Sering membawa muzik yang dipenuhi aura menenangkan dan lirik yang puitis, kugiran A.Limin bakal meluncurkan buah tangan kedua mereka tidak lama lagi.
Namun begitu, nama album kali ini dirahsiakan sehingga pelancarannya untuk memberi kejutan buat para peminat.
A. Limin bermula sebagai projek solo Fathil Alimin (vokalis) dan seterusnya berkembang sebagai sebuah kumpulan setelah dirinya berjumpa dengan ahli kumpulan yang lain iaitu Amerul Ishraf (vokalis, pemain gitar dan keyboard), Ku Mohd Amirul (pemain bass) dan Muhammad Faizul (drum).
Bereksperimentasi dengan muzik bergenre folk, rock dan pop, album sulung mereka, Adam pernah tersenarai dalam peringkat separuh akhir Anugerah Lagu Indie (ALI) tahun lepas dan tercalon sebagai ‘Best Release’ dalam TAPAUawards 2020.
“Buat album kali ini, peminat boleh menjangkakan sedikit pembaharuan daripada karya kami sebagai sebuah kumpulan yang ingin mempertaruhkan muzik yang segar, selari dengan peredaran masa.
“Kami bertuah kerana mendapat dana untuk bereksperimentasi dengan lebih banyak rentak dan latar bunyi kali ini. Jadi, diharapkan para peminat dapat menikmati evolusi pembikinan muzik kami,” kata Amerul.
Untuk pengetahuan semua, lirik bagi 14 buah lagu dalam album ini ditulis oleh kedua-dua vokalis kumpulan ini.
“Semua lagu kami diilhamkan daripada pelbagai cerita. Ada yang peribadi dan ada juga fiksyen.
“Kami mahu menyampaikan mesej yang mampu menyentuh hati serta memberi impak yang menusuk kalbu buat para pendengar terutamanya dalam era pandemik yang melesukan ini.
“Namun begitu, setiap lagu mempunyai jalan cerita berbeza, contohnya lagu ‘Angin’ yang dijadikan single utama album ini. Ia dihasilkan untuk menunjukkan kematangan kami dalam arena muzik dan usaha untuk membina imej yang tersendiri.
“Album ini menyajikan ekspresi kumpulan kami terhadap dunia sekeliling, sekali gus menjadikan lagu-lagu di dalam album ini penuh dengan isi tersurat dan tersirat,” tambah Fathil.
Album kedua ini dikatakan bermakna buat mereka memandangkan dapat berkolaborasi bersama komposer dan gitaris kumpulan Hujan, AG Coco.
“AG Coco banyak membantu kami dari pelbagai sudut sepanjang rakaman album ini berlangsung. Meskipun merupakan orang besar dalam industri, dia tidak pernah memperkecilkan apa-apa idea yang ditujukan mahupun menghalang kreativiti kami dalam menghasilkan karya,” jelas Amirul.
Kumpulan ini juga bertuah kerana berjaya memperoleh dana daripada Agensi Pembangunan Ekonomi Seni Budaya (CENDANA) dan hasil wang tersebut dimanfaatkan sepenuhnya bagi menyiapkan keseluruhan album ini.
Bagi sesiapa yang berminat untuk mendalami karya-karya A.Limin anda boleh menikmatinya di pelantar penstriman Spotify dan YouTube.
Jangan lupa ikuti media sosial mereka di Instagram untuk mengetahui perkembangan terbaharu sekali gus pengumuman tentang buah tangan kedua mereka. - Getaran, 10 Disember 2021
Gambar: A. Limin