Berita Terkini

2 hari yang lalu: Hafizul Hawari yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak di KLIA Terminal 1 pada 14 April lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pagi tadi terhadap 7 pertuduhan 3 hari yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut 1 minggu yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 2 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 2 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok.

IKUTI KAMI


MATRADE: Jumlah Perdagangan M'sia-Kazakhstan RM480 Juta 10 Bulan Pertama 2022

Ekonomi Dikemaskini 1 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 12 Dec 2022 7:19PM

Kenaikan 52.3 peratus jumlah eksport disebabkan oleh sektor elektrik dan elektronik (E&E), minyak sawit dan pertanian. - Gambar fail

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

KUALA LUMPUR - Jumlah perdagangan bilateral di antara Malaysia dengan Kazakhstan berjumlah RM480 juta bagi 10 bulan pertama 2022 dengan eksport bernilai RM475 juta manakala import sebanyak RM5 juta, menurut Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).

Pengarah MATRADE bagi Asia Tengah, Barat, Selatan dan Afrika Idzham Abdul Hamid berkata kenaikan 52.3 peratus jumlah eksport disebabkan oleh sektor elektrik dan elektronik (E&E), minyak sawit dan pertanian.

“Kita mengimport logam, peralatan pengangkutan dan kimia serta produk kimia dari Kazakhstan,” katanya kepada pemberita selepas Forum Perniagaan dan Pelaburan Kazakhstan di sini hari ini.

Idzham dalam ucapan alu-aluannya berkata jumlah perdagangan antara Malaysia dan Kazakhstan pada tahun lepas mencapai RM407.5 juta dengan eksport bernilai RM363 juta dan import RM44.5 juta.

Lima eksport utama Malaysia ke Kazakhstan adalah E&E, produk getah, hasil pertanian, produk perkilangan berasaskan minyak sawit serta produk pertanian berasaskan minyak sawit.

“Selepas pandemik COVID-19 dan pembukaan semula sempadan Malaysia, kami meramalkan perdagangan (Malaysia) dengan Kazakhstan akan terus meningkat.

“Antara sektor berpotensi ialah produk halal, makanan dan minuman, pendidikan dan tenaga boleh baharu,” katanya.

Beliau berkata MATRADE telah mengenal pasti Asia Tengah sebagai pasaran baharu untuk tujuan pengembangan dengan Kazakhstan sebagai hab serantau bagi pengeskport Malaysia.

Mengulas mengenai hubungan perdagangan di antara kedua-dua negara, Duta Besar Kazakhstan ke Malaysia, Bulat Sugurbayev berkata keadaan itu semakin baik berbanding 2020 ketika pandemik melanda.

“Tahun 2020 adalah yang terburuk, tetapi tahun lepas ia (perdagangan) meningkat perlahan-lahan. Kami optimis namun berhati-hati bagi tahun ini. Sudah pasti kami tidak boleh meramalkan (masa depan), tetapi kami akan berusaha menggalakkan peluang perniagaan untuk kedua-dua negara

“Kita akan melihat jumlah tersebut bertambah sewajarnya berikutan ekonomi Malaysia telah dibuka semula. Kami berharap untuk menyambung semula kesalinghubungan perdagangan dan perniagaan,” katanya.

Beliau berkata sektor kewangan Malaysia berupaya menjadi sektor berpotensi untuk diperluas ke Kazakhstan, terutamanya kewangan Islam.

"Kazakhstan telah membangunkan sektor teknologi kewangan dengan baik manakala Malaysia dengan kewangan Islam, iaitu sektor yang mana Kazakhstan mempunyai kekurangan,” katanya.

Beliau berkata sektor kewangan Malaysia boleh memanfaatkan Kazakhstan sebagai batu loncatan untuk mengembangkan kecekapan dalam kewangan Islam di peringkat serantau.

Sugurbayev berkata syarikat guaman Malaysia, CSQlaw Kazakhstan akan membantu syarikat Malaysia untuk memulakan perniagaan di Kazakhstan.

Bercakap kepada Bernama, Ketua Pegawai Eksekutif CSQ Network Sdn Bhd Suji Nordin berkata syarikat itu membantu beberapa syarikat Kazakhstan untuk menyelesaikan urusan perniagaan di Malaysia dengan bantuan MATRADE pada tahun ini.

“Melalui hubungan baik kami dengan kerajaan Malaysia terutamanya MATRADE serta CSQlaw, kami boleh membantu syarikat-syarikat Malaysia yang berhasrat menjalankan perniagaan di Kazakhstan, begitu juga sebaliknya,” katanya.

Menurut Suji, CSQlaw Kazakhstan selaku syarikat guaman Asia Tenggara pertama yang membuka pejabat mereka di Astana adalah milik syarikat Malaysia, The Chambers of Shamsul Qamar di Kuala Lumpur. - Bernama

Berita Berkaitan

1

Ekonomi 10 bulan yang lalu

Eksport Malaysia Dijangka Cecah US$425 Bilion Menjelang 2030 - Standard Chartered

2

Ekonomi 10 bulan yang lalu

Eksport, Import Perkhidmatan Catat Peningkatan - SITS 2022

3

Ekonomi 10 bulan yang lalu

Kolaborasi Jadi Kunci Rangsang Pertumbuhan Ekonomi Inklusif - Liew Chin Tong

4

Semasa 11 bulan yang lalu

Malaysia, Korea Selatan Perkukuh Kerjasama Dalam Bidang Pertanian

Sorotan

1

Pemilik Stesen Minyak Diminta Lapor KPDN Jika Diancam Sindiket

2

Najib Diberi Peluang Jelaskan Mengenai Dokumen 1MDB Ketika Disoal Siasat - Pegawai SPRM

3

Elak Ketirisan, Perkukuh Tatakelola, Boleh Beri Upah Lumayan Kepada Pekerja - PM

4

5 Laluan Ditutup Sementara Sempena Hari Penamaan Calon PRK KKB Esok

5

Misi Pelayaran Ke Gaza Ditangguhkan Berikutan Tekanan Rejim Zionis - FFC

6

Najib Tak Pernah Arah Pengurusan 1MDB Pindah US$1.03 Bilion Kepada Syarikat Jho Low – Saksi

7

Keperluan Teliti SOP Latihan Udara Bergantung Laporan Siasatan – Khaled

Disyorkan untuk anda

Ekonomi 7 jam yang lalu

Tesla Turunkan Harga 2 Model EV Mulai Hari Ini