Banyak siri-siri animasi tempatan di televisyen yang dipindahkan dalam bentuk layar filem. Siri Didi & Friends juga tidak terkecuali.
Filem pertama francais ‘Didi & Friends’ iaitu Didi & Friends The Movie bagaimanapun agak berbeza dengan filem-filem animasi tempatan lain yang pernah ditayangkan di pawagam sebelum ini kerana ia dihasilkan dalam bentuk pengembaraan muzikal.

Bahkan, Didi & Friends The Movie arahan Akmal Aziz Asmawi dan Roshfaizal Ariffin ini turut memperkenalkan watak-watak baharu seperti Torra, Nek Kura, Kapten Zee dan Tok Chip.
Bintang terkenal tanah air telah menyumbangkan suara bagi menggerakkan watak-watak tersebut adalah seperti Datuk Awie (Tok Chip), Amelia Henderson (Kapten Zee), Ruminah Sidek (Nek Kura) dan Waris (Torra).
Didi & Friends The Movie bermula apabila keterujaan Didi bertukar menjadi kekecewaan apabila Pak Atan melarang Ayam Serama itu dari mengikuti pengembaraannya di mana dia diminta tinggal di Pekan Horey bersama rakan-rakannya yang lain.
Ini kerana Pak Atan dan Pak Beruang terpaksa pergi ke sebuah dunia lain iaitu Dunia Muzika untuk mencari penawar ajaib bagi mengubati Pak Beruang yang tiba-tiba sakit.
Didi berdegil dan akhirnya mengambil keputusan untuk pergi ke Dunia Muzika seorang diri. Nana dan Jojo yang mempersoalkan keputusan Didi untuk pergi sendiri kemudian turut menyertai rakan mereka itu.

Pelbagai cabaran menanti mereka di dalam Dunia Muzika, termasuk bahaya besar berdepan dengan lanun langit yang menakutkan bernama Torra.
Sejujurnya, penulis rasa kekuatan filem animasi Didi & Friends The Movie adalah pada muzik latar dan lagu-lagu yang bagus dipersembahkan sepanjang 104 minit ini.
Menjadi filem animasi Malaysia yang pertama menjalinkan kerjasama dengan Malaysian Philharmonic Orchestra (MPO) dan Dewan Filharmonik PETRONAS (DFP) dalam pembikinan lagu & muzik latar orkestra membawa kelebihan kepada filem ini.
Difahamkan sebanyak enam daripada 11 lagu telah dirakamkan bersama MPO dan DFP antaranya lagu Hora Horey, Manet, Torra, Percaya, Percaya Reprise termasuk Hora Horey Instrumental.
Penyanyi popular, Hael Husaini turut membuat penampilan istimewa yang mempertaruhkan suaranya untuk watak Pak Beruang dan menyanyikan lagu tema utama filem bertajuk ‘Luar Biasa’.
Dimuatkan juga lagu ‘Kembali Bersama’ yang dinyanyikan kumpulan Modescape. Kesemua 11 buah lagu baru yang dihidangkan juga mampu membuat penonton menyanyi bersama (‘sing along’).

Selain lagu, plot twist yang menarik dan elemen komedi dengan penggunaan bahasa agar ianya bersesuaian dengan anak kecil turut menanti penonton filem ini.
Penulis turut berasa pengarah agak menitik beratkan penggunaan bahasa yang sopan dalam setiap skrip bagi semua watak, supaya filem ini sesuai ditonton dengan semua peringkat umur.
Selain itu, visual bagi filem ini ternyata kualiti tekstur, warna, dan latar belakang yang dipamerkan produksi Warnakala Studios dan Digital Durian begitu berbeza dan jauh lebih baik dari siri ‘Didi & Friends’ sebelum ini.
Memandangkan ini filem berurasi 104 minit, setiap watak dilihat agak realistik dari segi texture dan visual bagi setiap karakter berbanding konsep flat design dalam siri. Secara tidak langsung karakter-karekter mereka setanding dengan filem animasi tempatan yang lain seperti Boboiboy, Ejen Ali, Mechamato dan juga Upin & Ipin.

Setanding denga bajet RM6 juta yang diperuntukkan untuk filem Didi & Friends The Movie, memang diyakini mampu memberikan keuntungan yang berlipat ganda buat penerbit dan produksi.
Ambil peluang cuti sekolah ni bawa anak-anak untuk tonton filem animasi tempatan filem terbitan Astro Shaw, Warnakala Studios dan Digital Durian dengan kerjasama Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC). Rasanya bukan hanya kanak-kanak, malah ibu bapa pun turut akan enjoy sekali filem nanti.
Jadi apa tunggu lagi? Dapatkan tiket filem Didi & Friends The Movie yang telah pun ditayangkan secara rasmi di 155 pawagam sejak 23 Februari lalu. - Getaran 2 Mac 2023
Rating : 4 Getar