KOTA BHARU - McDonald's Malaysia akan membuka lima lagi cawangan restoran baharu di Kelantan sehingga tahun depan, kata Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald's Malaysia Datuk Azmir Jaafar.
Beliau berkata dua restoran baharu akan dibuka pada tahun ini manakala bakinya dijangka dibuka pada tahun depan.
“Insya-Allah, sebuah restoran baharu akan dibuka pada minggu depan di Troika, Kota Bharu dan sebuah lagi restoran baharu akan dibuka sebelum akhir tahun ini di Hentian Rehat dan Rawat (RnR) Gua Musang.
“Tiga lagi tempat telah dikenal pasti termasuk masing-masing di Pasir Puteh dan Tumpat, insya-Allah akan dibuka pada tahun depan,” katanya pada sidang media hari ini.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Pembayaran Zakat Korporat McDonald’s Malaysia kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) dan Sumbangan Qurban di sini.
Mengulas lanjut, Azmir berkata McDonald's Malaysia mempunyai rancangan jangka panjang untuk membuka 20 restoran baharu di Kelantan dalam tempoh lima tahun.
“Setiap restoran memerlukan 100 tenaga kerja. Oleh itu, dengan 20 restoran kita boleh mengadakan (menawarkan) lebih 2,000 peluang pekerjaan baharu kepada anak-anak tempatan, 100 peratus anak-anak tempatan kerana kita tidak mengambil pekerja asing,” katanya.
Pada majlis ini juga, McDonald's Malaysia telah membayar zakat korporat berjumlah RM200,000 kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).
Tengku Temenggong Kelantan merangkap Yang Dipertua MAIK Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz menerima bayaran zakat korporat itu yang diserahkan oleh Azmir.
McDonald’s Malaysia turut mengagihkan daging korban dan sumbangan duit raya kepada 20 wakil asnaf yang diraikan pada majlis berkenaan.
Azmir berkata pembayaran zakat korporat itu adalah nilai tertinggi yang pernah dibayar kepada Kelantan sejak McDonald's Malaysia mula membayar zakat korporat pada 2017, apabila diambil alih Lionhorn Pte Ltd, sebuah anak syarikat Kumpulan Reza dari Arab Saudi.
"Selain pembayaran zakat korporat, McDonald's Malaysia turut menyumbangkan 22 ekor lembu bagi ibadah korban tahun ini di beberapa negeri. Daripada jumlah itu 12 ekor adalah khusus bagi Kelantan, terbanyak setakat ini dan pembahagian daging diagihkan kepada golongan asnaf yang telah dikenal pasti oleh MAIK. - Bernama