Setiap tahun, memang ramai selebriti dan model antarabangsa khususnya yang mencipta nama di Hollywood menantikan acara fesyen, Met Gala.
Bertempat di Metropolitan Museum of Art di Kota New York, acara Met Gala yang diadakan pada 1 Mei (2 Mei mengikut waktu tempatan Malaysia) telah berlangsung dengan penuh gilang-gemilang.
Acara yang meraikan Pameran Institut Kostum: Karl Lagerfeld: A Line of Beauty, yang mana ia memberi penghormatan terhadap hasil kerja dan kehidupan pereka fesyen hebat ini.
Karl Lagerfeld telah mencetuskan banyak rekaan penuh kreatif terhadap rumah fesyen dan jenama terkemuka dunia seperti Patou, Balmain, Chloe, Fendi dan Chanel.
Sepertimana tahun-tahun sebelum ini, Met Gala 2023 telah dihadiri ramai selebriti dan model ternama dan inilah masanya mereka untuk melaram dan berfesyen dengan penuh keseronokan.
Ada yang tampil dengan gaya fesyen yang cukup memukau mata, tidak kurang juga yang tampil dengan fesyen yang unik dan jelik. Tapi, itulah Met Gala 2023.
Ayuh, kita lihat beberapa fesyen memukau, unik dan jelik yang meraih perhatian ramai pada Met Gala 2023 ini.
Penelope Cruz

Tidak pernah gagal untuk tampil menawan dalam setiap acara berbentuk fesyen atau anugerah, aktres jelitan kelahiran Sepanyol yang berusia 49 tahun ini memang cukup anggun mengenakan gaun kembang rona putih yang dihiasi dengan taburan manik putih dan labuci perak.
Gaun tersebut turut direka dengan selendang yang melitupi kepala yang bersambung di atas bahagian dada baju yang terdedah. Penelope kelihatan bagaikan seorang puteri.
Jennifer Lopez

Penyanyi berdarah Latin yang berusia 53 tahun ini juga antara selebriti yang tidak pernah kalah apabila bergaya. Lihatlah penampilannya di dalam cara Met Gala 2023. Gaunnya yang menggabungkan top warna hitam dan kain satin merah jambu mungkin nampak biasa.
Namun, headgear hitam berjaring, choker bebulu di leher yang menjadi sebahagian daripada top yang dipakainya, sarung tangan opera hitam separuh lengan, leretan hitam pada kain satinnya serta tas tangan yang sedondon dengan kainnya, ia berjaya menyerlahkan lagi gaya mewahnya. Memang tip top!
Cardi B

Rapper yang semakin terkenal ini sering berpakaian tidak senonoh dalam beberapa acara hiburan dan majlis anugerah. Bahkan, sering sahaja Cardi B tampil dengan pakaian yang hampir separuh bogel hingga menampakkan separuh daripada aset payu daranya atau punggungnya.
Namun, pada Met Gala 2023 ini, Cardi B tampil dengan gaya fesyen yang sungguh classy dan menawan sekali. Mengenakan gaun yang beropol hitam tanpa lengan tetapi berkolar putih dengan tie hitam serta sarung tangan opera hitam separuh lengan, fesyen rambutnya juga cukup bersesuaian dengan gaya fesyen itu,
Janelle Monae

Rapper dan pelakon berbakat ini memang sentiasa tampil dengan gaya yang unik dan pelik. Pada Met Gala 2023, Janelle membuat ramai mata tertumpu kepadanya apabila mengenakan gaun jaring ken ken dengan platform tebal yang tinggi serta headgear yang menghias tocang kepalanya dengan rona yang sama.
Kemudian dua orang pembantu lelaki yang bersut mendatangi aktres yang membintangi filem Glass Onion: A Knives Out Mystery ini serta menyarung pula gaun yang sebenar pada gaun berjaring ken ken itu. Nampak macam dia baru hendak memakai baju pada acara itu. Cukup unik dan menarik!
Jared Leto

Nampaknya sikap dan perangai kebudak-budakan Jared Leto masih lagi terperangkap dalam dirinya pada usianya yang kini sudah pun mencecah 51 tahun. Apa tidaknya, pelakon House of Gucci ini memilih kostum sarung kucing yang berbulu pada Met Gala 2023.
Tidak hairanlah mengapa ramai selebriti yang mahu memeluknya. Sebab, dia kelihatan comel dengan kostum kucing tersebut.
Doja Cat
Seperti namanya, rapper dan penyanyi yang terkenal denga lagu 'Say So' ini nampaknya memang seorang penggemar kucing dan dia turut memilih fesyen ala kucing pada acara Met Gala 2023.
Gaun metalik yang disarungkannya itu turut disertakan dengan sarung kepala ala kucing dan dia juga turut mengubah hidungnya dengan menggunakan solekan untuk menjadikannya seperti bentuk hidung haiwan comel itu.
Lil Nas X

Rapper dan penyanyi yang secara terbuka mengakui dirinya gay ini memang seorang yang daring apabila berfesyen. Bahkan, dia seringkali gemar bereksperimentasi dengan fesyen yang mempunyai unsur elektrik, playful, warna-warni dan futuristik.
Namun, entah apalah yang fikirkan oleh Lil Nas X sewaktu membuat penampilan di acara Met Gala 2023. Dia tengah mengenakan body sut metalik dengan hiasan dan taburan manik di bahagian dada sehingga menutupi wajahnya, yang mana ia kelihatan seperti topeng.
Mungkin, Lil Nas X tersalah acara agaknya. Macam hendak pergi ke perarakan atau parti gay pula nampaknya. – Getaran, 3 Mei 2023