Dunia hari ini amat menitikberatkan isu penjagaan diri, kesejahteraan, kesihatan kulit dan keyakinan diri. Di Malaysia sahaja, pasaran kecantikan dan penjagaan diri dianggarkan mencecah jumlah pasaran sebanyak AS$3.24 bilion pada 2024.
Namun, ini bukan perkara baharu. Selama ini, pengguna sentiasa meneroka rawatan dan perkhidmatan kecantikan premium yang melangkaui penjagaan kulit. Dek itulah, pusat rawatan kecantikan dan kesihatan tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan bagi memenuhi permintaan pengguna.
Salah satu peneraju dunia kecantikan dan kesihatan terkenal ialah BMF The Aesthetics People (BMF). Jenama popular ini bukan sahaja dikenali, tetapi diyakini ramai, dan buktinya mereka telah menyambut ulang tahun ke-42 tahun ini.
BMF ditubuhkan dengan penggabungan antara dua jenama Bella Skin Care dan Marie France Bodyline, di mana pada 2017 ia secara rasmi dijenamakan sebagai Bella Marie France dan bertukar sebagai BMF The Aesthetic People pada 2022.
Dengan pengalaman kolektif selama 70 tahun antara dua jenama terkemuka, BMF menjadi peneraju dalam industri estetik dan kesihatan tempatan dengan pantas.
BMF fokus untuk meningkatkan kecantikan semula jadi melalui teknologi yang inovatif dan canggih, sambil menawarkan pengalaman pelanggan yang luar biasa dan diperibadikan.

Bagi memeriahkan sambutan ulang tahunnya, BMF turut memperkenalkan artis Hong Kong, Sisley Choi sebagai duta jenama baharu. Sisley dipilih kerana terkenal dengan kecantikan dan keanggunan semula jadinya.
Malah, dia juga adalah pemegang pelbagai anugerah dalam kerjaya lakonannya. Salah satunya ialah Pelakon Wanita Terbaik di Anugerah Ulang Tahun TVB 2020 bagi wataknya dalam Legal Mavericks 2020.
“Saya amat berbesar hati kerana diberi peluang untuk mewakili BMF sebagai duta baharu mereka. Saya telah menjadi pelanggan BMF bertahun lamanya. Rawatan CFU Ultima Face & Body Aesthetics sentiasa menjadi kegemaran saya.
“Saya komited untuk mendukung nilai dan visi jenama BMF bagi membantu lebih ramai wanita untuk berasa cantik dan yakin dengan keunikan diri sendiri,” kongsi Sisley Choi ketika ditemui di majlis perjanjian kerjasama baru-baru ini.
Rawatan CFU Ultima Face & Body Aesthetics merupakan rawatan estetik yang menggunakan tenaga ultrabunyi yang canggih untuk merangsang penghasilan kolagen bagi menjadikan kulit lebih tegang dan berseri.
Ketua Pegawai Eksekutif BMF, Amy Quek berkata, sejak 42 tahun yang lalu BMF telah memulakan satu perjalanan yang luar biasa.

“Hari ini, kami ingin meraikan pencapaian penting ini dengan mengalu-alukan seorang ahli baharu dalam keluarga kami.
“Kami yakin, Sisley adalah permata yang tidak terganti, dan beliau akan membuka lebih peluang serta memberi inspirasi kepada wanita untuk menerima kecantikan semula jadi mereka dengan yakin.
“Di BMF, kami komited terhadap inovasi berterusan dan menolak sempadan, bagi memastikan pelanggan kami menerima rawatan unik demi membantu mereka berasa cantik dan yakin,” ujar Amy.
Pada masa ini, BMF mempunyai tujuh buah pusat kecantikan yang beroperasi di seluruh Malaysia di Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang, Perak, Sabah dan Sarawak.
Untuk maklumat lanjut, layari laman Instagram BMF atau laman rasminya, bmfmy.com.my. – Getaran, 24 Julai, 2024
Foto : BMF