Berita Terkini

1 minggu yang lalu: Hafizul Hawari yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak di KLIA Terminal 1 pada 14 April lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pagi tadi terhadap 7 pertuduhan 1 minggu yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut 2 minggu yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 2 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 3 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok.

IKUTI KAMI


Perayaan Kuih Bulan Di ‘Kwai Chai Hong’ Dirai Pelbagai Kaum Dan Pelancong

Jelajah Dikemaskini 7 bulan yang lalu · Diterbitkan pada 11 Sep 2023 4:26PM

'Kwai Chai Hong' atau 'Lorong Hantu Kecil' dalam dialek Kantonis meriah dengan hiasan menjelang perayaan Tahun Baharu Cina dan Perayaan Kuih Bulan sejak lima tahun lepas. - gambar BERNAMA

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

KUALA LUMPUR - Sejak lima tahun lalu, saban menjelang perayaan Tahun Baharu Cina dan Perayaan Kuih Bulan, 'Kwai Chai Hong' dalam bahasa Kantonis yang bermaksud 'Lorong Hantu Kecil' pasti meriah, dihiasi dengan pelbagai tarikan.

Sesiapa sahaja yang berkunjung ke lorong ini, terutama generasi muda, pasti akan terpukau dengan suasana retro seperti kembali ke zaman 1960-an, dengan barisan mural di dinding batu konkrit diserikan dengan jambatan kayu, menggambarkan kehidupan zaman itu.

Suasana itulah yang menyambut kedatangan penulis dan rakan media yang lain serta beberapa orang pempengaruh yang berpeluang menjejakkan kaki ke lorong yang terletak di antara Lorong Panggung dan Jalan Petaling, Kuala Lumpur, pada 23 Ogos lepas,

Pada hari itu berlangsung perasmian pameran seni Perayaan Kuih Bulan bertemakan 'Moonlit Dragon' yang menggabungkan tema naga dan bulan purnama penuh atas jemputan Bai Chuan Management Sdn Bhd (Bai Chuan), syarikat yang menguruskan projek mengindahkan semula 'Kwai Chai Hong' sepanjang 36 meter sejak tahun 2019.

Perayaan Kuih Bulan atau 'Mid-Autumn Festival' adalah salah satu perayaan terpenting bagi masyarakat Cina selain Tahun Baharu Cina, yang membawa makna 'perjumpaan semula' atau 'reunion'.  Ia disambut pada hari ke-15 bulan kelapan kalendar masyarakat Cina dan untuk tahun 2023 ini, ia jatuh pada 29 September.

TERPEGUN DENGAN NAGA BERLAMPU

Deretan piring berwarna putih diperbuat daripada plastik tergantung di bahagian atas pintu gerbang, sesekali mengeluarkan bunyi seperti loceng apabila ditiup angin antara yang menarik perhatian pengunjung ke 'Kwai Chai Hong'. - gambar BERNAMA
Deretan piring berwarna putih diperbuat daripada plastik tergantung di bahagian atas pintu gerbang, sesekali mengeluarkan bunyi seperti loceng apabila ditiup angin antara yang menarik perhatian pengunjung ke 'Kwai Chai Hong'. - gambar BERNAMA

Saat kaki melangkah masuk ke ke 'Kwai Chai Hong', penulis terpandang deretan piring berwarna putih diperbuat daripada plastik tergantung di bahagian atas pintu gerbang, sesekali mengeluarkan bunyi seperti loceng apabila ditiup angin.

"Selamat datang ke 'Moonlit Dragon' di Kwai Chai Hong!" Pengarah Urusan Bai Chuan, Zeen Chang ketika para pengamal media dan pempengaruh sedang leka memerhati perhiasan di sekitar lorong itu yang dipenuhi dengan piring plastik berwarna putih.

Di bahagian hujung kanan lorong, kami melihat sebuah replika gergasi, seakan-akan kepala naga bermata hitam.

"Inilah dia 'Moonlite Dragon' hasil seni reka oleh pereka tempatan Wong Kai Yi. Jika dinyalakan lampu pada waktu malam, ia akan menjadi lebih cantik," kata Chang, menambah replika yang dihasilkan oleh pereka berusia 29 tahun itu mengambil inspirasi budaya Cina serta naga yang menjadi simbol kekuasaan dalam masyarakat Cina purba.

"Apabila melihat piring putih itu, seolah-olah mengingatkan kita kepada sisik naga juga wang syiling purba Cina yang diikat dengan tali.

"Cara replika naga itu didirikan begitu dinamik, ia mengelilingi sekitar kedai di Kwai Chai Hong, seakan ia memunculkan diri di depan mata kita," kata Chang.

Menurut Chang, tema pemasangan untuk sambutan tahun ini berdasarkan nilai serta ajaran yang diperolehi daripada cerita rakyat Cina yang menjadi sebahagian daripada kehidupan harian.

"Kwai Chai Hong menjadi medan untuk memaparkan tema berkisar daripada budaya Cina, disampaikan dengan cara, kadangkala mengajak pengunjung berfikir, terutamanya generasi muda. Inilah cara kami memelihara tradisi menerusi pemodenan.

"Bahan pameran di sini menyatukan pelbagai cabang kebudayaan, cerita rakyat serta simbolisme penyatuan Kekuatan dan Kecantikan," tambahnya.

INSPIRASI KEBUDAYAAN

Pinggan plastik berwarna putih dijadikan sisik ''Moonlit Dragon'. - gambar BERNAMA
Pinggan plastik berwarna putih dijadikan sisik ''Moonlit Dragon'. - gambar BERNAMA

Bercakap mengenai hasil karya kreatifnya, Wong berkata, Perayaan Kuih Bulan mempunyai tempat istimewa dalam hati masyarakat Cina yang perlu dipelihara dan kerana itulah beliau berhasrat membawa pengunjung kembali kepada zaman yang sebati dengan keindahan bulan dan kuasa naga.

"Juga pasti menambat hati permainan cahaya dan bayang, seolah semangat naga melayang-layang di celah deretan kedai, adunan seni dan seni bina yang memukau," katanya.

Secara keseluruhannya, hampir 10,000 pinggan plastik digunakan untuk membuat replika naga yang mengambil masa tiga minggu sebelum dibawa ke Kwai Chai Hong untuk pemasangan.

“Saya banyak membaca cerita rakyat. Apa yang menarik perhatian saya ialah naga yang dipaparkan begitu bertenaga, dinamik dan lambang perpaduan," kata Wong.

Mengenai tema sambutan, Chang berkata, ia menyingkap naratif naga legenda pelindung iaitu simbol perpaduan, keamanan dan kemakmuran.

"Mengikut kisahnya, berlaku pergolakan hebat dan kanak-kanak daripada kampung yang berbeza mengimpikan satu makhluk yang boleh menyatukan semua suku kaum dan hidup dalam harmoni.

"Maka lahirlah makhluk naga dengan kualiti yang menggabungkan kualiti terpuji ular, harimau dan burung helang. Naga ini kekal sebagai lambang keamanan dalam kebudayaan Cina.

"Serupa seperti legenda naga yang bermula daripada hasil imaginasi kanak-kanak, begitu juga hasil seni kerja kami yang mendokong kreativiti dan imaginasi sebagai bentuk kasih sayang," Chang.

Beliau menambah, naga adalah simbol kekuatan, kelembutan serta perlindungan, sementara bulan lambang perpaduan dan kesepakatan.

"Pemasangan Moonlit Dragon mencerminkan jiwa dan semangat rakyat Malaysia, memaparkan kekuatan perpaduan tanpa mengira latar belakang, kaum dan budaya, di samping menjaga warisan," katanya.

'KWAI CHAI HONG' TEMPAT BERSEJARAH 'INSTAGRAMMABLE' PELBAGAI KAUM

'Kwai Chai Hong' sememangnya terkenal dalam kalangan orang muda dan jurugambar serta pelancong biarpun di luar waktu perayaan. - gambar BERNAMA
'Kwai Chai Hong' sememangnya terkenal dalam kalangan orang muda dan jurugambar serta pelancong biarpun di luar waktu perayaan. - gambar BERNAMA

Bercakap mengenai keindahan 'Kwai Chai Hong', Chang berkata, lorong itu bukan sahaja meriah ketika sambutan kedua-dua perayaan terpenting masyarakat Cina sahaja, tetapi juga turut terkenal dalam kalangan kaki fotografi serta generasi muda yang terdiri daripada pelbagai kaum.

"Walaupun pada hari biasa jika tiada sambutan sekali pun, 'Kwai Chai Hong' turut terkenal sebagai tempat 'instagrammable' orang-orang muda serta pelancong asing untuk mengenali budaya masyarakat Cina dan pelbagai kaum.

"Paling menarik, di sini (Kwai Chai Hong) juga menjadi tempat kegemaran pengantin pelbagai kaum untuk datang merakamkan detik bersejarah mereka dengan pakaian pengantin, yang turut menarik perhatian pelancong asing yang teruja melihat budaya pelbagai kaum yang sangat harmoni," katanya.

Selain turut dikelilingi restoran gabungan tiga kaum utama di negara ini iaitu Melayu, Cina dan India, 'Kwai Chai Hong' juga turut berperanan sebagai lorong yang membuktikan peredaran sejarah penubuhan Kuala Lumpur yang mencerminkan kehidupan pendatang awal orang Cina dari Tanah Besar China ketika zaman 1960-an.

"Lorong Kwai Chai Hong adalah salah satu laluan bersejarah yang digunakan sejak 50 tahun lalu dan projek pengindahan kami di sini melibatkan 10 unit rumah kedai yang dikategorikan sebagai bangunan warisan yang sebaris dengan Jalan Petaling.

"Projek yang mengambil masa tujuh bulan untuk disiapkan dilakukan bagi memulihkan bangunan warisan yang mencerminkan pendatang awal China yang tinggal di kawasan itu pada sekitar tahun 1960-an," katanya.

HASIL SENI MENYATUPADUKAN SEMUA KAUM

Pengarah Urusan Bai Chuan, Zeen Chang. - gambar BERNAMA
Pengarah Urusan Bai Chuan, Zeen Chang. - gambar BERNAMA

Chang berkata, sebarang sambutan sama ada dalam kalangan masyarakat Cina, Melayu, India ataupun lain-lain kaum, ia sudah menjadi milik 'semua' di Malaysia.

"Sambutan hari ini adalah mengenai kita semua, sama ada anda orang Cina atau tidak, kita semua dibentuk oleh cerita rakyat, legenda dan masa silam. Kita semua belajar dari masa silam yang didorong oleh cerita rakyat.

"Lihatlah betapa banyaknya hari kelepasan am di Malaysia yang menyambut pelbagai perayaan dari pelbagai kaum sudah jelas menunjukkan betapa harmoni dan bersatu-padunya kita sebagai rakyat Malaysia," katanya.

Kedua-dua Wong dan Chang percaya seni sepatutnya boleh diakses oleh semua, tanpa sekatan harga, latar belakang atau bahasa.

"Masing-masing mempunyai perspektif sendiri. Kami bangga apa yang kami paparkan untuk Perayaan Kuih Bulan atau Mid-Autumn Festival ini untuk dihayati kaum lain dan juga menjadi tempat untuk semua rakyat Malaysia meraikan hasil usaha kami dan menghargai warisan serta budaya kami," katanya.

Menurut Wong, keseluruhan projek mengambil masa tiga bulan daripada menghasilkan konsep sehingga kepada penyiapannya dengan menggunakan perisian reka bentuk 3D AutoCAD.

"Konsep Moonlit Dragon menghubungkan jejak langkah mereka yang datang ke sini sebelum ini, membawa bersama warisan nenek-moyang," katanya.

Kwai Chai Hong dibuka kepada umum setiap hari, dari pukul 9:00 pagi hingga pukul 12:00 malam dan Replika Naga 'The Moonlit Dragon' boleh dilihat dari 25 Ogos hingga 8 Oktober.  - BERNAMA

Sorotan

1

Kerajaan Akan Terus Pantau Kadar Inflasi Susulan Kenaikan Gaji Penjawat Awam - PM

2

Piala Thomas: Malaysia Jumpa Jepun Di Suku Akhir

3

Semakan Gaji Penjawat Awam Adalah Wajar Untuk Hadapi Inflasi – Ahli Ekonomi

4

Tiada Daya Juang Tinggi, Rexy Kesal Dengan Pemain Perseorangan Wanita Negara

5

Sultan Nazrin Dilantik Pengerusi MKI Bagi Tempoh 2 Tahun 

6

Agong, Raja Permaisuri Zahir Penghargaan Kepada Warga Pekerja

7

AstraZeneca Akui Vaksin COVID-19, Covishield Mampu Timbulkan Masalah Darah Beku