Banyak sektor pekerjaan terkesan susulan pandemik COVID-19 dengan industri perfileman negara juga tidak terkecuali daripada dugaan itu.
Kerana itu, Shunmugam Karuppannan atau lebih dikenali sebagai Shan terpaksa meninggalkan sementara kerjayanya sebagai pengarah filem dan penulis skrip apabila aktiviti hiburan dihentikan susulan negara berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dan Pelan Pemulihan Negara (PPN) sejak beberapa bulan lepas.
Penggiat seni berusia 47 tahun itu mula menceburi bidang pertanian dengan menanam sayur-sayuran seperti sawi, bayam dan limau serta menjualnya bagi meneruskan kehidupan.
"Selepas tidak boleh melakukan sesi penggambaran akibat COVID-19, hidup saya agak merana. Duit simpanan saya sudah habis, jadi saya mula bercucuk tanam.
"Saya tanam sayur-sayuran di kebun rakan saya dan menghantar hasil tanaman itu terus ke rumah pembeli," katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.
Shan pernah memenangi Malaysian Video Awards pada 2000 bagi filem pendek bertajuk 'No Worry Chicken Curry' manakala dua anugerah pada 2001 menerusi filem pendek 'Me, My Mother And Mosquito' dan 'Oh My Goat'.
Beliau juga pernah mengungguli Anugerah Skrip Skrin Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) 2018 bagi pesanan khidmat awam (PSA) berjudul 'Kuala Lumpur ke Kuala Terengganu'.
Beliau yang lebih 20 tahun berkecimpung dalam industri kreatif tanah air mengakui walaupun agak malu dan resah pada awalnya, dia mula menggemari bidang baharu ini sekali gus mempelajari perkara baharu dalam hidupnya.
Anak kelahiran Negeri Sembilan itu yang menjalankan perniagaan menjual sayur-sayuran melalui Facebook yang dinamakan 'Dari Seni Ke Tani', berkata meskipun tidak memperolehi pendapatan yang lumayan, ia mencukupi untuk menyara isteri dan dua anaknya.
Sementara itu, Shan yang gembira dengan pengumuman kerajaan membenarkan penggiat industri kreatif lengkap divaksi untuk kembali bekerja berkata, dia akan kembali aktif ke industri tersebut sambil ‘beraksi’ di kebun pada masa lapang.
Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) Fasa Satu PPN bagi industri kreatif, termasuk penggambaran industri kreatif di dalam dan luar studio serta aktiviti panggung wayang, yang dibenarkan beroperasi semula sejak 9 September lalu.
Shunmugam turut mendedahkan beliau sedang melakukan persiapan menghasilkan sebuah novel. - Bernama
