web statsweb stats

Berita Terkini

5 bulan yang lalu: Najib Razak dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.4 bilion untuk kesemua 25 pertuduhan 6 bulan yang lalu: Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin disahkan meninggal dunia 7 bulan yang lalu: Ismanira Abdul Manaf, ibu kepada kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan didapati bersalah atas tuduhan pengabaian anak hari ini 7 bulan yang lalu: PRN Sabah: Penamaan calon ialah pada 15 November manakala mengundi awal pada 25 November - SPR 8 bulan yang lalu: Semua kapal yang menyertai misi FFCxTMTGM telah dipintas tentera Israel dalam lingkungan 120 batu nautika dari Gaza - MyCARE

IKUTI KAMI


‘Kongsi Raya’ Bawa Tema Klise Tapi Menghiburkan

Filem bertemakan cinta antara dua bangsa berlainan bukan asing di negara kita. Kini, muncul filem ‘Kongsi Raya’ mengisahkan percintaan gadis Melayu dan jejaka Cina yang ditentang keluarga.

Filem & TV Dikemaskini 4 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 03 Feb 2022 2:09PM

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Filem bertemakan cinta antara dua bangsa berlainan bukanlah sesuatu yang baharu di Malaysia. Arwah Yasmin Ahmad pernah mengetengahkan tema ini dalam karya sentuhannya seperti Sepet dan Talentime

Bagaimanapun, sudah agak lama filem sebegini tidak muncul di pawagam. Untungnya tahun ini anda dapat lihat filem bertemakan cinta berlainan bangsa ini menerusi Kongsi Raya. Biarpun temanya agak klise, apa yang boleh saya katakan karya ini tidak mengecewakan dan cukup menghiburkan. 

Kongsi Raya dibintangi barisan pelakon hebat negara dan juga wajah baharu seperti Erra Fazira, Harith Iskander, Chew Kin Wah, Qasrina Karim serta Wilson Lee.

Menurut pengarah filem ini iaitu Teddy Chin, sebab utama dia menghasilkan filem Kongsi Raya ialah kerana mahu menunjukkan kepada orang luar berapa uniknya budaya masyarakat  Malaysia.

“Dulu saya belajar di Taiwan. Ramai kawan saya bertanya apakah keistimewan filem Malaysia. Ketika itu saya tak dapat jawab sebab kebanyakan filem produksi Cina di Malaysia banyak mengikut gaya karya dari China dan Taiwan pada ketika itu.  

Jadi, bila saya pulang ke Malaysia dan tubuhkan syarikat produksi bersama rakan kongsi, kami cuba untuk cari keistimewaan filem Malaysia. Saya rasa kepelbagaian budaya adalah apa yang membuatkan kita semua bangga menjadi rakyat Malaysia,” katanya yang turut berlakon dalam filem ini dengan memegang watak sebagai abang kepada Wilson Lee. 

Barisan pelakon dan pengarah Kongsi Raya
Barisan pelakon dan pengarah Kongsi Raya

Kongsi Raya mengisahkan tentang Sharifah lakonan Qasrina yang merupakan anak perempuan tunggal kepada Chef Selebriti bernama Rahim lakonan Harith Iskander. Sharifah jatuh cinta dengan Jack (Wilson Lee) iaitu seorang tukang masak di restoran bapanya lakonan Chew Kin Wah.

Apabila Jack memberitahu keluarganya yang dia mencintai Sharifah dan mahu mengahwini gadis itu, bapanya menentang keras hasratnya itu. Bapanya bimbang Jack perlu memeluk Islam dan terpaksa meninggalkan kerjayanya sebagai tukang masa di restoran turun-temurun mereka sekiranya berkahwin dengan Sharifah. 

Sementara itu, Sharifah pula cuba mereka cerita kepada ibu bapanya bahawa dia memiliki seorang kawan bernama Siti yang berdepan konflik cinta berlainan bangsa. Melihat respons ibu bapanya, Sharifah yakin mereka dapat menerima Jack satu hari nanti apabila dia mendedahkan cerita sebenar. 

Tanpa diduga, Jack telah keluar dari rumah selepas bergaduh dengan bapanya dan meredah hujan untuk ke rumah Sharifah. Sharifah yang terkejut melihat Jack basah kuyup mempelawanya untuk menukar pakaian. Namun pakaian yang diberikan adalah pakaian ibunya (Erra Fazira)

Sewaktu sedang berborak dalam bilik, tiba-tiba ibunya masuk dan Jack tertangkap ketika cuba bersembunyi dalam bilik air. Sewaktu pintu dibuka, Jack telah menyamar sebagai perempuan bernama Siti dengan memakai hijab. 

Ibu bapa Sharifah membenarkan Siti menumpang teduh di rumah mereka dan cuba untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi Siti. 

Masalah menjadi semakin serius apabila bapa Sharifah telah pergi berjumpa bapa Jack dengan beranggapan bahawa Jack sebenarnya adalah teman lelaki Siti. 

Apa yang boleh dikatakan tentang filem ini, dari awal cerita hingga akhir, anda akan tersenyum serta ketawa melihat telatah setiap watak terutamanya Sharifah dan Jack.  Ada juga babak yang menyentuh hati apabila melibatkan pertemuan antara Sharifah dan bapa Jack. 

Kredit harus diberikan kepada Qasrina kerana ada babak di mana dia bertutur dalam Bahasa Mandarin. Menurut Qasrina, dia terpaksa belajar Bahasa Mandarin tiga minggu sebelum penggambaran bermula demi memenuhi tuntutan watak.

Sebagai pelakon baharu dan filem ini merupakan lakonan pertamanya, Qasrina tidak mengecewakan dan mampu pergi jauh. 

Keserasian antara Qasrina dan Wilson juga wajar dipuji. Mereka tidak nampak canggung bersama dan sentiasa akan membuatkan anda tersenyum melihat aksi mereka.

Jika anda mahukan hiburan yang santai tetapi sarat dengan mesej murni dan penuh kemasyarakatan, filem Kongsi Raya adalah pilihan yang tepat untuk anda laburkan RM15 anda bersama rakan, kekasih mahupun keluarga tercinta. - Getaran, 3 Februari 2022. 

Rating: 3 Getar

Berita Berkaitan

1

Semasa 1 minggu yang lalu

Malaysia Kekalkan Prinsip, Selesaikan Semua Konflik Dengan Diplomasi - PM

2

Semasa 2 bulan yang lalu

Anwar Ucap Tahniah Kepada Anutin, Sasar Perkukuh Hubungan Malaysia-Thailand

3

Luar Negara 3 bulan yang lalu

Suspek Kes Pornografi Kanak-Kanak Diekstradisi Ke AS

4

Rencana 4 bulan yang lalu

Detik Malaysia Mendunia Telah Tiba, Kita Mampu Lakukan!

Sorotan

1

Lelaki Guna Pembesar Suara Cetus Kebimbangan, Dakwa Kononnya COVID-19 Kembali Menular

2

Kanak-Kanak Perempuan Maut, Abang Kritikal Jatuh Dari Pangsapuri

3

PM Puji Keberkesanan Kementerian Komunikasi Perjelas Pelaksanaan BUDI95

4

Gempa Bumi 8.2 Landa Mindanao, Pihak Berkuasa Keluarkan Amaran Tsunami

5

Dikurung Dalam Stor Beberapa Minggu, Polis Selamatkan Kanak-Kanak Mangsa Dera Ibu Angkat

6

Sebuah Kerajaan Bukan Hadiah Untuk Dirampas

Disyorkan untuk anda

Muzik 21 jam yang lalu

Dewa 19 Buktikan Keunggulan Katalog Lagu Dalam Konsert Cintaku Tertinggal Di Malaysia

oleh Rahayu MN