Produk siri animasi dan filem animasi yang dihasilkan tenaga kerja dan karyawan seni tempatan sebelum ini telah pun berjaya menembusi pasaran antarabangsa.
Antara produk animasi yang berjaya di Indonesia adalah Ejen Ali The Movie yang berjaya mencatatkan kejayaan setelah siri 'Ejen Ali' Musim 1 dan 2 ditayangkan di Rajawali Televisi (RTV).
Susulan daripada kejayaan tersebut, Ejen Ali The Movie pula bakal disiarkan di saluran percuma (FTA - free-to-air) dan turut ditayangkan secara serentak di platform (VOD - video-on-demand) tersebut.

Kerjasama antarabangsa ini dapat dicapai berkat perjanjian pengedaran bersama RTV, saluran televisyen saluran televisyen percuma nasional di Indonesia. 'Ejen Ali' Musim 1 dan 2 telah berjaya memukau penonton Indonesia sejak beberapa tahun lalu.
Dengan kejayaan besar ini, Ejen Ali meneruskan misinya bersama Ejen Ali The Movie yang telah pun bermula 18 Februari lalu.
RTV merupakan Rangkaian TV terbesar di Indonesia yang mempunyai liputan 90 peratus daripada populasi di sana. Ia akan disiarkan serentak di platform lain termasuk penstriman dalam talian dan media digital lain.
Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima dan Primeworks Studios, Datuk Khairul Anwar Salleh berkata, Ejen Ali The Movie ini sememangnya dinanti-nantikan peminat siri televisyen animasi terutamanya setelah mencapai kejayaan besar serta menjadi fenomena pada tahun 2019.
“Filem ini mendapat sambutan yang positif daripada pengkritik dan penonton. Ramai yang memuji gabungan unik aksi, komedi dan jalan cerita yang memberi inspirasi. Kejayaan filem membuktikan kejayaan penceritaan hebat yang dihasil oleh rakan kongsi kami, WAU Animation dan bagaimana filem ini dapat memikat hati penonton dari semua lapisan masyarakat.
“Kehadiran RTV Indonesia sebagai rakan saluran televisyen percuma ini memberi peluang yang besar untuk membawa kandungan animasi Malaysia kepada RTV dan membawa Ejen Ali lebih dekat dengan pasaran Indonesia serta mendapat rangkaian peminat baharu di saluran tersebut,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif WAU Animation dan Pengarah Ejen Ali, Usamah Zaid Yasin pula berkata, pihaknya amat berbesar hati mendengar bahawa Ejen Ali The Movie akan ditayangkan di Indonesia.
“Ini adalah satu penanda aras yang baik buat filem animasi ini kerana disiarkan secara percuma buat pertama kalinya di Indonesia. Kami berharap Ejen Ali akan terus menjadi 'ejen' kegemaran penonton.
“Kami berharap karya kami ini dapat memberi inspirasi kepada penonton melalui semangat gigih Ejen Ali dalam berjuang demi kebaikan serta memikat penonton melalui penceritaan visual kami ini. Ejen Ali mempunyai sesuatu yang ingin ditunjukkan kepada semua orang dan kami tidak sabar untuk melihat bagaimana ia berinteraksi dengan penonton!” katanya.
Ejen Ali ialah salah satu jenama animasi yang paling pesat berkembang di Asia. Siri animasi yang disiarkan di Malaysia sejak 2016 ini telah memasuki pasaran lebih 50 negara, termasuk di rangkaian serantau Netflix, Disney+ Hotstar, Disney Asia, Nickelodeon India, MNCTV di Indonesia dan TV AlMajeed di Timur Tengah dan Afrika Utara.
Manakala, filemnya juga telah mencatatkan kejayaan besar apabila berjaya meraih RM30 juta (USD8 juta) serta merupakan satu-satunya filem animasi pecah panggung pada 2019 termasuk platform VOD di Malaysia, Singapura, Brunei dan Indonesia, menjadikannya salah satu filem animasi dengan kutipan tertinggi di Malaysia setakat ini.
Anda semua boleh ke saluran YouTube rasmi Ejen Ali untuk menyaksikan teaser trailer yang pertama untuk 'Ejen Ali' Musim 3. Hubungi wakil jualan pengedaran Primeworks Studios melalui e-mel di [email protected] untuk mengetahui lebih lanjut. – Getaran, 21 Februari 2023