Sebagai tanda penghargaan kepada penonton dan pelanggan, syarikat televisyen berbayar Astro mengadakan konsert virtual secara langsung yang bakal menampilkan bintang hebat dalam dan luar negara.
Menurut Pengarah Kandungan Astro, Agnes Rozario, konsert ini diadakan sebagai usaha untuk meraikan rakyat Malaysia selama 25 tahun.
“Kami begitu teruja untuk membawakan ‘Astro 25 Concert’ yang akan menyaksikan persembahan terhebat artis-artis naungan Astro yang mana mereka akan turut digandingan dengan ramai lagi nama-nama hebat di rantau ini mahupun di peringkat antarabangsa.
“Seiring dengan tema sambutan Astro yang ke-25 tahun iaitu ‘Better Together’, kami percaya bahawa kita semua akan lebih baik jika terus kekal bersama. Konsert ini diadakan istimewa buat pelanggan dan bakat-bakat tempatan dalam industri khususnya yang selama ini setia menyokong Astro,” katanya.

Konsert berdurasi tiga jam ini bakal dihoskan Nabil Ahmad serta penyampai radio terkenal seperti Ean, Arnold dan Aishah Sinclair.
Bukan calang-calang barisan selebriti yang akan menghiburkan penonton nanti, antaranya bintang ‘Running Man’, Kim Jong Kook yang bakal mempersembahkan salah satu lagu popular beliau. Selain itu, kumpulan terbaharu dan popular dari Seoul TOMORROW X TOGETHER juga bakal memeriahkan konsert ini.
Astro turut menampilkan pemenang anugerah Grammy Jason Mraz serta pemuzik terkenal antarabangsa seperti Pink Sweat$, Bazzi dan alumni program The Voice UK, Jamie Miller.
Mereka juga turut mengundang artis dari Hong Kong seperti Ruco Chan dan pemenang TVB Stars Academy yang baru sahaja berusia 15 tahun, Gigi Yim. Dari Indonesia pula, Astro membawakan Dewa 19, Once Mekel dan Taufik Batisah dari Singapura.
Barisan penghibur tersohor negara juga tidak ketinggalan untuk menjadi sebahagian daripada konsert bersejarah ini termasuklah Datuk Sheila Majid, Ella, Jaclyn Victor, Dayang Nurfaizah, Datuk M. Nasir, Datuk Syafinaz, Erra Fazira dan Anuar Zain.
Turut serta Ernie Zakri, Datuk Hattan, Misha Omar, Mugen Rao, Syamel, Zee Avi, Shio Yee, Liza Hanim, Hael Husaini, Datuk Aznil Nawawi dan Zynakal.
‘Astro 25 Concert’ akan bersiaran pada Sabtu, 25 September, jam 8:30 malam di Astro 25 (Saluran 100) dan boleh juga distrim menerusi Astro GO. Siaran ulangan atau ‘encore viewing’ juga boleh ditonton menerusi platform On Demand, selepas berakhirnya konsert. - Getaran, 15 September 2021
