita rasa sendiri dan mengetahui apa yang sedang hangat serta cara-cara untuk lebih berinovasi.

Sharon bersama Datuk Siti Nurhaliza
Sharon bersama Datuk Siti Nurhaliza

Apakah kelebihan dan kekurangan bekerja sebagai komposer atau pencipta lagu?

Ada beberapa kekurangan. Antaranya, kami tidak berhenti bekerja. Tiada istilah 9 pagi hingga 5 petang. Bila ada ilham kami bekerja tanpa batas. Kadang-kadang ia berlarutan sampai tengah malam atau subuh jadi jadual kerja kami agak huru-hara. Kami juga harus selalu kemas kini pengetahuan tentang trend muzik serta perlu banyak mengeluarkan perbelanjaan untuk perisian muzik dalam komputer kerana ada sahaja perkembangan atau teknologi baru untuk penerbitan muzik.

Kalau soal kelebihan sudah tentulah ia kerjaya yang memuaskan apabila mendapat pengiktirafan bukan sahaja melalui anugerah dan seumpamanya tetapi saat muzik anda diterima oleh peminat tempatan dan antarabangsa. Muzik juga satu terapi buat kami dan sering dianggap terapeutik untuk membantu menenangkan diri.

Apakah pengalaman paling manis dan pahit sepanjang bergelar pencipta lagu?

Paling manis buat saya adalah apabila mendengar karya saya dimainkan oleh sebuah orkestra besar, mendengar mainan instrumen secara langsung dengan alunan lagu saya sendiri. Ia sangat memuaskan hati.

Paling pahit pula saya rasa tiada, sebab setiap halangan adalah pengajaran. Saya pernah berhenti dari muzik selama tiga tahun kerana sibuk menyekolahkan anak-anak saya secara peribadi di rumah (homeschooling). Dalam kerjaya muzik saya, itu boleh dianggap titik yang mengecewakan tetapi bukanlah pahit. Saya anggap babak itu sebagai  satu pengalaman yang perlu saya lewati demi menjadi seorang komposer dan insan yang lebih baik untuk masa depan. Selepas tiga tahun yang sukar itu saya sempat lahirkan sebuah lagu buat Amir Masdi dan tahun berikutnya terciptalah 'Sampai Bila' untuk Misha Omar. Jadi tiada yang pahit, ia hanyalah fasa untuk menjadikan saya lebih kuat.

Sharon dan anaknya.
Sharon dan anaknya.

Apakah rutin anda sebagai  pencipta lagu?

Biasanya saya akan periksa emel sebaik sahaja masuk ke pejabat dan menjawab semua emel. Saya uruskan dulu hal berkaitan perniagaan kerana kini saya ada syarikat rakaman sendiri iaitu Werkit Records. Kemudian saya ‘bersihkan’ fail komputer dengan memadam fail-fail audio yang tidak diperlukan lagi kemudian mula proses susunan serta memprogram lagu. Untuk mencipta lagu saya biasa lakukan semasa bersendirian atau waktu petang hingga malam. Kalau waktu siang susah untuk mencipta lagu kerana sukar fokus gara-gara terlalu banyak hal dan gangguan. Jadi waktu pejabat saya peruntukan untuk penerbitan, pemprograman dan penyusunan lagu buat  rakaman. Penciptaan lagu hanya di waktu bersendirian.

Menurut anda bidang pengajian apa yang diperlukan jika hendak menjadi pencipta lagu atau komposer?

Sebenarnya ijazah dalam muzik tidak wajib tetapi sudah tentu ia sangat membantu. Saya sendiri masih mengajar muzik jadi saya tahu situasi sebenar. Adakah berbaloi buat ibu bapa menghabiskan ratusan ribu ringgit demi pengajian anak di bidang muzik dan kemudian menjadi pemuzik yang sukar bertahan sedangkan ada yang hanya belajar dari seorang mentor berpengalaman dan berjaya. Setiap individu berlainan. Ia bergantung pada bakat, kemahiran, disiplin dan sikap seseorang. Segulung ijazah kedoktoran dalam bidang muzik tidak menjamin seseorang mampu menerbitkan lagu yang baik atau ada cita rasa muzik yang bagus. Semuanya bergantung pada individu.

Sharon banyak menghabiskan masa di studionya
Sharon banyak menghabiskan masa di studionya

Bagaimana pula dengan kelulusan akademik anda? 

Saya datang dari generasi lama yang sangat pentingkan kelulusan akademik. Jadi selepas tamat tingkatan lima saya sambung pengajian selama dua tahun dan mendapat Diploma Penerbitan Muzik dari Ocean Institute of Audio Technology. Kemudian saya sambung pengajian di Berklee College of Music di Boston, Massachusetts, Amerika Syarikat. Di situ saya mendapat ijazah dalam bidang muzik dengan pengkhususan penerbitan skor filem serta sintesis muzik.  Saya juga pernah memenangi pelbagai pertandingan muzik anjuran Festival Organ Technics semasa di bangku sekolah. Saya sudah berkali-kali mewakili Malaysia dalam festival organ di luar negara dan selesai gred 8 dalam kursus piano serta teori muzik. Saya juga mempunyai sijil persembahan ABRSM (Badan Peperiksaan Royal Schools of Music) yang merupakan satu tahap lebih tinggi dari gred 8 sukatan pelajaran ABRSM.

Pasti ramai yang ingin tahu adakah pendapatan sebagai seorang pencipta lagu mencukupi dan berbaloi?

Ya, anda boleh meraih laba yang besar namun perlu kerja keras dan berdisiplin. Seorang komposer tidak boleh kekal di takuk lama dan perlu sentiasa bergerak ubah, berevolusi. Anda tidak boleh bergelar komposer sahaja dan hanya mahu bermain satu instrumen atau alat muzik. Zaman sekarang pemuzik perlu ada sekurang-kurangnya dua kemahiran sama ada sebagai ‘sessionist’ atau pemuzik undangan, jurutera audio, penerbit dan sebagainya. Untuk pengetahuan anda semasa Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan, suami saya yang bekerja di bidang penerbitan TV tidak dapat bekerja kerana penggambaran tidak dapat dilakukan. Namun berkat kemahiran saya sebagai penyusun lagu, komposer, dan penerbit saya mampu menyara keluarga. Malah hubungan dengan rakan kerja antarabangsa membuka peluang pekerjaan lain buat saya. Apatah lagi saya boleh bekerja dari rumah. Jadi harus ada lebih dari satu kemahiran sebagai pemuzik untuk berjaya.

Sejujurnya industri muzik ini susah untuk ditembusi pada zaman sekarang. Saingan sangat sengit. Semua orang boleh bergelar pemuzik dengan adanya mikrofon dan komputer di bilik masing-masing.  

Pesanan buat mereka yang ingin bekerja sebagai pencipta lagu atau komposer.

Sejujurnya ia industri yang sukar ditembusi dan anda harus terus mencuba. Seseorang pernah memberitahu saya dalam setiap seratus lagu yang kita hasilkan mungkin satu akan hit, jadi kita perlu gigih untuk hasilkan yang 99 itu dahulu. Sementara itu jangan jadikan ia kerjaya sepenuh masa dari awal. Jadikan ia hobi sampingan dahulu sementara hendak membina nama dalam industri. Selepas sudah ada latar belakang yang kukuh dalam muzik barulah teruskan dengan melakukan kolaborasi dengan nama yang lebih senior. Itu cara terbaik. 

Semua gambar: Sharon Paul

Berita Berkaitan

1

Muzik 13 jam yang lalu

ONEUS Pun Terikut Trend Lagu Alamak Raya

2

Muzik 2 minggu yang lalu

'Cinta Tak Mungkin' Hadiah Raya Siti Nurhaliza

3

Muzik 1 bulan yang lalu

Ria Ramadan, Kolaborasi Unik Kumpulan Venus dan UNIC 

4

Muzik 4 bulan yang lalu

Tiket Konsert Siti Nurhaliza Licin Dijual Dalam Masa 2 Jam

Sorotan

1

Anak MB Perlis, 4 Yang Lain Dilepas Dengan Jaminan SPRM

2

Pemilik Stesen Minyak Diminta Lapor KPDN Jika Diancam Sindiket

3

Najib Diberi Peluang Jelaskan Mengenai Dokumen 1MDB Ketika Disoal Siasat - Pegawai SPRM

4

Elak Ketirisan, Perkukuh Tatakelola, Boleh Beri Upah Lumayan Kepada Pekerja - PM

5

5 Laluan Ditutup Sementara Sempena Hari Penamaan Calon PRK KKB Esok

6

Misi Pelayaran Ke Gaza Ditangguhkan Berikutan Tekanan Rejim Zionis - FFC

7

Najib Tak Pernah Arah Pengurusan 1MDB Pindah US$1.03 Bilion Kepada Syarikat Jho Low – Saksi

Disyorkan untuk anda

Ekonomi 13 jam yang lalu

Tesla Turunkan Harga 2 Model EV Mulai Hari Ini