Berita Terkini

1 jam yang lalu: Pencari madu lebah maut jatuh pokok setinggi 30 meter di Kampung Meranto, Gua Musang 1 jam yang lalu: KDN salur peruntukan lebih RM2.3 juta untuk pembaikan penjara, PPD di Kedah 1 jam yang lalu: Rumah terbakar: Seramai 76 penghuni Rumah Selunsin, Pakan dalam Bahagian Sarikei terjejas 1 jam yang lalu: MAHB kekal untung selepas merekodkan untung bersih suku pertama RM58.19 juta 1 jam yang lalu: Hanya 35 peratus atau seramai 176,883 suri rumah carum bawah Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR)

IKUTI KAMI


Ulasan Filem 'Anwar: The Untold Story' - Berani, Kontroversi Dan Penuh Emosi

Untuk memaparkan konflik politik dua figura politik paling berpengaruh di Asia Tenggara, perlukan keberanian yang sangat tinggi memandangkan mereka masih hidup dan fakta perlu tepat agar tidak dituduh sengaja mencipta propaganda politik.

Filem & TV Dikemaskini 1 minggu yang lalu · Diterbitkan pada 18 May 2023 3:11PM

Babak Anwar Ibrahim lakonan Farid Kamil bersama Dr Mahathir, lakonan Hasnol Rahmat - Gambar ihsan Penerbit Filem

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Sejak filem ini diumumkan sedang dalam pembikinan, hati saya sudah mula teruja. Masakan tidak, akhirnya saya akan melihat dan memahami dengan lebih mendalam apa yang berlaku sewaktu era Reformasi pada tahun 1998. Ketika konflik politik ini menggegarkan seluruh dunia, saya masih berada di bangku sekolah rendah.

Jadi saya kira pembikinan filem ini akan membuka ruang pembelajaran buat mereka yang masih kecil sewaktu kejadian berlaku ataupun masih belum lahir. Juga boleh dijadikan rujukan buat generasi akan datang. 

Melihat foto pertama aktor berbakat besar, Farid Kamil yang dijelmakan dalam sosok Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah membuatkan bulu roma saya berdiri.

Sosok seorang lelaki berdiri tegar sambil mengangkat tangannya dengan kesam lebam di mata. Mungkin ini adalah salah satu foto paling ikonik yang pernah dibidik oleh jurufoto sewaktu membuat liputan kes politik di Malaysia. 

Saya sudah pegang perasaan teruja ini sekian lama dan saya bawa perasaan ini bersama saya sewaktu menghadiri tayangan perdana filem ini yang turut dihadiri oleh Anwar Ibrahim sendiri. 

Tetapi saya juga berpesan pada diri sendiri agar tidak meletakkan harapan yang menggunung filem ini akan memuaskan ‘nafsu’ saya. Ini kerana saya sudah tahu siapa pembikin filem ini dan siapa pemeran yang dipilih untuk menjayakan setiap watak. 

Filem ini dibikin atas keberanian karyawan dari negara seberang, Indonesia iaitu Viva Westi bersama penerbit eksekutif Zulkiflee Anwar Haque. Pelakonnya juga 90 peratus adalah berasal dari Indonesia. Begitu juga lokasi penggambaran yang kebanyakannya dilakukan di sana. 

Filem ini juga dihasilkan sewaktu Anwar Ibrahim belum bergelar Perdana Menteri Malaysia ke-10 dan duduk di kerusi pembangkang. Jadi risiko untuk menghasilkan filem ini adalah sangat tinggi. 

Jadi pesan saya kepada yang bakal menonton, pasak di dalam minda anda bahawa ini adalah filem Indonesia yang menggunakan subjek dari Malaysia supaya anda tidak rasa canggung sewaktu menonton filem ini. Kenapa saya berkata begitu? Akan saya huraikan di dalam ulasan saya. 

Jika anda mengharapkan filem ini akan memaparkan segalanya tentang perjalanan karier politik Anwar, anda silap. Jadi jangan tanya mana babak itu, mana babak ini.

Filem ini lebih memfokuskan apa yang terjadi sewaktu Anwar ditangkap pada tahun 1998 atas tuduhan meliwat dan korupsi. Segalanya berkisarkan tentang momen penangkapan itu yang telah mencetuskan rusuhan dahsyat serta perang politik di Malaysia.

Dari situasi Anwar ditahan pihak berkuasa sewaktu di rumah beliau hinggalah apa yang terjadi kepadanya sewaktu berada di dalam tahanan telah dipaparkan dalam filem ini. 

Babak di dua tempat ini mungkin ibarat membuka jahitan luka yang belum sembuh buat Anwar dan seluruh keluarga dan sahabat-handainya. Perit untuk dilihat, pedih lagi yang melaluinya. 

Babak Anwar dipukul sewaktu dalam tahanan akan memberikan jawapan bagaimana dia mendapat kesan lebam di bahagian mata. 

Perjalanan plot filem juga banyak diselitkan dengan babak ‘flashback’ beberapa tahun sebelumnya. Dari sewaktu dia masih anak kecil sehinggalah beberapa detik sebelum dia ditangkap.

Paling menarik bagi saya adalah babak konfrontasi di antara Anwar dan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. Kita mungkin tahu cerita tentang mereka berdua, tetapi tidak semua tahu apa yang terjadi di sebalik pintu.

Saya bertanya sendiri kepada Anwar, adakah babak-babak yang membabitkan beliau dan Tun adalah benar dan beliau mengakuinya. 

Perjuangan Anwar menentang korupsi sebagai Menteri Kewangan dan Timbalan Perdana Menteri juga dipaparkan dengan jelas dalam filem ini. Dan perjuangan inilah yang menyebabkan kenapa dia ditentang oleh golongan elit kapitalis.

Saya sentiasa percaya, jika ada kepincangan dari sudut penceritaan, lakonan yang berkesan akan mengaburi segala kekurangan. Ternyata Farid Kamil cemerlang sebagai Anwar. 

Sebagai anak jati kelahiran Kedah, Farid tiada masalah untuk bertutur dalam loghat utara. Dia berjaya hidup dalam karakter Anwar. 

Cuma babak sewaktu dia berdialog dalam bahasa Inggeris kedengaran canggung. Seolah-olah seperti sedang membaca. Sedangkan kita tahu bagaimana keupayaan Anwar bertutur dalam bahasa Inggeris.

Saya juga berharap agar rambut Farid dipotong dengan lebih pendek dan rapi agar kelihatan lebih sama dengan Anwar. 

Emosi yang dipamerkan oleh Acha Septriasa yang membawakan watak sebagai isteri Anwar iaitu Datuk Seri Dr Wan Azizah juga sampai ke hati penonton. Cumanya Acha kelihatan bergelut untuk berdialog dalam bahasa Malaysia. 

Dia terlalu menekan di setiap hujung perkataan menjadikan kadangkala ia terasa canggung di halwa telinga yang mendengar. Mujur dia pernah menetap di Malaysia satu ketika dahulu sewaktu zaman belajar.

Jika dibandingkan Acha dengan pelakon lain yang berasal dari Indonesia, pastinya dia lebih bagus berdialog. Pelakon yang lain masih pekat dialek bahasa Indonesia mereka. 

Jelmaan Hasnol Rahmat sebagai Tun M juga tidak kurang hebatnya. Wajahnya hampir mirip dengan tokoh politik itu dan lakonannya juga cukup berkesan. 

Pujian harus diberikan untuk sinematografi filem ini yang enak dipandang mata. Sekurang-kurangnya visualnya terlihat cantik. Pembinaan seperti rumah Anwar juga kelihatan benar. Biarpun dibikin di Indonesia.

Untuk memuatkan segala cerita yang berlaku bertahun-tahun lamanya dalam sebuah filem yang berdurasi kurang 120 minit.

Sebagai filem yang dibikin oleh produksi Indonesia, filem ini tentunya dihasilkan bukan untuk dijadikan bahan hiburan semata-mata. Bukan juga sebagai propaganda politik seperti yang diberitahu oleh pengarahnya. Tetapi filem ini dihasilkan untuk menceritakan apa yang belum diceritakan kepada semua.

Jika anda mencari titik kesempurnaan dalam filem ini, pasti tidak akan jumpa. 

Melihatkan keberanian penulis dan pengarah filem ini memaparkan kisah konflik dua figura politik paling berpengaruh di Asia Tenggara ini, mungkin penonton akan mengerti kenapa filem ini ditakdirkan dibikin dan menjadi milik produksi dari negara seberang. 

Jika diterbitkan oleh orang kita, saya rasa belum ini tentu filem ini akan berjaya dilakukan kerana akan terdapat banyak tangan yang akan menghalang filem ini daripada wujud. – Getaran, 18 Mei 2023

Rating: 3.5 Getar

Berita Berkaitan

1

Selebriti 1 jam yang lalu

Farid Kamil Enggan Lafaz Cerai, Kes Diteruskan Untuk Proses Hakam

2

Politik 8 jam yang lalu

Dakwaan Pulau Pinang Milik Kedah, Sanusi Perlu Faham Perlembagaan - Anwar

3

Filem & TV 1 hari yang lalu

Raih RM16 Juta Hari Ke 4 Tayangan Rasmi, Polis Evo 3 Tepis Filem Hollywood Fast X Dan Pecah Rekod Mat Kilau

4

Semasa 5 hari yang lalu

Hal Kalimah Allah Harus Dibincang Secara Tertutup, Elak Kekeliruan Umat

Sorotan

1

Jurugambar Ditahan Bantu Siasatan Amang Seksual Di Sepang

2

Pilih Bulu, RapidKL ‘Dibelasah’ Benarkan VVIP Guna MRT Tanpa Pelitup Muka

3

Dakwaan Pulau Pinang Milik Kedah, Sanusi Perlu Faham Perlembagaan - Anwar

Disyorkan untuk anda

Selebriti 1 hari yang lalu

Liyana Jasmay Bersyukur Perkongsian Berkenaan Diskriminasi Warna Kulit Membuat Orang Berkulit Gelap Tersentuh

oleh Rubini Nagarajah

Filem & TV 1 hari yang lalu

BIG STAGE 2023 - Penampilan Menarik Dan Peminat Yang Ramai Tak Mampu Selamatkan Meer Nash Daripada Tersingkir

Meer Nash menjadi mangsa penyingkiran yang ketiga selepas Isaac Woo dan Naufal Azril. Ketiga-tiga mereka mempunyai penampilan yang menarik serta peminat yang ra...

oleh Helmi Anuar

Selebriti 1 jam yang lalu

Farid Kamil Enggan Lafaz Cerai, Kes Diteruskan Untuk Proses Hakam

“Oleh kerana defendan (Farid) tidak bersetuju, mahkamah dengan ini memerintahkan kes cerai ini diteruskan dengan timbang tara hakam dan mahkamah menetapkan 15 J...

Selebriti 9 jam yang lalu

Video Anak Azhar Sulaiman, Leona Berbikini Putih Ketika Mandi Manda Di Sungai Tular Di Media Sosial

oleh Wartawan Hiburan Getaran