web statsweb stats

Berita Terkini

6 hari yang lalu: PRN Negeri Sembilan: Hari pencalonan 18 Julai, undi awal 28 Julai dan hari mengundi 1 Ogos - SPR 6 hari yang lalu: PRN Johor: Hari pencalonan 27 Jun, undi awal 7 Julai dan hari mengundi 11 Julai - SPR 5 bulan yang lalu: Najib Razak dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.4 bilion untuk kesemua 25 pertuduhan 6 bulan yang lalu: Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin disahkan meninggal dunia 7 bulan yang lalu: Ismanira Abdul Manaf, ibu kepada kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan didapati bersalah atas tuduhan pengabaian anak hari ini

IKUTI KAMI


Pakcik Om Semai Semangat Cintakan Negara Menerusi Koleksi Barang Antik, Foto Lama

Jelajah Dikemaskini 2 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 14 Sep 2023 1:51PM

Sebahagian daripada koleksi milik Pakcik Om yang dipamerkan di Rumah Khazanah USBA. - gambar BERNAMA

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

TAWAU - Sebuah rumah kayu di Kampung Batu Payung di sini nampak seperti rumah biasa, namun kediaman milik Sabturani Angsa itu menjadi tarikan ramai termasuk pelancong luar negara, apabila menempatkan pelbagai koleksi antik dari 1924 hingga 1990 serta foto-foto sejarah daerah ini.

Sabturani, 75, atau mesra dipanggil Pakcik Om berkata koleksi, antaranya hasil sumbangan keluarga, kawan dan penduduk kampung itu, mempunyai cerita tersendiri selain menjadi bahan didik terutama untuk anak muda tentang warisan serta sejarah, sekali gus menyemai semangat cintakan negara.

Katanya terdapat lebih 50 koleksi barangan antaranya signal rumah api dari 1924, basikal lumba Raleigh (1950), lampu sorot British Bullfinch (1950), seterika tembaga, pengisar kopi, kipas tahun 1941, alat telefon sebelum Perang Dunia Kedua, selain foto termasuk foto tentera Jepun menyerah diri kepada tentera Bersekutu (1945) dan menaiki kapal pulang ke negara asal.

"Ini hobi saya sejak muda lagi, orang lama boleh imbau kembali zaman dahulu apabila melihat barang antik, foto lama dan generasi kini pula boleh melihat, menyentuh dan mendengar cerita, sejarah mengenai koleksi antik atau foto yang terdapat di rumah ini.

“Kalau bercakap saja mungkin orang kurang percaya, tetapi kalau ada koleksi seperti di rumah ini, ada bukti. Inilah sumbangan yang saya dapat lakukan untuk negara kita Malaysia, menyimpan sejarah sebuah negara untuk tatapan dan pengetahuan generasi seterusnya,” katanya kepada Bernama.

Menurutnya, rumah dikenali dengan nama Rumah Khazanah USBA, yang membawa maksud Usaha Sabturani Bin Angsa itu dikunjungi lebih 2,000 pelancong dalam dan luar negara seperti Jepun, Thailand, Taiwan, Canada dan Amerika Syarikat sejak dibuka kepada orang ramai pada 2013.

Beliau berkata koleksi foto bersejarah dipaparkan di rumah itu turut membuktikan keberadaan Jepun di Tawau serta memberi jawapan kepada kewujudan nama-nama jalan seperti Kabota, Kuhara, Yamamoto, Takada di daerah itu.

"Mudah-mudahan rumah khazanah ini mampu mengumpulkan seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama ke sini untuk menyemai rasa cinta, mengenali Tawau, jangan ada rasa perkauman," katanya.

Pakcik Om menunjukkan foto sejarah kependudukan Jepun di Sabah yang disimpan dalam koleksinya. - gambar BERNAMA
Pakcik Om menunjukkan foto sejarah kependudukan Jepun di Sabah yang disimpan dalam koleksinya. - gambar BERNAMA

Selain Rumah Khazanah USBA, Pakcik Om berkata Kampung Batu Payung mempunyai potensi pelancongan kerana mempunyai keunikan tersendiri seperti terdapat bongkah besar batu yang menyerupai katak, penyu, ikan yu, gajah dan singa.

Bercerita mengenai Hari Malaysia, Pakcik Om menyifatkan tarikh 16 Sept 1963 sebagai satu kebanggaan apabila pelbagai cabaran ditempuhi generasi terdahulu bagi menjadikan Malaysia seperti yang ada pada hari ini.

"Pada malam itu (pengisytiharan pembentukan Malaysia), saya sungguh teruja sekali, bersama abang menaiki bas dari Batu Payung yang dipandu pakcik saya ke Padang Bandaran Tawau, sungguh meriah, beribu-ribu orang,” katanya.

Menurutnya kemeriahan orang ramai dalam memorinya itu amat mirip dengan suasana pada  keberangkatan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ke Tawau dalam Kembara Kenali Borneo.

“Seri Paduka berdua disambut seperti pertama kali sambutan pembentukan Malaysia di Tawau, amat teruja rakyat kita,” katanya.

Ketika diminta menyampaikan pesanan kepada generasi muda masa ini, beliau menghela nafas panjang sambil berkata semua pihak berperanan penting menjaga keamanan dan kesejahteraan hidup di Sabah serta mengelak menimbulkan isu sensitif yang boleh mengakibatkan pertingkahan serta ketidakstabilan sosial.

"Cukuplah merasai hidup dalam ketakutan sewaktu Konfrontasi Indonesia dan perintah berkurung, keluar rumah dianggap musuh dan boleh ditembak askar upahan Gurkha. Keamanan itu mahal. Generasi muda harus faham itu semua bagi mewarisi negara kita Malaysia ini," katanya. - BERNAMA

Sorotan

1

Jurujual Mengaku Salah Tetak Penunggang Motosikal Di Lebuh Raya Persekutuan

2

Onn Hafiz Dijangka Pertahan Kerusi Machap, Kekal Fokus Bangunkan Johor

3

Rombakan Barisan Pemimpin PN: Azmin Ali, Radzi Jidin Gugur Daripada Senarai 

4

CEO Perbadanan Stadium Malaysia Didakwa Minta, Terima Rasuah RM1.45 Juta

5

PRN Johor: Calon Dipilih Berdasarkan Khidmat Terbaik - Onn Hafiz 

6

Memacu Masa Depan Lestari: Transformasi Tenaga Dan Aspirasi Sifar Bersih Malayssia